Thursday, October 15, 2015

Tajuk: Tamadun Islam Bermatlamatkan Kepada Menjaga Kesucian Agama Islam

Konsep Tamadun Islam
Menurut Professor Syed Naquib Al-Attas, Tamadun Islam membawa satu takrif
“Keadaan kehidupan insan bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakat”
Ibnu Khaldun menghuraikan maksud peradaban atau Tamadun Islam ini sebagai pencapaian manusia yang sudah melebihi keperluan asasi kehidupan sehingga dapat membuka jalan ke arah pemikiran dan penghasilan daya cipta yang lebih halus dan mempunyai nilai-nilai seni
Dari sudut bahasa Arab, terdapat beberapa istilah yang digunakan dalam konteks Tamadun Islam iaitu madaniah, tamadun, hadarah dan umran. Ibnu Khaldun dalam kitabnya Al-Muqaddimah memberi erti umran sebagai kawasan tanah yang didiami, tinggal menetap, berkembang subur dan maju. Hadarah pula ialah satu daerah, bandar, kota, kampong atau tanah yang diusahakan. Perkataan tamadun pula membawa erti memiliki ciri-ciri hidup bandar atau bertamadun dari aspek yang akan diterangkan dalam ciri-ciri tamadun nanti. 

Asas-asas tamadun Islam
Tamadun Islam mempunyai beberapa asas yang penting dalam mewujudkan pembangunan kebendaan dan kerohanian umat Islam iaitu asas keimanan, asas ‘ubudiyah, asas syariah dan asas akhlak. Keempat-empat asas ini adalah berperanan serentak dalam kehidupan umat Islam. Ianya tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Kemajuan sama ada kebendaan atau kerohanian umat Islam hendaklah bertunjangkan kepada keimanan atau akidah kepada Allah Subhanahu wa ta’ala . dalam masa yang sama ia adalah ibadah dan mengikut landasan syariah serta mempunyai nilai-nilai akhlak Islam yang murni berpandukan kepada al Quran. 

Akidah

Dalam Tamadun Islam perkara asas ialah akidah iaitu memajukan muka bumi ini sama ada dari sudut kebendaan atau kerohanian hendaklah berasaskan kepada keimanan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala . dan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . Apabila seseorang itu beriman kepada Allah Subhanahu wa ta’ala . dan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . maka segala usahanya adalah pasti kerana Allah Subhanahu wa ta’ala . dan niat ikhlas kerana Allah Subhanahu wa ta’ala . 

Setiap umat Islam yang beriman kepada Allah Subhanahu wa ta’ala . mereka juga diwajibkan beriman kepada rukun-rukun iman yang lain iaitu percaya kepada kitab-kitab, malaikat-malaikat, nabi-nabi dan rasul-rasul, hari akhirat dan qada qadar. Kesemua rukun iman berlaku serentak dalam diri. 

Seseorang yang percaya kepada kewujudan malaikat akan sentiasa berhati-hati melakukan aktiviti. Malaikat sentiasa patuh dan taat perintah Allah Subhanahu wa ta’ala . Malaikat merupakan contoh makhluk yang sentiasa taat perintah Allah Subhanahu wa ta’ala . Oleh itu segala aktiviti hendaklah mengikut perintah Allah Subhanahu wa ta’ala . dan meninggalkan segala laranganNya. Malaikat juga diberikan tugas seperti mencatat amalan manusia, memberi rezeki kepada manusia, mencabut nyawa, memikul arasy, menjaga syurga, menjaga neraka dan sebagainya. Mereka sentiasa patuh perintah Allah Subhanahu wa ta’ala . 

Selain itu pemakmur muka bumi ini beriman kepada kitab-kitab yang telah diturunkan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala . untuk menjadi panduan manusia dalam memakmurkan muka bumi ini. Garis panduan itu berupa perintah suruhan dan larangan. Kitab yang masih asli hingga hari ini ialah al Quran. Di dalam al Quran dimuatkan segala peraturan hidup untuk kejayaan manusia di dunia dan di akhirat. Untuk mencapai tamadun yang tinggi manusia tidak dapat lari dari mengamalkan al Quran yang menjadi panduan hidup dunia dan akhirat. 

Keimanan kepada rasul-rasul merupakan perkara penting dalam mentamadunkan muka bumi ini. Dengan keimanan itu akan menjadikan rasul sebagai contoh manusia yang terbaik di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala . dalam membangunkan muka bumi. 

Manusia yang sesat dari ajaran Allah Subhanahu wa ta’ala . adalah mereka yang tidak memperdulikan ajaran yang dibawa oleh nabi dan rasul. Sebagai contoh walaupun Fir’aun membangunkan bandar Mesir dengan kemajuan piramit yang kita dapat saksikan hingga hari ini tidak dianggap bertamadun kerana mereka tidak beriman kepada nabi. 

Demikian juga di zaman kini nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . adalah nabi dan rasul yang terakhir membawa ajaran Islam serta menjadi contoh kepada manusia seluruhnya. Jika ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . tidak dihiraukan maka kemajuan yang dicapai itu tidak akan bermakna sama sekali di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala . 

Kepercayaan kepada hari akhirat juga asas kepada tamadun. Setiap umat Islam yang dianggap bertamadun ialah mereka yang sentiasa memikirkan tentang hari pembalasan. Oleh kerana itu apa aktiviti yang dilakukan hendaklah bermuhasabah atau mengkaji adakah diredhai oleh Allah Subhanahu wa ta’ala . atau tidak. Jika mereka tidak mahu memikirkan perkara itu maka manusia akan melakukan kerosakan di muka bumi ini kerana terikut-ikut dengan kehendak hawa nafsu mereka. 

Keimanan kepada qada dan qadar juga asas tamadun kerana dengan keimanan kepada qada dan qadar itu umat Islam tidak akan mudah berputus asa menghadapi kesulitan yang ada. Di samping berusaha dengan gigih umat Islam sentiasa menyerahkan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala . kerana Allah Subhanahu wa ta’ala . yang lebih mengetahui segala-galanya. Orang yang tidak beriman kepada takdir akan berasa kecewa atas segala usaha yang mereka lakukan tidak berhasil. Pada hal jika mereka melakukan dengan ikhlas dan berserah kepada Allah Subhanahu wa ta’ala . maka walau pun kurang berhasil oleh kerana beriman kepada takdir ini mereka yang akan bersabar dan atas kesabaran itu mereka akan dapat pahala di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala . 
Ibadah

Tujuan manusia hidup di atas muka bumi ini adalah semata-mata beribadah kepada Allah Subhanahu wa ta’ala . Itulah tujuan asal kehadiran mereka membangunkan muka bumi mengikut perintah Allah Subhanahu wa ta’ala . Maka semua aktiviti manusia sama ada yang berupa urusan agama atau dunia semuanya adalah dikira sebagai ibadah. Membangunkan muka bumi juga dianggap sebagai ibadah jika ia dilakukan semata-mata niat mencari keredhaan Allah Subhanahu wa ta’ala . 

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . adalah merupakan contoh yang terbaik dalam memakmurkan muka bumi iaitu ketika baginda berhijrah ke Madinah pertamanya ialah membina masjid kedua mempersaudarakan puak-puak yang bertelagah dan menetapkan perlembagaan atau undang-undang negara. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . telah membimbing para sahabat supaya berniaga cara yang betul seperti tidak ada penipuan atau riba. Baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam . membimbing cara bercucuk tanam, menternak dan sebagainya sesuai dengan kehendak Allah Subhanahu wa ta’ala . iaitu bimbingan mengeluarkan zakat, sedekah dan membelanjakan keapda jalan yang diredhai Allah Subhanahu wa ta’ala . Kesemua ini adalah dianggap sebagai ibadah di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala . 

Syariah

Tamadun Islam adalah tamadun yang berlandaskan keapda syarak. Al Quran dan al Hadith adadalah sebagai rujukan utamal dalam memajukan muka bumi ini. Tamadun dalam politik, ekonomi, pertanian, perniagaan dan sebagainya adalah berlandaskan kepada pimpinan al Quran dan al Hadith. 

Walaupun tidak semua perkara ada di dalam al Quran dan al Hadith tetapi jika melalui proses ijtihad kita akan menemui peraturan-peraturan berkenaan selagi mana kita ikhlas kepada Allah Subhanahu wa ta’ala . untuk mengikut hukum Allah Subhanahu wa ta’ala . Pintu ijtihad sentiasa terbuka keapda umat Islam untuk mencari kaedah dan hukum yang baru kerana terdapat perkara-perkara baru muncul seperti masalah internet, elektronik, comunikasi, klon dan sebagainya. 

Terdapat berbagai-bagai bidang yang diterokai oleh manusia yang tidak ada di zaman Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . seperti pembinaan, perkapalan, angkasa lepas, penerbangan, komputer dan sebagainya yang memerlukan pemahan yang tajam dari sudut syariat. Maka ini telah memberi peluang kepada umat Islam supaya berijtihad bagi membangunkan Islam dan umat Islam demi mencari keredhaan Allah Subhanahu wa ta’ala . 

Akhlak
Akhlak merupakan perkara yang amat penting dalam ajaran Islam. Membina tamadun mestilah berasaskan keapda akhlak. Tanpa akhlak yang mulia tidak akan bermakna tamadun manusia. Dalam lain perkataan tanpa akhlak yang mulia manusia tidak akan mencapai ketamadunan. Tamadun Islam adalah tamadun yang seimbang antara kebendaan dan kerohanian. Kerohanian adalah suatu yang penting merangkumi akidah, syariat dan akhlak umat Islam. Tamadun yang lahir adalah diwarnai oleh akhlak umat Islam. Jika umat Islam mempunyai akhlak yang murni maka hasilnya juga adalah murni. 

Dalam Islam telah dihuraikan dengan panjang lebar mengenai akhlak ini termasuklah dalam membincangkan tentang tajuk-tajuk sifat-sifat yang mahmudah iaitu sifat yang wajib ada pada diri setiap muslim seperti sifat sabar, syukur, ikhlas, tawakkal, takwa, zuhud, zikrilmaut, istiqamah, pemaaf, sopan santun, merendah diri, berkasih sayang, redha, meredhai dan sebagainya. Semua sifat-sifat terpuji atau mahmudah ini perlu ada kepada setiap umat Islam. Kepada umat Islam yang menjiwai sifat yang terpuji ini mereka akan melahirkan diri yang soleh, keluarga yang soleh dan masyarakat yang soleh. Dengan itu akan lahirlah negara yang berkat. Melalui inilah tegaknya Tamadun Islam atas dasar akhlak yang mulia. Sebaliknya Tamadun Islam akan hancur jika umat Islam mengabaikan akhlak mulia seperti dengki, bakhil, sombong, ‘ujub, riya’, gopoh, malas, tamak, khianat, dusta, mungkir janji, menjatuhkan maruah orang lain, rasuah, riba, penipuan, mencuri, melaga-lagakan sesama sendiri dan sebagainya. 




Sumber Tamadun Islam

 Al Quran

Oleh : al Quran telah mejelaskan tentang tamadun yang lalu seperti ‘Ad, Thamud, Fir’aun dan kemajuan Saba’


Seimbang: al Quran mengajar manusia supaya hidup bertamadun yang seimbang antara kemajuan kebendaan dan kerohanian. 

Sosial: al Quran membimbing tamadun hidup manusia dengan berpandukan kepada hukum yang telah ditetapkan supaya kehidupan mereka sentiasa terjamin dari sudut agama, nyawa, harta, maruah dan keturunan. 

Politik: al Quran telah membimbing tamadun manusia dari sudut politik dengan menjadikan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . sebagai contoh seorang ketua negara kemudian diikuti pula dengan khulafa al Rasyidin seterusnya hingga kini. Setiap pemimpin yang bertamadun sentiasa mengikut garis panduan kepimpinan negara seperti yang terdapat dalam al Quran. 

Ekonomi: al Quran telah mentamadunkan ekonomi manusia dengan berbagai-bagai peraturan antaranya larangan riba, rasuah, penipuan dalam timbangan dan larangan mencuri. Islam menghalalkan jual beli, bercucuk tanam, menternak dan sebagainya. 


 Al Hadith
Dari sudut bahasa Hadith ertinya percakaan. Sunnah ertinya cara hidup. Dari sudut istilah hadith atau sunnah ertinya segala yang keluar dari Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . sama ada percakapan, perbuatan atau pengakuan terhadap para sahabat baginda. 

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . sebagai model yang baik dalam politik, ekonomi, sosial, pendidikan, kekeluargaan, ketenteraan dan sebagainya. Berdasarkan wahyu ilahi baginda telah menunjukkan contoh teladan yang baik melalui perkataan, perbuatan dan tingkah laku baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam . 

Dalam bidang Politik Islam baginda Rasul Sallallahu ‘alaihi wa sallam telah memperlihatkan kepada sahabat tentang politik yang bertamadun. Dalam politik Rasul Sallallahu ‘alaihi wa sallam . tidak ada unsur penindasan, kezaliman, penganayaan dan sebagainya. Sebaliknya baginda telah menunjukkan sikap yang adil, pemurah, penyayang, belas kasihan, lemah lembut, tolak ansur, berjiwa rakyat, tiada kasta dan sebagainya. 


Dalam bidang Ekonomi Islam pula Rasul Sallallahu ‘alaihi wa sallam . telah menunjukkan contoh teladan yang amat baik dalam ekonomi. Baginda sering pergi ke pasar dan sentiasa menasihati peniaga-peniaga supaya tidak menipu dan riba dalam perniagaan. Rasul Sallallahu ‘alaihi wa sallam . pernah pergi ke ladang kurma untuk memberi bimbingan dan nasihat tentang kewajipan mengeluarkan zakat, sedekah dan sebagainya. Selain dari itu Rasul Sallallahu ‘alaihi wa sallam . telah memperkenalkan sistem baru dalam ekonomi seperti sistem zakat, sedekah, wakaf, faraidh, baitulmal, ghanimah, fai', kharaj dan sebagainya. 

Dari segi sosial pula Rasul Sallallahu ‘alaihi wa sallam . telah menjelaskan tentang tamadun dalam hubungan sosial. Baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam . adalah sebagai contoh yang terbaik dalam keluarga dan tetanga. Hingga baginda mengatakan bahawa tidak beriman seseorang kamu hingga kamu menghormati jiran tetanga. Rasul Sallallahu ‘alaihi wa sallam . juga menggalakkan supaya ada hubungan silaturrahim sesama masyarakat Islam. 

Al Ijtihad
Bermaksud usaha yang bersungguh-sungguh di kalangan ulama(digelar mujtahid)untuk menghasilkan satu penetapan hukum syarak berlandaskan Al-quran dan al-hadis. Proses ijtihad hanya berlaku pada hukum yang tidak jelas, yang wujud dalam al quran dan as Sunnah, sama ada ketidakjelasan itu berpunca daripada lafaz yang terlalu umum, ataupun berpunca daripada kredibiliti dalil yang digunakan itu sendiri. Sekiranya sesuatu dalil jelas maknanya tanpa boleh ditakwilkan lagi, dan dalil itu pula disahkan berautoriti, maka ijtihad tidak diperlukan. Ijtihad biasanya berlaku dengan mengambil fenomena dan iktibar dalam sumber hukum seperti al quran dan as Sunnah untuk direalisasikan dalam reality semasa yang memerlukan hukum untuk diamalkan. Hanya para sarjauna yang cukup syarat ijtihad sahaja yang layak melakukan pengujian pada hukum ini. 

Ciri-ciri umum Tamadun Islam
Rabbani
Islam datangnya dari Allah Subhanahu wa ta’ala . maka segala peraturan, sumber dan matlamat hidup manusia adalah berpandukan kepada yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala . Segala pencapaian oleh umat Islam adalah untuk mencari keredhaan Allah Subhanahu wa ta’ala . 

Syumul
Ajaran Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan iaitu akidah, ibadah, syariah dan akhlak. Pencapaian umat Islam dalam tamadun hendaklah sesuai dengan akidah, syariah dan akhlak Islam. 

Universal
Ajaran Islam amat sesuai diamalkan di semua tempat, masa dan keadaan. Jika ajaran Islam diamalkan dengan sempurna dan menyeluruh pasti mereka mencapai kemajuan walaupun di mana mereka berada atau di mana-mana zaman atau dalam apa jua keadaan. 

Tetap
Islam sebuah agama yang telah ditetapkan dari sudut akidah, syariah dan akhlak. Walaupun mereka berada dalam apa keadaa, zaman atau tempat mereka tetapi wajib mengikut peraturan yang telah ditetapkan itu. Sama sekali tidak ada perubahan walaupun zaman berubaha syariat Islam tidak akan berubah. 

Anjal
Walaupun dari sudut akidah, syariah dan akhlak Islam tetap dan tidak berubah hingga ke hari kiamat, namun dari sudut teknik pelaksanaan boleh berubah atas sebab-sebab yang syar’i. 


Logik
Dalam al Quran banyak mengajak manusia supaya berfikir. Islam adalah agama yang logik yang ‘akliah boleh difikirkan dalam ruang yang dibenarkan oleh syarak. 

DASAR-DASAR TAMADUN

Memelihara nyawa dan hak-hak untuk hidup
 Tiada yang lebih berharga di dunia pada setiap manusia kecuali “NYAWA” 
 Tamadun Islam meletakkan pemeliharaan nyawa sebagai dasar paling utama.  

Memelihara nyawa dan hak-hak untuk hidup
Allah Subhanahu wa ta’ala menggubal perundangan yang paling terperinci dalam jaminan keselamatan terhadap nyawa. 

Contohnya dalam surah al-Maidah ayat 32 firman Allah bermaksud:  Bahawa sesiapa yang membunuh seseorang manusia bukan kerana hukuman pembunuhan atau membuat bencana dalam negeri, maka bererti orang itu telah membunuh manusia seluruhnya.  

Menjaga akal fikiran
 Anugerah Allah Subhanahu wa ta’ala paling berharga.  
 Makhluk Allah Subhanahu wa ta’ala paling mulia dan sempurna.  
 Manusia menjadi khalifah di muka bumi ini.  
 Allah Subhanahu wa ta’ala mewajibkan manusia menjaga akal fikiran dengan baik seperti menuntut ilmu.  

Memelihara keturunan
 Memelihara kesucian keturunan manusia.  
 Allah Subhanahu wa ta’ala mengharamakan perbuatan yang buruk seperti berzina, homoseksual dan lesbian.  
 Firman Allah Subhanahu wa ta’ala bermaksud 
Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan hina. 
Memelihara Harta Benda
 Kekayaan adalah idaman setiap manusia 
 Islam mentakrifkan keinginan tersebut 
 Tamadun Islam meletakkan pemeliharaan harta benda sebagai dasar penting didalamnya.  


Memelihara Hak dan Kebebasan
 Islam menetapkan kebebasan bagi setiap manusia sejak ia dilahirkan.  
 Kebebasan bermaksud tiada pengabdian kepada seseorang atau sesuatu melainkan hanya kepada Allah Subhanahu wa ta’ala .  






PENUTUP
Setiap tamadun yang pernah wujud mempunyai keistimewaan dan ciri-ciri tersendiri. Kesinambungan dari kelangsungan sesebuah tamadun itu sebenarnya diperoleh dari hasil sikap terbuka dalam menerima sebarang perubahan dan pengaruh tamadun lain. 
 Konsep Tamadun Islam yang mencukupi pelbagai aspek jelas menunjukkan bahawa Tamadun Islam ialah suatu tamadun yang lengkap dan kukuh kerana ianya berlandaskan Al – Quran dan Al – Sunnah. Justeru itu Tamadun Islam merupakan suatu proses pembentukan yang bertolak daripada kalimah tauhid yang diikrarkan oleh setiap anggota. Dengan perkataan lain ikrar itu menjadi kaedah atau asas bagi suatu sistem yang lengkap dan praktik. Alasan ini dapat dikukuhkan dengan firman Allah dalam Surah Yusuf, ayat 40 yang bermaksud :

‘ Keputusan hukum itu kepunyaan Allah. Dia memerintahkan supaya jangan tunduk memperhambakan diri melainkan kepada-Nya. Itulah Addin (agama) yang benar. ’

Rujukan
Ab. Rahman, R. b. (n. d.). Penghantaran Tamadun&Sejarah Pemikiran ISLAM. PENERBITAN ALAMBACA SDN. BHD. 


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment