Monday, October 12, 2015

Tajuk: Tokoh Ibn Zuhr

PENDAHULUAN

Perubatan merupakan suatu bidang yang menjadi suatu bidang wajib yang berkembang seiring dengan perkembangan ketamadunan manusia. Kesemua tamadun manusia meliputi di bahagian timur bumi hinggalah ke barat bumi akan mempunyai ilmu perubatan yang tersendiri yang unik. 

Berdasarkan sumber sejarah yang telah direkodkan, ilmu perubatan akan berkembang seiring dengan kewujudan manusia kerana manusia itu sendiri akan mengalami pelbagai penyakit yang mengakibatkan penggunaan ubat-ubatan amat diperlukan. Untuk menghasilkan ubat-ubatan terutama daripada herba dan kayu-kayan, maka ilmu mengenainya diperlukan. Sungguhpun herba dan kayu kayan itu dapat diperolehi, cara penggunaan herba tersebut juga perlu dikaji dengan teliti kerana terdapat juga ubat-ubatan rimba yang berbahaya kepada manusia terutama jika tersilap penggunaannya. Justeru, ilmu yang berkaitan dengan cara penggunaan ubat-ubatan dan kaedah rawatan itu dikatakan sebagai ilmu perubatan. 

Menurut sumber sejarah yang direkodkan dari tamadun Mesopotamia, bidang perubatan tertua pernah direkodkan adalah di tamadun Mesopotamia iaitu sekitar 3000 SM. Bidang perubatan di tamadun Mesopotamia diperkenalkan oleh Perdana Menteri mesir iaitu Amhutab iaitu perdana menteri mesir sewaktu pemerintahan Raja Zusir. Sejarah peradaban mesir telah mengiktirafkan Amhutab sebagai doktor perubatan pertama dunia. Dari mesir, ilmu perubatan telah berkembang ke tamadun Babylon, Indus dan Hwang Ho. 

Sejarah Yunani telah merekodkan mengenai perkembangan bidang perubatan di dalam tamadun yunani. Menurut rekod sejarah, tamadun yunani telah mengalami perkembangan dalam bidang ilmu perubatan melalui dasar ilmiah yang dianjurkan oleh Hippocrates (460SM - 365 SM). Atas jasa perlaksanaan dasar ilmiah oleh beliau, ahli sejarawan dan aristokrat yunani telah memberikan gelaran ‘Bapa Perubatan’ Yunani kepada Hippocrates. 

Dari tamadun yunani, ilmu perubatan telah berkembang ke tamadun Rom dan empayar Parsi. Dari tamadun Parsi, ilmu perubatan akhirnya sampai ke tanah arab melalui aktiviti perdagangan dan hubungan diplomasi antara orang arab dan orang Parsi. 

Banyak ilmu perubatan muslim telah ditimba dari sumber asing khususnya dari Parsi, Kristian, Yunani, India dan Mesir. Ini menyebabkan ilmu perubatan muslim lahir sebagai integrasi antara teori-teori perubatan Yunani iaitu tradisi Hippokrates dan Galen serta pengalaman bangsa Parsi dan India. Perkembangan ilmu perubatan pada waktu tersebut telah melahirkan ramai tokoh perubatan Islam seperti Ibn Maskawaih, Ibn Sina, Ibn Zuhr, Ibnu Al-Razi, Abdul Qasim, Thabit Ibn Qurra dan ramai lagi. 

III. TOKOH PERUBATAN IBN ZUHR

IV. LATAR BELAKANG

Ibn Zuhr atau nama sebenar beliau ialah Abu Marwan bin Abdul Mulk bin Abu Al-A'la Zuhr bin Muhammad bin Marwan bin Zuhr Al-Iyadi ialah tokoh Islam yang tersohor dalam bidang perubatan. Beliau juga dipanggil dengan nama Al-Iyadi kerana nenek moyangnya berasal daripada Kabilah Iyad, sebuah kabilah Arab Adnaniyah. 

Abu Marwan bin Abdul Mulk bin Abu Al-A'la Zuhr bin Muhammad bin Marwan bin Zuhr Al-Iyadidilahirkan di Kota Banjalur, Andalusia, pada tahun 464 H/1072 M. Kehidupannya lebih banyak dihabiskan di Seville iaitu Sepanyol pada tahun 1091 dan meninggal pada tahun 1161. 

Ibn Zuhr merupakan ahli perubatan, pakar klinikal dan parasitologis paling agung semasa Zaman Pertengahan. Selain Ibn Zuhr, keluarga beliau juga kebanyakannya berkecimpung dalam bidang perubatan. Bapa, anak lelaki, dan anak perempuannya bekerja sebagai doktor. Kedua-dua puterinya juga doktor pakar perbidanan dan penyakit wanita. Keluarga besar Zuhr telah menetap di Syatibah, salah sebuah kota di Andalusia sejak abad ke-10 Masihi. Oleh itu, antara abad ke-10 hingga ke-13 Masihi, terdapat enam orang keturunan keluarga besar Bani Zuhr yang menonjol dalam kedoktoran. 

Orang Eropah mengenali Ibn Zuhr sebagai Avenzoar. Selain itu beliau juga dikenali sebagai Abumeron atau Ibn Zohr. Sesetengah sejarawan sains telah mengisytiharkan beliau seorang yang teragung di kalangan ahli perubatan Islam sejak al-Razi (Rhazes) di Baghdad. Beberapa orang yang sezaman dengan beliau menggelar beliau sebagai ahli perubatan terhebat selepas Galen. 

Abu Marwan Abd al-Malik Ibn Zuhr memulakan latihan perubatan di bawah kelolaan bapanya Abu Al Zuhr yang juga rakan bapanya Abu Jafar Ibn Harun dari Trujillo di Cordoba. Beliau juga merupakan lepasan Universiti Perubatan Cordova atau Qurtubah dalam bahasa Arab. Setelah menetap singkat di Baghdad dan Kaherah, beliau pulang ke Sepanyol dan bekerja untuk kerajaan al-Murabitun sebagai seorang ahli perubatan. 

Kemudian, Ibn Zuhr menjadi menteri dan doktor peribadi kepada Sultan Al-Muwahhidin, Abu Muhammad Abbul Mukmin bin Ali, pemerintah kerajaan al-Muwahhidun. Beliau menumpukan kerjaya beliau di Seville iaitu Sepanyol dan meninggal dunia di sana. 

V. SUMBANGAN-SUMBANGAN IBN ZUHR DALAM KEDOKTORAN

Ibn Zuhr membataskan karya beliau hanya dalam perubatan, bertentangan dengan amalan lazim saintis Muslim yang selalunya bergiat dalam beberapa bidang. Bagaimana pun, dengan memfokuskan dalam satu bidang beliau telah membuat banyak sumbangan tulen dan bertahan lama. Beliau menekankan pemerhatian dan ujikaji dalam hasil kerja beliau. 


Sumbangan terbesar beliau adalah dalam bidang pembedahan. Ibn Zuhr amat cekap dalam pembedahan mayat dan memahami tentang anatomi secara terperinci. Pembedahan yang dijalankan oleh beliau telah mewujudkan pembelajaran anatomi. Anatomi ada adalah pembelajaran tentang stuktur tubuh badan manusia atau pun haiwan. Beliau menjalankan pembedahan dan postmortem autopsi pada badan manusia dan membawa bidang perubatan untuk zaman moden. Malahan, Dr. Neuberger dalam Sejarah Perubatan (History of Medicine) menulis bahawa “Ibn Zuhr mahir dalam seni pembedahan jasad manusia yang telah mati dan mengetahui anatomi dengan mendalam. Teknik pembedahan beliau sangat baik”. Pembedahan yang dilakukannya sangat berguna pada zaman dahulu hingga kini. 

Ibn Zuhr membuat beberapa pencapaian besar sebagai seorang pengamal perubatan. Beliau merupakan orang pertama yang menguji ubat-ubatan yang berbeza ke atas haiwan sebelum memberinya kepada manusia. Oleh itu, tindakan beliau ini, menjadikankan beliau merupakan ilmuan terawal yang menggunakan kaedah ini. Kaedah ini sangat baik kerana ujikajinya hanya berlaku pada haiwan. Jika beliau melakukan ujikaji ubat pada manusia, itu akan memberi risiko terbesar kepada manusia itu sama ada ujikajinya berhasil ataupun tidak. Penggunaan ujikaji ubatan terhadap haiwan ini disebabkan oleh sistem badan haiwan merupakan yang hampir sama dengan tubuh badan manusia. Penggunaan haiwan ini meyakinkan bahawa Ibn Zuhr amat mementingkan keselamatan pesakit serta kesihatan manusia. Ibn Zuhr menggunakan kambing sebagai haiwan ujikajinya pada masa dahulu. Pada masa kini pula, saintis menggunakan tikus makmal sebagai alat ujikaji. 

Selain itu, beliau merupakan doktor pertama yang menerangkan dengan betul punca kudis, dan menjelaskan bahawa penyakit ini adalah disebabkan oleh beberapa jenis parasit. Penyakit kudis merupakan satu jangkitan parasit yang sukar dikenal pasti pada kulit manusia. Kajian yang dilakukan oleh Ibn Zuhr telah berjaya menemui parasit yang membiak dan membentuk kudis pada kulit. Pada zaman itu, masih tiada ilmuan yang mampu menjumpai penemuan parasit dan kuman-kuman yang tidak baik untuk tubuh badan manusia. Hasilnya, beliau merupakan ilmuan, tokoh dan doktor pertama yang menjumpai parasit dan kesannya terhadap manusia dan beliau dikenali sebagai parasitologis pertama. 

Beliau juga merupakan orang pertama yang memberi penerangan penuh mengenai pembedahan trakeostomi dan mempraktikkan pemberian makanan secara terus (direct feeding) melalui tekak dalam kes-kes apabila pemberian makanan secara biasa tidak dapat dilakukan. Trakeostomi merupakan suatu teknik yang digunakan untuk mengatasi pesakit yang mengalami masalah pernafasan. Pemasangan “trachea canal” dilakukan pada leher agar udara dapat masuk ke dalam paru-paru dengan menggunakan jalan pintas. Penerangan mengenai “direct feeding” melalui gulet merupakan teknik untuk pemakanan yang dilakukan di bahagian tekak terus ke perut disebabkan oleh penyakit. Pesakit akan makan tanpa perlu mengunyah lalu makanan itu terus disalurkan pada perut. Penumuan ini berjaya memudahkan pesakit pada zaman dahulu sehingga kini. 

Sebagai pakar klinikal, Ibn Zuhr menyediakan penerangan klinikal mengenai phthisis usus, radang di bahagian tengah telinga, peri carditis dan tumor mediastinal di kalangan yang lainnya. Ibn Zuhr berjaya menerangkan secara klinikal tentang penyakit-penyakit tersebut. Penyakit-penyakit berikut amat merbahaya kepada manusia. Dengan menjalani pengubatan yang disarankan oleh ilmuan-ilmuan terdahulu maka, perubatan penyakit seperti phthisis usus, radang di bahagian tengah telinga, peri carditis dan tumor mediastinaldapat diubati hingga kini. Beliau juga menulis mengenai prophylaxis terhadap jangkitan saluran pundi kencing dan menerangkan kepentingan pengurusan pemakanandalam mengekalkan prophylaxis. 

Selain itu, bidang teknologi bius moden telah dibangunkan semasa era Islam oleh pakar bius Ibn Zuhr dan Abu Al-Qasim Al-Zahrawi. Mereka merupakan orang pertama menggunakan bius oral dan sedutan (inhalant) dan melakukan beratus-ratus pembedahan bius sedutan dengan menggunakan span yang direndam dengan narkotik dan diletakkan di muka. Tetapi teknik yang dilakukan oleh mereka telah diubah suai pada masa kini. Hal ini demikian kerana, dengan adanya teknologi moden yang telah memudahkan para doktor untuk membius pesakit. 

Ibn Zuhr telah menulis sebuah buku mengenai farmakope terawal banyak buku-buku hebat bagi pakar perubatan dan juga bagi orang awam. Beberapa buah buku beliau telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan Hebrew dan mendapat permintaan tinggi di Eropah sehingga lewat kurun ke-18. Hanya tiga buah buku beliau yang besar masih wujud. Atas permintaan Ibn Rushd. Ibn Zuhr menulis Kitab al-Taysir fi al-Mudawat wa al-Tadbir iaitu buku ringkasan mengenai rawatan dan diet. Buku kedua ialah Kitab al-Iqtisad fi Islah al-Anfus wa al-Ajsad iaitu buku Kursus Pertengahan Mengenai Pembaikan Jiwa dan Jasad. Buku ketiga ialah Kitab Al-Aghdhiya. Segala hasil karya Ibn Zuhr berbicara tentang ilmu kedoktoran atau perubatan yang ditulis dengan gaya bahasa ilmiah yang amat tinggi. Buku-bukunya dipenuhi dengan istilah-istilah ilmiah yang menunjukkan keluasan dan kedalaman pengalaman ilmiahnya. Gaya bahasa yang dipakai oleh Ibn Zuhr membuat pembacanya berasa senang, kerana bukunya dihiasi hal-hal yang bersahaja dengan kata-kata yang membuat orang kadangkala tersenyum dan tertawa. Semua itu dicatatkan dalam bukunya berdasarkan pengalaman peribadi dalam dunia kedoktoran dan perubatan. 

VI. KARYA-KARYA IBN ZUHR

KITAB AL-TAYSIR FI AL-MUDAWAT WA AL-TADBIR

Atas permintaan Ibn Rushd. Ibn Zuhr menulis Kitab al-Taysir fi al-Mudawat wa al-Tadbir iaitu buku ringkasan mengenai rawatan dan diet. Buku ini mengandungi banyak sumbangan tulen beliau. Buku ini membincangkan keadaan-keadaan dan terapi patologi dengan mendalam. Buku ini meneroka secara terperinci tentang buku kerja Al-Qanun Ibn Sina dan kerja-kerja Almilki Alibin Abbas Al-Majusi. Beliau juga bercakap tentang penyakit dalaman dan masalah pembedahan. 

Ibn Zuhr membahagikan bukunya kepada tiga bahagian. Setiap bahagian mengandungi beberapa kajian. Setiap kajian juga membincangkan beberapa penyakit yang setiap bahagian organ-organ badan atau bahagian-bahagian tertentu dalam badan. Buku ini ditutup dengan suatu pembahasan yang dinamakannya "Al-Jami", yang berisikan nama-nama atau alat-alat perubatan, bimbingan khusus tentang meracik ubat-ubatan dan cara pemakaiannya. Buku tersebut merupakan karya Ibn Zuhr yang paling popular dan diterjemahkan oleh Barafisiyius ke dalam bahasa Latin pada tahun 1490 M. Kemudian, ia diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa Eropah dan lain-lain. 

KITAB AL-IQTISAD FI ISLAH AL-ANFUS WA AL AJSAD

Kitab al-Iqtisad fi Islah al-Anfus wa al-Ajsad iaitu buku “Kursus Pertengahan Mengenai Pembaikan Jiwa dan Jasad‟ yang merumuskan penyakit-penyakit yang berbeza, rawatan dan kebersihan. Buku ini juga membincangkan peranan psikologi dalam rawatan. Buku ini ditulis dalam bentuk yang mudah difahami bagi bukan pakar. Buku ini ditulis sebagai persembahan kepada Sultan Al-Murabithun, iaitu Ibrahim Ibn Yusuf Ibn Tasyfin. 

KITAB AL-TAGHZIYAH

Ia telah ditulis oleh Ibn Zuhr atas perintah Sultan Al Muwahhidi, Abu Muhammad Abdul Mukmin bin Ali. Dalam buku ini beliau membincangkan mengenai makanan dan minuman dan gaya hidupnya seperti makan, tidur, mandi, sukan, dan prinsip-prinsip kesihatan umum. 

KITAB AL-TAQLIQ FI ATH-THIB

Buku ini berisi nasihat-nasihat tentang ilmu kedoktoran dan perubatan. Manuskrip buku ini terdapat di perpustakaan Tesytir Beti di Dublin, ibu negara Republik Ireland. 

AT-TIRYAQ AS SB‟NI DAN RINGKASANNYA

Kitab ini telah ditulis untuk Sultan Muhammad Abdul Mukmin. 

AT-TAZKIRAH

Buku ini mengandungi arahan, bimbingan dan panduan kepada anak-anak dalam memudahkan aktiviti doktor perubatan. Buku ini telah diterjemahkan dan dicetak di Perancis. 

AL-JAMI

Buku ini membincangkan tentang minuman dan ubat-ubatan yang digunakan dalam menyembuhkan penyakit. Ibn Zuhr berpendapat bahawa terapi terbaik untuk merawat organ yang sakit adalah dengan merendam bahagian yang sakit ke dalam air sejuk. Beliau juga dikatakan membius pesakit dengan meletakkan peranti dalam anestesia di hidung dan mulut pesakit ketika melakukan pembedahan. Ibn Zuhr meninggal dunia di bandar Seville pada tahun 557 H / 1162 M pada usia lebih 90 tahun. 

VII. KESIMPULAN

Kesimpulannya, Ibn Zuhr merupakan seorang ahli perubatan yang penyabar dan sangat bijaksana. Walaupun ramai ilmuan Islam menganggap tugas beliau bercanggah pada zaman itu, tetapi beliau tidak mudah melenting, malah menuruti kehendak mereka. Maka, Ibn Zuhr hanya fokus dalam bidang perubatan sahaja. Oleh itu, beliau mampu mengkaji dan menjumpai penemuan baru. 

Beliau cekap dalam pembedahan mayat dan memahami tentang anatomi secara terperinci. Dr. Neuberger dalam karyanya History of Medicine menyatakan Ibn Zuhr merupakan seorang yang cekap dalam seni pembedahan mayat dan mengetahui bidang anatomi dengan mendalam. Malah kata Dr. Neuberger, teknik pembedahan Ibn Zuhr juga amat hebat. Hal ini menunjukkan bahawa bukan sahaja umat Islam, malah orang Barat turut mengakui kehebatan dan kepandaian Ibn Zuhr. 

Sumbangan Ibn Zuhr sememangnya sangat berguna dan memberi manfaat pada zaman sekarang. Dalam bidang kedoktoran, pembedahan yang dijalankan sememangnya berpandukan ajaran Ibn Zuhr. Pembelajaran kedoktoran pada masa kini juga banyak bergantung pada kitab-kitab yang dihasilkan oleh Ibn Zuhr. Ubat-ubatan yang dahulunya berjaya dikaji dan dicipta oleh Ibn Zuhr, berjaya mengubati pesakit sudah berlama abad. 

BUKU ILMIAH
1. Abidin, D. D. (2007). Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden. Kuala Lumpur: PTS Publication and Distribution SDN. BHD. 
2. Al-Zuhr doktor tersohor di Andalusia. (2012). Kuala Lumpur: UTUSAN MALAYSIA. 
3. Azar, H. (2008). The Sage of Seville: Ibn Zuhr, His Time and His Legacy. Cairo: American University in Cairo. 
4. Milan, C. A. (2005). "Ibn Zuhr". In Glick, Thomas F.; Livesey, Steven John; Wallis, Faith. Medieval
5. Pendidikan Saintis Muslim Era Kegemilangan Islam. (2010). Skudai, Johor: UTM Press. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment