Sunday, October 18, 2015

Tajuk: Sejarah Sains Dan Teknologi Pakaian Di Dalam Al-Quran

2.0 PENGENALAN

Dalam era globalisasi kini dan ledakan maklumat, dunia fesyen menjadi semakin diminati oleh semua golongan termasuk semua pereka dan pengguna.Namun, di sebalik kepesatan ini perlulah dilihat sejauh manakah fesyen-fesyen pakaian tersebut memenuhi ciri-ciri pakaian menurut Al-Quran dan As-Sunnah.

Sejak berabad-abad lamanya manusia dan pakaian tidak dapat dipisahkan.Semasa zaman batu manusia berpakaian dengan hanya menutup anggota badan yang tersembunyi iaitu kemaluan.Zaman berganti zaman, manusia mula pandai dan teknologi semakin canggih, maka lahirlah pelbagai jenis fabrik dan fesyen pakaian yang membalut tubuh manusia.Manusia secara fitrah mempunyai sifat malu untuk mempamerkan bahagian anggota badannya yang tersembunyi iaitu aurat.Apabila agama Islam muncul, fitrah berpakaian diteruskan.Malah diperbaiki cara berpakaian bagi kaum lelaki dan kaum perempuan untuk menjaga kemaslahatan manusia.Islam juga menjadikan cara berpakaian sebagai perbezaan identiti di antara penganutnya dengan penganut agama lain.

3.1 Definisi pakaian
Dari segi bahasa perkataan ‘pakaian’ diambil daripada kata terbitan ‘pakai’.Manakala dari segi maknanya didefinisikan sebagai sesuatu yang menutupi anggota badan.Aspek berpakaian berkait rapat dengan penutupan aurat.Islam mewajibkan penutupan aurat dan alat penutupnya ialah pakaian.

Islam telah menetapkan jenis-jenis pakaian tertentu yang mesti dipakai oleh kaum perempuan dan juga kaum lelaki.Hal ini bertujuan untuk memelihara diri mereka daripada kecelaan dan kehinaan.Fesyen pakaian yang digariskan Islam adalah bertujuan menawarkan perlindungan yang terbaik untuk lelaki dan perempuan bagi menjaga kehormatan mereka.

Gaya fesyen Barat yang mendedahkan aurat sama sekali ditegah oleh Islam.Allah Subhanahu wa ta’ala. berfirman yang bermaksud:Wahai anak-anak Adam!Sesunggunya Kami telah menurunkan kepada kamu(bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa TAKWA itulah yang sebaik-baiknya.Yang demikian itu adalah daripada tanda-tandanya (limpah kurnia) Allah (dan rahmat-Nya kepada hamba-hamba-Nya) supaya mereka mengenang-Nya (dan bersyukur).

3.2 Fungsi pakaian
Pakaian merupakan sesuatu yang sangat penting bagi setiap orang. Bagi muslim pakaian merupakan sebuah kewajipan yang harus dikenakan untuk menutup auratnya. Bagi setiap muslim diwajibkan menutup auratnya dari pusat sampai lutut. Sedangkan bagi setiap muslimah diwajibkan menutup auratnya iaitu seluruh tubuhnya kecuali muka dan telapak tangan. Namun bukan hanya itu fungsi pakaian, di dalam Al-Qur`an disebutkan beberapa fungsi pakaian. Pakaian sangatlah penting bagi manusia. Pakaian mempunyai manfaat-manfaat bagi orang yang mengenakannya.

Fungsi pertama pakaian ialah sebagai penutup aurat.Seperti yang terdapat dalam Al-Quran, Surah Al-A’Raaf ayat 31 yang bermaksud:Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan solat), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka orang yang melampaui batas.Dalam ayat diatas Allah menyuruh manusia supaya menutup aurat ketika berada ditempat ibadat mahupun ketika berada dikhalayak ramai.

Seterusnya, fungsi kedua pakaian ialah sebagai pelindung tubuh.Telah disebutkan bahawa pakaian tebal dapat melindungi seseorang daripada sengatan dingin, dan pakaian tipis daripada sengatan panas.Hal ini bukanlah hal yang perlu dibuktikan, kerana perkara ini adalah perlindungan secara fizik.Di sisi lain pula, pakaian memberi pengaruh psikologi bagi pemakainya.Pengaruh psikologi dapat dirasakan dalam kehidupan seharian.Contohnya jika pergi ke pesta atau majlis keramaian, apabila memakai pakaian buruk atau tidak sesuai dengan situasi maka pemakainya akan berasa kekok, atau hilang keyakinan diri.Kita haruslah mengakui bahawa memang pakaian tidak menciptakan muslimah yang baik tetapi ia dapat mendorong pemakainya untuk berperilaku sebagai muslimah yang baik.

Rasulullah Saw. bersabda: “Wanita yang memakai parfum (yang merangsang) dan lewat di satu majlis (kelompok lelaki), maka sesungguhnya dia "begini" (yakni berzina)” (HR At-Tirmidzi). Menurut Abbas Al-Aqqad yang dikutip oleh M. Quraish Shihab dalam bukunya bahawa, “Pakaian yang elok adalah yang memberi kebebasan kepada pemakainya untuk bergerak.”

Fungsi pakaian yang seterusnya ialah sebagai penunjuk identiti.

ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلا يُؤْذيْن
"yang demikian itu lebih mudah mereka(muslimah)dikenali dan mereka tidak diganggu.."(al-Ahzab:59).

Dalam hal ini, kita dituntut agar kreatif dan inovatif dalam penampilan agar wujud perbezaan antara orang Islam dan bukan Islam. Identiti atau keperibadian sesuatu adalah yang menggambarkan eksistennya sekaligus membezakannya dari yang lain. Eksisten atau keberadaan seseorang ada yang bersifat material dan ada juga yang imaterial (rohani). Hal-hal yang bersifat material antara lain tergambar dalam pakaian yang dikenakannya. Anda dapat mengetahui sekaligus membezakan murid sekolah rendah dan sekolah menengah, dengan melihat apa yang dipakainya. Tidak dapat disangkal lagi bahwa pakaian antara lain berfungsi menunjukkan identiti serta membezakan seseorang dari lainnya. Bahkan tidak jarang ia membezakan status sosial seseorang. Rasulullah Saw. amat menekankan pentingnya penampilan identiti Muslim, antara lain melalui pakaian.

Seorang gadis muslimah yang berpakaian terbuka auratnya maka sebenarnya dia telah menunjukkan bahwa dirinya bukanlah gadis muslimah baik-baik.

Fungsi seterusnya ialah sebagai perhiasan.Hal inilah yang mendorong manusia untuk mengembangkan kreativitinya sehingga munculnya pelbagai fesyen pakaian terkini.Pada dasarnya Islam tidak memberikan cara yang khusus untuk berpakaian, asalkan pakaian tersebut menepati syariat Islam.

3.3Ciri-ciri pakaian berlandaskan Syariat Islam
3.3.1 Ciri-ciri pakaian bagi kaum wanita

Islam tidak menolak fesyen kerana ia sebahagian daripada kecantikan dan keindahan tetapi hendaklah tidak lari daripada ciri-ciri pakaian Islam.Ciri-ciri pakaian Islam boleh dilihat mengikut perbezaan jantina.

Antara ciri-ciri pakaian wanita, yang pertama ialah menutup seluruh bahagian anggota yang diperintahkan oleh syarak dan membuka bahagian yang dibenarkan sahaja.Syarat ini diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala dan Hadith Rasulullah s.a.w.Allah Subhanahu wa ta’ala.berfirman dari Surah an-Nur ayat 31yang bermaksud:Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka…

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala dalam ayat ini mengandungi beberapa perintah iaitu, perintah agar tidak mempamerkan kecantikan dan perhiasan (zinah) bagi wanita Islam kecuali yang biasa kelihatan seperti muka dan kedua-dua telapak tangan.Seterusnya, Allah memerintahkan untuk menutup kepala (tudung mesti dilabuhkan ke dada).Al-khimar dalam ayat ini maksud asalnya ialah al-khamr iaitu penutup sesuatu benda.Perkataan khimar telah dikenali sebagai benda yang dijadikan penutup kepala wanita.Jamaknya ialah al-khumur.Oleh itu, dapatlah difahami bahawa perkataan khumur bererti kain, tudung atau seumpamanya yang dijadikan penutup kepala.Hal ini bererti bahagian kepala wajib di tutup.

Ciri kedua ialah, pakaian tersebut mestilah longgar dan tidak jarang.Pakaian longgar dan tidak jarang juga telah digariskan sebagai ciri-ciri pakaian Islam bagi wanita.Hal ini bermakna pakaian yang dipakai bukan sahaja yang menutup tubuh malah diwajibkan tidak ketat dan jarang.Lazimnya, pakaian wanita yang ketat boleh menimbulkan fitnah dan menarik perhatian kaum lelaki.

Memakai pakaian yang longgar dan tebal adalah sangat bertepatan dengan perintah Allah Subhanahu wa ta’ala.Pakaian ketat yang menampakkan bentuk tubuh seperti pinggan, pinggul dan paha adalah dilarang dalam Islam.Ia merupakan perhiasan yang mesti disembunyikan.Dalam sebuah Hadith yang diriwayatkan oleh muslim yang membawa maksud:Ada dua golongan penghuni neraka yang saya tidak pernah melihat iaitu satu kaum yang membawa cemeti (rotan) seperti seekor lembu sedang memukul manusia dan wanita-wanita yang berakaian tetapi bertelanjang (mendedahkan aurat), mereka tidak patuh perintah Allah Subhanahu wa ta’ala dan mengajak orang lain mengikuti mereka.Kepala (sanggul rambut) mereka condong seperti bonggol unta.

Hadith diatas menegaskan tentang dua golongan penghuni neraka.Golongan pertama ialah orang berkuasa yang zalim kerana menindas, menyeksa dan menganiayai manusia dengan kuasanya.Golongan kedua ialah kaum wanita yang berpakaian tidak sempurna kerana pakaiannya jarang dan nipis.

Ciri-ciri pakaian yang seterusnya bagi kaum wanita ialah, bukan pakaian shuhrah (lambang kemegahan).Fesyen pakaian yang dipakai juga hendaklah tidak menjadikannya lambang kemegahan.Umpamanya, tujuan memakai pakaian yang mahal adalah untuk menunjukkan kekayaan dan kedudukan yang dimiliki.

Menurut Ibn Athir yang dinukilkan oleh al-Barazi, perkataan al-shuhrah (kemegahan) bermaksud menzahirkan atau menunjuk-nunjukkan sesuatu.Apa yang dimaksudkan ialah pakaiannya untuk ditunjuk-tunjuk kepada orang ramai.Umpamanya dengan perbezaan ketara dari segi warna, lalu orang ramai akan memandang kepadanya dan dia akan berasa kagum dengan diri sendiri dan takbur kerananya.

Seterusnya, pakaian tersebut hendaklah tidak menyerupai pakaian lelaki bagi kaum wanita, dan sebaliknya Allah Subhanahu wa ta’ala menjadikan wanita sempurna dengan sifat lemah lembut.Begitu juga fizikal mereka yang mempunyai kulit yang halus dan pergerakan yang tidak kasar.Bersesuaian dengan fitrah wanita, Islam sama sekali tidak membenarkan lelaki menyerupai wanita dan begitu juga wanita ditegah menyerupai lelaki.Justeru haram hukumnya apabila wanita berpakaian menyerupai lelaki dan lelaki berpakaian menyerupai wanita.

Kenyataan ini berdasarkan Hadith Rasulullah s.a.w.Diriwayatkan daripada Ahmad yang bermaksud:Rasulullah s.a.w melaknat wanita yang memakai pakaian yang menyerupai lelaki dan sebaliknya.

Seterusnya pakaian tersebut hendaklah tidak menyerupai pakaian wanita-wanita kafir.
Syari'at telah menetapkan bahawa kaum muslimin baik lelaki mahupun perempuan dilarang menyerupai (bertasyabuh) kaum kafir baik dalam ibadah, perayaan hari raya, mahupun dalam hal berpakaian.

Dalam al-Qur'ān terdapat beberapa surah yang disebut seperti, (Surat al-Jāsiyah: 16-18, al-Ra'd: 36-37, al-Hadīd: 16, al-Baqarah: 104).Surah surah tersebut menceritakan tentang perilaku orang-orang kafir yang banyak melakukan kemaksiatan kepada Allah. Jika demikian keadaan orang-orang kafir, sungguh tidak layak bagi kaum muslimin mengikuti mereka dalam segala aspeknya.Dalam masalah berpakaian, terdapat banyak Hadith yang diriwayatkan oleh para sahabat yang menunjukkan larangan menyerupai atau mengikuti orang-orang kafir; diantaranya adalah:

 1) Dari Abdullāh bin Amru bin al-'Aş yang berkata:[11]

رﺃى رسول الله صلىالله عليه وسلم ثوبين مُعَصفَرَين, فقال: ﺇنﱠ هذه من ثياب الكفار فلا تلبِسْها

"Rasulullah saw melihatku mengenakan dua buah kain yang diwarnai dengan 'usfur, maka beliau bersabda: "Sungguh, ini merupakan pakaian orang-orang kafir, maka jangan memakainya."

2)Dari 'Ali ra diriwayatkan secara marfu':

ﺇياكم ولبوس الرهبانِ, ﻓﺈنه مَن تَزَيّابهم ﺃو تشبه, فليس مني

"Janganlah kalian memakai pakaian para pendeta, karena barangsiapa mengenakan pakaian mereka atau menyerupakan diri dengan mereka, bukan dari golonganku."

Seterusnya, tidak bertabarruj.Tabarruj boleh diertikan sebagai bersolek.Ada juga yang mengatakan tabarruj adalah melepaskan tudung kepalanya tetapi tidak mengikat atau mengetatkannya lalu melihatkan rantai leher, anting-anting dan leher.Kesimpulannya tabarruj adalah memperlihatkan keelokan ataupun kecantikannya yang sepatutnya wajib ditutup.

Larangan ini berdasarkan kepada pernyataan Allah dalam surah al-Ahzab yang bermaksud, ”…dan hendaklah kamu tetap dirumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku(tabarruj) seperti orang-orang jahiliah dahulu.”Konsep tabarruj apabila dilihat dalam kerangka yang lebih luas meliputi perbuatan wanita yang mendedahkan aurat, memakai wangi-wangian apabila keluar dari rumah, cara berjalan ataupun tingkah laku yang menarik perhatian lelaki ajnabi dan sebagainya.

3.3.2 Ciri-ciri pakaian bagi kaum lelaki

Allah perintahkan dalam Surah al-Haysr Ayat 7 yang membawa maksud:’bahawa sesuatu yang dibawakan oleh Rasulullah s.a.w itu wajib kita ambil tahu atau terima dan amalkan’.Sejajar juga dengan perintah Allah Subhanahu wa ta’ala dalam Surah an-Nisa’ yang bermaksud: ‘bahawa sesiapa yang mentaati Rasulullah s.a.w sudah pasti dia mentaati Allah Subhanahu wa ta’ala.Dalam Islam kita diwajibkan mencontohi Rasulullah s.a.w dalam perkara amalan dan ibadah sebagai seorang Islam yang beriman, kerana Rasulullah s.a.w adalah ‘uswatun hasanah’.

Islam mensyaratkan sifat atau ciri pakaian lelaki yang Islam dan beriman, mengikut sabda Rasulullah s.a.w berikut:Diriwayatkan hadith dari al-‘Alak b Abdil Rahman hadith dari bapanya berkata : ‘Bertanya aku kepada Abi Said al-Khudri r.a dari perkara ‘pakaian’, maka berkata dia:Atas khabar apa jatuh engkau (yakni, maksudnya macam mana kamu Tanya perkara yang sepatutnya kamu tahu)?Rasulullah telah bersabda yang berbunyi:

 ‘Izratulmuslimi ila nasfis-saqi wala haraja au la juhana fima bainahu wa bainal ka’baini ma kana asfala minal ka’bain fa-hua fin-nari man jar-ra izajarahu bataram lam yanzurillahi ilaihi’.
[Maksud:Pakaian lelaki Islam hendaklah sampai separuh betis dan tidaklah rosak (i.e. mengapa atau tidak berdosa) di dalam apa-apa antara betis dan antara kedua buku lali tidak ada lebih bawah dari dua buku lali, maka dia (i.e.yang memakainya) dalam neraka barangsiapa yang melabuhkan dan dengan sobek (i.e. terkoyak), tidak akan melihat Allah Subhanahu wa ta’ala atasnya (i.e.orang sedemikian). [Hadith Abu Daud]

Islam mensyaratkan supaya pakaian lelaki Islam itu tidak boleh dilabuhkan.Hendaklah panjangnya ke bawah tidak melebihi separuh betis, itulah yang sebaiknya, tetapi dibolehkan sampai hanya di atas dua buku lali kaki.Seterusnya, tidak boleh dilabuhkan terkebawah dari paras tersebut.Hari ini jelas kita lihat, majoriti ulama’ dan ilmuan Islam dan majoriti umat Islam, kecuali pengikut kumpulan Tabliq dan golongan minority lain yang menyentengkan seluar atau jubahnya agar supaya tidak melebihi paras buku lali kaki mereka!.

Seterusnya diriwayatkan hadith dari Abi Musa al-Asy’ari (r.a) bahawasanya Rasulallah (s.a.w) bersabda:

 ‘Hurrima libasul Hariri waz-zahabi ‘ala zukuri ummati wa-uhilla li-inathihim’
 [Yg bermaksud: Diharamkan bagi lelaki (Islam) memakai sutera dan (diharamkan) lelaki umatku memakai emas dan (akan tetapi) dihalalkan bagi perempuan mereka (i.e. umatku) (memakai sutera dan emas).] [Hadith at-Termidzi]

Hadith diatas pula melarang lelaki memakai pakaian yang diperbuat daripada sutera apapun jenis dan kualitinya. Namun, hari ini dalam majlis rasmi kita lihat kesemua yang hadir pakai baju batik yang diperbuat daripada sutera - sutera halus yang dibeli dengan harga ribuan ringgit.

Diriwayatkan hadith dari Abi Musa al-Asy’ari bahawasanya Rasulallah (s.a.w) bersabda: ‘Diharamkan pakaian sutera dan emas atas (i.e. dikalangan) orang lelaki umatku dan (akan tetapi) dihalalkan bagi perempuan mereka (memakai sutera dan emas).’ [Hadith at-Termidzi, ]

Ketetapan yang serupa disebutkan dalam hadith di atas ialah ketetapan Islam yang wajib kita akur. Rasulallah (s.a.w) menegah dengan keras lelaki yang meniru resmi atau perangai lazim perempuan.Seperti pakaian, menyimpan rambut panjang, memakai subang, rantai, gelang dan lain-lain termasuk gaya dan pakaian wanita, seperti 'Mak Nyah'.

3.4 Pakaian yang dipakai Rasulullah s.a.w.

Terdapat dalam sunnah dan atsar yang teramat banyak tentang baju atau pakaian yang dahulu Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam mengenakannya. Di antara hadith-hadith tersebut adalah sesungguhnya Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam mengenakan pakaian yang sederhana dan lumrah dipakai oleh kaumnya, beliau tidak pernah menolak apa yang sudah ada dan mempersulit diri mencari-cari yang tidak ada, tidak mengenakan pakaian yang berbeza dengan manusia pada umumnya serta tidak terbatas dengan satu macam jenis kain saja. Bahkan beliau mengenakan semua jenis atau semua macam kain kecuali kain yang terbuat dari sutera. Bahkan di antara macam-macam pakaiannya ada bersifat menutup sekaligus indah.

Ibnul Qayyim rahimahullah berkata:

Beliau (Rasulullah s.a.w) memiliki imamah [yaitu, sesuatu yang melilit atau melingkar di atas kepala, sebagaimana pakaian tradisonal di sebagian negara saat ini seperti Yaman dan Sudan]. Disebut As-Sahaab, beliau pernah memakaikan Ali dengannya. Beliau pun mengenakannya, dibawahnya beliau memakai kopiah. Kadang beliau mengenakan imamah tanpa kopiah. Apabila mengenakan imamah, beliau menjulurkan ujung sorbannya di antara dua pundak beliau, sebagaimana riwayat Muslim dalam kitab shahihnya:


Dari Amr bin Harits dia berkata:

 رأيتُ رسولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم على المنبرِ وَعَلَيهِ عِمَامَة سَوْدَاءُ قَدْ أرخَى طَرفَيهَا بينَ كَتِفَيْهِ

 “Aku melihat Rasulullah Shallallahu Alaihi Wasallam di atas mimbar dan di atas kepala beliau ada sorban hitam yang kedua ujung sorban tersebut beliau julurkan di antara kedua pundak beliau),

Dalam riwayat yang lain disebutkan : sesungguhnya beliau memasuki kota Makkah sedangkan di atas kepala beliau ada penutup kepala – yang terbuat dari kulit – untuk berperang dan baju besi berantai. Jadi, beliau mengenakan pakaian dengan disesuaikan kondisi beliau.

ولبس صلى الله عليه وسلم القميص

“Nabi Shallallahu Alaihi Wasallam mengenakan gamis.”

Yaitu, sebagaimana baju yang kita kenal saat ini, dan di sebagaian negara disebut dengan “Jilbab” atau “Jalabiyah”]. Pakaian seperti itu merupakan pakaian yang sangat disukai oleh beliau, panjang lengannya sampai ke pergelangan tangan.

Pakaian yang paling beliau sukai adalah gamis dan Al Hibarah, yaitu semacam kain yang diselimutkan dikedua pundak yang didalamnya terdapat warna merah. Dan warna-warna pakaian yang paling beliau sukai adalah warna putih sebagaimana sabda beliau:

 هي مِنْ خَيْرِ ثِيَابكُمْ ، فَالبسوها ، وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكمْ

“Warna putih adalah sebaik-baik warna baju kalian, dan kafanilah orang-orang yang meninggal dengan warna tersebut.”

3.5 Fesyen pakaian wanita masa kini

Realiti masyarakat Melayu Islam sekarang khususnya wanita boleh dikatakan kebanyakannya bertudung.Perkembangan ini merupakan satu fenomena yang baik.Namun begitu, adakah menutup aurat itu hanya bermaksud menutup kepala sahaja?Adakah masyarakat memahami kepala atau rambut sahaja yang wajib ditutup atau adakah pemakaian itu atas dasar pemahaman tentang hukum Islam atau hanya mengikut pengaruh keluarga, kawab-kawan atau persekitaran.Paling menyedihkan ada golongan yang faham tentang kewajipan menutup aurat tetapi mengabaikannya dengan pelbagai alasan.

 Bertudung melepasi dada sudah sempurna mengikut syariat Islam tetapi malangnya memakai seluar jean ketat jelas tidak mengikut ciri-ciri pakaian yang telah digariskan mengikut syariat Islam.Jean ketat adalah bercanggah dengan syarat pemakaian Islam iaitu pakaian longgar.Ia juga bercanggah dengan perintah Allah Subhanahu wa ta’ala dalam Surah an-Nur ayat 30-31 supaya tidak berpakaian yang menonjolkan perhiasan.Bentuk tubuh wanita adalah perhiasan.Oleh itu, pakaian yang ketat sudah tentu menampakkan bentuk tubuh mereka.

 Selain itu, ada juga fesyen yang menutup aurat dengan sempurna seperti bertudung melepasi dada, berbaju kurung atau jubbah tetapi dihiasi dengan pelbagai hiasan hingga menarik perhatian orang.Cara ini juga tidak digalakkan dalam Islam kerana fungsi sebenar pakaian adalah menutup aurat.Apabila pakaian dihias melampaui had maka dengan apa lagi mahu ditutup perhiasan tersebut.Tambah pula apabila perhiasan yang dipakai terlalu banyak, ia merupakan suatu pembaziran yang ditegah dalam Islam.

 Seterusnya, terdapat juga fesyen pemakaian baju lengan panjang yang jarang serta berkain belah menampakkan sebahagian paha adalah bertentangan dengan Islam.Si pemakainya tetap mendapat dosa kerana telah jelas dalam Hadith Rasulullah s.a.w yang melarang umatnya daripada memakai pakaian yang jarang, ketat dan menampakkan bahagian paha.

Pakaian yang jarang boleh menampakkan aurat seseorang.Demikianlah juga pakaian yang ketat boleh menampakkan tubuh badan yang wajib ditutup.Akibatnya, matlamat untuk menutup aurat tidak akan tercapai.

3.6 Persepsi negatif terhadap pakaian Islam

Sesetengah punca kenapa golongan tertentu tidak berminat menutup aurat walaupun mengetahui kesan dan akibatnya, adalah disebabkan persepsi mereka terhadap pakaian Islam.

Ada tanggapan yang mengatakan pakaian Islam is out of date atau ketinggalan zaman (kolot) adalah hasil daripada pengaruh Barat.Seseorang yang yang memakai pakaian menutup aurat akan dipandang kolot dan tidak maju.Mereka menganggap pakaian menutup aurat hanya sesuai ketika menziarahi orang sakit atau uzur, atau hanya ketika pergi ke masjid dan majlis keagamaan sahaja.

Tanggapan ini adalah tidak benar kerana setiap hukum Allah Subhanahu wa ta’ala itu sesuai pada setiap masa, tempat dan zaman.Walaupun zaman dah berubah tetapi hukum-hukum yang diturunkan tetap tidak berubah sehingga kiamat.Malah setiap hukum yang diturunkan adalah untuk menjaga kebajikan manusia.

Selain itu, ada sesetengah tanggapan yang mengatakan pakaian Islam membataskan pergaulan dan pergerakan.Mereka takut tidak dapat lagi bergaul bebas dengan wanita dan lelaki dan tidak dapat lagi berkunjung ke tempat hiburan.Tanggapan ini ada kebenarannya kerana hikmah berpakaian menutup aurat adalah untuk melindungi diri daripada maksiat.Bukankah bergaul bebas antara lelaki dan wanita itu ditegah dalam Islam?Sungguh pelik jika ada manusia yang takut untuk tidak melakukan perkara haram.Jika ada manusia begini jelaslah mereka lebih takut kepada manusia daripada takut kepada Allah Subhanahu wa ta’ala.

Dalam zaman teknologi kini, masih ada yang mengatakan kenapa harus berpakaian menutup aurat sedangkan diri bukan seorang ustaz atau ustazah.Dan ada juga yang mengatakan bahawa pakaian yang menutup aurat adalah pakaian tradisi masyarakat Arab di mana mereka perlu berpakaian demikian untuk melindungi diri daripada debu-debu padang pasir.Tanggapan ini tidak benar sama sekali.Sesungguhnya penurunan ayat Al-Quran yang mewajibkan menutup aurat ditujukan untuk seluruh umat Islam tanpa mengira bangsa, negara, jenis pekerjaan, pangkat dan gelaran.

4.0 CADANGAN

Pakaian menutup aurat merupakan jaminan Allah Subhanahu wa ta’ala ke atas hamba-Nya daripada sebarang bentuk pencerobohan.Di samping itu, pakaian Islam merupakan lambang identity seorang muslim dan muslimah.Di dalam Al-Quran dan Hadith banyak memperkatakan tentang kepentingan menutup aurat.Pada zaman para sahabat mereka sentiasa memelihara suruhan menutup aurat kepada diri dan keluarga mereka.

 Pada zaman ini penutupan aurat menjadi lebih penting kerana banyak unsur fitnah telah berlaku seperti jenayah rogol, sumbang mahram, seks sejenis dan bermacam-macam lagi.Justeru pihak tertentu perlu segera menangani masalah pendedahan aurat daripada berleluasa.Secara umumnya beberapa pihak tertentu boleh memainkan peranan masing-masing dalam menangani masalah ini.

Ibubapa memainkan peranan penting kearah memastikan anak-anaknya menutup aurat.Suami pula bertanggungjawab keatas isterinya.Seandainya ada bapa atau suami yang tidak melarang anak atau isteri mendedahkan aurat maka mereka termasuk dalam golongan dayus.Masyarakat sekitar juga berperanan kearah mewujudkan pemakaian menutup aurat.Setiap anggota masyarakat juga perlu mempraktikkan pakaian yang menutup aurat agar pemakaiannya menjadi majority yang besar.

5.0 KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya dapatlah dikatakan bahawa agama Islam adalah agama yang menjaga penganutnya dalam semua aspek kehidupan termasuklah soal aurat.Oleh itu, sebagai orang Islam kita haruslah berusaha kearah mentaati perintah Allah Subhanahu wa ta’ala khususnya tentang penutupan aurat.Dalam suasana masyarakat di negara kita sekarang yang wujud pelbagai gejala social, tindakan liar terhadap kaum wanita dan sebagainya.Maka sudah sampai masanya umat Islam kembali kepada tuntutan Islam yang murni dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.Buangkanlah sikap dan anggapan bahawa menutup aurat itu satu tanda kearah kemunduran, menakutkan para pelabur dan pelancong dan lain-lain tanggapan negatif.Islam tidak pernah membawa umatnya kearah kemunduran dan kemusnahan tetapi pengabaian umat terhadap pengajaran dan hukumnya telah menjadi punca keruntuhan tamadun manusia.

6.0 RUJUKAN/BIBLIOGRAFI

1. Ahmad, S. (2004). Aurat Kod Pakaian Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
2. Shofian Ahmad.Aurat Kod Pakaian Islam.2004.Kuala Lumpur:Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
3. Ahmad, S. (2004). Aurat Kod Pakaian Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
4. Habibie, M. (2005). Pendidikan Agama Islam. Indonesia: PT Grafindo Media Pratama.
5. Maszlee Malik, H. m. (2006). Fikah Luar Negara: Mudah Praktik Islam di Mana-Mana. Kuala Lumpur: PTS Millennia.
6. qadhrawi, s. m. (1980). halal dan haram dalam Islam. singapura: himpunan belia Islam.


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment