Thursday, October 15, 2015

Tajuk: Hamka Sebagai Tokoh Pendakwah Terulung

PENDAHULUAN

Ulama adalah pewaris nabi. Ulama bukan sahaja mempunyai tahap penguasaan ilmu yang tinggi, tetapi juga mampu memahami dan memperjelaskan makna dan hakikat di sebalik sesuatu perkara kepada masyarakat dengan berkesan. Selain itu, seseorang ulama juga memiliki keperibadian unggul sebagai hamba Allah, ketua keluarga, pendakwah dan pemimpin masyarakat yang boleh dicontohi dan dijadikan sumber inspirasi bagi membangunkan negara dan ummah. 

Hamka merupakan ulama yang mempunyai ciri-ciri yang lengkap seperti yang dinyatakan di atas. Meskipun berasal dari kawasan pedalaman dan tidak pernah mengikuti pengajian secara formal di university, namun keilmuan yang dimiliki oleh tokoh ini diiktiraf oleh umat Islam sekitar Nusantara serta seluruh dunia, lantaran penguasaan tokoh ini pada pandangan alam Islam dan Barat. 

Disini, akan diterangkan tentang latar belakang tokoh ini, pendidikan serta sumbangan beliau dalam bidang dakwah, bahasa, politik dan keilmuan supaya dapat dijadikan contoh dan ikutan kepada generasi pada hari ini khususnya golongan belia dan remaja yang merupan pewaris bangsa. 

3. 0 ISI PERBINCANGAN

3. 1 Latar Belakang Hamka
Nama beliau ialah Haji Abdul Malik Karim Amrullah. Beliau dilahirkan pada 17 Februari 1908 (14 Muharram 1326H) di Desa Kampaug Molek, Maninjau, Sumatera Barat. Beliau adalah seorang ulama, aktivis politik, sasterawan dan penulis yang terkenal bukan sahaja di Indonesia bahkan di Nusantara. Ayahnya Syeikh Abdul Karim bin Amrullah atau dikenali sebagai Haji Rasul, seorang pelopor Gerakan Islah (tajdid) di Maningkabau. Ibunya bernama Siti Safiyah binti Gelanggar. Selepas pulang dari Makkah pada tahun 1906, ibunya mendapat gelaran Bagindo nan Batuah. 

Menurut sejarah, bapa beliau pernah dibuang daerah oleh penjajah Belanda ke Sukabumi pada tahun 1941. Hal ini berlaku kerana pihak belandan menganggap fatwa yang dikeluarkan oleh ayah beliau sebagai membahayakan penjajah dankeselamatan umum. 

Keilmuan dan ketokohan beliau mendorong beberapa pihak university mengambilnya sebagai pensyarah dalam bidang agama dan falsafah seperti Universiti Islam Jakarta, Universiti Mohamadiah Sumatera Barat, Universiti Islam Pemerintah di Jogjakarta dan Universiti Islam Makasar,

Di samping itu, Universiti Al-Azhar di Mesir juga menganugerahkan Doktor Kehormat dalam tahun 1958. Seterusnya, pada 7 Jun 1974 beliau menerima ijazah Doktor Persuratan dari Universiti Kebangsaan Malaysia. 

3. 2 Pendidikan Hamka

Hamka mendapat pendidikan rendah di Sekolah Rendah Dasar Maninjau sehingga kelas dua. Pada masa Hamka berusia 10 tahun, ayahnya menubuhkan Sumatera Tawalib di Padang Panjang. Di sekolah ini, beliau mempelajari agama dan bahasa Arab. Beliau sering mengikuti kuliah agama di surau dan masjid yang disampaikan oleh ulama terkenal seperti Syeikh Ibrahim Musa, Syeikh Ahmad Rasyid, Sutan Mansur, R. M Surjopranoto, Ki Bagus Hadikusumo dan Syeikh Ibrahim Musa di Bukit Tinggi. 

Pada tahun 1924, Hamka berhijrah ke Jawad an belajar dengan pemimpin gerakan Islam Indonesia iaitu Haji Omar Said Chakraminoto, Haji Fakhrudin dan Hadi Kesumo. 

Selain mahir dan pakar dalam bidang agama, beliau turut menguasai falsafah, sastera, sejarah, sosiologi, dan politik dengan pemahaman yng luas. Kebolehan dalam bahasa Arab juga memberikan kelebihan kepada beliau mengkaji dan menyelidik karya ulama dan pujangga besar serta terkenal di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-Aqad, Mustafa al-Manfaluti dan Hussain Haikal. 

Tidak cukup sekadar itu, beliau juga meluaskan bidang keilmuan beliau dengan karya-karya sarjana Perancis, Inggeris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Sigmund Freud, Arnold Toynbee, Jean Paul Sartre, Karl Marx dan Pierre Loti. Beliau juga terkenal sebagai seorang pemidato yang handal dan sering bertukar-tukar fikiran dengan tojok-tokoh seperti HOS Tjokroaminioto, Raden Mas Surjopranoto, Haji Fakhruddin, Al-Sutan Mansor dan Ki Bagus Hadikusumo. 
3. 3 Sumbangan Dalam Bidang Dakwah

Banyak sumbangan yang diberikan Hamka dalam perkembangan informasi Islam, khususnya apabila beliau menganggotai secara aktif gerakan Muhammadiyah. Pada tahun 1925, beliau memerangi ajaran sesat kebatinan, menentang khurafat, bid’ah dan tarekat di Padang Panjang. Pada tahun 1928 beliau mengetuai cawangan Muhammadiyah di Padang Panjang. 

Pada tahun 1929, Hamka menubuhkan pusat latihan pendakwah Muhammadiyah dan dua tahun kemudian beliau dilantik menjadi Ketua Majlis Pimpin Muhammadiyah di Sumatera Barat. Seterusnya, beliau dilantik menjadi penasihat pimpinan Pusat Muhammasiyah pada tahun 1953. 

Seterusnya, pada tahun 1977, Menteri Agama Indonesia iaitu Dr. Mukri Ali melantik Hamka sebagai Ketua Umum Majlis Ulama Indonesia. Walaupun demikian, pada tahun 1981, Hamka melepaskan jawatan itu kerana fatwa yang dikeluarkan beliau tidak dipedulikan oleh pemerintah Indonesia. 

Antara kekuatan Hamka dalam bidang ini adalah kelebihan beliau menyampaikan pidato. Bicara dan kata-kata beliau mampu menyentuh dan melunakkan hati ribuan insansehingga mereka terdorong melakukan pengislahan kearah kebaikan. Kekuatan minda dan kefasihan lidah beliau dalam memberikan hujah, analogi dan contoh yang tepat juga menggerakkan minda para pendengar beliau berfikir dan merenung kebenaran pengajaran yang disampaikan oleh beliau. 

Berbekalkan kekuatan ini, maka tidak hairan apabila beliau sering mendapat undangan bagi menyampaikan ceramah di media-media elektronik. Bukan itu sahaja, beliau pernah diundang menghadiri muktamar Islam di peringkat antarabangsa dan menyampaikan dakwah ke Benua Eropah dan Amerika Syarikat. 

3. 4 Perjuangan Mendaulatkan Bahasa Melayu-Jawi

Hamka juga terkenal sebagai pejuang bahasa Melayu-Jawi. Hamka membicarakan Sumpah Pemuda 1928 bagi menunjukkan bahasa Melayu mesti digunapakai di Nusantara walaupun berbeza namanya iaitu Bahasa Indonesia di Indonesia dan Bahasa Melayu di Malaysia. Beliau menegaskan Bahasa Melayu harus dinamik, maju dan berkembang. 

Namun, penggunaan tulisan rumi yang meluas membangkitkan kebimbangan beliau tentang berberapa perkara. Pertama, penggantian huruf jawi dengan huruf rumi akan memberi kesan pada hubungan antara generasi barudengan perbendaharaan kata awal. Penggunaan huruf rumi juga memungkinkan orang Melayu kehilangan sumber asli ilmu-ilmu yang ditulis dengan huruf Melayu-Jawi. Kedua, penggantian perkataan Arab bagi memperkayakan Bahasa Indonesia dengan memasukkan perkataan Jawa, Sanskrit dan Belanda ke dalam Bahasa Indonesia berlaku tanpa batas. Ketiga, cabaran dari segi kebudayaan iaitu melalui bahasa juga boleh melemahkan perkembangan Islam. 

Oleh itu, Hamka berdiri teguh mempertahankan Bahasa Melayu sebagai bahasa Ligua Francadi Alam Melayu dan beliau menggunakan Bahasa Melayu bagi berkomunikasi serta yakin sebenarnya Bahasa Melayu adalah bahasa ilmu selain menjadi bahasa perpaduan kaum majmuk yang terdapat di Alam Melayu. 

3. 5 Pengelibatan Dalam Politik Tanah Air

Pengelibatan beliau dalam bidang politik bermula pada tahun 1925, iaitu pada masa beliau mengangotai Parti Politik Sarekat Islam. Pada tahun 1945, Hamka turut serta membantu usaha menentang penjajahan Belanda melalui pidatonya bagi menyedarkan dan memberi semangat kepada masyarakat umum supaya bersama-sama menentang kegiatan gerila hutan di Medan. 

Pada tahun 1947, Hamka dilantik sebagai ketua Barisan Pertahanan Nasional, Indonesia. Beliau juga menyertai Konstituate Masyumi dan menjadi pemidato utama dalam Pilihanraya Umum tahun 1965. Dua tahun kemudian, Masyumi diharamkan oleh pemerintah Indonesia. Pada tahun 1960, beliau dilantik sebagai Pergawai Tinggi Agama oleh Menteri Agama Indonesia, tetapi meletakkan jawatan itu apabila Sukarno memaksa beliau memilih antara pegawai negeri atau bergiat dalam politik Majlis Syura Muslimin Indonesia (Masyumi)

3. 6 Sumbangan Dalam Bidang Penulisan

 Beliau banyak menulis dalam menerbitkan buku serta majalah. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang kewartawanan, terutama sebagai editor di majalah dan akhbar. Pengalaman ini menajamkan pengetahuannya bukan sahaja dalam bidang agama, bahkan juga dalam bidang penulisan kreatif. Kegiatan beliau dalam bidang penulisan ini memberi peluang keemasan kepada beliau bagi memuatkan tulisan beliau dalam majalah itu bagi memenuhi ruangan yang disediakan lebih-lebih lagi beliau bertugas sebagai ketua redaksi majalah Pedoman Masyarakat (1935 – 1942). Majalah ini bertujuan memperjuangkan politik Islam khususnya bagi pergerkan Majlis Islam Indonesia (MII) yang kemudiannya ditukar nama menjadi Majlis Syura Muslim Indonesia (Masyumi). 

 Di samping itu, majalah ini juga pro-aktif bagi membangkitkan kesedaran Islam dalam kalangan umat Islam. Majalah ini turut mendukung perjuangan Islam dalam kebudayaan termasuk perjuangan seni, sastera, akhlak dan ilmu pengetahuan yang bersumberkan Islam. Penulis-penulis diberi kesempatan bagi menghantar karya mereka dalam majalah ini. 

Dalam majalah Pedoman Masyarakat, terdapat ruangan “Tuntutan Jiwa”, “Penuntut Budi”, “Sajak” dan “Cermin Hidup” dan lain-lain. Di bawah kepimpinan beliau, pengeluaran majalah ini meningkat daripada 500 naskah kepada 5000 naskah sebelum diberhentikan oleh penjajah Jepun pada tahun 1942. Pengalaman beliau berada di rantau orang sebagai pendakwah atau mewakili gerakan Muhammadiyah di Medan, Deli dan Makasar banyak membantunya menghasilkan karya-karya kreatif seperti Tuan Direktur, Merantau ke Deli dan Tenggelamnya Kapal Van der Wijck. Begitu juga pengalaman beliau semasa berada di Makkah. Beliau sempat menghasilkan novel Di Bawah Lindungan Kaabah. Ringkasannya, karya-karya Hamka adalah wadah bagi menyebarkan syiar Islam, memperjuangkan kebenaran dan menegakkan Islam. 

 Antara kekuatan karya kesusasteraan Hamka adalah keberkesanan beliau dalam mengekspresikan luahan perasaan sama ada gembira atau sedih. Bagaimanapun, lebihberjaya dalam menggambarkan kesedihan yang menimbulkan simpati dan keharuan sehingga novel beliau sering dikenali sebagai novel air mata. Hamka juga menerapkan pandangan tasawuf dalam karya kreatifnya. Contohnya, novel berjudul Di Bawah Lindungan Kaabah, memperlihatkan ciri-ciri tasawuf yang menjadi kecenderungan Hamka. Ia mengisahkan persoalan cinta yang ada pada hakikatnya baik, tetapi sebaliknya akan berlaku sekiranya cinta tidak disedari dengan etika dan akhlak Islam. Cinta Hamid kepada Zainab adalah cinta yang tulus tetapi berakhir dengan kegagalan. Akhirnya merekah mengalihkan cinta kepada yang lebih agung iaitu cinta kepada Ilahi. 

 Konsep mahabbah (kasih sayang) ini diamalkan oleh ahli sufi yang dikenali sebagai “aliran Basrah”. Ia dipelopori oleh Hasan al-Basri dan Rabiatul Adawiyyah. Semasa Hamid berada di Makkah, dia menumpikan cinta sepenuhnya kepada Ilahi dan akhirnya dia meninggal dunia apabila selesai menunaikan fardu haji. Beliau juga sempat memohon keampunan kepada Allah di Multazam di hadapan Kaabah. Dalam hal ini, A. Hasymy memberi pandangannya tentang Hamka dengan menyatakan, “Cerpen-cerpen dan novel-novel beliau semuanya berjiwa Islam dan kadang-kadang pengaruh tasawuf sangat terasa. Kita akui karya-karya Hamka adalah bertendensi. 

 Justeru, hasil tulisan beliau banyak memberi petunjuk dan ilham kepada para pembaca. Karya-karya Hamka juga membangkitkan semangat perjuangan di kalangan para pembaca seperti karya-karyanya dalam majalah selepas perang. Majalah Panji Masyarakat umpamanya diharamkan oleh Sukarno pada tahun 1960 iaitu setahun selepas penerbitannya. Bagaimanapun, majalah ini diterbitkan semula dalam pemerintahan order baru Suharto tahun 1966. 

 Hamka pernah dipenjarakan pada awal tahun 1960-an iaitu pada zaman pemerintahan Sukarno dan pada masa Komunis bermaharajalela. Akibatnya, buku-buku beliau turut dibakar. Di dalaam penjara, beliau tidak mensia-siakan masa bahkan mengarang dan menulis kitab Tafsir al-Azhar yang dianggap sebagai karya yang terbesar beliau dalam bidang agama. 
 Menurut sejarah, semasa President Sukarno meninggal dunia, Hamka dijemput dan dirayu supaya mengimami solat jenazah. Pada mulanya, Hamka agak keberatan menunaikannya keran sikap Sukarno masa hidupnya begitu dipertikaikan. Tambahan pula, beliau pernah dikenakan hukuman penjara selama hampir dua tahun di bawah regim Sukarno yang menuduhnya sebagai pengkhianat negara Indonesia. Namun, apabila teringatakn sifat Allah yang maha pengampun bagi mengampun dosa-dosa hambaNya, Hamka bersetuju bagi mengetuai solat jenazah itu. 

Antara karya-karya Hamka ialah :
1. Khatibul Ummah, Jilid 1-3. Ditulis dalam huruf Arab
2. Si Sabariah (1928)
3. Pembela Islam (1929)
4. Adat Minangkabau dan agama Islam (1929)
5. Ringkasan tarikh Umat Islam (1929)
6. Kepentingan melakukan tabligh (1929)
7. Hikmat Isra’ dan Mikraj
8. Arkanul Islam (1932)
9. Laila Manjun (1932)
10. Majalah Tentera : 4 nombor (1932)
11. Majalah Tentera : 9 nombor (1932)
12. Mati mengandung malu (1934)
13. Di Bawah Lindungan Ka’bah (1936)
14. Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (1937)
15. Di Dalam Lembah Kehidupan (1939)
16. Merantau ke Deli (1940)
17. Margarette Gautheir (1940)
18. Tuan Direktur (1939)
19. Dijemput Mamaknya (1939)
20. Keadilan Ilahi (1939)
21. Tasawuf Moden (1939)
22. Falsafah Hidup (1939)
23. Lembaga Hidup (1940)
24. Lembaga Budi (1940)
25. Majalah ‘Semangat Islam’ (1943)
26. Majalah Menara (1946)
27. Negara Islam (1946)
28. Islam dan Demokrasi (1946)
29. Revolusi Fikiran (1946)
30. Revolusi Agama (1946)
31. Adat Minangkabau Menghadapi Revolusi (1946)
32. Dibantingkan Ombak Masyarakat (1946)
33. Di Dalam Lembah Cita-cita (1946)
34. Sesudah Naskah Renville (1947)
35. Pidato Pembelaan Peristiwa Tiga Maret (1947)
36. Menunggu Beduk Berbunyi (1949)
37. Ayahku (1950)
38. Mandi Cahaya di Tanah Suci (1950)
39. Mengembara di Lembah Niel (1950)
40. Ditepi Sungai Dajlah (1950)
41. Kenangan-kenangan hidup 1
42. Kenangan-kenangan hidup 2
43. Kenangan-kenangan hidup 3
44. Kenangan-kenangan hidup 4
45. Sejarah Hidup Umat Islam 1
46. Sejarah Hidup Umat Islam 2
47. Sejarah Hidup Umat Islam 3
48. Sejarah Hidup Umat Islah 4
49. Pedoman Mubaligh Islam (1937 & 1950)
50. Peribadi (1950)
51. Agama dan Perempuan (1937)
52. Muhammadiyah Melalui 3 Zaman (1946)
53. 1001 Soal Hidup (1950)
54. Pelajaran Agaman Islam (1956)
55. Perkembangan Tasawuf dari abad ke abad (1952)
56. Empat Bulan di Amerika jilid 1
57. Empat Bulan di Amerika jilid 2
58. Pengaruh ajaran Muhammad Abduh di Indonesia (1958)
59. Soal Jawab (1960)
60. Dari Perbendaharaan Lama (1963)
61. Lembaga Hikmat (1953)
62. Islam dan Kebatinan (1972)
63. Fakta dan Khayal Tuanku Rao (1970)
64. Sayid Jamaluddin Al-Afhany (1965)
65. Ekspansi Ideologi (1963)
66. Hak Asasi Manusia dari segi pandangan Islam (1968)
67. Falsafah Ideologi : Alghazwul Fikri (1963)
68. Keadilan sosial dalam Islam (1950)
69. Cita-cita kenegaraan dalam ajaran Islam (1970)
70. Studi Islam (1973)
71. Himpunan khutbah-khutbah
72. Urat Tunggang Pancasila
73. Doa-doa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam (1974)
74. Sejahtera Islam di Sumatera
75. Bohong di Dunia
76. Muhammadiyah di Minangkabau (1975)
77. Pandangan Hidup Muslim (1960)
78. Kedudukan Perempuan Dalam Islam (1973)
79. Tafsir Al-Azhar Juzu’ 1-30

3. 7 Pandangan Hamka Tentang Pendidikan dan Pengajaran

Hamka secara konsisten membezakan istilah pendidikan dan pengajaran. Perbezaan ini dapat dikenal pasti dari penghuraian tokoh tenang unsur-unsur yang terlibat dalam kedua-dua istilah ini. Pembentukan budi pekerti dan akhlak yang mulia adalah unsur yang dominan dalam proses pengajaran. Menyentuh tentang hal ini, Hamka mengatakan sebenarnya, “Bangsa yang hanya mementingkan pengajaran sahaja, tiada mementingkan pendidikan bagi melatih budi pekerti, meskipun kelak tercapai oleh kemajuan, namun kepintaran dan kepamdaian itu akan menjadi racun, bukan menjadi ubat, ”. 

Penerangan yang diberikan ini juga memberikan satu kefahaman pada kepelbagaian unsur-unsur yang terdapat dalam manusia iaitu unsur akal, roh, jiwa dan jasad. Proses pengajaran hanya khusus kepada potensi akal sahaja, sedangkan pendidikan adalah proses bagi membangunkan semua potensi unsur-unsur manusia yang akhirnya menjelmakan satu akhlak yang murni. 

Akhlak yang murni inilah seringkali diistilahkan oleh Hamka sebagai budi pekerti. Oleh itu, proses pembaikan rohani ini adalah focus utama dalam proses pendidikan manusia yang mana akhirnya dapat membentuk watak peribadi, orang yang berguna dalam masyarakat dan tahu membezakan baik dan buruk. 

Berkaitan tujuan pendidikan, Hamka mengingatkan para penuntut ilmu supaya meletakkan niat belajat semata-mata mencari keredaan Allah. Hanya dengan berpegang teguh kepada niat benar, peribadi berakhlak dapat dibangunkan. Meskipun pendidkan moden lebih mengutamakan kecergasan otak, namun kecerdasan otak tidak menjamin keselamatan dan kebahagiaan sekiranya nilai rohani keagamaan tidak dijadikan dasar pendidikan. 

Hamka jugak secara terbuka mengkritik pengamal di sekolah-sekolah yang tidak menjurus kepada pendidikan budi pekerti walaupun ada diajar subjek pendidikan Islam. Beliau mengatakan, “Banyak sekolah yang mengajar agama tetapi tidak mendidik agama. Maka, keluar anak muda yang cirinya alim ulama, bahasa Arabnya sepeti air yang mengalir tapi budinya rendah”. Beliau juga menambah dan menyatakan maksud yang sama tentang proses pengajaran yang berlansumg di sekolah. Kata beliau, “Sekolah yang menekankan aspek pengajaran sahaja akan melahirkan murid yang banyak ilmunya tetapi budinya kurang. Hasilnya adalah anak muda yang tidak tahu tujuan hidup serta tidak dapat berkhidmat kepada tanah air”. 

Hamka begitu menekankan pendidikan agama kerana agama adalah tonggak kejayaan keseluruhan sistem pendidikan. Dengan pengamatan mendalam, Hamka menjelaskan, “Agama dapat menghidupkan dan menyedarkan serta menginsafkan di hatimu perasaan tahu akan hargainya hidup ini. Di dalam janting, ada perasaan percaya dan mempunyai cita-cita yang maha besar. Agama tidak menimbulkan putus asa, tetapi mengajarmu menjadi manusia yang tahu akan harga diri dan memberi kemerdekaan pula bagi orang lain yang berlaku menurut timbangannya, serta cinta cinta akan kewajipan”. 

Menurut beliau lagi, pendidikan agama sangat penting bagi memperbaiki akhlak. Dari masa ke semasa, penuntut ilmu perlu berusaha memperbaiki dan mempertingkatkan amalan dirinya, sepadan dengan ilmu yang dipelajari, usaha dan kesungguhan dalam menuntut ilmu hanya menjadi sia-sia. Di samping itu, beliau juga memperincikan peranan yang harus dimainkan oleh setiap guru. Guru bukan sahaja sekadar perlu berusaha menanamkan ilmu sahaja, tetapi budi, persaudaraan dan kesatuan haruslah diterapkan kepada para pelajar. 

Justeru, beliau menyarankan supaya para guru sentiasa berusaha memperluaskan pengalaman, pembacaan dan memperteguhkan diri dengan kemajuan dunia moden dan sering berbincang sesama rakan guru bagi memperbaiki usaha pendidikan kepada murid. 

Berkaitan soal tanggungjawab murid pula, beliau berpesan supaya para penuntut ilmu membersihkan diri dari pelbagai dosa dan meluruskan niat. Bagi memperolehi kelurusan dalam niat, beliau mengingatkan para pelajar memperbanyakkan menyebut nama Allah daan sentiasa duduk berfikir bagi mengingati nikmat-nikmat yang diberikan oleh Allah. Kedua-dua amalan ini dapat membangkitkan rasa insaf dan rasa terhutang budi kepada Allah. Di samping memberi dorongan yang kuat supaya ikhlas melakukan amalam semata-mata kerana-Nya. 

Selain itu, beliau juga menitikberatkan amalan berfikir dan merenung. Bagi beliau, berfikir adalah suatu kemestian kerana kejayaan sesuatu pekerjaan sangat berkait rapat dengan kekuatan fikiran meneliti, merancang dan melaksanakan usaha. Oleh sebab itu, akaf fikiran perlu sentiasa diasah dan dipertajamkan dengan menuntut ilmu. Malah, menuntut ilmu itu penting bagi menjamin kesihatan mental. 

Tambahan pula, beliau turut berpesan supaya penuntut ilmu melazimi bahawa buku dan pen supaya dapat menulis ilmu-ilmu yang diperolehi. Buku itu adalah bagi menulis apa yang dating di fikiran, buah renungan yang tiba-tiba muncul dan juga ilham yang menjelma ke dalam ingatan dengan cara tidak disangka-sangka. 

Hamka mengatakan, “Barang yang begitu mahal harganya, sukar didapati, lekas-lekas tangkap dan ditulis pada buku catatan. Melalaikan barang yang demikian adalah kerugian yang besar”. Menurut beliau lagi, perbuatan menulis ilmu yang kecil-kecil itu menjadi kebiasaan ulama-ulama dahulu. Oleh sebab itu, penulisan ulama terdahulu mempunyai kesenian dan, meninggalkan kesan yang mendalam dalam penyebaran ilmu pada masa itu. 

3. 8 Kembali Ke Rahmatullah

Hamka meninggal dunia di usia 72 tahun, pada 24 Julai 1981 jam 11. 10 pagi waktu Malaysia. Beliau dikatakan mengalami serangan penyakit jantung. Pemergiannya menghadap Ilahi, meninggalkan sumbangan yang besar pada perkembangan Islam di Indonesia dan di rantau ini. Benar sebagaimana yang Rasulullah yang bermaksud, “Seseungguhnya perbandingan ulama di bumi seperti bintang-bintang di langit yang boleh dijadikan panduan di dalam kegelapan di bumi dan di laut”. 

 Berkaitan hakikat kehidupan di dunia, Hamka menyatakan, “Kerena sudah demikian mestinya hidup itu, habis kesulitan yang satu akan menimpa pula kesulitan yang lain. Kita hanya beristirahat buat sementara, mengumpulkan kekuatan bagi menempuh perjuangan yang baru. Sebab itu, maka jangan kita menangisi waktu mendaki, sebab di bali puncak perhentian pendakian itu, menunggu daerah yang menurun hanya satu yang akan kita jaga disana iaitu kuatkan kaki supaya tidak tergelincir. Dan tak usah kita tertawa pada waktu menurun kerana kita akan menempuhpendakian pula, yang biasanya lebih tinggi dan menggoyahkan lututdaripada pendakian dahulu. Dan baru kelak akhirnya, akan berhenti pendakian dan penurunan itu, di satu padang yang luas terbentang, bernama maut”. 

4. 0 CADANGANDAN KESIMPULAN

Daripada penulisan yang ringkas ini, dapat disimpulkan sebenarnya Hamka adalah ulama Nusantara yang terulung khususnya dalam dunia keilmuan Islam di Nusantara. Dalam gerakan dan penulisannya terlihat banyak unsur-unsur tasawuf dengan jelas yang menekankan soal pembaikan hati dan amalan rohaniah. Hamka juga adalah salah satu tokoh agama yang melibatkan diri dalam bidang dakwah dan politik secara aktif. Beliau menggunakan setiao ruang dan peluang yang ada sebagai kesungguhannya menyampaikan Islam kepada masyarakat, baik melalui pidato ataupun penulisan beliau yang berani, toleran, benar dan ikhlas. Maka, beliau tidak lari dari terpaksa berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran khususnya daripada pemerintah Indonesia sendiri. 

 Namun, Allah merahmati beliau dengan menganugerahkan kekuatan dan keteguhan peribadi sehingga beliau tidak lansung goyah dalam mempertahankan prinsip-prinsip dirinya yang berpegang kepada kebenaran. Sememangnya, beliau adalah contoh dan model yang tepat bagi dijadikan sumber inspirasi umat Islam bagi mencapai kecemerlangantertinggi baik di dunia mahu pun akhirat. 

5. 0 RUJUKAN


  1. AHMAD, N. R. (2011). Ilmuawan Nusantara : mutiara ilmu tanah serumpun. Selangor, Malaysia: PTS ISLAMIKA SDN. BHD. 
  2. Fealy. (2006). Voice Of Islam In Southeast Asia. Pasir Panjang, Singapore: ISEAS Publications. 
  3. Othman, F. (1997). Islam & Pembangunan. Kuala Lumpur, Malaysia: Utusan Publications & Distributors SDN. BHD. 
  4. Hassan, N. M. (19994). Islam & Ciri Masyarakat Terulung. Kuala Lumpur, Malaysia: Percetakan Zafar SDN. BHD. 
  5. Ramli, I. (1990). Kenang-kenangan Hidup. Perlis, Malaysia: Jawatankuasa Gerakan Membaca Negeri Perlis. 
  6. Abdullah, A. R. (2010). Sejarah Ikhtilaf Mazhab Di Malaysia. Selangor, Malaysia: Karisma Publication SDN. BHD. 
  7. Othman, M. R. (1996). Gerakan Pembaharuan Islam. Pulau Pinang, Malaysia: Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM). 


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment