Wednesday, October 14, 2015

Tajuk: Al-Quran Sebagai Sumber Rujukan Utama Tamadun Islam

PENDAHULUAN
Usaha membangunkan sesebuah tamadun manusia sememangnya bukan suatu usaha yang mudah. Ianya memerlukan beberapa gabungan kekuatan dan kemahiran dalam rangka untuk menjayakannya samada ianya berbentuk sumber pembentukan tamadun, pedoman dalam membentuk sesebuah ketamadunan, individu-individu yang terlibat dalam pembangunan sesebuah tamadun, kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai dalam membina tamadun dan sebagainya. 

Apabila membicarakan soal pembangunan ketamadunan, maka apa yang paling penting adalah soal membangunkan sesebuah tamadun yang sempurna, bukan sekadar membangunkan sesebuah tamadun secara sambil-lewa. Misalnya, pembinaan sesebuah rumah yang sempurna adalah tujuan utama sesebuah pembinaan, bukan semata-mata membina sebuah rumah kerana, membina sebuah rumah yang tidak kualiti itu ibarat menyediakan kemusnahan bagi penghuninya. 

Pada perbahasan yang terbatas ini, kita cuba menekankan tentang kepentingan Al-Qur’an sebagai sumber pembangunan sesebuah tamadun yang sempurna. Al-Qur’an (di samping As-Sunnah) merupakan pedoman yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. kepada umat manusia agar mereka mampu menjalani kehidupan dengan lebih sempurna

Allah Subhanahu wa ta’ala. berfirman lagi yang bermaksud:

“Segala sesuatu telah Kami terangkan dengan keterangan yang terperinci”. (Surah Al-Isra’:13)

Maksudnya, Allah Subhanahu wa ta’ala. memberi penjelasan yang sangat terperinci termasuklah berkenaan dengan pembangunan sesebuah tamadun yang sempurna kerana pembinaan sesebuah tamadun yang sempurna sangat penting dalam usaha menjaga peranan syariat Islam dalam masyarakat Islam tersebut. 

Ianya berkaitan dengan segenap aspek kehidupan manusia dalam membentuk sesebuah kemasyarakatan yang bermanfaat, termasuklah aspek budaya, ekonomi, sosial, politik dan sebagainya

KEISTIMEWAAN AL-QURAN
Allah Subhanahu wa ta’ala mengurniakan nikmat kepada hamba-hambaNya dengan mengutus Nabi-Nya dan menurunkan kitab-Nya yang tidak terdapat di dalamnya sebarang kebatilan, baik dahulu mahupun sekarang, sehingga terbuka luaslah jalan kepada para ahli fikir untuk menghuraikan isi-isinya ataupun mengambil iktibar daripadanya sama ada yang berupa berita mahupun cerita. Bukan itu sahaja, Al-quran telah memberi garis panduan dalam pembinaan tamadun di mana ianya menjadi sumber penentu nilai-nilai dalam tamadun. Al-quran juga menekankan hubungan baik sesama manusia dengan menghormati antara satu sama lain, tolong menolong jika ditimpa kesusahan. 

Dengan adanya kitab itu, jelaslah jalan lurus yang mesti ditempuh, dan fahaman yang benar mesti dilalui untuk memahami pengertian hukum yang terdapat di dalamnya. Al-quran juga merupakan pemisah antara yang halal dengan yang haram. Fungsinya adalah sebagai cahaya petunjuk, dengan berpegang teguh kepadaNya akan selamatlah setiap manusia daripada tipu daya syaitan yang direjam. Al-quran juga merupakan kitab suci yang mengandungi nilai mukjizat yang tinggi. 

Kandungannya dipenuhi dengan penawar untuk menyembuhkan hati dan jiwa yang sakit. Barangsiapa yang berpegang teguh dengan kitab suci itu, pastilah manusia itu akan memperoleh petunjuk yang sihat dan barang siapa yang mengamalkannya, pastilah akan berbahagia selama-lamanya. Al-quran membekalkan pengetahuan asas tentang sains seperti proses kejadian manusia, peringkat-peringkat keidupan manusia dan sebagainya. 

Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman:
''Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya. '' (al-Hijr:9) 

Salah satu sebab mengapa dijaganya Al-quran dalam hati dan mushaf, ialah dengan jalan mengekalkan pembacaannya, meneruskan pengkajiannya dengan mengikut adab-adab dan syarat-syarat yang ditentukan. Selain itu, juga dengan menjaga perintah dan larangan yang perlu diperhatikan dalam amalan-amalan batin dan adab-adab zahir. 

Ibnu Mas'ud berkata ''Apabila kamu semua menginginkan ilmu pengetahuan, maka selidiklah Al-quran, sebab di dalamnya terdapat ilmu-ilmu orang-orang yang terdahlu dan orang-orang yang terkemudian. ''

Amir bin Ash berkata; ''Barangsiapa membaca Al-quran, maka mereka akan dinaikkan ke darjat di sebelah kanan dan di sebelah kiri para Nabi, melainkan tidak diturunkan wahyu kepada mereka sahaja. ''

Seterusnya dalam mencela orang-orang yang membaca Al-quran, tetapi lalai dan leka dalam melaksanakan isi Al-quran, Rasulullah saw bersabda; 

''Tidak dikatakan beriman kepada Al-quran barangsiapa yang menghalalkan apa yang diharamkan oleh Al-quran itu. ''

ADAB MEMBACA AL-QURAN

Amalan-amalan batin dalam bacaan Al-quran ialah mengagungkan zat yang maha berkata-kata iaitu Allah Subhanahu wa ta’ala. Oleh sebab itu, pada permulaan bacaannya seseorang itu hendaklah menghadirkan dalam hatinya akan keagungan Allah Subhanahu wa ta’ala dan menginsafi bahawa apa yang dibacanya itu bukanlah percakapan manusia. Agaknya tidak mungkin untuk menghadirkan keagunganNya itu selama pembaca itu tidak mengenangkan sifat-sifat, kebesaran serta perbuatan-perbuatanNya. 

Kedua pembaca hendaklah memahami keagungan firman Allah Subhanahu wa ta’ala dan ketinggian nilainya. Juga keutamaan Allah Subhanahu wa ta’ala serta betapa sayangnya Allah kepada seluruh makhlukNya, dalam menyampaikan firmanNya, sehingga dapat diketahui isi dan kandungannya oleh seluruh hambaNya. 

Ketiga ialah menghadirkan hati dan meninggalkan apa-apa yang diucapkan dalam hatinya sendiri. Sewaktu membaca, hendaklah betul-betul memusatkan fikiran untuk bacaannya itu, menghindarkan segala perhatian kepada yang selainnya. Orang-orang salaf terdahulu apabila membaca sesuatu ayat atau surah dan hatinya belum dapat dihadirkan pasti akan diulangi semula. 

Keempat memikirkan dan merenungi, perasaan ini berada di sebalik kehadiran hati. Oleh sebab itu, seseorang pembaca kadang-kadang sudah tidak ada yang difikirkan selain Al-quran, tetapi hanya sekadar untuk mendengarkan kepada dirinya sendiri, dan hatinya tidak merenungi dan memikirkan isi dan kandungannya. Padahal, apa-apa yang dimaksudkan dengan membaca Al-quran itu ialah memikirkan dan merenung isi kandungannya. 

Kelima hendaklah memahami tujuan iaitu supaya setiap ayat itu dapat difahami degan jelas, apa yang dimaksudkan dan apa yang dikehendaki. Hal ini kerana Al-quran memuatkan berbagai-bagai persoalan misalnya menyebutkan sifat-sifat Allah Subhanahu wa ta’ala, menyebutkan perbuatan-perbuatanNya, menyebutkan hal ehwal para Nabi dan hal ehwal orang yang mendustakan baginda, juga bagaimanakah cara mereka itu dibinasakan dan dihancurkan serta memberitahu tentang segala perintah-perintah serta larangan-laranganNya juga menceritakan tentang syurga dan neraka. 1

PERANAN AL-QURAN DALAM PEMBENTUKAN TAMADUN

POLITIK

Berasaskan sumber Al-quran, Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam menggubal dan membentuk Perlembagaan Madinah Sebagai asas pembentukan negara Islam pertama Madinah. Dengan termeterainya perjanjian ini Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam berjaya mengasas dan memantapkan kedudukan politik umat Islam di Madinah. Baginda Sallallahu ‘alaih wa sallam berjaya melahirkan masyarakat baru dikenali sebagai ummah dan merubah prinsip suku bangsa yang selama ini melahirkan kaum yang tidak bermoral. Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam juga mengasaskan sistem syura iaitu suatu sistem permesyuaratan dalam pengurusan dan pentadbiran kerajaan Islam berpandukan ajaran Al-quran bagi memenuhi kepentingan dan kebajikan rakyat dengan berdasarkan keimanan dan ketakwaan. 

EKONOMI

Rasululah Sallallahu ‘alaih wa sallam telah memperkenalkan dasar percukaian tersendiri. Dasar cukai tersebut ialah zakat, jizyah, kharaj, fai, dan usyur. Baginda mengemukakan asas-asas penting berkaitan dasar kewangan negara di mana Al-quran menjadi sumber rujukan utama dalam urusan muamalah. 

Sebagai contohnya menghapuskan amalan riba dan pengharaman sistem barter. Penekanan terhadap aspek ketepatan ukuran dititikberatkan kerana ia boleh memberi kesan positif kepada manusia dalam menjalani aktiviti ekonomi khususnya daripada segi keadilan. Penubuhan baitulmal oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam adalah sebagai satu institusi penting yang mengorganisasikan semua dasar dan polisi ekonomi negara dalam mentadbir negara Madinah. Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam menggalakkan orang-orang Isam untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan menjadikan Al-quran sebagai sumber hukum yang utama dalam urusan muamalah untuk mengelakkan sebarang bentuk penipuan dan penyelewengan oleh umat Islam

SOSIAL/BUDAYA

Al-quran telah menerapkan perpaduan ummah dalam kalangan umat Islam. Al-quran menganjurkan nilai-nilai yang baik seperti hormat menghormati, bekerjasama, bertolak ansur dan lain-lain. Semua manusia dianggap sama taraf di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala kecuali orang yang bertakwa. Persaudaraan Islam telah berjaya menamatkan permusuhan dalam kalangan golongan Ansar iaitu suku Aus dan Khazraj. Islam telah menukar cara hidup masyarkat Jahiliah daripada menyembah berhala kepada menyembah Allah, daripada berakhlak buruk kepada akhlak yang mulia dan berperikemanusiaan. 

SISTEM PERUNDANGAN

Perjalanan sistem perundangan pada zaman khulafa' al-Rasyidin sama sahaja dengan zaman Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam kecuali dalam perkara-perkara yang tidak ada nas yang tepat di dalam al-quran dan hadis. Bagi mengatasi masalah ini para khalifah menggunakan kaedah berijtihad untuk memutuskannya. Kuasa mutlak perundangan pada zaman ini terletak kepada Al-quran dan hadis dan kuasa menyampaikan hukum-hukum, menjelaskan nas-nas dan melaksanakan hukum-hukum terletak kepada ulama di kalangan para sahabat. Al-quran merupakan sumber hukum yang pertama dan sentiasa menjadi rujukan para sahabat untuk menentukan sesuatu hukum. 

SENIBINA
Senibina pada zaman khulafa'al-Rasyidin merupakan gabungan di antara pembangunan fizikal dengan keimanan, ketakwaan dan akhlak yang tinggi. Di dalam bangunan-bangunan masjid dihiasi dengan ayat-ayat Al-quran yang berukir indah. Di peringkat permulaan, pembinaan masjid yang memiliki seni indah hanya mengutamakan menara. Pembinaan masjid pertama yang mempunyai menara ialah di Basrah. Sebelum ini, pembinaan masjid-masjid masih bercirikan kepada ciri masjid pada zaman Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam dan diadunkan dengan ciri-ciri senibina baru seperti seni khat, ukiran dan hiasan dalamannya

DAKWAH

Rasulullah saw memberi perhatian serius kepada bidang dakwah. Setelah kedudukan Madinah stabil Baginda saw bertindak mengirim para pendakwah ke seluruh pelusuk Semenanjung Tanah Arab dengan mengajak mereka kepada Islam. Baginda saw selaku guru telah memberi latihan intensif kepada para pendakwah terutama dalam membaca ayat-ayat Al-quran supaya ia dapat diterima dan disebarkan dengan baik. 1

BERIMAN KEPADA AL-QURAN

Al-quran adalah merupakan kitab yang terakhir diturunkan Allah Subhanahu wa ta’ala kepada umat manusia. Kitab ini memansukhkan penggunaan kitab-kitab sebelum ini. Al-quran diturunkan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam untuk menjadi panduan seluruh umat Islam dahulu, kini dan selamanya. 

Setiap individu muslim wajib meyakini bahawa isi kandungan semua kitab ini adalah sama dalam persoalan akidah. Semua ajaran Allah Subhanahu wa ta’ala yang ada di dalam keempat-empat kitab Allah Subhanahu wa ta’ala adalah mengandungi seruan kepada penyembahan Allah sebagai Rabb dan Illah tanpa sebarang sekutu Cuma yang membezakan antara kitab-kitab tersebut adalah dalam aspek syariatnya sahaja. Semua kitab diturunkan adalah sangat bersesuaian dengan keperluan setiap umat tersebut. 

Terdapat beberapa kepentingan beriman kepada kitab Al-quran antaranya menjadi garis panduan kepada manusia untuk mengatur perjalanan hidup agar bahagia di dunia dan akhirat, dengan kitab ini manusia dapat mengetahui perkara ghaib seperti hari akhirat, malaikat dan perkara-perkara yang tidak mampu dijangkau oleh akal fikiran. Selain itu manusia dapat menyakini Al-quran meupakan kitab perlembagaan utama di dalam Islam, seterusnya mengamalkan isi kandungannya secara keseluruhan dan manusia dapat meneima dan menyakini Islam sebagai al-Din yang terkandung di dalam kitab suci yang diturunkan Allah Subhanahu wa ta’ala melalui wahyu kepada nabi dari semasa ke semasa sehinggalah kitab terakhir iaitu Al-quran. 

KESIMPULAN

Al-quran merupakan kitab suci yang mengandungi nilai mukjizat yang tinggi sama ada dari sudut akidah dan syariah, akhlak dan moral, bahasa, persejarahan, pemikiran dan keintelektualan, ketamadunan rahsia alam dan semesta dan sebagainya, sesuai sepanjang masa dan lengkap. Sesuai dengan tahap pemikiran manusia dan ketamaduna manusia dari sudut kajian dan penemuan rahsia alam sangat rendah di zaman Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam maka rahsia-rahsia mukjizat tersebut hanya ditemui oleh manusia. 

Al-quran telah memberi garis panduan dalam pembinaan tamadun. Tamadun yang diterima dan ditolak oleh Allah Subhanahu wa ta’ala dinyatakan dengan jelas. Al-quran juga menjadi sumber penentuan nilai-nilai dalam tamadun seperti nilai iman dan kufur, makruf dan mungkar, nilai yang sangat dituntut dan yang dikeji. Manakala dalam pembinaan masyarakat pula Al-quran menekankan hubungan baik sesama manusia dengan menghormati antara satu sama lain, tolong menolong jika ditimpa kesusahan. 

Cetusan pembinaan tamadun Islam dalam Al-quran lahir daripada gesaan dan seruan agar manusia melakukan penelitian dan penyelidikan terhadap alam dan unsur-unsur kejadian lain serta rahsia-rahsianya. Al-quran juga telah memeberikan gambaran pengetahuan asas tentang alam dan sains. 

Sesuai dengan sifatnya yang kekal dan relevan aktualisasinya sepanjang zaman, Al-quran hanya menggariskan prinsip-prinsip pembinaan peradaban Islam secara umum yang mana dari segi teknikal dan bentuk pelaksanaannya, diserahkan kepada kebijaksanaan umat Islam. Ia merupakan rahmat kepada manusia untuk berkreativiti dan membangunkan peradaban mengikut acuan sendiri secara terpimpin. Mereka dibenarkan berijtihad mencari kaedah dan langkah terbaik untuk membangunkan peradaban Islam sesuai dengan keperluan dan peredaran zaman dan tempat. Apa yang penting pembangunan peradaban Islam hendaklah tidak tersasar daripada prinsip-prinsip Al-quran seperti syura, keadilan, persamaan, kebebasan, pelaksanaan perundangan Islam, Amar makruf Nahi Mungkar. 

BIBLIOGRAFI

Al-syeikh Muhammad Jamaluddin dan Al-Qasimi Ad-Dimasqi. Mutiara Ihya' Ulumuddin. 2009. Selangor: Illusion Network

Sharipah Isa. 2014. Asas-asas Pandangan Hidup Islam. Kuala Lumpur. ACIS Uitm Arau, Perlis

Ramawan Bin Ab. Rahman. 2011. Pengantar tamadun dan sejarah pemikiran Islam. Selangor. PENERBITAN ALAMBACA SDN BHD



Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment