Sunday, October 18, 2015

Tajuk: Sejarah Kelahiran Dan Sumbangan Abu Rayhan Al-Biruni

PENDAHULUAN

Kelahiran Islam di kota Makkah dan kemunculan kerajaan Islam pertama di Madinah merupakan detik bersejarah kelahiran satu tamadun baru yang telah merubah sejarah dunia. Tamadun ini bukan sahaja telah berjaya merubah corak dan budaya hidup masyarakat Arab Pra-Islam yang bertuankan nafsu dan kejahiliyahan kepada suatu cara hidup yang baru bertunjangkan akhlak dan peradaban tinggi malah ia juga turut merubah geo-politik dunia.

Dengan asuhan dan bimbingan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan kemudiannya diteruskan oleh para sahabat (s.a.w), penduduk Tanah Arab yang terdiri daripada berbagai bangsa dan keturunan berjaya disatukan dengan ikatan akidah dan ukhuwwah Islamiyah. Mereka muncul sebagai satu umat yang berakhlak, berketerampilan dan sedia berkorban demi Islam. Dalam tempoh waktu yang singkat sahaja, kuasa besar Rom dan Parsi yang duhulunya memandang remeh terhadap bangsa Arab kini terpaksa tunduk kepada kekuasaan Islam. Oleh itu dari abad ke 7 hingga ke 18 Masihi, dunia telah didominasi dan dicorak oleh tamadun Islam. Dalam jangka masa tersebut khususnya pada abad ke 9 hingga ke13 Masihi, sejarah telah merakamkan bagaimana tamadun Islam telah melahirkan ramai sarjana ulung dalam berbagai ilmu pengetahuan.

Pada waktu itu kemajuan ilmu sains dan teknologi serta ilmu-ilmu lain yang dimiliki oleh dunia Islam tiada dapat ditandingi oleh mana-mana bangsa atau negara. Di setiap ibu kota pemerintahan Islam khususnya Baghdad (di Asia), Cordova (di Eropah) dan Iskandariah (di Afrika), kegiatan keilmuan dan kebudayaan berlaku dengan giat malad disertai segenap lapisan masyarakat. Ramai sarjana dan pelajar dari negara luar khususnya daripada negara-negara Kristian Eropah datang untuk mempelajari serta mendalami berbagai bidang dan cabang ilmu pengetahuan.

Di sepanjang sejarah kegemilangan tamadun Islam, para sarjana Muslim dan sarjana non-Muslim yang bernaung di bawah pemerintahan Islam telah berjaya membuat kemajuan dan pencapaian dalam bidang ilmu pengetahuan serta sains dan teknologi. Mereka telah menempa satu sejarah tamadun kemanusiaan yang amat mengagumkan meliputi aspek politik, sosial dan ekonomi.

Dalam pada itu, seorang tokoh Islam telah berjaya melahirkan pelbagai konsep dan jawapan terhadap ilmu sains, matematik serta fizik. Malah, namanya tidak asing sama sekali di pentas ilmu sains pada abad pertengahan. Dunia sains mengenalnya sebagai salah seorang putera Islam terbaik dalam bidang falsafah, astronomi, kedoktoran, dan fizik. Wawasan dan pengetahuannya yang demikian luas meletakkan dirinya sebagai pakar dan ilmuwan Muslim tersohor pada awal abad pertengahan. Ilmuwan tersebut tidak lain adalah Abu Rayhan Al-Biruni.

SEJARAH KELAHIRAN DAN LATAR BELAKANG

Nama penuhnya Abu Rayhan Muhammad bin Ahmad Al-Biruni. Beliau dilahirkan pada bulan September tahun 973 M di perkampungan Khawarizm, Turkmenistan. Beliau kemudian lebih dikenali dengan nama Al-Biruni yang bermaksud 'asing' adalah dinisbahkan kepada wilayah tempat tanah kelahirannya iaitu Turkmenistan. Pada masa itu, kawasan ini sememangnya dikhususkan menjadi penempatan bagi orang asing. Selain daripada menguasai bahasa Persia, Al-Biruni juga menguasai banyak bahasa lain iaitu Arab, Iberia, Suryani, Sansekerta dan Yunani.

Dibesarkan dalam keluarga yang taat beragama, Al-Biruni menghabiskan usia mudanya dalam persekitaran masyarakat yang mencintai ilmu pengetahuan. Walaupun tidak banyak catatan sejarah yang mengisahkan latar belakang pendidikannya, namun beberapa sumber menyebutkan bahawa ilmuwan ulung ini memperoleh pendidikan daripada beberapa ulama kenamaan pada zamannya, antara lain Syeikh Abdus Shamad. Dalam bidang kedoktoran, Al-Biruni telah belajar dengan Syeikh Abul Wafa' Al-Buzayani, serta Syeikh Abu Nasr Mansur bin Ali bin Iraqi dalam bidang matematik dan astronomi.

Sebagai seorang yang sangat gemar membaca, kepakaran Al-Biruni tidak hanya dalam bidang ilmu sains. Beliau juga mahir dalam ilmu falsafah. Oleh itu, beliau turut dikenali sebagai salah seorang ahli falsafah Islam yang amat berpengaruh. Pemikiran falsafah Al-Biruni banyak dipengaruhi oleh pemikiran falsafah Al-Farabi, Al-Kindi, dan Al-Mas'udi (meninggal 956 M). Tidak hairan apabila ulama menulis beliau terkenal sebagai seorang ahli dalam pelbagai bidang ilmu semenjak usia muda.

Ulama yang tawadu' ini dikenali sebagai seseorang yang amat mencintai ilmu dan gemar membaca dan menulis seawal remaja. Sebagai ilmuwan ulung, Al-Biruni tidak berhenti mencari ilmu termasuk dalam setiap penjelajahannya ke beberapa negeri. Jamil Ahmed dalam buku Seratus Tokoh Muslim menceritakan antara penjelajahan paling menarik tokoh ini adalah semasa di wilayah Jurjan, dekat Laut Kaspia (Asia Tengah), serta wilayah India. Penaklukan secara terancang oleh Sultan Mahmoud Al-Gezna tehadap wilayah Jurjan semasa kepulangan Al-Biruni ke kampung halamannya telah menyebabkan Al-Biruni dipilih oleh Sultan Mahmoud sebagai 'kumpulan pemikir' yang kemudiannya dibawa menyertai ekspedisi ketenteraan ke India sekembalinya beliau ke tanah Jurjan.

Di sana(India) beliau banyak melahirkan karya dan tulisan sama ada dalam bentuk buku mahupun artikel ilmiah yang disampaikannya dalam perjumpaan. Selain menghasilkan karya, penjelajahan bersama Sultan ini juga menjadikan kawasan India sebelah timur sebagai kawasan baru untuk menyebarkan dakwah Islamiah. Sepanjang pengembaraannya di India, Al-Biruni memanfaatkan masa terluang melakukan kajian berkaitan adat istiadat dan budaya masyarakat tempatan.

Berdasarkan kajian inilah beberapa karya agungnya telah lahir. Bukan itu sahaja, Al-Biruni juga adalah orang yang pertama memperkenalkan permainan catur 'ala' India ke negara-negara Islam, serta menjelaskan permasalahan trigonometri yang lebih mendalam dalam karyanya, Tahqiq Al-Hind.

Hidup sezaman dengan ahli falsafah dan pakar ilmu perubatan, Ibnu Sina, Al-Biruni banyak berdialog dengan Ibnu Sina sama ada secara langsung mahupun melalui surat menyurat. Keduanya kerap juga bermuzakarah berkaitan pemikiran falsafah, misalnya tidak bersetuju dengan aliran pemikiran paripatetik yang dianuti Ibnu Sina dalam banyak aspek.

Selama perjalanan hidupnya sampai tahun 1048, Al-Biruni banyak menghasilkan karya penulisan, tetapi hanya sekitar 200 buku yang dapat diketahui. Diantaranya adalah Tarikh Al-Hindi (sejarah India) sebagai karya pertama dan terbaik yang pernah ditulis sarjana muslim tentang India. Kemudian buku Tafhim li awal Al-Sina'atu Al-Tanjim, yang mengupas tentang ilmu geometri, aritmatika dan astrologi. Manakal buku khusus mengenai astronomi Al-Biruni menulis buku Al-Qanon al-Mas'udi fi al-Hai'ah wa al-Nujum (teori tentang perbintangan).

Disamping itu, baliau juga menulis tentang pengetahuan umum lainnya seperti buku Al-Jamahir fi Ma'rifati al-Juwahir (ilmu hisab), As-Syadala fi al-Thib (farmasi dalam ilmu Kedoktoran), Al-Maqallid Ilm Al-Hai'ah (tentang bintangan) serta kitab Al-Kusuf wa Al-Hunud (kitab tentang pandangan orang India mengenai peristiwa gerhana bulan).

Itu hanya sebagian kecil dari buku-buku karya Al-Biruni yang beredar. Selain itu masih banyak buku lainnya yang dapat dijadikan rujukan. Namun sayang, tidak seperti Ibnu Sina yang pemikirannya telah bercambah hingga ke Eropah, karya-karya besar Al-Biruni tidak begitu berpengaruh di wilayah barat, kerana buku-bukunya diterjemahkan ke bahasa-bahasa barat baru

hanya pada abad ke 20.Al-Biruni wafat dalam usia 75 tahun. Tempat kelahirannya menjadi pilihan untuk menghabiskan sisa hidup dan menghapuskan nafas terakhirnya.

Allah telah memberikan sebuah hidup yang sangat bererti bagi Al-Biruni. Beliau adalah ilmuan yang benar-benar menggunakan akal dan fikirannya yang di anugerahkan Allah untuk melihat tanda-tanda kebesaran-Nya.

"Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya siang dan malam, terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal, (yaitu) orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring. Dan mereka memikirkan penciptaan langit dan bumi seraya berkata: Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa Neraka." (Ali Imran: 190-191).

SUMBANGAN AL-BIRUNI

(I) Dalam Bidang Astronomi
Segala penemuannya dalam bidang astronomi dimuat dalam salah satu karya terbesarnya, iaitu kitab Al-Qanun Al-Mas’udi Fii Al-Hai’ah wa An-Nujum yang didedikasikan kepada Mas’ud, putra Mahmud al-Ghaznawi yang dikenali dalam bahasa latin sebagai Canon Mas’udicus. Dalam buku ini Al-Biruni membuktikan bahwa bumi berbentuk bulat, planet dan bintang adalah bulat, baik yang tidak bergerak mahupun yang bergerak dan berputar mengelilingi matahari dan bulan berdasarkan garis edarnya mengelilingi bumi. Dia menemukan pergerakan paksi bumi yang berputar condong, serta pergerakan peredaran bumi mengelilingi matahari dalam satu tahun. Beliau mengemukakan konsep kekuatan graviti bumi yang merupakan suatu bukti bahwa bumi berputar pada paksinya.

Dalam buku ini juga, Al-Biruni membuat jadual astronomi sekaligus telah mengkritik jadual-jadual astronomi yang dibuat oleh para ilmuwan terdahulunya. Buku ini juga telah memperkenalkan teknik kira-kira matematik untuk menganalisa kecepatan pergerakan planet, sekaligus menegaskan bahwa jarak antara Bumi dan Matahari lebih besar daripada yang dikemukakan oleh Ptolemeus. Dalam 'Al-Qanun' juga, Al-Biruni membuktikan bahwa bintang bergerak mengelilingi paksinya. Al-Biruni menciptakan suatu kaedah matematik yang baru untuk menentukan empat arah mata angin tanpa mengira keberadaan manusia samada di bumi, di darat mahupun di laut.

Al-Biruni telah memperkenalkan kaedah pemerhatian astronomi yang baru disebut sebagai ‘pemerhatian tiga titik’. Sebelum era Al-Biruni, para astronomi menggunakan kaedah Hipparchus yang secara relatifnya tidak tepat, iaitu menggunakan tempoh antara musim untuk menghitung pelbagai parameter yang berkaitan dengan matahari. Kaedah perhitungan dengan pemerhatian tiga titik ala Al-Biruni adalah sumbangan yang sangat penting dan masih digunakan sehingga enam abad seterusnya oleh para astronomi, antaranya Taqiyyuddin ad-Dimasyqi, Tycho Brahe dan Nicolaus Copernicus.

Al-Biruni juga menciptakan hodometer sederhana, dan kalender lunisolar mekanik pertama yang merupakan contoh awal dari mesin memproses data. Hasil daripada penciptaan pelbagai jenis peralatan dan kaedah yang diciptakannya sendiri, Al-Biruni dapat menentukan kiblat walau di mana-mana muka bumi dan menentukan waktu solat secara tepat.

Idea dan penjelasan mengenai ‘tabung observasi’ telah ditemukan dalam sebuah karya Al-Biruni. Meskipun tabung observasi sederhana ini tidak menggunakan sebarang lensa, namun membolehkan beliau memfokuskan pengamatannya pada sesebuah bahagian langit dengan menyingkirkan gangguan-gangguan cahaya. Kaedah tabung observasi ini kemudiannya diambil oleh para ilmuwan selepasnya dan turut memberi pengaruh kepada perkembangan teleskop modern.

Malah dalam pemerhatian Al-biruni beliau mengatakan bahawa benda yang bergerak cepat dapat menyusul benda yang di hadapannya seperti bulan yang mendahului matahari kerana pergerakkan bulan jauh lebih cepat dari matahari. Sebagai seorang fisikawan, Al-Biruni memberikan sumbangan penting bagi pengukuran jenis berat (specific gravity) pelbagai zat (mineral) dengan hasil perhitungan yang cermat dan tepat. Konsep ini sesuai dengan prinsip dasar yang beliau yakini bahwa seluruh benda tertarik oleh gaya gravitasi.

(II) Ilmu geografi
Al-Biruni memberikan banyak sumbangan dalam ilmu-ilmu bumi(geografi). Atas jasa-jasanya dalam bidang perpetaan, beliau dinobatkan sebagai Bapa Geografi. Al-biruni juga memberikan sumbangan yang sangat banyak dalam bidang ilmu kartografi, geografi, geologi dan mineralogi. Pada usia 22 tahun, Al-Biruni telah menulis pelbagai karya ilmiah termasuk sebuah penelitian mengenai unjuran ortografi peta atau kartografi yang di dalamnya merangkumi satu solusi mentafsir sebuah hemisfer kepada sebuah bidang yang lapang. Al-Biruni adalah salah satu ilmuwan pertama yang menemukan cara untuk menentukan garis lintang dan bujur bumi secara tepat.

Pada usia 17 tahun, Al-Biruni menghitung ketinggian kota Kath di Khwarazm. Dia juga telah memecahkan persamaan geografi yang rumit untuk menghitung diameter Bumi. Hasil perhitungannya iaitu 6.339, 9 km hanya meleset 16.8 km daripada hasil perhitungan modern iaitu 6.356, 7 km. Sementara para ilmuwan terdahulu telah menghitung diameter Bumi dengan mengamati matahari secara terus-menerus dari dua lokasi yang berbeza. Al-Biruni telah mengembangkan kaedah baru dengan kira-kira trigonometri berdasarkan sudut antara suatu tempat di dataran rendah dengan puncak gunung yang menghasilkan perhitungan yang lebih tepat dan memungkinkan untuk dikira oleh seorang sahaja dari satu lokasi.

Al-Biruni dikenal sebagai ilmuwan yang paling arif dalam soal memetakan kota-kota dan mengukur jarak di antara satu sama lain. Buku Al-Qanun Al-Mas’udi-nya mencantumkan koordinat lebih dari enam ratus tempat di dunia. Beliau seringkali menggabungkan hasil pengamatan astronomi dengan perhitungan matematik dalam mengembangkan kaedah-kaedah untuk menentukan lokasi secara tepat. Teknik-teknik yang serupa juga digunakannya untuk mengukur ketinggian gunung, kedalaman lembah, dan luas horizon.

Dalam bidang geologi, Al-Biruni memberikan banyak sumbangan dalam menentukan masa lalu sebuah negeri. Hanya dengan mengamati batuan di India, beliau berkesimpulan bahwa dataran India dulunya adalah lautan yang kemudian menjadi cetek akibat mendakan. Beliau juga menjelaskan bagaimana jazirah Arab dahulunya pernah tenggelam di bawah laut dengan mengamati bekas-bekasnya pada batu dan karang.

Dalam bidang batu atau mineral, Al-Biruni memberi buah fikiran mengenai dasar-dasar ilmiah bagi cara melombong dalam bukunya Al-Jamaahir fii Ma’rifat Al-Jawaahir. Buku ini menjelaskan pelbagai jenis logam, tempat asalnya, cara mengeluarkannya dari lombong, campuran dan jenis kotoran yang ada padanya serta manfaatnya.

Al-Biruni telah melakukan ratusan eksperimen untuk menghasilkan pengukuran untuk mendokumentasikannya dengan baik dalam berbagai bahasa. Perhitungan berat mineral oleh Al-Biruni adalah tepat hingga tiga angka desimal dan nyaris sama tepatnya seperti pengukuran modern untuk jenis-jenis mineral yang sama.

(III) Fizik dan Matematik
Al-Biruni sejak dulu telah merumuskan graviti sebagai gaya yang menarik segala benda ke arah pusat bumi. Dia adalah ilmuwan pertama yang melakukan eksperimen dalam bidang statik dan dinamik, khususnya dalam menentukan berat spesifik. Melalui eksperimennya, Al-Biruni berhasil menunjukkan perbezaan berat antara air tawar dan air laut serta antara air panas dan air sejuk.

Bersama Ibnu al-Haitsam, Al-Biruni adalah ilmuwan pertama yang menyedari bahawa kecepatan cahaya dapat diukur. Beliau juga adalah yang pertama sekali menyatakan bahawa kecepatan cahaya jauh lebih cepat daripada kecepatan suara. Al-Biruni menyanggah pendapat Galenus yang mengatakan bahwa cahaya adalah sumber dari mata ke arah objek yang dilihat dan bukan sebaliknya.

Al-Biruni memberikan sumbangan yang sangat besar dalam disiplin ilmu matematik, terutama dalam bidang aljibra, geometri, trigonometri, kalkulus, dan aritmetik. Dalam bidang aljibra, Al-Biruni meneruskan kerja al-Khawarizmi dan memberikan banyak tambahan-tambahan lain. Dalam bidang geometri, Al-Biruni adalah pelopor dalam merumuskan cara untuk menggambarkan permukaan bola, juga menghitung diameter bumi dengan rumus-rumus matematik.

Sebagaimana Abu Nashr Manshur, Al-Biruni juga mahir dalam menggunakan rumus-rumus trigonometri. Al-Biruni adalah yang pertama memperkenalkan konsep tangen dan kotangen(cot). Al-Biruni juga menggunakan prinsip-prinsip geometri untuk membuktikan rumus-rumus kalkulus yang ditemukan oleh Tsabit bin Qurah. Penemuan ini di kemudian hari telah wartakan sebagai temuan Isaac Newton oleh dunia Barat. Selain itu, Al-Biruni menulis beberapa buku tentang aritmetik. Dia juga telah memaparkan sejarah angka India dan perpindahannya ke Arab serta pengembangan seterusnya.

Sumbangan terbesar Al-Biruni adalah pemikirannya dalam bidang matematik iaitu konsep besar sudut segitiga 180º dan menilaikan π adalah 3.14 dan nilai 0.68 untuk sin 40. Selain itu, dalam 'Al-Qanun', Al-Biruni menyajikan data-data matematik, yang menggunakan segitiga sama kaki yang dibuat dari lempengan yang panjang yang dilakukan dengan bentuk geometri secara teratur (simetri).

(IV) Kimia, Biologi dan Farmakologi.
Bersama Al-Kindi dan Ibnu Sina, Al-Biruni adalah salah satu ahli kimia pertama yang menolak teori transmutasi logam sebagaimana yang dikatakan oleh sebahagian ilmuwan pada masa tersebut. Al-Biruni juga menyusun kitab yang merupakan ensiklopedi farmakologi yang merupakan gabungan dari seni pengubatan Islam dengan seni pengubatan India. Dalam bukunya, Al-Biruni memaparkan penggunaan pelbagai jenis tanaman, termasuk pelbagai jenis kulat untuk keperluan pengubatan.

Al-Biruni juga termasuk ilmuwan yang paling awal dalam memerhatikan fenomena-fenomena ‘menyimpang’ pada tumbuhan, haiwan dan manusia, termasuk fenomena kembar siam. Beliau juga memerhati fenomena perkawinan pada beberapa jenis bunga.

Pada tahun 1051 M, Al-Biruni menulis sebuah kitab berjudul Kitab As-Saydalah (The Book of Drugs). Kitab ini adalah salah satu karya ilmuwan muslim yang paling berharga dalam bidang farmakologi. Dalam buku ini dia memberikan penjelasan terperinci tentang kandungan ubat-ubatan dan menggarisi peranan farmasi dan tugas-tugas seorang ahli farmasi.

(v) Ilmu agama dan pemikiran
Selain sebagai ilmuwan, Al-Biruni juga dikenali sebagai ahli agama. Dia memahami falsafah Yunani dan falsafah India sekaligus memberikan berbagai kritik terhadapnya. Al-Biruni terlibat dalam perdebatan yang sangat hangat dengan Ibnu Sina mengenai pemikiran falsafah dan sufi. Al-Biruni adalah pengikut aliran Asy’ariyah dan kerap terlibat dalam perdebatan dengan aliran Mu’tazilah. Disebabkan seriusnya beliau dalam mempelajari hal-hal agama, Al-Biruni juga turut dianggap sebagai pelopor yang mengilhamkan kelahiran ilmu perbandingan agama sebagaimana yang dikenal kini.

Al-Biruni juga tidak memisahkan antara agama dan sains. Baginya, mempelajari fenomena-fenomena alam adalah sebuah yang wajar bagi manusia dalam usahanya memahami kebesaran Allah Subhanahu wa ta’ala. Pelbagai penemuan dalam bidang sains semakin membuatnya yakin bahwa ada sumber kekuatan yang Maha Kuasa yang mengatur dan menyusun alam semesta sehingga mencapai kesempurnaan yang sangat teratur seperti sedemikian rupa. Menurutnya Al-Qur’an tidak pernah bertentangan dengan sains. Indera pendengaran dan penglihatan dianggapnya sebagai modal terpenting kerana keduanya adalah alat bantu yang memungkinkan manusia untuk mengamati tanda-tanda kekuasaan Allah Subhanahu wa ta’ala.

Atas keyakinannya terhadap ajaran Islam, Al-Biruni sentiasa menolak segala anggapan yang lahir daripada khayalan semata. Ini adalah atas alasan tersebut dia menolak ilmu astrologi dan falsafah India yang menurutnya lebih terarah kepada ilmu kira-kira belaka. Dalam segala hal Al-Biruni lebih menitikberatkan dasar pemikiran yang logik dan dapat dibuktikan secara pratikal.

Hasil daripada pemikiran seperti ini adalah suatu kaedah ilmiah yang selalu digunakan oleh Al-Biruni dalam setiap penelitian dan kajianya. Al-Biruni adalah pelopor kaedah eksperimental ilmiah dalam bidang matematik, astronomi bahkan juga psikologi. Dia akan memastikan agar setiap teori dilahirkan daripada sebuah eksperimen dan bukannya sebaliknya.

Al-Biruni juga menekankan pentingnya melakukan eksperimen secara berulang-ulang. Hal itu dianggap perlu untuk meminimakan kesalahan yang terjadi akibat kesalahan sistematik atau terburu-buru misalnya kesalahan akibat penggunaan instrumen-instrumen kecil atau human error. Jika sesebuah alat menghasilkan kesalahan karena adanya cacat pada peralatan itu maka eksperimen harus diulang beberapa kali dan kemudian dianalisa secara kualitatif sehingga menghasilkan penilaian yang tepat. Kaedah yang digunakan Al-Biruni dalam eksperimen-eksperimennya hampir tiada beza dengan kaedah penelitian yang digunakan dewasa ini.

Dalam segala hal, Al-Biruni memandang penting sikap objektif dan melepaskan diri dari hawa nafsu yang dapat melalaikan manusia dari mendapatkan pemahaman yang benar. Dalam kitab Al-Atsar Al-Baqiyah min Al-Qurun Al-Khaliyah, beliau berpesan dalam kata pengantarnya,

“Kita mesti membersihkan jiwa kita dari semua sebab-sebab yang membutakan manusia terhadap kebenaran – kebiasaan lama, semangat berkelompok, persaingan peribadi atau nafsu (dan) keinginan untuk mempengaruhi.”

Meskipun sering menyibukkan diri dengan mempelajari segala bidang ilmu dengan serius, Al-Biruni juga terkenal kerana sifat kelakarnya yang seringkali mengejutkan, namun digunakannya secara efektif. Salah satu contohnya adalah kata-kata yang beliau gunakan untuk memperkenalkan kaedahnya dalam menghitung diameter Bumi,

“Inilah kaedah untuk menentukan diameter Bumi. Kaedah ini tidak mengharuskan kita untuk berjalan merintangi padang-padang pasir.”

KESAN DARIPADA HASIL SUMBANGAN AL-BIRUNI

(I) Perkembangan konsep
Karya Al-Biruni pada era Barat dimulakan dengan gerakan renaisans dikaji dan diteliti secara berulang kemudian dibuatkan ulasan oleh ilmuan Itali bernama C.A. Nallino. Maka, dapat dilihat dengan jelas gambaran prestasi gemilang yang telah berjaya dicapai oleh para ilmuan muslim pada abad ke-10 dalam bidang astronomi. Prestasi mereka itu sudah sangat hebat jika dibandingkan dengan prestasi astronomi bangsa Barat yang hanya baru masuk ketika abad ke-18 saja dan mereka masih sibuk membicarakan perdebatan mengenai apakah bumi itu bulat atau datar? Apakah bumi sebagai pusat aturan suria atau matahari?

(II) Aplikasi konsep
Teori Al-Biruni tentang penemuan nilai π dapat diaplikasikan untuk menghitung luas dan ukur lilit sebuah lingkaran, luas dan isipadu bola yang dipelajari dalam bidang matematik dan fizik. Hasil penelitian terhadap radius bumi termasuk pengiraannya tentang nilai π maka kita boleh menghitung seberapa besar luas permukaan bumi yang kita huni sekarang dan seberapa luas isipadunya.

Penemuannya dalam bidang astronomi, karografi, geografi, geologi, mineralogi dapat diaplikasikan untuk mengetahui bentuk permukaan bumi serta isinya dan mengetahui tentang aturan suria yang dipelajari dalam bidang fizik dan geografi.

Al-Biruni mengemukakan bahawa bumi, bulan dan planet berputar mengelilingi matahari. Oleh yang demikian, sehingga saat ini kita dapat mengetahui tentang tarkh masehi. Bagi umat Islam, astronomi sangat penting dari segi ibadat dan ibadah dalam Islam, seperti solat, puasa, hari raya, haji, dan lain-lain berhubungan langsung dengan masalah aturan suria.

Pembahagian waktu berdasarkan garis bujur Bumi, maka waktu Bumi dibahagi berdasarkan waktu GMT atau sekarang lebih dikenali dengan CET (Central Europian Time) iaitu tempat di suatu kota di Eropah(Grevinch) sehingga waktu di suatu tempat dapat ditentukan dengan konsep penambahan 15o ke arah timur maka waktu akan bertambah sebanyak satu jam dari waktu di Greenwich.

(III) Perkembangan konsep ke depan(maju)
Hasil penelitian Al-Biruni tentang penentuan garis lintang dan garis bujur Bumi, maka mungkin di suatu saat akan tercipta suatu alat yang canggih di mana alat itu boleh mengesan lokasi-lokasi daerah yang mengandung bahan mineral dan secara langsung ke kawasan tersebut dengan bantuan satelit semata.

KESIMPULAN

Sejarah dan sumbangan Al-Biruni terhadap perkembangan dalam peradaban Islam di dunia tidak asing lagi di pentas ilmu sains pada abad pertengahan. Dunia sains mengenalinya sebagai salah seorang putera Islam terbaik dalam bidang falsafah, astronomi, kedoktoran, dan fizik. Wawasan dan pengetahuannya yang demikian luas meletakkan dirinya sebagai pakar dan ilmuwan Muslim tersohor pada awal abad pertengahan.

Menurut Al-Biruni jika seseorang ilmuwan ingin membezakan antara kebenaran dan kepalsuan, dia perlu menyelidiki dan mempelajari alam. Dalam bukunya Al-Jamahir, Al-Biruni juga menegaskan bahawa penglihatan adalah penghubung anatara apa yang kita lihat dengan tanda-tanda kebijaksanaan Allah dalam ciptaan-Nya. Hasil daripada penciptaan alam tersebut kita akan menemukan kewujudan Yang Maha mencipta. Pandangan Al-Biruni ini sudah pasti berbeza sekali dengan pandangan saintis Barat pada zaman moden ini yang mengenepikan dan menolak sama sekali sains daripada agama. Pandangan mereka terhadap alam seolah-olah menafikan keberadaan Allah sebagai pencipta mutlak.

Kejayaan Al-Biruni dalam bidang sains dan ilmu pengetahuan ini turut mendapat pujian ilmuwan Barat. Max Mayerhof misalnya mengatakan

“Abu Raihan Muhammad ibn Al-Biruni digelar sebagai ahli kedoktoran, astronomi, matematik, ilmu fizik, geografi, dan sejarah. Dia mungkin seorang yang paling menonjol dan merupakan peneraju zaman keemasan ilmu pengetahuan Islam."

Pengakuan yang sama juga dinyatakan oleh ahli sejarah asal India, Si JN Sircar. Beliau menulis

 "Hanya sedikit yang memahami fizik dan matematik. Di antara yang sedikit itu yang terbesar di Asia adalah Al-Biruni, sekaligus ahli falsafah dan ilmuwan. Beliau adalah pakar dalam kedua bidang tersebut."

Secara umum nama Al-Biruni tak pernah dan tidak akan mampu ditinggalkan dalam pembahasan mengenai sains dalam peradaban Islam. Malah demi mengenang tokoh ilmuwan Al-Biruni, para ilmuwan astronomi memiliki caranya yang tersendiri yang sangat unik. Pada tahun 1970, International Astronomical Union(IAU) telah menyematkan nama Al-Biruni pada salah satu kawah di bulan. Kawah yang memiliki diameter 77, 05 km itu diberi nama Kawah Al-Biruni (The Al-Biruni Crater).


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment