Wednesday, October 14, 2015

Tajuk: Ketokohan Al Battani (868-929) Dalam Astronomi

PENDAHULUAN
Ilmu falak dikenali sebagai ilmu Kaji Bintang atau Ilmu Astronomi. Perkataan Falak bermaksud jalan peredaran iaitu peredaran bintang-bintang. Dalam surah Yaasin ayat 40 : “Dengan ketentuan yang diberikan oleh Allah, matahari tidak mudah untuk mengejar bulan dan malam tidak dapat mendahului siang kerana tiap-tiap satunya beredar ti tempat peredaran masing-masing. Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, astronomi ialah ilmu tentang bintang-bintang, planet, bumi, bulan dan matahari. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat pula, astronomi ialah ilmu falak iaitu pengetahuan tentang bintang-bintang yang melibatkan kajian tentang kedudukan, pergerakan dan perkiraan yang berkaitan dengan bintang. 

Ilmu Falak pada masa Yunani Kuno merupakan ilmu yang digunakan untuk menghitung waktu menyembah Dewa. Pada masa itu, orang Yunani mengira bahawa bumi ini sangat kecil dan langit sangat dekat. Orang Yunani juga menganggap bumi ini diatur oleh Zeus dan Helios. Di zaman Yunani ini lahir ahli-ahli astronomi seperti Philsop Thales, Pitagoras, Aristoteles dan Ptolomeus. Pada zaman Mesir Kuno, bangsa Arab menggunakan ilmu Falak untuk menentukan waktu ritual keagamaan. 

Astronomi berasal daripada bahasa Yunani iaitu “astro” dan “nomos”. Astro bermaksud bintang dan nomos bermaksud hukum, oleh itu astronomi bermaksud hukum bintang atau ilmu bintang. Pada zaman dahulu, ilmu Falak juga dikenali sebagai ilmu Nujum. Secara umumnya, melalui ilmu Falak umat Islam dapat mengetahui 4 perkara iaitu arah kiblat dalam solat, penentuan waktu-waktu solat, penentuan awal bulan dalam kalendar Hijrah dan juga penentuan waktu terjadinya gerhana matahari dan bulan. 

Ilmu Falak dapat dibezakan menjadi dua iaitu :-

1) Theoretikal astronomi iaitu ilmu yang membincangkan teori dan konsep benda-benda yang berada di langit meliputi :

a) Cosmogony iaitu teori tentang asal usul benda-benda yang berada dilangit dan alam semesta. 

b) Cosmologi iaitu cabang astrologi yang mengkaji asal usul struktur dan hubungan ruang waktu dari alam semesta. 

c) Cosmografi iaitu pengetahuan tentang seluruh susunan alam. 

d) Astrometrik iaitu cabang astronomi yang melakukan pengukuran terhadap benda-benda yang berada dilangit dengan tujuan mengetahui ukuran dan jarak antara satu benda yang berada dilangit dengan benda yang berada dilangit yang lain. 

e) Astromekanik iaitu cabang astronomi yang mempelajari gerak dan daya tarikan benda-benda yang berada dilangit dengan cara dan hukum mekanik. 

f) Astrofizikal iaitu cabang astronomi tentang benda-benda yang berada diangkasa dari sudut ilmu alam dan ilmu kimia. 

2) Praktikal astronomi iaitu ilmu yang membuat perhintungan untuk mengetahui kedudukan benda-benda yang berada dilangit dengan benda yang berada dilangit yang lain. 

Minat manusia terhadap kejadian angkasa dan alam semesta telah bermula sejak beribu tahun dahulu. Dalam kalangan pengembara dan pelayar, meraka menjadikan bintang yang terdapat dilangit sebagai kompas dan pemandu arah kepada perjalanan meraka supaya tidak sesat di padang pasir serta lautan yang terbentang luas. Keadaan di langit yang cerah dan tidak berawan pada waktu malam di kawasan gurun membolehkan kerdipan bintang dilihat dengan jelas. Hal ini telah menimbulkan perasan takjub kepada meraka yang mahu menggunakan akalnya untuk memikirkan segala kejadian Allah. 

Seruan supaya manusia mengkaji dan menuntut ilmu telah terkandung di dalam Al-Quran. Oleh hal yang demikian, apabila Islam mula bertapak di tanah Arab, ilmu pengetahuan sperti falsafah, sains, astronomi, dan juga seni turut berkembang dengan pesat. Bermula disinilah lahirnya para cendikiawan Islam dalam pelbagai bidang yang sangat terkenal dan termashyur. Salah seorang daripada meraka ialah al-Battani atau lebih dikenali sebagai Albategnieus. Beliau terkenal dalam bidang astronomi dan metamatik. 

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal” (Surah Ali-Imran:190)

Firman Allah diatas adalah salah satu daripada ayat al-Quran yang menggesa umat Islam agar memerhai dan menghayati kejadian langit dan bumi, memerhati perjalanan serta kejadian siang dan malam dimana ia juga merupakan dorongan yang kuat kepada kajian tentang astronomi. Keprihatinan terhadap cara menentukan arah kiblat merupakan faktor penting yang menggalakkan umat Islam mempelajari ilmu astronomi. 

a) BIODATA AL-BATTANI

Nama sebenar beliau ialah Abu Abdullah bin Jabir Ibn Sinan al-Battani. Di Barat beliau dikenali sebagai Albetegni atau al-Batenius. Beliau dilahirkan sekitar tahun 858 Masihi di Battan, Harran. Keluarganya merupakan penganut kepercayaan Sabi’ yang melakukan upacara penyembahan terhadap bintang. Namun beliau tidak mengikut jejak langkah nenek moyang beliau dan beliau memilih untuk memeluk agama yang suci yang diredhai Allah Subhanahu wa ta’ala iaitu agama Islam. Beliau juga merupakan seorang Muslim yang sangat taat perintah agama. Beliau meninggal dunia di Kasr al-Jass, sebelah timur sungai Tigris yang berhampiran dengan Samarra pada tahun 317 Hijrah/929 Masihi. Beliau juga merupakan seorang ahli astronomi yang meneruskan penelitian Tsabit bin Qurrah dan merupakan salah seorang ahli astronomi Arab yang terkenal yang lahir sekitar tahun 244 Hijrah/858 Masihi. Al-Battani juga terkenal dalam bidang matematik dan trigonometri. Beliau memperincikan kaedah kiraan dengan menggunakan konsep sinus dan tangen. 

b) PENDIDIKAN AL-BATTANI

Kerana minat yang mendalam kepada benda-benda yang berada di langit membuatkan al-Battani mempunyai sifat yang rajin dan gigih mempelajari bidang astronomi. Beliau mendapat pendidikan awal melalui ayahnya, Jabir Ibn Sinan al-Battani yang juga merupakan ilmuan. Dengan ketekunan dan kecerdasan yang ada pada beliau, al-Battani mampu menguasai semua ilmu yang telah diajar oeh ayah beliau. Hal ini dapat dibuktikan apabila al-Battani mampu membuat dan menggunkan sejumlah alat astronomi seperti yang dilakukan oleh ayah beliau dalam waktu yang singkat. 

Beberapa waktu kemudian, beliau meninggalkan Harran untuk menuju ke kota Raqqa yang terletak ditepi sungai Eufrat. Di kota ini beliau melanjutkan pendidikan dan mula melakukan pelbagai penelitian sehingga berjaya menghasilkan sejumlah penemuan penting dan berguna kepada masyarakat dan pemerintah. Di kota ini juga beliau melanjutkan pelajaran beliau dalam bidang sarjana. Pada awal abad ke-9, beliau berhijrah ke Samarra dimana tempat beliau bekerja hingga ke ahkir hayat beliau pada tahun 929 Masihi. 

c) SUMBANGAN AL-BATTANI DALAM BIDANG ASTRONOMI

Sepanjang beliau menjadi ahli astronomi, banyak sumbangan beliau yang memainkan peranan penting kepada dunia sehingga ke hari ini. Al-Battani berjaya menemukan penemuan penting dalam bidang astronomi yang merupakan hasil daripada kerjayanya selama 42 tahun. Beliau merupakan ilmuan pertama yang mengetahui berapa lama waktu yang diperlukan oleh bumi untuk mengelilingi matahari iaitu 365 hari, 5 jam, 46 minit, dan 24 saat. Angka yang ditunjukkan dalam perkiraannya itu menghampiri angka yang dihasilkan para ilmuan moden ketika melakukan penelitian yang sama dengan menggunakan alat yang lebih tepat. 

Hampir seluruh hidupnya dihabiskan di kota Raqqa bermula pada tahun 246 Hijrah/877 Masihi, beliau menyumbangkan segala ilmu dan pengetahuan untuk melakukan hasil-hasil astronomi dengan tekun dan teliti. Ketika beliau berada di kota Raqqa, kota ini menjadi terkenal dan mencapai kemakmuran hasil daripada kepelbagaian penemuan yang dicapai oleh beliau. Pada 14 September 786, Khalifah Harun al-Rashid merupakan khalifah kelima Zaman Abbasiyah membina sejumlah istana di kota tersebut sebagai tanda penghargaan kepada al-Battani diatas penemuan yang dihasilkan. Kota ini menjadi pusat kegiatan yang baik dan terkenal dalam bidang ilmu pengetahuan dan juga menjadi pusat perdagangan yang tersohor. 

Beliau memulakan kajiannya di Bitan, Iraq kemudiannya di Antokiah, Syria. Belian menetapkan dengan teliti mengenai pusingan tahun, musim, kadar peredaran matahari dan menggariskan miring buruj di garisan Khatulistiwa dengan teliti. Al-Battani juga melakukan penyelidikan berkaitan gerhana matahari, bulan dan pergerakanya. Beliau juga menulis kaedah baru tentang waktu setiap bulan baru secara mendalam. Al-Battani turut berjaya menemukan kecondongan ekliptik dan juga ketepatan orbit matahari. 

Selama 42 tahun melakukan penyelidikan beliau menghasilkan pelbagai yang sangat mengagumkan. Beliau menemukan garis bujur terjauh matahari mengalami peningkatan sebesar 16. 47 darjah sejak perhitungan yang telah dilakukan oleh Ptolemy. Hal ini kemudiannya, menghasilkan satu penemuan penting tentang gerak lengkung matahari. Selain itu, beliau juga menemukan orbit bulan dan planet serta menetapkan Teori Kemunculan Bulan Baru. Ini berkait dengan pengantian dari segi saiz bulan ke saiz bulan yang lain. 

Penemuan berkaitan garisan lengkung bulan dan matahari pada tahun 1749 kemudiannya digunakan oleh Dunthorne untuk menentukan pergerakan akselerasi bulan. Pada masanya, al-Battani adalah satu-satunya ahli astronomi yang mampu mengambarkan ukuran matahari dan bulan secara tepat. Bagi orang-orang Eropah, al-Battani dianggap sebagai guru kerana beliau banyak memperkenalkan istilah astronomi yang berasal daripada bahasa Arab, seperti azimuth, zenith dan nadir. 

Selain itu, al-Battani menghabiskan sebahagian hidupnya membina pusat kajian cakerawala di Rakyah. Beliau telah mengemukakan langkah-langkah pengukuran bintang di cakerawala mengggunakan garis lengkuk. Sebelum ini, para saintis Yunani telah memperkenalkan pengukuran bintang menggunakan tali. Kaedah pengukuran al-Battani didapati lebih tepat dan praktikal kerana ia berdasakan kepada teori tangen dan kotangen yang ditemui al-Battani. 

Sepanjang hidup beliau membuat pemerhatian dalam bidang astronomi dengan begitu meluas. Jadual beliau mengenai catalog bintang-bintang yang tetap kedudukannya yang disusun oleh beliau sejak tahun 800-801 Masihi. Beliau juga menemukan gerakan matahari meningkat jika dibandingkan dengan nilai zaman Batlamus. Hal ini telah mendorong al-Battani menemukan gerakan matahari. Al-Battani juga digelar sebagai Ptolemy Baghdad kerana membuat peraturan untuk mendapatkan altitude matahari yang berkait dengan tinggi suatu menara dan bayangnya. 

d) KARYA AL-BATTANI

Sepanjang bergelar ahli astronomi, al-Battani berjaya menghasil beberapa karya baliau yang agung dan terkenal yang menjadi rujukan beberapa para saintis. Karya beliau yang paling terkenal adalah buku tentang astronomi iaitu Kitab Al Zij. Buku ini diterjemahkan dalam bahasa Latin pada abad ke-12 dengan judul De Scienta Stellerum De Numeris Stellerum et Motibus oleh Plato dari Tivoli. Terjemahan tertua daripada karya beliau itu masih tersimpan di Vatikan dan buku terjemahan tersebut tidak hanya diterjemahkan dalam bahasa Latin malah dalam bahasa lain turut ada. 

Terjemahan ini dikeluarkan pada tahun 1116 akan tetapi edisi cetakannya pada tahun 1573 dan pada tahun 1645. Karya ini diterjemahkan dalam bahasa Sepanyol pada abad ke-13. Walaupum terdapat dua terjemahan dalam bahasa Latin dan Sepanyol, karya al-Battani tetap bertahan dan digunkan secara meluas. Hasil karya beliau meberi pengaruh kepada perkembangkan ilmu pengetahuan di Eropah. Dalam Fihrist yang dikarang oleh Ibn-An Nadim pada tahun 988, karya ini merupakan karya Muslim yang berpengaruh pada abad ke-10 dan menyatakan bahawa al-Battani merupakan ahli astronomi yang memberikan ukuran yang tepat mengenai bulan dan matahari. 

Selain itu, beliau juga memperbetulkan hasil Batlimous dalam bukunya “Al Zauji al Sabik”. Buku ini terdiri daripada mukadimah dan 57 bahagian tentang kaedah pengiraan, sifat buruj, kadar miring, bintnag dan permasalahannya, pelbagai taqwim, ukuran masa dan tempoh tahunan, alat-alat astronomi dan cara membuatnya. Buku ini kemudian diterjemahkan dalam bahasa Latin oleh Aplaton Al Tipoli pada kurun 18 Masihi. Hasil terjemahan ini memberi kesan kepada perkembangan bidang astronomi di Eropah dan sebagai contoh melalui kajian Copernius terhadap penghasilan beliau. Dalam buku Copernius, De Revolutionibus Orbium Clestium menyatakan beliau terhutang budi kepada al-Battani. 

Kitab Ma’rifat al-Buruj fi ma Bayna Arba al-Falak adalah salah satu karya al-Battani yang sangat berpengaruh. Kitab ini merupakan sebuah buku ilmu pengetahuan tentang zodiak dan pemecahan berkaitan astrologi. Risalah fi Tahkik Akdar al-Ittisalat juga merupakan karya al-Battani iaitu huraian berkaitan sejumlah penemuan dan penerapan astrologi. Kitab az-Zij (Astronomical Treatise and Tables) yang mengandungi huraian astronomi dan dilengkapi dengan jadula bulan dan matahari juga karya yang dihasilkan oleh al-Battani. 

Karya al-Battani yang lainnya ialah az-Zaujush li Battani (Almanak Versi al-Battani). Karya ini mengandungi enam puluh tajuk seperti pembahagian planet, lingkaran kecil yang melingkari lingkaran besar, garis orbit dan peredaran planet. Buku ini diubah sedikit oleh Carlo Nallino dan disimpan di perpustakaan Oskorial, Sepanyol. Lain-lain penulisan beliau ialah “Zaiju al Ralqani” yang mengandungi hasil kajian beliau, “Syarah Arbau’u Maqolat Li Batlimous”, “Kitab Ta’dil Kawakib”. Beliau juga mempunyai beberapa rencana dalam bidang geografi. 

MENELAAH KITAB AL-ZIJ

• Pembahagian Lingkaran Falak (Perkalian, akar dan pembahagian)

Orang terdahulu membahagikan lingkaran falak menjadi 360 bahagian. Ia adalah bilangan 1/2, 1/3, 1/4 dan seterusnya dari pecahan yang kurang tepat yang disebabkan oleh banyaknya bilangan tersebut. Dan mereka menetapkan matahari diatas empat titik dari falaknya iaitu dua menegak dan 2 mendatar dan musim dibahagi menjadi empat bahagian yang berbeza iaitu musim bunga, panas, luruh dan sejuk. Empat musim ini terjadi akibat daripada pusingan matahari. 

Setiap peredaran musim ini mempunyai satu titik tengah dan dua titik tepi. Setiap musim dari empat musim dibahagi kepada 3 bahagian. Oleh kerana itu semua bahagian lingkaran falak adalah 12 bahagian dan mereka menyatakan bahawa titik bunga adalah titik yang terbaik dari empat musim sebagai permulaannya. Ini kerana siang dimulai daripadanya dan setelah adanya matahari dalam pereadarannya menuju titik tengah langit bahagian utara sehingga menjadi lebih kuat dan sifat dari musim ini adalah sejuk yang condong kepada panas. Mereka menjadikan musim bunga permulaan perhitungan falak. 

Kemudian mereka mengetahui ciri-ciri yang mengikut 12 bahagian ini dinamakan zodiak gambar. Mereka menamakan tiap-tiap zodiak dengan nama gambar yang mengikutnya walaupun gambar-gambar ini kadang-kadang hilang dari tempat-tempat zodiak yang dinamakan berdasarkan diatas panjangnya masa iaitu haml, tsaur, jauza’, sarotan, asad, sumbulah (zodiak bahagian utara) mizan, aqrob, qous, jadyu, dalwu dan hut (zodiak bahagian selatan). 

KESIMPULAN DAN CADANGAN

Sains Islam menyambung tradisi ilmu dan mengembangkan secara fitrah berdasarkan unsur-unsur keislaman. Keunikan sains Islam menjadi penyumbang utama pengembangan ilmu secara meluas dan ini membuktikan Islam bercirikan universal. Sains menurut perspektif Islam tidak boleh dipisahkan daripada asas-asas- Islam malah para ilmuan Islam mempunyai akhlak yang mulia, menghayati Islam, berdedikasi tinggi terhadap kerjaya dan menganggap kerja sebagai ibadat dan jihad. 

Oleh itu, lahirlah para ilmuan Islam yang hebat dan tersohor seperti Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, al-Khazwarizmi, al-Battani dan ramai lagi. Hal ini demikian, disaat dunia Barat berada di era jahiliah yang digelar Zaman Kegelapan, umat Islam telah berada pada satu tahap yang paling gilang-gemilang dari pelbagai sudut dan aspek. Bayangkan jika umat Islam pada masa itu tidak meneroka pelbagai cabang ilmu, sudah tentu umat Islam tidak maju dan agama Islam tidak tersebar luas ke serata dunia. 

Pengetahuan manusia mengenai alam ini akan menjadi lambat andaikata tiada pengkajian dan penerokaan ilmu pada masa lalu oleh sarjana-sarjana Islam. Banyak sumbangan para ilmuan terdahulu mencipta pelbagai alat baru bagi tujuan pengkajian terhadap ilmu. Paling penting yang perlu diketahui adalah alat-alat yang dicipta oleh ilmuan Islam telah menjadi asas kepada dunia Barat untuk mencipta alat-alat yang lebih moden. 

Sumbangan al-Battani terhadap perkembangan peradaban Islam di dunia tidak asing lagi di dunia ilmu sains pada abad pertengahan. Dunia sains mengenali beliau sebagai ahli Falak yang terunggul atas jasa dan sumbangan beliau dalam bidang astronomi. Wawasan dan pengetahuan beliau yang luas meletakkan diri beliau sebagai pakar ilmuan tidak hanya dalam bidang astronomi malah turut menjadi beliau ilmuan dalam bidang matematik. 

Al-Battani banyak menghabiskan masa beliau dalam bidang astronomi. Berasakan kajian beliau inilah banyak menyumbang kepada peradaban dunia hingga ke hari ini. Kejayaan al-Battani dalam bidang sains turut mendapat pujian ilmuan Barat malah hasil kajian beliau menjadi panduan kepada ilmuan barat dalam membuat penyelidikan. Karya-karya beliau juga menjadi rujukan para ilmuan Barat pada hari ini kerana karya-karya beliau diterjemah dalam pelbagai bahasa. 

Oleh itu, kita sebagai umat Islam perlu bersatu padu dan bekerjasama untuk mengekalkan tamadun Islam yang ada pada hari ini. Kita tidak boleh membiarkan kuasa Barat mengeksploitasi dan menindas umat Islam seperti yang berlaku di Palestin danRohingya. Kita perlu menyingkap kembali perjuangan baginda Rasulullah dan para sahabat berjuang menegakkan kebenaran Islam di muka bumi. Kita perlu meneruskan perjuangan junjungan besar Nabi Muhammmad Sallallahu ‘alaihi wa sallam hingga akhir hayat kita. 

Di zaman para sahabat terdahulu umat Islam disanjung dan ajaran Islam menjadi asas dalam pentadbiran negara. Agama Islam menjadi budaya hidup dan al-Quran menjadi panduan. Kita perlu mengembalikan zaman kegemilangan Islam dengan menguasai pelbagai bidang ilmu dan menghayati ajaran Islam dengan betul supaya kita memahami apakah maksud disebalik Islam. Jangan hanya Islam pada nama tidak pada budaya hidup. 

Apabila Islam hanya pada nama maka terjadi seperti sekarang ramai umat Islam yang murtad, keluar daripada Islam kerana tidak memahami ajaran Islam dengan betul. Gejala sosial berleluasa dalam kalangan remaja seperti zina, minum arak, pembuangan bayi dan sebagainya. Selain itu, umat Islam menolak ajaran yang terkandung dalam al-Quran, menolak hukum Hudud yang menjadi tunjang bagi umat Islam. Hal ini berlaku kerana kurang penghayatan dalam Islam dan tidak memahami ajaran Islam. 

Kita sebagai umat akhir zaman perlu sedar dan bangkit dari lena yang panjang kerana kita sudah kesuntukan masa. Sekarang umat Islam telah diserang secara psikologi oleh musuh-musuh Islam yang ingin menjatuhkan umat Islam. Kita perlu sedar musuh-musuh Islam telah menyediakan pelbagai senjata untuk menyerang umat Islam daripada pelbagai sudut. Mereka tidak ingin melihat agama Islam tertegak di muka bumi ini. 

Oleh itu, umat Islam perlu bersedia dari segi mental dan fizikal. Jangan sesekali mengaku lemah dan kalah kepada musuh Islam yang ingin melihat kehancuran Islam. Kita seharusnya yakin dengan janji Allah, umat Islam akan menang akhirnya. Teruskan perjuangan jihad menegakkan agama Allah di muka bumi kerana besar ganjaran yang akan diperolah di akhirat kelak. Kita perlu berganding bahu menegakkan ajaran Islam seperti mana yang terkandung dalam al-Quran. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment