Wednesday, October 14, 2015

Tajuk Perubatan Islam Berasaskan Kepada Nilai Akhlak Mulia

Oleh : Nurul Ikhlas Binti Md Rifa’at


PENDAHULUAN

Islam merupakan sebuah agama yang lengkap dan syumul serta merangkumi pelbagai aspek kehidupan manusia sama ada lahiriah atau rohaniah. Hamka telah menyatakan dalam Tafsir Al-Azhar, “ Sama ada berkaitan dengan tuntutan akidah, ataupun yang berkaitan dengan cara beribadah, menegakkan syariat, muamalat atau munakahat, semuanya sudah cukup, tidak ada tambahan lagi”. Ini dapat dibuktikan dengan firman Allah s.w.t dalam Al-Quran:

“Pada hari ini Aku sempurnakan agama kamu untuk kamu dan Aku cukupkan nikmat-Ku kepadamu dan Aku redha Islam menjadi agama bagimu”
(Surah Al-Maidah, ayat 3)

Bidang perubatan semestinya tidak dapat dipisahkan dengan agama Islam kerana ia merangkumi akidah, ikatan syariat, sistem akhlak, bidang ekonomi serta bidang dan sistem yang lain. Oleh itu, bidang perubatan telah diklasifikasikan sebagai ilmu fardu kifayah bukan syariat yang perlu dikuasai oleh sebahagian umat Islam. Sekiranya tidak ada seorang pun umat Islam yang menguasainya maka, hukumnya adalah berdosa bagi seluruh umat Islam tersebut.

Allah s.w.t telah berfirman: “Tidak sepatutnya orang-orang Mukmin itu pergi semuanya ke medan perang. Mengapa tidak pergi beberapa orang dalam kalangan mereka bagi mendalami ilmu pengetahuan mereka tentang agama bagi memberi peringatan kepada kaumnya. Apabila mereka kembali, dan supaya mereka dapat menjaga diri”.
(Surah At-Taubah, ayat 122)

1.0 DEFINISI PERUBATAN ISLAM

Perubatan Islam mempunyai definisi yang sangat luas. Ia selalunya dikaitkan dengan jampi, wirid-wirid berdasarkan hadis nabi, menghalau jin, mengambil ubat-ubatan berpandukan al-Quran dan as-Sunnah dan sebagainya.

Dr Danial Zainal Abidin dalam buku ‘Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden’ telah menyatakan bahawa perubatan Islam ialah apa-apa sahaja kaedah perubatan yang benar lagi saintifik, tanpa melibatkan perkara yang haram, khurafat atau syirik. Konsep perubatan moden, kaedah perubatan dari China, India dan Arab boleh digunakan serta diamalkan oleh umat Islam selagi mana kaedah tersebut tidak bercanggah dari syariat Islam dan tidak wujud unsur-unsur khurafat, syirik atau haram. Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa agama Islam adalah universal dan tidak tertumpu pada satu kaum sahaja.

Dalam sebuah hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, At-Tirmidzi dan Ibn Majah, Rasulullah bersabda,

“Berubatlah wahai hamba-hamba Allah, sesungguhnya Allah s.w.t tidak meletakkan penyakit, melainkan meletakkan untuknya ubat, kecuali satu penyakit iaitu tua”

 Hadis tersebut membuktikan bahawa Rasulullah s.a.w menggalakkan kita untuk berubat apabila ditimpa sesuatu penyakit tanpa mengehadkan jenis rawatan atau ubatan asalkan kaedah tersebut tidak melanggar hukum-hukum syariat Islam yang telah ditetapkan. Perkara ini menunjukkan bahawa umat Islam bukan sahaja perlu menjaga kerohanian malah, kesihatan fizikal kerana otak yang cerdas lahir daripada badan yang cergas.

2.0 DEFINISI AKHLAK

Umat Islam mestilah berakhlak mulia tidak kira terhadap orang sekeliling mahupun terhadap diri sendiri. Islam sendiri mewajibkan kita berakhlak mulia. Rasulullah s.a.w ada menyebut bahawa muslim yang berakhlak mulia merupakan manusia terbaik. Beliau bersabda,

"Sesungguhnya yang terbaik di antara kalian adalah yang paling baik akhlaknya." (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Akhlak menurut Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ialah budi pekerti, kelakuan, watak, pengetahuan berkaitan kelakuan dan tingkah laku manusia dan sebagainya sama ada baik atau jahat.

Akhlak dari segi bahasa ialah berasal daripada perkataan 'khulq', yang bererti perilaku, perangai atau tabiat. Dari segi istilah pula menurut Imam al-Ghazali, "Akhlak ialah sifat-sifat batin yang tertanam dalam jiwa seseorang dan ia akan lahir dengan mudah tanpa memerlukan pertimbangan akal yang mendalam. Sekiranya keadaan jiwa itu baik maka akan terbit perbuatan yang baik dan terpuji mengikut akal dan syariah, ia dinamakan akhlak yang baik (akhlak mahmudah). Sebaliknya jika keluar perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk (akhlak mazmumah)”.

Sebagai umat Islam, antara tokoh akhlak mulia yang dapat dicontohi ialah Nabi Muhammad s.a.w sendiri. Firman Allah s.w.t:


“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia” (Surah Al-Qalam, ayat 4)

3.0 SUMBER HUKUM PERUBATAN ISLAM

Setiap perkara mempunyai hukumnya yang tersendiri. Untuk menetapkan sesuatu hukum, para ulama mestilah mempunyai sumber rujukan yang kuat dan benar. Sumber hukum untuk perubatan Islam ialah al-Quran dan Sunnah serta ijmak, qiyas dan ijtihad para ulama.

Ijmak dapat ditakrifkan sebagai persepakatan ulama mujtahidin daripada umat Nabi Muhammad s.a.w terhadap sesuatu hukum syarak pada sesuatu masa selepas zaman baginda, sama ada dalam bentuk iktiqad, perkataan atau perbuatan.

Qiyas pula ialah menyamakan hukum bagi sesuatu yang tidak ada nas dengan sesuatu yang ada nas kerana persamaan illah (satu sifat yang menjadi sebab utama terbitnya hukum itu).

Ijtihad adalah kesungguhan dalam menentukan hukum menggunakan kaedah-kaedah yang diambil daripada al-Quran dan Sunnah dan hanya boleh dilakukan oleh para mujtahid sahaja. Baginda bersabda,

“Bagaimanakah engkau akan memutuskan hukum? Muaz menjawab: ‘Berdasarkan Kitab Allah S.W.T.’ Nabi bertanya lagi, ‘Sekiranya kamu tidak mendapati didalam Kitab Allah?’ Jawab Muaz. ‘Saya akan memutuskan berdasarkan Sunnah.’ Tanya Nabi lagi, ‘Sekiranya engkau tidak menemui di dalam Sunnah?’ Muaz menjawab, ‘Saya akan berijtihad dan saya tidak akan mengabaikan perkara tersebut.’ Nabi bersabda, ‘Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufiq kepada utusan Rasulullah S.A.W. ke arah sesuatu yang diredhainya.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

4.0 PERUBATAN ISLAM BERASASKAN AKHLAK MULIA

Setiap hukum hakam Allah mempunyai keistimewaan dan hikmah yang tersendiri. Segala larangan dan suruhan Allah di muka bumi ini mempunyai sebab-sebab dan hikmah untuk hambaNya. Oleh itu, kita sebagai hambaNya perlulah sentiasa taat dan patuh pada perintahNya serta meninggalkan apa-apa yang dilarang olehNya. Hal ini dapat dilihat dengan jelas dari segi suruhan berakhlak mulia.

Dengan berakhlak mulia, kita dapat lihat umat Islam bukan sahaja akan dipandang mulia malah secara tidak sedar, jika kita mempraktikkannya dengan cara yang betul ia akan membawa banyak kebaikan pada diri kita sendiri termasuk dari segi kesihatan.

Contoh akhlak mulia yang dapat dikaitkan dengan perubatan Islam ialah bersikap sederhana dalam pemakanan, bersedekah, memberi maaf dan banyak lagi.

4.1 BERSIKAP SEDERHANA DALAM PEMAKANAN

Umat Islam telah dididik untuk beradab dalam pelbagai perkara termasuk dari segi pemakanan. Ini membuktikan bahawa Islam itu syumul dan menyeluruh. Nabi Muhammad s.a.w telah berkata,
“ Tidak ada bekas yang diisikan oleh anak Adam yang lebih keji daripada perut. Cukuplah untuk anak Adam dengan beberapa suapan yang membetulkan tulang belakangnya. Dan sekiranya dia terpaksa melakukannya juga, maka satu pertiga untuk makanannya, satu pertiga untuk minumannya, dan satu pertiga untuk nafasnya” (Hadis Riwayat at-Tirmizi, Ahmad, Ibn Majah, An-Nasaie)

Ibn Qaiyim al-Jauziah telah menyatakan dalam kitabnya, at-Ti an-Nabawi bahawa sekiranya perut dipenuhi dengan makanan maka ruang minuman akan sempit. Sekiranya perut dipenuhi dengan minuman maka ruang untuk bernafas akan sempit dan akan terdedah kepada kesakitan dan keletihan. Keadaan masa itu tidak ubah seperti seorang yang terpaksa memikul barang yang besar. Hal ini menyebabkan kerosakan hati dan dan mendatangkan kemalasan untuk beribadah. Pada masa itu, nafsu syahwat berkobar-kobar dan inilah yang sering berlaku apabila seseorang itu kekenyangan. Sekiranya hal ini berterusan, ini pasti memudaratkan tetapi sekiranya kekenyangan ini berlaku hanya sekali sekala maka tidak mengapa.

Hadis ini mengajar kita supaya mengambil makanan dalam kuantiti yang sederhana iaitu tidak terlalu banyak dan tidak pula terlalu sikit. Seeloknya kita digalakkan untuk makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang. Kita bukan sahaja dapat mengelakkan pembaziran malah, kita juga dapat menjaga kesihatan perut kita. Penyakit-penyakit berbahaya seperti gastrik, obesiti, cirit-birit dan lain-lain dapat dielakkan apabila kita mengamalkan pengambilan makanan secara sederhana.

Dalam Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali menyenaraikan tujuh adab-adab sebelum makan yang perlu dijaga. Adab-adab tersebut ialah, memastikan sumber makanan yang halal, membasuh tangan, meletakkan makanan di dalam bekas yang diletakkan di atas lantai kerana ia melatih kita bersifat tawaduk, niat, duduk dengan cara yang betul, bersyukur dengan rezeki yang diperolehi dan berusaha supaya tidak makan seorang diri. Adab-adab tersebut wajar diamalkan kerana ia merupakan akhlak yang mulia di samping mendidik kita lebih berdisiplin.

Antara adab semasa makan ialah mulakan dengan bismillah dan doa, makan dengan tangan kanan dan jangan makan secara berlebihan. Manakala antara adab selepas makan yang disebut oleh Imam al-Ghazali ialah menjilat jari, berdoa, mengeluarkan makanan yang tersekat di celah gigi.


4.2MENUNAIKAN SOLAT FARDU

Umat Islam diwajibkan menunaikan solat fardu lima waktu sehari semalam iaitu Subuh, Zohor, Asar, Magrib dan Isyak. Sekiranya solat dilakukan dengan cara yang betul, ia akan mendatangkan banyak kebaikan kepada kita terutamanya dari segi kesihatan.

Antara perbuatan ketika solat yang dapat memberi kebaikan kepada kita ialah sujud. Mengikut kajian, kedudukan ketika sujud iaitu meninggikan punggung dan meletakkan dahi serta kepala ke bumi dapat mencergaskan otak kita. Ini disebabkan oleh peredaran darah dalam badan kita berfungsi dengan lebih berkesan ketika waktu sujud. Darah akan mudah turun ke otak dan dibantu oleh tekanan graviti. Peter Russell dalam bukunya The Brain Book berpendapat, “Otak manusia beroperasi 7 peratus lebih cepat dan 14 peratus lebih tepat dalam keadaan kepala mereka di bawah(inverted).”

Selain itu, kajian juga menunjukkan bahawa waktu yang telah ditetapkan untuk menunaikan solat-solat tersebut juga mempunyai kelebihan tersendiri. Contohnya, solat Subuh didirikan pada awal pagi sebelum matahari terbit. Mereka yang bangun tidur pada waktu yang sama setiap pagi adalah lebih sihat berbanding mereka yang tidak tetap waktu bangunnya. Hal ini disebabkan, mereka yang bangun tidur tanpa mengikut jadual yang sistematik mengganggu pengeluaran hormon rangsangan, cortisol dan dapat mengganggu kecergasan badan mereka. Secara tidak langsung, mereka akan lemah dari segi fizikal dan juga rohani kerana badan yang cergas melahirkan otak yang cerdas. Hal ini dinyatakan oleh Russell Wild di dalam artikel Eight Easy Ways to Beat Fatigue terbitan Reader’s Digest bulan Jun 1998.

Khusyuk dalam solat juga merupakan perkara yang amat penting. Khusyuk ialah pengagungan terhadap Tuhan, keikhlasan dalam perkataan, kesempurnaan dalam keyakinan, memberikan sepenuh perhatian dan tidak berpaling ke kiri dan kanan kerana ia adalah daripada syaitan.Pendapat ini disebutkan dalam al-Asas fi al-Tafsir. Untuk meningkatkan tahap kekhusyukan kita dalam solat, kita disarankan untuk mendirikan solat di tempat yang gelap, keadaan sekeliling sunyi. Ini dapat dilihat dalam diri Nabi Muhammad s.a.w. Untuk lebih khusyuk dalam beribadah, baginda telah mengasingkan dirinya dari kesibukan orang ramai dengan beribadah di gua.

Allah s.w.t telah berfirman: “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman yakni mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya” (Surah al-Mukminun, ayat 1-2)

Khusyuk dalam solat boleh melatih kita untuk lebih fokus dalam sesuatu perkara. Hal ini disebabkan oleh fikiran kita menjadi lebih tenang dan ringan. Contohnya, sekiranya seorang pelajar itu khusyuk dalam ibadahnya, dia akan lebih mudah untuk memahami sesuatu subjek yang diajar kerana fikiran mereka lebih tenang.

4.3 BERSEDEKAH

Bersedekah merupakan amalan yang mulia dan Islam menggalakkan kita bersedekah dalam kehidupan harian kita. Amalan bersedekah akan diterima oleh Allah sekiranya kita melakukannya dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan sebarang pujian dan balasan.
Allah s.w.t telah berfirman:

(Surah a-Taubah, ayat 103)
“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk) dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”.
Sedekah tidak akan mengurangkan harta seseorang malah, Allah akan menambah rezekinya. Apabila seseorang itu bersedekah, hatinya akan lebih tenang dan Allah akan membersihkan hatinya dari dosa-dosa. Islam telah mendidik umatnya supaya saling membantu. Oleh itu, beban orang yang berada dalam kesusahan dapat diringankan apabila seseorang itu bersedekah pada mereka. Bersedekah tidak semestinya dalam bentuk wang malah boleh juga didapati dalam bentuk lain.

4.4 MENDEKATI YANG HALAL, MENJAUHI YANG HARAM

 Umat Islam telah diajar dan dididik oleh Nabi Muhammad s.a.w untuk makan makanan yang halal dan toyyibah. Islam juga menekankan kepada umatnya untuk makanan tersebut mestilah dari sumber yang baik lagi berkhasiat.

 Allah s.w.t telah berfirman: “Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; karena sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu” (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Antara makanan sunnah yang disukai oleh baginda ialah kurma, buah zaitun, buah labu, gandum dan lain-lain. Mengikut kajian, 100 gram buah tamar mengandungi lebih kurang 60 hingga 70 peratus karbohidrat, 15.3 peratus air, 2.5 peratus protein, 0.4 peratus lemak, 2.1 peratus zat-zat logam dan 3.9 peratus serat. Antara kelebihan buah kurma ialah mempunyai zat besi dan kalsium yang digunakan untuk menggalakkan pertambahan susu seorang ibu. Buah zaitun juga memiliki khasiat dalam melembapkan kulit wajah dan mampu mencegah penyakit jantung selain menyuburkan rambut. Selain itu, buah labu dapat melambatkan proses penuaan dan bagus untuk mereka yang mempunyai masalah rabun pada waktu malam.

Kita hendaklah mengamalkan sunnah baginda dalam kehidupan seharian kerana ia merupakan perkara yang amat baik dan mempunyai banyak kebaikan kepada kesihatan kita. Rasulullah s.a.w amat menitikberatkan makanan yang diambilnya. Ini disebabkan oleh setiap makanan yang kita ambil akan memberi kesan pada badan kita.
Allah s.w.t telah melarang umatNya dari memakan makanan yang haram iaitu yang dapat memberikan kemudratan pada kita. Antaranya ialah babi, bangkai dan lain-lain. Babi merupakan haram kerana ia mendatangkan banyak penyakit berbahaya antaranya anthrax, botulism, brucella suis dan lain-lain. Oleh sebab itu, Allah telah melarang kita dari memakannya
.
Setiap makanan yang diambil akan memberi kesan pada badan kita. Sekiranya makanan tersebut baik, maka baiklah badan kita. Dan sekiranya makanan tersebut rosak, maka rosaklah badan kita. Oleh itu, kita perlu mendekati apa-apa yang disuruh dan menjauhi apa-apa yang dilarang oleh Allah.

5.0 KESIMPULAN

Konsep perubatan yang terdapat dalam al-Quran dan Sunnah sesuai diikuti oleh semua manusia tanpa mengira agama dan budaya.Secara tidak langsung, konsep perubatan Islam turut merangkumi akhlak manusia. Ini membuktikan bahawa Islam itu syumul dan menyeluruh. Setiap suruhan dan larangan Allah mempunyai sebab-sebab dan kebaikan yang tersendiri. Sebagai seorang hambaNya, kita mestilah sentiasa taat dan patuh pada perintahNya. Apabila kita mengamalkan perubatan Islam dengan sempurna maka, akhlak yang baik serta mulia juga dapat dibentuk dalam diri seseorang.

Apabila kebenaran Islam itu terbukti, Islam akan diangkat martabatnya di dunia dan akan dipandang mulia oleh agama lain. Selain itu, kita dapat simpulkan bahawa Islam menitikberatkan kebersihan fizikal serta rohani. Sekiranya hati dan fikiran kita bersih, kita akan dapat beribadah dengan lebih tenang dan khusyuk. Amalan kita juga akan mudah diterima oleh Allah.

6.0 BIBLIOGRAFI

Abidin, D. D. (2015). Perubatan Islam dan bukti sains moden. PTS Millennia Sdn Bhd.
Ahmad, S. M. (2011). Merawat 7 penyakit hati. Pustaka Azhar.
al-Ghazali, I. (1993). Ramuan ubat (penenang hati). (M. Nur, Trans.) Thinker's Library Sdn.Shd.
Al-Quran. (n.d.).
Aurani, J. (2014). Asas-asas perundangan hidup islam. Akademi Pengajian Islam Kontemporari.
Muhammad, M. I. (2003). Membetuk jiwa, tauhid dan akhlak mulia petunjuk rasulullah. Al-Hidayah Publishers.


Pensyarah: Abd Aziz bin Harjin
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com




No comments:

Post a Comment