Monday, October 12, 2015

Tajuk: Interaksi Islam Di Alam Melayu Dan Kesan Positif

PENDAHULUAN
Kedatangan Islam telah mengubah kehidupan keagamaan yang sebelum itu berabad-abad lamanya dipengaruhi oleh kepercayaan Hindu-Buddha. Islam dan peradaban Melayu tidak boleh dipisahkan. Sungguh pun disebut hubungan Tanah Melayu dengan dunia Arab sudah terjadi sejak abad ke-9 Masihi mungkin kerana faktor perdagangan, tetapi kesannya terjadi hanya sesudah terbentuknya Kerajaan Melayu Melaka dengan kekuatan system pemerintahan dalam bidang siasah, ekonomi, sosial dan kebudayaan, serentak dengan peranannya dalam penyebaran Islam ke seluruh Alam Melayu. 

Sejarah Islam telah menunjukkan bahawa keistimewaan yang terkan dung dalam Islam telah mampu membentuk satu tamadun yang mengangkat tinggi martabat manusia, menuju kesejahteraan hidup, dunia dan akhirat. Tamadun Islam telah muncul dan menempa kegemilangan yang tiada tolak bandingnya lantaran kesyumulan dan kesepaduan Islam itu sendiri yang menjadi intipati kepada tamadun Islam. Akhirnya tamadun Islam telah Berjaya mendepani zaman dan menjadi rujukan kepada pembinaan tamadun manusia sehinggalah ke hari ini. 

Perkataan tamadun merangkumi kebudayaan, peradaban, kemajuan dan sopan santun. Menurut Kamus Dewan dan Pustaka, tamadun atau civilization bermaksud kemajuan atau dalam tingkat penghidupan atau peradaban. Dari segi bahasa Arab, perkataan tamadun atau peradaban sering dikaitkan dengan beberapa istilah seperti madaniah dan hadarah. Perkataan tamdun lahir daripada perkataan maddana yang mempunyai dua pengertian, iaitu merujuk kepada perbuatan membuka bandar atau kota, seperti perbuatan memperhalus budi pekerti. Ibnu Khaldun, bapa ilmu ketamadunan dalam bukunya Muqaddimah menggunakan istilah Umran pada asalnya bermakna suatu tanah atau tempat yang didiami manusia yang mempunyai persediaan yang cukup bagi manusia dan keperluannya. Saiyid Qutb mendefinisikan tamadun Islam sebagai segala bentuk kemajuan yang dihasilkan oleh sekumpulan masyarakat seperti system sosial, pemerintahan, politik, ekonomi, dan kebudayaan yang berteraskan syariat Allah, serta bercirikan nilai-nilai moral Islam. Manusia tidak akan dapat mencari satu etika tamadun jikatidak mempunyai masyarakat yang bermoral. 

Tamadun Melayu ialah sebuah tamadun yang dibentuk oleh sekelompok manusia yang digolongkan secara luas sebagai kumpulan orang Melayu dan bertempat dia suatu wilayah di Asia Tenggara yang dikenali dengan pelbagai nama seperti Gugusan Kepulauan Melayu – Indonesia, Nusantara, Alam Melayu, Tanah Jawa dan sebagainya. Menurut Mohd Ghouse nasuddin 1993, tamadun Melayu merujuk kepada satu rumpun bangsa yang berasal daripada satu punca, mempunyai asas kehidupan yang sama dan hanya berbeza dari segi pengaruh alam persekitaran. Dari segi kesenian, ia adalah lebih luas, merangkumi kawasan dunia Melayu lama iaitu yang terletak di kawasan kepulauan dan benua Asia Tenggara dan berpusat di kerajaan-kerajaan Srivijaya, Majapahit, Melaka dan Kedaram. Manakala, dalam keadaan geopolitik, sekrang dunia Melayu lama merangkumi Malaysia, Brunei, Indonesia, Thai Selatan, sebahagian Kemboja dan Selatan Filipina. 

Tamadun Islam merupakan penghayatan Islam sebagai sebuah cara hidup yang menyeluruh. Berbeza daripada tamadun-tamdun lain, kelahirannya tidak disebabkan faktor-faktor material. Perkembangannya bermula dengan turunnya ayat Al-Quran kepada Nabi Muhammad saw pada abad ketujuh Masihi. Baginda menjadi role model kepada seluruh umat Islam dalam pengembangan tamadun sehingga kini agar pembinaan tamadun yang gemilang hendaklah berasaskan kepada penghayatan Islam itu sendiri. Kemajuan tamadun Islam tidak terbatas hanya pada kemajuan kebudayaan semata-mata, malahan ia merupakan kemajuan yang serentak dengan kerohanian. Tamadun Islam berbeza dengan tamadun dunia yang lain kerana ia meletakkan al-Din sebagai asas yang membentuk tamadun berbanding dengan tamadun lain yang diasaskan oleh manusia. 

2. 0 INTERAKSI ISLAM DI ALAM MELAYU DAN KESAN POSITIF

Interaksi secara mudahnya memberi maksud hubungan, pertemuan, komunikasi dan lain-lain yang berlaku dalam kelompok masyarakat dan seterusnya negara. Hal ini bermaksud interaksi antara peradaban, bukanlah merujuk kepada interaksi antara tamadun itu sendiri, tetapi secara realitinya merujuk kepada interaksi antara individu atau masyarakat yang mana individu atau masyarakat tersebut mewakili sesuatu peradaban. Tiada peradaban yang tulen secara mutlak iaitu tiada tamadun yang wujud dan berkembang secara eksklusif iaitu bergantung kepada factor dalaman semata-mata. 

Peradaban mempunyai jenis-jenis interaksi yang tersendiri. Jenis-jenis interaksi antara peradaban ialah interaksi fizikal, interaksi teologi dan agama, interaksi sains dan teknologi dan interaksi budaya. Interaksi fizikal ialah merujuk kepada hubungan yang berlaku dalam aspek biologi antara kaum. Interaksi berlaku di sepanjang sejarah manusia. Kemudian, menerusi interaksi teologi dan agama, ramai berpendapat bahawa agama adalah satu system yang tertutup. Dari satu segi, ia memang benar kerana terdapat agama yang unik yang hanya dapat dipraktikkan oleh bangsa tertentu sahaja, misalnya agama Shinto. Di samping itu interaksi sains dan teknologi merupakan unsur yang paling ketara dalam mana-mana peradaban. Contohnya, peradaban Hindu yang kaya dalam bidang sains dan falsafah, sebahagian ideanya dalam aspek ini adalah hasil interaksinya dengan tamadun China. Selain itu, interaksi budaya merupakan interaksi yang paling jelas terlihat pada mana-mana tamadun. Interaksi budaya meliputi pelbagai aspek kehidupan seperti makanan, pakaian, senibina, seni ukir, muzik dan sebagainya. Antara kesan interaksi peradaban Islam dengan peradaban Melayu adalah seperti berikut :

2. 1 AKIDAH DAN KEPERCAYAAN

Sebelum kedatangan Islam, masyarakat Nusantara telah dipengaruhi oleh agama Hindu-Buddha. Kepercayaan mereka banyak diselaputi oleh unsur-unsur Hindu-Buddha. Oleh yang demikian banyak pengaruh berkenaan masih tidak dapat ditinggalkan oleh masyarakat Islam Nusantara. Pada peringkat awal kedatangan Islam terdapat beberapa buah kerajaan Islam yang muncul di Nusantara seperti Sumatera, Melaka, Filipina, Pattani, dan Jawa. Kesan utama yang dibawa oleh Islam ialah terhadap akidahdan kepercayaan di mana bangsa Melayu telah meninggalkan ajaran agama Hindu-Buddha. Mereka percaya kepada Tuhan Yang Maha Esa, hormat-menghormati antara manusia dan menitikberatkan soal persamaan taraf. Kedatangan dan penerimaan Islam telah menghasilkan beberapa ciri utama dalam tamadun Melayu, misalnya mengenai sistem politik dan pentadbiran, sistem pemerintahan empayar Uthmaniah telah diperkenalkan dan meletakkan Sultan sebagai ketua negara dan ketua agama Islam. 

2. 2 SISTEM PENDIDIKAN

Interaksi tamadun Islam dan tamadun melayu dapat dilihat dalam sistem pendidikan di negara ini. Perkembangan ilmu pengetahuan dan pandangan semesta ternyata agama Islam telah membawa perubahan dan pembaharuan kepada tamadun Melayu dan istana dijadikan pusat kegiatan dan penyebaran ilmu pengetahuan, terutamanya agama Islam. Semua golongan tanpa mengira kedudukan sosial berpeluang untuk mendapat dan mempelajari ilmu pengetahuan. Kesannya, muncullah golongan intelektual, terutama alim ‘ulama yang telah menghasilkan tulisan mereka, terutama karya-karya berbentuk keagamaan yang disampaikan dalam bentuk persuratan yang dinamakan sastera kitab. 

Kedatangan Islam memberi jiwa yang baharu dan besar kepada kebudayaan Melayu khususnya bahasa Melayu. Kedatangan pengaruh Islam menjadikan bahasa Melayu kaya dan mampu digunakan untuk membahas perkara-perkara yang ilmiah seperti falsafah. Kehadiran ilmu Tasawuf, hukum dan undang-undang penterjemahan al-Quran, perbahasan ilmu hadis, ilmu hadis, ilmu fekah dan berbagaiilmu lagi. Ringkasnya, kedatangan Islam menjadikan bahasa Melayu mampu untuk digunakan bagi membahas perkara-perkara yang bersifat intelektual. 

Pendidikan formal adalah hal berkaitan keagamaan di rumah, istana, masjid, surau, madrasah dan pondok. Di rumah guru, pendidikan Al-Quran diajar melibatkan anak-anak berusia 7 hingga 15 tahun. Manakala di istana, menurut sejarah Melayu, pusat pengajian agama terdapat di istana Melaka. Sultan Mansur Syah telah menerima pengajaran Islam daripada Maulana Abu Bakar. Ramai ulama menetap di Melaka antaranya orang Arab, Parsi, Gujerat, kerana pengaruh pemerintah Melaka. Kitab al-Dur al-Manzum (kitab Tasawuf) merupakan kitab sangat terkenal di istana Melaka hingga ke istana kerajaan Johor. Pengajaran buku hikayat seperti Hikayat Amir Hamzah turut disimpan di istana Melaka. Ilmu politik dan pentadbiran negara juga diajar di istana. Manakala di masjid dan surau, kanak-kanak diajar ilmu tajwid, fekah, dan bacaan sembahyang, orang dewasa pula belajar ilmu fekah. Usuluddin, hadis, tasawuf pada tahap lebih tinggi. Pengajian pondok pula menyediakan pelajar yang bakal menjadi guru agama dan berkhidmat kepada masyarakat. Pondok terkenal terdapat di Kelantan (Pondok Pulau Condong), Terengganu (Pondok Pulau manis) dan Kedah (Pondok Titi Gajah). Pelajar akan belajar sehingga 10 tahun sebelum tamat pengajian. Wujud juga sistem madrasah yang diperkenalkan oleh Bani Saljuk di Iraq. Sistem ini berdasarkan sukatan pelajaran dan dilaksanakan secara kelas. Pendidikan madrasah ini mengikut tahap iaitu tahap permulaan, pertengahan, pengkhususan. Ia diawasi oleh Mudir dan diselia oleh sebuah lembaga. Perkembangan-perkembangan mutakhir dalam bidang pendidikan di rantau ini telah membuka kemungkinan-kemungkinan baru. Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa dan Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa di Malaysia umpamanya telah menjadikan rantau ini sebgai salah sebuah pusat tumpuan para ilmuan dunia. 

Perkembangan ilmu telah membawa kesan yang cukp besar terhadap perubahan sosio-budaya umat Melayu sesudah kedatangan Islam. Sistem awal yang diperkenalkan, mungkin pada mulanya dengan menadah kitab di surau, langgar dan masjidatau di kalangan istana, sehingga kemudiannya terdiri pondok dan pesantren di serata wilayah dan daerah kepulauan Melayu. Ilmu adalah alat pertama bagi kesempurnaan keperibadian seseorang insan dan pembentukan akhlak. Proses pembudayaan rantau Melayu banyak sekali dimainkan peranannya oleh para ulama yang bermula dari pusat-pusat pemerintahan Islam-Melayu seperti Melaka seawal abad ke-15, Jawa, Pasai, Acheh, Palembang dan Banjar, dan kemudiannya Kelantan-Patani, Banten dan Minangkabau. 

 Dari pusat-pusat inilah terpancar keluarnya pengaruh kebudayaan Islam di Alam Melayu dari Semenanjung sehingga ke kepulauan Indonesia, bukan sahaja melalui pengajian pondok atau kegiatan dakwah seperti yang dinyatakan, tetapi juga lewat pengaruh perdagangan dan perluasan wilayah geopolitik baharu seperti Acheh-Pasai dan Johor-Riau itu. Sehingga suku pertama abad ke-20, gerakan ulama mengembangkan ilmu menerusi pendidikan agama tidak pernah surut. Sumbangan seperti ini, ditambah oleh hubungan dengan pusat-pusat kebudayaan Islam di Haramain atau Tanah Arab, Mesir dan Turki, juga India dan Pakistan, telah memberikan ciri-ciri khusus terhadap sebuah tamadun Islam di Asia Tenggara yang dikenali sebagai peradaban Melayu-Islam sebagaimana kita kenali adanya peradaban Arab-Islam, Parsi-Islam, India-Islam, dan Turki-Islam. Peradaban Melayu-Islam berada dan berkembang di wilayah Alam Melayu. 

2. 3 KESENIAN DAN KEBUDAYAAN

Seni merupakan sebahagian daripada kebudayaan : ia membawa erti indah, halus, lembut, senang didengar atau ditutur, senang dilihat dan menerangkan sesuatu. Dalam bahasa Inggeris disebut art yang berasal dari Yunani yang membawa makna kecekapan dan kebolehan. Antara bentuk-bentuk seni Melayu yang banyak dipengaruhi oleh peradaban Islam seperti seni bina, seni ukir, seni sastera, dan seni persembahan. 

Interaksi antara tamadun Islam dan tamadun Melayu telah turut mempengaruhi bidang seni bina terutamanya seni bina masjid. Seni bina terawal di Nusantara dapat dilihat pada zaman animisme dan zaman pengaruh Hindu-Buddha. Seni bina Islam Nusantara mula bertapak sejak kedatangan agama Islam. Perkembangan Islam di dunia Melayu Nusantara pada abad ke-15 dan ke-16 Masihi telah disertai dengan pembinaan masjid. Oleh kerana Islam di Asia Tenggara dikatakan datang daripada beberapa daerah yang berbeza, maka tamadun Islam tidak hanya membawa unsur seni bina Arab, tetapi juga bentuk seni bina China dan India. Malah bangunan masjid yang dibina juga mempertahankan ciri-ciri seni bina tempatan, Contohnya, di tanah Melayu, terdapat masjid yang mempunyai bumbung berbentuk limas potong perak. Selain itu, pengaruh peradaban Islam terhadap peradaban Melayu dalam seni bina seperti seni bina masjid yang terdapat ciri khas seperti mihrab, mimbar, telaga bumbung, Masjid terkenal contohnya Masjid Kg. Laut, Kelantan dan Masjid Tengkera Melaka. 

2. 4 SISTEM EKONOMI

Faktor perdagangan secara jelas berkaitan dengan kepentingan ekonomi. Tamadun yang terlibat dengan perdagangan, sikap mereka lebih terbuka kerana memperoleh pengalaman berinteraksi dengan tamadun lain. Di Asia Tenggara, misalnya salah satu perkara yang membawa kemasyhuran sesebuah tamadun ialah kepesatan perdagangan. Pada zaman Melaka, perdagangan merupakan perkara penting yang membawa kegemilangan tamadun Melayu-Melaka. Pedagang dari pelbagai pusat perdagangan seperti India, Arab, Siam, Kepulauan Melayu, Cina, Burma dan tempatan telah berkunjung ke Melaka untuk menjalankan aktiviti perdagangan mereka. Kemakmuran perdagangan ini membawa Melaka ke mercu kegemilangan dan dihormati oleh kerajaan sekitarnya. 

Aktiviti ekonomi bercorak agrarian seperti pertanian, perikanan, penternakan dan sebagainya yang bergantung kepada alam, masih lagi berlangsung selepas kedatangan Islam. Kedatangan Islam turut meningkatkan aktiviti perdagangan di kalangan masyarakat Melayu. Seiring dengan itu, lahirlah pasar serta kota bersifat antarabangsa dimana terdapat aktiviti perdagangan oleh pedagang asing dari Arab, Parsi, China, India dan sebagainya. Perdagangan yang dahulunya dilakukan sebagai barter dan mata wang semakin berkembang. Sistem mata wang diguna pakai secara meluas sesuai dengan perkembangan aktiviti perdagangan bersifat antarabangsa pada masa tersebut. 

2. 5 POLITIK, PERUNDANGAN DAN PENTADBIRAN

Pengaruh Islam di Asia Tenggara adalah dalam bidang politik, perundangan, dan pentadbiran. Melaka merupakan salah sebuah kerajaan Islam yang terpenting di Nusantara pada abad ke-15 dan 16 Masihi. Melaka bukan sahaja terkenal sebagai pusat perdagangan tetapi juga sebagai pusat penyebaran Islam dia Nusantara. Hal ini dapat disaksikan pada sistem pemerintahan Kesultanan Melaka. 

Peradaban Islam turut membawa perubahan dari segi politik dan pentadbiran. Konsep ‘devaraja’ yang menjadi pegangan politik dan lambing daulat raja-raja tempatan telah digantikan dengan konsep ‘khalifatullah fil-ardhi’. Raja tidak lagi dianggap sebagai penjelmaan dewa-dewa Hindu tetapi merupakan khalifah Allah yang bertanggungjawab memakmurkan bumi. Raja merupakan pemerintah yang tertinggi dalam hierarki pentadbiran. Setelah kedatangan Islam, raja lebih dikenali sebagai Sultan atau Yang Di-pertuan. 

Peradaban Islam turut mempengaruhi undang-undang dalam peradaban melayu. Contohnya Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka. Walaupun tidak semua artikel-artikel dalam Hukum Kanun Melaka yang selari dengan Islam, tetapi terdapat beberapa fasal yang mempunyai keselarian dengan hukum Islam. Berikut merupakan contoh Hukum Kanun Melaka yang selari dengan prinsip-prinsip Islam :

Hukuman bunuh dibalas bunuh (Fasal B:2, Fasal 8:3, Fasal 5:1 dan Fasal 5:3) contohnya dalam Fasal 5:1 menyebutkan bahawa :

Fasal yang kelima menyatakan orang yang membunuh dengan tiada setahu raja-raja atau orang besar-besar. Jikalau dibunuhnya dengan tiada dosanya sekalipun, dibunuh pula ia pada hukum Allah, maka adil namanya. 

2. 6 SOSIAL

Interaksi antara kedua-dua tamadun adalah lahirnya konsep keadilan tanpa mengenal kedudukan atau pangkat. Islam telah memperkenalkan sistem khalifah Islam yang adil dan sistematik. 

Antara kesannya, gelaran Sultan, sistem mesyuarat di kalangan ahli-ahli yang pakar disebut sistem syura, sistem hisbah iaitu menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran dan termasuklah kriteria perlantikan menteri. Aspek terakhir yang dapat dilihat adalah dari aspek gaya hidup. Perubahan adat istiadat pemerintah dalam pertabalan raja kandungan bacaan ciri dimansuhkan, bacaan ikrar diteruskan kerana ia menyerupai baiah, perlantikan pengganti sultan sebelum istiadat pemakaman ditiru daripada kerajaan bani Umaiyah. 

RUMUSAN

Tamadun sesebuah masyarakat bukanlah bersifat tertutup, sebaliknya bersifat terbuka. Sifat inilah yang memberi peluang kepada berlakunya interaksi antara tamadun. Interaksi antara tamadun menghasilkan dua kesan yang penting iaitu kesan positif dan negatif. Kesan positif memberi pengukuhan kepada sesuatu tamadun. Elemen- elemen atau ciri-ciri tamadun luar yang diterima oleh sesuatu tamadun akan mengalami proses asimilasi dan penyesuian. Sementara kesan negatif pula, seringkali mewujudkan konflik antara masyarakat yang memiliki tamadun yang berbeza. Konflik ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti teologi, ekonomi, sosial, dan politik. Faktor yang lebih sering menjadi penyebab kepada konflik ini ialah factor teologi. Dalam interaksi antara tamadun, kita juga mendapati kesan yang terhasil daripada interaksi itu juga tidak sama bagi kedua-dua tamadun. Bagi tamadun yang lebih tinggi dan lebih lama, ia lebih banyak mempengaruhi ataupun meninggalkan unsur-unsur penting kepada tamadun yang lebih rendah. Sebaliknya, tamadun yang lebih rendah pencapaiannya akan lebih bersifat receptive, walaupun ia turut mempengaruhi tamadun yang lebih tinggi. Kesan positif daripada interaksi antara tamadun akan dapat memperkayakan tamadun tersebut serta mengelakkannya menjadi jumud, beku dan statik. Hasilnya, sesuatu tamadun yang terbuka dan dapat mengasimilasikanpengaruh luar itu akan semakin berkembang dan melahirkan perubahan-perubahan yang penting. 

RUJUKAN

Abdul Rahman Abdullah. 1981. Pemikiran Islam Masa Kini : Sejarah dan Aliran. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. 

Abdul Rahman Haji Abdullah. 1988. Sejarah dan Tamadun Islam. Teks Publishing, Kuala Lumpur

Buyong Adil. 1973. Sejarah Melaka dalam Zaman Kerajaan Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 

Hamzah Ismail dan Shahbari Salamon. 1982. Ke Arah Perlaksanaan Sistem Ekonomi Islam di Malaysia. Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah. Bangi. 

Mahayudin Hj. Yahaya. 2001. Tamadun Islam Edisi Kedua. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, Selangor Darul Ehsan. 

Othman Mohd Yatim. 1989. Warisan Kesenian dalam Tamadun Islam. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment