Sunday, October 18, 2015

Tajuk: Sumbangan Jabir Ibnu Hayyan Dalam Bidang Kimia

PENDAHULUAN
Kajian mengenai ilmu kimia merupakan sumbangan penting yang diwarisi daripada cendekiawan Islam bagi tamadun moden. Cendekiawan serta ahli sejarah Barat juga mengikuti asas ilmu kimia moden diambil daripada ahli kimia Muslim.

Seorang ahli kimia Jerman pada abad ke-18, Will Durant dalam bukunya The Story Of Civilization IV: The Age of Faith mengakui kehebatan cendekiawan Muslim semasa zaman khalifah dalam ilmu kimia. Malah Durant berkata, kimia merupakan ilmu yang hampir keseluruhannya diciptakan semasa Tamadun Islam mengalahkan tamadun Yunani yang memberikan hipotesis yang samar-samar. Manakala dalam tamadun Islam, saintisnya telah memperkenalkan pemerhatian yang tepat, eksperimen terkawal, serta catatan atau dokumen yang begitu terperinci.

Malah sejarah mencatatkan tamadun peradaban Islam di era kejayaan telah melakukan revolusi dalam bidang kimia. Cendekiawan Islam telah mengubah teori-teori ilmu kimia menjadi sebuah industri yang penting bagi peradaban dunia. Dengan memanfaatkan ilmu kimia, ilmuwan Islam di zaman kegemilangan telah berhasil menghasilkan banyak produk dan penemuan yang sangat bermanfaat sehingga kini. Berkat revolusi sains yang dicetuskan cendekiawan Muslim, dunia mengenal pelbagai industri yang melibatkan kimia..

Jabir Ibnu Hayyan adalah salah seorang tokoh falsafah Islam yang banyak menyumbang kepada bidang kimia. Banyak penemuan-penemuan yang ditemukan olehnya dan kebanyakannya yang masih digunakan hingga sekarang, termasuklah peralatannya dan juga teori-teorinya sebagai dasar pemikiran.

3. 0 BIOGRAFI JABIR IBNU HAYYAN
3. 1 KELAHIRAN JABIR IBNU HAYYAN

Nama penuh Jabir Ibnu Hayyan adalah Abu Musa Jabir Ibnu Hayyan Al-Azdi. Di kalangan orang Barat, beliau lebih dikenali sebagai Geber bin Hayyan. Ada pendapat mengatakan beliau dinamakan Gaber (penampung) kerana memperbaiki ilmu kimia iaitu memindahkan ilmu kimia tua kepada bentuk ilmu kimia moden. Beliau juga terkenal sebagai Bapa Kimia Moden serta digelar al-Harrani atau as-Sufi. Beliau dilahirkan di Thus, Khurasan, Iran pada tahun 721 M atau sekitar abad ke-7. Jabir adalah seorang yang berketurunan Arab, namun ada juga yang mengatakan bahawa beliau berketurunan Persia. Ayahnya bernama Hayyan al-Azdi berasal dari suku Arab Azd adalah seorang ahli dalam bidang farmasi dari kabilah Yaman yang besar iaitu kabilah Azad. Jabir meninggal dunia dalam tahanan rumah di Kufah, Iraq pada 815 M. Jabir juga mahir dalam bidang kimia, farmasi, fizik, falsafah dan astronomi.

3. 2 PENDIDIKAN JABIR IBNU HAYYAN

Ketertarikannya dalam bidang kimia ini yang membuat beliau terus mendalaminya sehingga menjadi seorang ahli dalam kimia mungkin kerana pekerjaan ayahnya yang merupakan seorang penjual ubat. Sejak saat itu, Jabir menuntut ilmu dari seorang imam mahsyur, dan sekaligus dia menjadi seorang pengikut dari imam ke-enam syiah tersebut, iaitu Imam Ja’far as-Shadiq.

Bahkan, Jabir juga sempat belajar dari putera Ummayed, Khalid Ibnu Yazid. Jabir kemudiannya mempelajari ilmu perubatan pada zaman pemerintahan Khalifah Abbasiyah di bawah pimpinan Harun Ar-Rasyid dari seorang guru yang bernama Barmaki Vizier. Jabir pun terus bekerja dan bereksperimen dalam bidang kimia dengan tekun di sebuah makmal berdekatan Bawaddah di Damaskus dengan ciri khas eksperimen-eksperimennya yang dilakukan secara kuantitatif, bahkan peralatan yang digunakan untuk eksperimennya dihasilkan sendiri dari bahan logam, tumbuhan dan haiwan.

Ketertarikan Jabir dalam kimia terinspirasi oleh gurunya Ja'far as-Sadiq. Ketika ia digunakan untuk berbicara tentang kimia, ia akan mengatakan, "Tuanku Ja'far as-Shadiq mengajari saya tentang kalsium, penguapan, distilasi dan kristalisasi dan segala sesuatu yang saya pelajari dalam alkimia adalah dari tuanku Ja'far as-Shadiq. " Imam Ja’far terkenal kerana kedalaman dan keluasan ilmunya. Selain pengetahuan tentang ilmu-ilmu Islam, Imam Jafar terdidik dalam ilmu alam, matematika, falsafah, astronomi, anatomi, kimia (alkimia), dan mata pelajaran lain. Alkemis Islam terkemuka Jabir bin Hayyan adalah muridnya yang paling menonjol. Siswa terkenal-Nya yang lain adalah Imam Abu Hanifah dan Imam Malik Ibn Anas, pendiri dua sekolah Sunni, dan Wasil ibn Ata. Imam Ja’far dikenal kerana pandangan liberal belajar, dan sangat ingin berdebat dengan ulama dari berbagai agama dan keyakinan yang berbeza. Imam Abu Hanifah mengatakan "Pengetahuan saya meluas hanya dalam dua tahun. Dua tahun itu, saya habiskan dengan Imam Ja’far Shadiq".

Imam Ja’far juga memilik pengetahuan lebih dari astronomi dan ilmu perubatan. Dikatakan bahawa beliau menulis lebih dari lima ratus buku tentang rawatan kesihatan yang disusun dan dijelaskan oleh ulama besar lain dan ilmuwan Islam, Jabir bin Hayyan. Dalam tulisan-tulisannya, Jabir memberi penghargaan kepada alkemis Mesir dan Yunani diantaranya : Zosimos, Democritus, Hermes Trismegistus, Agathodaimon, juga Plato, Aristoteles, Galen, Pythagoras, dan Alexander dari Aphrodisias Simplicius, Porfiri dan lain-lain. Sebuah buku tentang alkimia terdiri dalam bahasa Arab, di antaranya nama-nama penulis Persia juga muncul seperti Jāmāsb, Ostanes, Mani, bersaksi bahawa operasi alkimia seperti pada logam dan zat lainnya juga dipraktikkan di Persia.

4. 0 KARYA JABIR IBNU HAYYAN
4. 1 KESELURUHAN HASIL PENULISAN

Jabir telah menghasilkan banyak penulisan-penulisan yang kemudiannya ditambahkan lagi oleh pengikut-pengikutnya yang menulis mengikut doktrin Jabir. Himpunan hasil penulisan Jabir dikenali sebagai Korpus Jabir (The Corpus of Geber). Ruang lingkup corpus Jabir sangat luas; kosmologi, musik, perubatan, sihir, biologi, teknologi kimia, geometri, tatabahasa, metafisika, logika, generasi buatan makhluk hidup, bersama dengan ramalan bintang, dan mitos simbolik Imamiyah.

Banyak hasil karya Jabir telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan bahasa Inggeris oleh sarjana Barat bagi memperkayakan khazanah ilmu di Barat. Beliau telah menulis 300 buku falsafah, 2300 artikel mengenai peralatan perang, 500 buku perubatan, buku serangga 300 halaman, 500 buah buku yang menolak beberapa teori falsafah, buku mengenai zuhud dan nasihat, buku mengenai mantera dan buku sains menurut Aristotle.

Secara keseluruhannya, hampir 3. 000 risalah dan artikel dikemukakan oleh Jabir ibnu Hayyan. 112 didedikasikan untuk Barmaki Vizier, wazir Khalifah Harun al-Rasyid. Kelompok ini merangkumi versi Arab dari Emerald Tablet, sebuah karya kuno yang terbukti landasan berulang dan sumber untuk operasi alkimia.

Pada abad pertengahan, risalah-risalah Jabir dalam bidang ilmu kimia termasuk kitabnya yang masyhur, Kitab Al-Kimya dan Kitab Al-Sab'een, telah diterjemahkan ke bahasa Latin. Bahkan terjemahan Kitab Al-Kimya telah diterbitkan oleh orang Inggeris yang bernama Robert Chester pada tahun 1444, dengan judul The Book of the Composition of Alchemy.

Buku kedua, Kitab Al-Sab'een diterjemahkan juga oleh Gerard dari Cremona. Berthelot pula menterjemahkan beberapa buku beliau, yang antaranya dikenali dalam judul Book of Kingdom, Book of the Balances, dan Book of Eastern Mercury.

Berikutnya pada tahun 1678, seorang berbangsa Inggeris, iaitu Richard Russel menterjemahkan karya Jabir yang lain dengan judul Sum of Perfection. Berbeza dengan pengarang sebelumnya, Richard adalah orang yang pertama kali menyebut Jabir dengan sebutan Geber. Dialah yang memuji Jabir sebagai seorang pendeta Arab dan juga ahli falsafah.

Buku ini kemudiannya menjadi sangat popular di Eropah selama beberapa abad lamanya dan telah memberi impak dan pengaruh yang cukup besar kepada evolusi ilmu kimia moden. Istilah alkali, pertama kali ditemukan oleh Jabir.

Di Paris, Holmyard menerbitkan hasil karya Jabir tentang ilmu kimia, antara kitab-kitab Jabir dalam versi bahasa Arab yang awal telah hilang, tetapi terjemahan Latinnya masih ada. Ini juga dilakukan oleh Paul Kraus dalam bukunya al Mukhtar min Rasa’il Jabir (Koleksi pilihan dari risalah-risalah Jabir) yang dihasilkan di Kaherah.

Paul Kraus dan Holmyard berpendapat bahawa dalam mewarisi ilmu kimia Yunani dan Timur, Jabir bin Hayyan adalah ahli kimia yang paling banyak melakukan penelitian dan eksperimen serta penyusunan, paling jauh dari sifat rahsia dan kiasan. Mereka juga berpendapat bahawa kebijaksanaan Jabir meninggalkan taraf kerja-kerja dalam makmal dan manjauhkan alam tahayul.

Sungguhpun begitu, daripada semua karyanya, hanya sedikit sahaja yang telah diterjemahkan. Sebahagian besar karyanya tetap kekal dalam bahasa Arab.

4. 2 AL-KIMYA

Antara kitab Jabir yang terkenal dan paling banyak digunakan dalam kimia moden adalah Kitab Al-Kimya yang padat dengan maklumat tentang teori dan eksperimen kimia oleh Jabir. Kitab ini telah banyak diterjemahkan dan terjemahannya masih digunapakai hingga kini.

5. 0 SUMBANGAN JABIR IBNU HAYYAN

5. 1 PENGHASILAN PERALATAN

Jabir Ibnu Hayyan berjaya menghasilkan instrumen pemotong, peleburan dan pengkristalan. Beliau menyempurnakan proses dasar sublimasi, penguapan, pencairan, kristalisasi, pembuatan kapur, penyulingan, pencelupan, pemurnian, sematan (fixation), dan oksidasi-reduksi. Semua teknik telah beliau siapkan sebelumnya, beliau juga telah membezakan antara penyulingan langsung menggunakan bejana basah dan penyulingan tak langsung menggunakan bejana kering, dan Jabir merupakan orang yang pertama kali mengesahkan bahawa air hanya dapat dimurnikan melaui proses penyulingan.

5. 2 TEORI KIMIA

Berbagai eksperimen telah beliau lakukan menggunakan teknik yang menakjubkan dalam bidang kimia yang kini menjadi dasar dalam mengembangkan ilmu kimia modern. Di antaranya adalah kristalisasi, distilisasi/penyulingan, kalsinasi, dan sublimasi. Jabir ibnu Hayyan juga membuat instrumen pemotong, pelebur, dan pengkristal. Jabir menyempurnakan proses dasar sublimasi, penguapan, pencairan, kristalisasi, pembuatan kapur, penyulingan, pencelupan, dan pemurnian. Beliau juga meletakkan dasar teori oksidasi-reduksi, selain juga sematan atau fiksasi, dan amalgamasi., dan oksidasi-reduksi. Semua teknik yang digunakan kala itu kemudian menjadi dasar pengembangan kimia moden.

Ibnu Hayyan membahagikan bahan menjadi tiga kategori, iaitu air, logam, dan batuan (bahan campuran) :

1. Air iaitu bahan yang mempengaruhi proses penguapan pada proses pemanasan, seperti pada bahan camphor (kamper), arsenik, amonium klorida, dan sulfur.

2. Benda logam iaitu bahan yang dapat ditempa, berkilat, menghasilkan suara seperti pada emas, perak, timah, tembaga, besi.

3. Batuan (bahan campuran) iaitu bahan mineral yang tidak dapat ditempa dan dapat ditukar menjadi serbuk. Contohnya batu dan arang.

5. 3 PENEMUAN ZAT

Jabir juga menunjukkan pengetahuan yang luas yang diperolehi melalui cerapan dan pengalamannya tentang sifat-sifat jasmani bahan-bahan kimia. Satu contoh ialah penerangannya tentang penyediaan sinabar atau raksa sulfida seperti berikut :

“Untuk menukar raksa kepada suatu pepejal merah (raksa sulfida), ambil suatu kaca bulat dan masukkan ke dalamnya raksa. Kemudian ambil pasu tanah liat dan masukkan ke dalamnya sedikit debu kuning belerang. Letakkan bekas kaca ke atas belerang dan tambahkan belerang di tepinya sampai kepada bibir bekas kaca. Letakkan radas ini di dalam relau untuk satu malam, dengan pemanasan yang perlahan, dan selepas menutup mulut pasu itu. Sekarang keluarkannya, dan anda akan dapati raksa akan menjadi suatu batu merah berwarna darah. Ia adalah benda yang ahli sains panggil sinabar. ”

Jadi, walaupun kimia Jabir berpusat kepada kimia rohani, penerangan operasi-operasi jasmani adalah penting dan menjadi asas kepada sains dan kimia moden. Holmyard, seorang pengkaji sejarah terkemuka, mengatakan bahawa Jabir adalah pengasas dan bapa kepada kimia moden dan dia menegaskan kimia dalam ertikata sebenar tidak wujud sebelum Jabir.

Di samping itu, sumbangan beliau di bidang penyelidikan empirikal mengenai pengenalan kimia adalah seperti penemuan alkali, cecair perak dan mendahului ilmuan Eropah dalam mendefinisikan garam dan air, amonia, kalium karbonat, emas, minyak, hijau asam belerang atau asid sulfurik.

Jabir bin Hayyan juga banyak memberi sumbangan dalam bidang pemurnian logam dan penyediaan baja dan campuran kimia tekstil celupan dan cecair untuk penyamakan kulit serta kain lapisan penghalang kebocoran air. Keunggulan tersebut adalah satu kredit untuk kegunaan magnesium dioksida dalam industri kaca, seperti yang ditemui oleh beliau tentang penggunaan tawas dalam membantu menstabilkan warna.

Bukan itu sahaja bahkan, Jabir bin Hayyan memungkinkan pembuatan kertas yang tidak mudah terbakar (non-flammable) dan penghasilan satu saduran lapisan mengelakkan daripada besi berkarat, penyelidikan sejenis cecair yang dikenali sebagai soda kaustik Algatron dan orang yang pertama menemui asid nitrik dan asid hidroklorik.

6. 0 PEMIKIRAN JABIR IBNU HAYYAN

Jabir ialah seorang ahli kimia yang meggunakan operasi zahir ke atas bahan kimia dan logam sebagai sokongan kepada penukaran rohani. Berkenaan dengan kimia sendiri, Jabir menganggap hikmah atau kebijaksanaan ilmu ini sebagai suatu perkara yang semesta dan abadi. Oleh yang demikian, sumber-sumber rujukannya termasuk juga nama-nama ahli falsafah Yunani seperti Arius, Pithagoras dan Sokrates.

Di antara idea Jabir yang penting ialah teori belerang-raksa dan teori keseimbangan atau al-mizan. Belerang-raksa di sini bukan bermaksud bahan belerang dan logam raksa zahir, tetapi merupakan simbol kimia untuk lelaki dan perempuan tatkala percantuman di antara dua benda atau prinsip ini menghasilkan penjelmaan segala kejadian. Menurut kimia Jabir, kedua-dua benda atau prinsip ini adalah akibat dari gabungan empat sifat (panas, sejuk, kekeringan dan kelembapan) dan empat unsur (tanah, air, api dan udara).

Oleh itu, kimia Jabir menerangkan bahawa semua logam terjelma ke alam nyata hasil dari pencantuman belerang dan raksa mengikut nisbah-nisbah yang berbeza dan di bawah suatu pengaruh tertentu dari cakerawala. Pengaruh cakerawala ini adalah perlu untuk memastikan harmoni dan tertib di dalam suasana persekitaran bumi. Penggunaan simbol-simbol yang serupa untuk logam kimia dan planet-planet yang menandakan kehadiran pengaruh langit dalam hasil dari gabungan prinsip belerang dan raksa.

Menurut Jabir, kunci untuk memahami struktur logam, bahkan untuk semua benda, ialah al-mizan atau keseimbangan. Konsep keseimbangan ini memainkan peranan penting dalam kimia Islam. Keseimbangan bukan sahaja merupakan suatu neraca fizik, untuk mengukur berat, tetapi lebih merupakan keseimbangan dalam kandungan empat sifat itu. Dengan kata lain, ini bermaksud keseimbangan di antara prinsip belerang dan prinsip raksa. Jabir menegaskan bahawa seiap logam mempunyai dua aspek, iaitu zahir dan batin, dua sifatnya terjelma pada zahir dan dua pada batin. Dengan ini, keseimbangan juga bermakna keseimbangan di antara aspek zahir dan batin.

Contohnya emas, logam yang paling sempurna pada zahirnya ialah panas dan lembap manakala pada batinnya ialah sejuk dan kering. Sifat perak pula adalah sebaliknya. Oleh kerana nisbah sifat yang betul adalah perlu untuk keseimbangan, Jabir telah membahagikan setiap sifat kepada empat darjah dan setiap darjah kepada tujuh bahagian. Ini memberikan dua puluh lapan bahagian kesemuanya, setiap bahagian sepadan dengan satu huruf bahasa Arab. Empat sifat ini juga wujud dalam logam menurut siri 1: 3: 5: 8 yang mempunyai nilai hasil tambah 17. Angka ini merupakan kunci untuk memahami struktur alam. Sifat hakiki seperti ini mencirikan sesuatu logam, tidak kira bentuk dan rupanya. Penukaran ciri ini di dalam sesuatu logam bermakna penukaran logam ini. Salah satu daripada penerangan Jabir tentang hal ini adalah seperti berikut:

“Semua logam sebenarnya terciri daipada belerang dan raksa. Mereka berbeza di antara satu dengan yang lain kerana perbezaan sifat yang disebabkan oleh perbezaan belerang yang selanjutnya disebabkan oleh perubahan di didalam bumi dan pendedahannya kepada panas matahari yang bergerak dalam bulatannya.

Apabila raksa dan belerang bergabung untuk membentuk satu benda tunggal, suatu benda baharu telah dianggapkan terbentuk. Sebenarnya tidak. Kedua-dua raksa dan belerang masih tetap mengekalkan sifat asalnya; apa yang berlaku ialah bahagian-bahagian unsur itu telah dikecilkan dan menjadi sangat hampir di antara satu sama lain sehinggalah pada mata kasarnya ia kelihatan seragam.

Sekiranya seorang itu dapat mereka suatu radas yang boleh mengasingkan bahagian belerang dan bahagian raksa, maka akan ternyata bahawa masing-masing adalah kekal dalam bentuk asal dan tidak bertukar atau berubah. Bahkan, kami mengatakan penukaran seperti ini adalah tidak mungkin boleh dibuat oleh ahli-ahli falsafah. ”

Belerang dan raksa dalam penerangan Jabir ini merujuk kapada lelaki dan perempuan. Kalau dipertimbangkan dari segi jasmani, belerang bersepadan dengan positif yang aktif dan raksa dengan negatif yang pasif. Oleh itu, teori belerang-raksa merupakan asal teori asid-bes abad kedua puluh; asid merupakan prinsip positif dan bes ialah prinsip negatif dan pencantuman di antara kedua-duanya menghasilkan garam. Bahkan dalam kimia Islam, teori belerang-raksa tidak terhad kepada logam tetapi wujud untuk semua kejadian. Terakhir bahawa “Mizan” berasal dari penjelasan Allegoris (ta’wil) rujukan-rujukan dari al-Quran mengenai penimbangan di hari pengadilan (hari kemudian). Pemikiran dan perenungan ini juga didapatkan dalam gnosis Muslim, dan melalui itu, Jabir lalu menghubungkan sistem ilmiahnya dengan ajaran keagamaan ini.

7. 0 KESIMPULAN

Jabir Ibnu Hayyan adalah tokoh falsafah Islam yang banyak menaruh perhatian pada kimia. Banyak penemuan-penemuan saintis yang ditemukan olehnya dan tidak sedikit yang masih digunakan hingga saat ini, peralatannya mahupun teori-teorinya sebagai dasar pemikiran. Beliau telah mampu mengubah persepsi tentang berbagai kejadian alam yang pada saat itu dianggap sebagai sesuatu yang tidak dapat dijangka, menjadi suatu ilmu sains yang dapat difahami dan dipelajari oleh manusia.

Selain itu, Jabir juga tidak pernah melepaskan pemikiran-pemikiran yang dihasilkannya dengan unsur Illahi. Titik tolak perkembangan ilmu adalah dari al-Quran dan sunnah yang bertujuan untuk memperkuatkan iman dan takwa. Tidak kira setinggi mana ilmu yang ditimba, janganlah kira lupa akan Dia yang mengurniakan ilmu kepada kita.

Sebagai seorang Muslim, kita haruslah mengenali tokoh-tokoh ilmuan Islam. Jangan hanya tahu tentang tokoh-tokoh Barat kerana kemajuan yang dicapai Barat pada mulanya bersumber dari peradaban Islam.

8. 0 BIBLIOGRAFI

1. 105 Tokoh Penemu & Perintis Dunia; tahun 2009; Badiatul Muchlisin Asti et. Al.; Indonesia; Penerbit Narasi.
2. Al-Quran dan Sains; tahun 2001; Dr. Haji Jamnul Azhar B. Hj. Mulkan; Kedah; Pustaka Darussalam Sdn. Bhd.
3. Ensiklopedi Tokoh Orientalis; tahun 2003; Abdurrahman Badawi; Indonesia; LKiS Yogyakarta.
4. Kimia; tahun 2008; Nana Sutresna; Indonesia; PT Grafindo Meida Pratama.
5. Menerokai Kegemilangan Saintis Islam; tahun 2012; Dr. Yazid Abdul Manap; Kuala Lumpur; Alaf 21.
6. Pengenalan Tamadun Islam Dalam Sains dan Teknologi; tahun 1985; Prof. Dr. Shaharir Bin Mohamad Zain et. al; Kuala Lumpur; Dewan Bahasa dan Pustaka.
7. Sejarah Tamadun Islam; tahun 1991; Wan Abdullah Bin Haji Wan Mahmood; Kuala Lumpur; Maziza Sdn. Bhd.
8. Tamadun Islam; tahun 1995; Abdul Rahman Nawas et. al; Kuala Lumpur; Pustaka Haji Abdul Majid.
9. Tamadun Islam; tahun 1999; Mustafa Haji Daud; Kuala Lumpur; Utusan Publications.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment