Sunday, October 18, 2015

Tajuk: Konsep Sains Botani Menurut Islam

PENDAHULUAN
Risalah ringkas ini menghimpunkan serta menjelaskan tentang konsep sains botani menurut pandangan Islam. Allah telah mengurniakan nikmat yang tidak terhingga kepada manusia. Sebagai manusia kita seharusnya bersyukur dan harus bijak menggunakan segala nikmat yang dipinjamkan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. Di dalam al-Quran telah dijelaskan akan segala perkara dari sekecil-kecil zarah sehingga sebesarnya. Bingkisan kali ini membuka pandangan kita untuk lebih mengetahui tentang kekuasaan Allah Subhanahu wa ta’ala dalam bidang sains botani menurut Islam. Konsep sains botani menurut Islam ini merangkumi pengenalan mengenai botani, sumbangan-sumbangan botani dalam Islam, tokoh-tokoh botani Islam, dan manfaat ataupun kebaikan botani dalam Islam. Berharap dengan adanya risalah seperti ini dapat memberi manfaat kepada kita untuk lebih mengetahui tentang sains botani dalam Islam.

PENGENALAN
Sains botani merupakan salah satu bidang kajian dalam Biologi yang mengkhususkan diri dalam mempelajari keseluruhan aspek biologi tumbuh-tumbuhan. Dalam bidang Botani mereka mempelajari semua cabang ilmu Biologi untuk mempelajari pertumbuhan, metabolisme, perkembangan, interaksi dengan komponen biotik dan abiotik, serta evolusi tumbuhan.

Hal ini demikian, bidang Botani telah menarik minat dan menjadi perhatian khususnya bagi saintis-sainstis Islam kerana kepetingan tumbuh-tumbuhan dan impaknya dalam perubatan amat diperlukan oleh masyarakat Islam pada suatu ketika dahulu. Para saintis Islam telah berusaha untuk menghasilkan ubat-ubatan bagi membantu merawat dan menyelamatkan nyawa pesakit. Mereka melakukan kajian dan penyelidikan tentang tumbuh-tumbuhan dan khasiat serta kelebihan setiap tumbuhan yang dijumpai di serata wilayah.

Dengan kepakaran dan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala, para saintis Islam ini telah berjaya menghasilkan pelbagai jenis ubatan yang mampu merawat dan juga menyelamatkan nyawa pesakit. Mereka hanya menggunakan sumber tumbuhan yang mereka jumpai dan melakukan beberapa kajian terlebih dahulu untuk menghasilkan ubatan yang terbaik. Setiap tumbuhan yang mereka jumpai akan diklasifikasikan mengikut ciri-ciri tertentu.

Ilmu mengenai Botani telah mencapai kemuncak jayanya yang bermula di Sepanyol. Oleh itu, kebanyakan sumbangan dalam bidang Botani dapat dilihat di Sepanyol. Hal ini secara tidak langsung telah melahirkan saintis-saintis Botani yang terkemuka di tanah Eropah tersebut. Hasil daripada usaha dan kajian yang dilakukan oleh para saintis Botani muslim di Sepanyol, mereka telah berjaya menemui pebezaan mengenai jenis-jenis tumbuhan. Para saintis Botani Islam yang telah mempunyai minat dan tertarik dengan tumbuh-tumbuhan telah membawa mereka untuk menjelajah keseluruh pelusuk dunia yang terbentang luas ini untuk membuat kajian.

Selain itu, para saintis Botani Islam telah datang dari satu wilayah ke wilayah yang lain untuk mengeksplotasi kawasan pergunungan dan melihat keluasan gurun pasir sambil mencari jenis-jenis tumbuhan yang terdapat di kawasan gurun. Para saintis Botani Islam tersebut telah mengklasifikasikan tumbuh-tumbuhan yang mereka kumpulkan berdasarkan habitat tumbuhan dan cara pembiakan tumbuhan tersebut. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu mereka dengan mudah untuk mengetahui cara dan bahagian tumbuhan yang terlibat dalam berlakunya proses pembiakan ataupun percambahan.

Pada era tersebut, para saintis Botani Islam telah berjaya menemui pelbagai cara pembiakan tanaman. Antaranya, pembiakan melalui percambahan, pembiakan tangkai, dan melalui proses pembelahan sel sendiri seperti rumput liar.

Semasa revolusi pertanian Islam, para ahli sains Islam telah membuat kemajuan terbesar dalam bidang botani dan meletakkan sebagai asas sains pertanian. Para saintis botani Islam mempamerkan pengetahuan agronomi, teknik pertanian dan ekonomi termaju seperti meteorologi, kaji iklim, hidrologi, penggunaan tanah, dan ekonomi serta pengurusan pengusahaan pertanian. Mereka menunjukkan pengetahuan pertanian dalam bidang-bidang seperti pedologi tanah (kajian saintifik tentang pembentukan, ciri dan penggunaan tanah), ekologi pertanian, pengairan, persiapan tanah, penanaman, pembajaan, pencantuman, pemangkasan, fitoterapi, penjagaan dan pemeliharaan kultur dan tumbuhan, dan penuaian serta pengstoran tanaman.

Kesimpulannya, para saintis botani Islam telah berjaya mengembangkan ilmu botani jauh lebih tinggi sebelum masyarakat Barat memulakannya. Sains botani juga telah berkembang dari semasa ke semasa sehingga ke hari ini dan masih lagi memberi manfaat kepada manusia.

SUMBANGAN-SUMBANGAN SAINS BOTANI DALAM ISLAM
Seperti yang di ketahui, sains botani telah banyak berkembang dan melahirkan saintis-saintis botani Islam. Mereka telah berjaya membuat penyelidikan dan kajian dalam bidang botani ini. Pelbagai kejayaan yang telah mereka perolehi melalui kajian-kajian dan penyelidikan yang dilakukan dari zaman ke zaman.

Kajian-kajian dan penyelidikan yang dilakukan oleh para saintis botani Islam ini telah membuktikan kebesaran dan kekuasaan Allah Subhanahu wa ta’ala bahawa terdapat lebih daripada ratusan jenis tumbuh-tumbuhan yang diciptakan oleh-Nya yang terdiri daripada pelbagai jenis warna, saiz, bentuk, cara pembiakan, dan sebagainya.

Dalam konteks perkembangan sains Islam, bidang biologi telah dikaji oleh saintis biologi muslim dari sudut hubungan antara benda wujud kerana menurut pandangan semesta Islam dunia ialah satu penyatuan organik. Minat para saintis Islam dalam mengkaji botani didorong oleh beberapa faktor luaran iaitu untuk kepentingan sains perubatan dan keperluan dalam sains pertanian. Para saintis Islam menunjukkan minat yang begitu mendalam dalam kajian botani lantaran kebanyakkan ubatan yang digunakan untuk rawatan dan pemulihan berasal dan datangnya dari sumber tumbuhan herba dan pokok-pokok ubatan.

Kedatangan orang-orang Islam ke Andalus mampu mengasaskan satu bentuk ekonomi baru yang dikenali sebagai ekonomi mediteranean melalui sistem perladangan, perindustrian dan perdagangan. Orang-orang Islam yang memang terkenal dalam bidang perdagangan dan perniagaan telah menyumbangkan kepakaran dan kemahiran mereka dalam mengembangkan lagi pengaruh Islam di Eropah. Mereka mendirikan kedai-kedai perniagaan yang beroperasi mengimport barang-barang dari seluruh pelusuk dunia.

Umat Islam mengembangkan suatu pencapaian yang saintifik dalam bidang botani dan pertanian berasaskan kepada tiga elemen utama iaitu sistem canggih putaran tanaman, teknik irigasi dikembangkan secara tinggi dan pengenalan kepelbagaian besar tanaman yang telah dikaji dan dikatalogkan menurut musim, jenis tanah dan jumlah air yang mereka perlukan. Beberapa ensiklopedia mengenai sains botani dihasilkan dengan ketepatan dan perincian yang menyeluruh.

Di samping itu, umat Islam Andalus juga banyak memberikan sumbangan kepada masyarakat Eropah dalam bidang pertanian iaitu dengan memperkenalkan pelbagai jenis tanaman dan teknologi pertanian yang selama ini belum dikenali oleh mereka. Pelbagai jenis tanaman seperti padi, anggur, limau, kurma, tembikai kuning, ros biru, tebu, kapas dan sebagainya turut diperkenalkan. Begitu juga dengan teknologi-teknologi pertanian seperti empangan, saliran, cara pembiakan dan banyak lagi diperkenalkan kepada mereka. Segala pengalaman ini dicurahkan kepada masyarakat tempatan sehinggakan telah menjadi amalan di Eropah pada ketika itu.

Dalam bidang sains botani, umat Islam telah memberi sumbangan yang besar. Di kota-kota besar seperti Cardova, Kaherah, Baghdad dan Fez terdapat taman bunga yang cantik dan indah. Menurut Sarton, pencapaian umat Islam dalam bidang sains botani adalah jauh lebih hebat daripada pencapaian yang pernah diwarisi oleh bangsa Yunani.

Pada abad ke-9 M, buku-buku dalam bidang perubatan berbahasa Arab telah mula memberikan penekanan kepada bahagian-bahagian yang membincangkan mengenai tanaman serta tumbuh-tumbuhan dan kepentingan faedahnya dari segi perubatan. Antara buku yang paling penting dihasilkan pada abad tersebut ialah Kitab al-Nabat karya Abu Hanifah al-Dinawari. Buku ini menggabungkan filologi (sejarah nama tumbuhan) sejarah dan pendekatan yang digunakan dalam mengkaji tumbuhan.

Selain itu, dalam abad ke-10 M, beberapa kajian tumbuhan yang menggunakan pendekatan falsafah telah dihasilkan. Sekumpulan saintis Sufi telah menghasilkan beberapa kajian tentang marfologi asal-usul dan cara-cara tumbuhan membiak. Ibn Sina juga dalam bukunya yang berjudul al-Syifa’ telah membincangkan tumbuhan dari perspektif falsafah dan pandangan saintifik.

Dalam abad ke-12 M, Ibn Arabi telah menulis sebuah buku mengenai sains botani. Al-Ghafiqi dari Cardova telah menerbitkan sebuah buku tentang tumbuh-tumbuhan dan 50 jenis pohon buah-buahan. Al-Jahiz telah menghasilkan 350 buah buku di dalam pelbagai bidang seperti biologi kehaiwanan, tumbuhan, serangga, antropologi, ilmu ekonomi, perdagangan dan geografi. Karyanya yang berjudul “Al-Zar’u Wa al-Nakhl” dan “Al Ma’adin” menerangkan mengenai tumbuhan.

Berikutnya karya-karya botani yang berkaitan dengan perubatan telah dihasilkan oleh para pengkaji yang tinggi di wilayah-wilayah Islam. Segala kajian itu telah membantu mengenal pasti jenis akar kayu dan tumbuh-tumbuhan yang berkhasiat dan dapat digunakan dalam bidang perubatan.

Umat Islam turut menghasilkan kain dan kertas yang bermutu tinggi melalui kemajuan teknologi yang mereka miliki. Dalam bidang pertanian mereka telah berjaya membina kincir air dan kincir angin yang dapat membantu mereka dalam menghasilkan tumbuh-tumbuhan botani. Teknologi ini telah berkembang pesat ke seluruh wilayah dalam kegiatan pertanian di samping turut memajukan sesebuah wilayah tersebut. Aktiviti perdagangan dan perniagaan turut berkembang maju di wilayah-wilayah tersebut dengan adanya hasil pertanian yang di usahakan menggunakan teknologi-teknologi tersebut.

TOKOH-TOKOH SAINS BOTANI ISLAM
Antara tokoh-tokoh Islam dalam bidang sains botani ialah:

Al-Jahiz

Nama sebenar beliau ialah Abu Osman Amru b. Bahr. Beliau digelar Al-Jahiz (besar) kerana memiliki mata yang besar. Beliau telah dilahirkan dan dibesarkan serta meninggal dunia di Basrah, Iraq. Diriwayatkan bahawa beliau telah menghasilkan sebanyak 350 buah buku yang terdapat dalam pelbagai bidang seperti biologi kehaiwanan, tumbuhan, serangga, antropologi, ilmu ekonomi, perdagangan dan gegrafi. Di samping itu, beliau telah menulis buku “Al Zar’u wa al Nakhl” dan “Al Ma’adin”. Perbahasan buku ini selain menerangkan keadaan tumbuhan, ianya juga menyentuh mengenai masalah tanah dan serangga.

Ibn Al-Baitar

Ibn al-Baitar atau nama penuhnya Abu Muhammad Abdallah Ibn Ahmad Ibn al-Baitar Dhiya al-Din al-Malaqi adalah salah seorang saintis terulung Muslim Sepanyol. Beliau dilahirkan di sebuah kota dikenali Malaqa atau Malaga di Sepanyol pada akhir kurun ke-12. Beliau merupakan seorang ahli botani dan farmasi yang terkenal pada kurun pertengahan.

Beliau belajar ilmu botani daripada Abu al-Abbas al-Nabati. Perkara pertama yang dilakukannya ialah mengumpul tumbuh-tumbuhan dari seluruh Sepanyol. Pada tahun 1219M, beliau telah meninggalkan Sepanyol untuk menjalankan kerja-kerja mengumpul tumbuh-tumbuhan menerusi pengembaraan di bahagian utara susur pantai benua Afrika. Pengembaraan itu menjangkau sehingga ke benua Asia Kecil. Cara beliau mengembara sama ada di darat atau laut masih tidak diketahui sehingga hari ini. Bagaimanapun antara tempat-tempat yang beliau singgah dan lawati ialah Bugia, Qastantunia (Constantinople), Tunis, Tripoli, Barqa and Adalia.

Selepas tahun 1224M, beliau menyertai perkhidmatan al-Kamil kerajaan Gabenor Mesir dan dilantik sebagai ketua pakar herba. Pada tahun 1227M, al-Kamil telah meluaskan kuasanya sehingga ke Damsyek manakala Ibn al-Baitar mengiringinya ke sana yang mana ia turut menyumbang kepadanya untuk mengumpul tumbuh-tumbuhan di Syria. Penyelidikannya mengenai tumbuh-tumbuhan ketika itu turut diperluaskan ke beberapa kawasan lain termasuk Arab Saudi dan Palestin.

Di kedua-dua negara itu, beliau berpeluang melawat stesen penyelidikan dan mengumpul tumbuh-tumbuhan yang terdapat di situ. Beliau meninggal dunia di Damsyek pada tahun 1248M. Sumbangan utama Ibn Baitar ialah Kitab al-Jami fi al-Adwiya al-Mufrada yang merupakan salah sebuah kompilasi botani yang terhebat mengenai tumbuh-tumbuhan perubatan di Arab Saudi. Statusnya sebagai pakar botani terus unggul di kalangan ahli botani lain sehingga kurun ke-16. Ini ada kaitan dengan kerja-kerjanya yang penuh sistematik terutama pada awal penglibatannya dalam dunia botani. Kritikan yang diterimanya ketika itu tidak mematahkan semangat beliau, sebaliknya menyuntik semangat kepadanya untuk menyumbang dalam bidang botani.

Ensiklopedianya itu mengandungi kira-kira 1, 400 pelbagai perkara yang sebahagian besarnya mengenai tumbuhan perubatan dan sayur-sayuran. Lebih mengagumkan, ensiklopedia itu mendedahkan kira-kira 200 jenis tumbuh-tumbuhan yang sebelum itu tidak dikenali. Buku itu ditulis hasil rujukannya daripada 150 penulis lain yang kebanyakannya dari Arab Saudi dan ia turut memetik kenyataan 20 ahli sains terawal Greek. Ensiklopedia itu telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan diterbitkan pada tahun 1758M. Hasil karyanya yang kedua ialah Kitab al-Mlughni fi al-Adwiya al-Mufrada iaitu sebuah ensiklopedia perubatan. Beberapa jenis dadah telah disenaraikan mengikut kesesuaiannya dengan nilai-nilai terapeutik atau ilmu perubatan mengenai cara merawat atau mengubati penyakit.

Selain itu, terdapat 20 bab berlainan mengenai tumbuh-tumbuhan yang mempunyai signifikan dengan penyakit berpunca dari kepala, telinga, mata dan lain-lain. Beliau turut memetik kenyataan daripada pakar bedah Muslim terkenal, Abul Qasim Zahrawi untuk dimuatkan ke dalam bab berkaitan pembedahan.

Selain menggunakan bahasa Arab untuk menamakan tumbuh-tumbuhan yang ditemuinya, Ibn Baitar turut menggunakan bahasa Greek dan Latin untuk tujuan itu. Sumbangan Ibn Baitar dalam bidang ini lebih kepada karakter hasil pemerhatian, analisis dan klasifikasinya terhadap tumbuh-tumbuhan. Ia turut dilihat memiliki pengaruh dari Barat dan Timur dalam ilmu botani dan perubatan. Sejak kitab Jami diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa berkenaan, ramai ahli sains lain mula mengkaji isi kandungannya dan seterusnya menjadikannya sebagai bahan rujukan. Ibnu Baitar meninggal dunia di Damsyek pada tahun 1248M.

Al-Riyasa Ibn Jarit

Beliau menulis mengenai limau dan rubab serta cara penggunaannya. Beliau adalah seorang doktor dari Mesir dan juga merupakan doktor peribadi kepada Salahuddin al-Ayubi. Beliau telah meninggal pada tahun 1193M.

Al-Ghafiqi

Beliau berasal dari Cardova. Beliau telah berjaya mengkelaskan tumbuh-tumbuhan yang dikutip daripada Sepanyol dan Afrika. Beliau telah memberi nama tumbuh-tumbuhan yang dikajinya dalam bahasa Arab, Latin dan Barbar. Beliau telah menerbitkan sebuah buku tentang tumbuh-tumbuhan dan 50 buah jenis pokok buah-buahan telah dijadikan rujukan oleh pakar-pakar lain selepasnya. Karya beliau iaitu, “Al-Adwiah Al-Mufaradhah” mengenai herba perubatan telah menjadi rujukan oleh pakar-pakar yang lain dalam bidang tersebut. Beliau telah meninggal pada tahun 1165M.

Al-Nabati

Beliau menjalankan penyelidikan yang meluas sehingga ke negara Sepanyol, Afrika Utara, Arabia, dan Lautan Merah. Beliau telah menghasilkan Al-Rihlah yang menceritakan mengenai tumbuh-tumbuhan yang telah dijumpai olehnya.

Al-Dinawari

Al-Dinawari atau nama penuhnya Abu Hanifah Ahmad ibnu Dawud Dinawari. Berasal dari Parsi. Dilahirkan pada tahun 828 M di kota Dinawar, perbatasan diantara wilayah Hamadan dan Kermanshah (kini berada di Iran Barat). Beliau dikenali sebagai ilmuwan Islam yang serba boleh dalam pelbagai bidang. Selain menjadi bapa botani dari dunia Islam, beliau turut menguasai pelbagai ilmu seperti astronomi, pertanian, metalurgi, geografi, matematik dan sejarah.

Ketika revolusi pertanian Islam bergilir di era kekhalifahan, para jurutera Islam berjaya mencapai kemajuan yang begitu gemilang dalam ilmu tumbuh-tumbuhan terutama bidang botani. Para pakar botani Islam pada zaman keemasan Islam mampu menampilkan kepakaranya dalam bidang agronomi, agroteknik, meteorologi, klimatologi, hidrologi, penguasaan lahan, serta pengurusan usaha pertanian.

Beliau juga merupakan salah seorang jurutera Islam yang menjadi perancang di sebalik kejayaan Revolusi Hijau. Beliau telah dianggap sebagai pengasas botani Arab kerana di dalam bukunya yang bertajuk Kitab Tumbuhan, beliau menggambarkan sekurang-kurangnya 637 jenis tumbuh-tumbuhan.

Beliau turut membincangkan evolusi tumbuhan dari awal pembiakan sehingga akhir kematian, menggambarkan fasa pertumbuhan tanaman dan fasa bunga serta buah sesuatu tumbuhan. Ilmuan ini turut menjelaskan aneka jenis tanaman yang ditemuinya dari huruf sin hingga ya. Buku itu menjadi sumber utama tentang tanaman-tanaman dan penggolongan analisis (morfologi).

Selain itu, ilmu bahasa dan sastera juga telah menarik perhatian Al-Dinawari. Untuk mempelajari bahasa dan sastera, beliau telah berhijrah ke dua kota penting di Iraq pada zaman kejayaan Dinasti Abbasiyah. Beliau telah meninggal pada 24 Julai 896 M di kota kelahirannya, Dinawar. Sehingga kini penduduk kota Dinawar tidak pernah melupakan jasa dan sumbangan yang diberikan oleh Al-Dinawari dalam mengembangkan ilmu pengetahuan. Beliau juga di anggap sebagai penulis pertama yang mendiskusikan tentang bangsa Kurdi. Al-Dinawari dikenali sebagai seorang pemikir bertaraf dunia. Para ilmuan moden mengagumi ketelitian, ketepatan serta kehebatan ilmuan Parsi itu.

KESIMPULAN
Seperti yang diketahui, sains dan teknologi dalam Islam telah lama berkembang dan masih digunakan oleh manusia pada hari ini. Dalam bidang sains botani ini telah melahirkan ramai saintis Muslim dari seluruh dunia. Mereka berjaya menemui pelbagai jenis tumbuhan dan kaedah-kaedah pembiakan setiap tumbuhan tersebut. Pelbagai kajian yang berjaya dihasilkan oleh saintis-saintis Muslim sebelum Barat memulakanya. Teknologi-teknologi yang dihasilkan oleh mereka telah banyak memberi manfaat kepada manusia hari ini. Selain itu, pelbagai jenis ubatan yang telah berjaya dihasilkan daripada tumbuh-tumbuhan yang dijumpai melalui kajian-kajian yang terperinci. Ubat-ubatan tersebut masih lagi digunakan pada hari ini untuk menyembuhkan penyakit. Islam telah lama berkembang dari segala aspek berbanding Barat.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment