Sunday, October 18, 2015

Tajuk: Sejarah Sains Dan Teknologi Perubatan Di Dalam Al-Quran

Pendahuluan
2.1 Pengenalan
Segala puji bagi Allah Subhanahu wa ta’ala, Tuhan semesta alam beserta segala isinya. Hanya dengan taufiq dan hidayahnya, akhirnya saya dapat menyelesaikan tugasan saya yang bertajuk ‘Sejarah Sains Dan Teknologi Perubatan Dalam Al-Quran’. Selawat dan salam semoga dilimpahkan kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam beserta keluarga, sahabat dan umatnya.

 Firman Allah Subhanahu wa ta’ala bermaksud: “Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa” (Surah Al-Baqarah, 2)

Perkembangan awal Islam dimulai dengan pembinaan asas-asas keislaman yang berteraskan akidah, syariah dan akhlak, seterusnya barulah dipenuhi keperluan dan tuntutan perkembangan sains dalam tamadun manusia. Dalam sejarah perkembangan sains dalam Islam, sains tulen dalam Islam mula berkembang pada zaman Umaiyah. Dasar Islam yang berteraskan keilmuan, akidah, syariah dan akhlak menjadi asas kepada perkembangan sains dalam tamadun Islam dan ia amat berbeza sekali dengan perkembangan tamadun lain. Gerakan futuhat (pembukaan) dan dakwah pada zaman selepas kewafatan Nabi (SAW) memberi ruang kepada para ilmuan muslim member sumbangan dalam pengislaman sesebuah tamadun. Dalam pertembungan antara Islam dengan tamadun lain, Islam tidak menentang kemajuan sains malah Islam menggalakkan saintis muslim menimba ilmu sains daripada pelbagai perspektif dan seterusnya menyaring dan menyumbangnya dalam perspektif Islam. Sumbangan para saintis dikira sebagai memenuhi tuntutan ibadah dan jihad serta memenuhi keperluan fardu kifayah. 

Peranan dan sumbangan saintis muslim dalam perkembangan tamadun dunia boleh kita anggap sebagai mediator atau perantara antara tamadun moden dengan tamadun kuno. Sains Islam menerima sains kuno yang tidak bercanggah dengan Islam dan kemudian menyumbang kepada perkembangan tamadun moden. Perkembangan tamadun Islam dalam bidang sains tulen boleh dilihat dari dua aspek utama; pertama aspek sumbangan Islam terhadap setiap bidang sains berteraskan kepada sumber asasi iaitu al-Qur`an dan as-Sunnah. Keduanya, sumbangan saintis muslim dalam setiap bidang sains yang mereka terokai setelah mereka menguasai dan menyaring daripada tamadun lain. 

Ilmu perubatan Islam ini pada mulanya telah dicedok dari pengaruh tamadun kuno yang kemudiannya telah dimajukan sejajar dengan perkembangan tamadun Islam. Unsu serta pengaruh kuno yang dicedok ini kebanyakannya berasal daripadailmu perubatan Yunani atau system perubatan Hippocrates, dan juga amalan-amalan perubatan dari India dan China. Semasa perkembangan agama Islam dan kekuasaan pemerintahan Islam, berikutan daripada kewafatan Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam, tamadun Islam telah berdamping rapat dengan berbagai bangsa di bawah naungannya seperti bangsa Parsi, Syria, Sepanyol, Mesir dan India. Agama yang beraneka corak telah termasuk di bawah pemerintahan Islam, yang mana telah menyebabkan penyumbangan unsur-unsurnya yang tersendiri dalam bentuk system yang dikenali sebagai perubatan Islam. Antara agama yang telah termasuk di bawah naungan pemerintahan Islam ialah berjenis-jenis mazhab Kristian seperti Koptic di Mesir, Sabaen di Syria, Nestorian di Parsi, serta Hindu di India serta golongan Yunani di merata ceruk rantau empayar Islam.

2.2 Latar Belakang Asal-Usul Ilmu Perubatan Islam
Pergolakan sejarah serta tahap ilmu perubatan sebelum munculnya zaman keemasan Islam pada abad ke-8 M hingga abad ke-11 M perlulah dikaji untuk mengenali asal-usul ilmu perubatan Islam. Kira-kira dalam lingkungan dua ratus tahun sebelum Hijrah, kebanyakan tapak tamadun gemilang telah mulai runtuh akibat peperangan, penyakit yang merebak yang melanda umatnya dan serangan puak Barbarian yang merentasi pergunungan Alps, yang kemudiannya menyerang Itali dan meruntuhkan empayar Rom. Perkara ini merupakan suatu zaman di mana detik terhentinya sejarah tamadun dunia pada ketika itu kerana kemegahan dan kecemerlangan ilmu zaman Rom telah hapus dan hanya dipelajari di gereja tertentu sahaja dalam keadaan yang amat daif, kemajuan fikiran perubatan yang berasaskan prinsip-prinsip penganalisaan dan pengalaman yang dibentuk dari konsep aliran Yunani serta diperkembangkan pula oleh pemikiran yang berhaluan Iskandariah dan disistemkan oleh Galen mulai lumpuh.

Puak Nestorian merupakan satu puak yang telah membangkitkan suatu pusat baharu dari pusat empayar Rom yang pada suatu masa dahulu begitu gemilang. Nestorius yang juga merupakan “patriarch” atau pengetua Constantinople pada awal abad ke-5 M merupakan pengasas pusat ilmiah ini. Beliau telah diusir dan meninggal dunia di Mesir pada tahun 440M dan cara pemikiran serta kepercayaan pengikut-pengikutnya memang telah menggoncangkan Pertubuhan Agama Kristian. Pengikut-pengikutnya kini menubuhkan pusat-pusat pengajian perubatan di Edessa dan Nisibis yang telah berkembang ke peringkat yang disanjung ramai menjelang akhir abad ke-5 M. Puak Kristian Nestorian inilah yang membawa tamadun Yunani bersama ketika mereka diusir dan mereka juga menterjemah karya-karya perubatan Yunani ke bahasa Syria dan seterusnya mengembangkannya dari Syria ke Mesopotamia.

Sebelum ketibaan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam telah ada dalam kalangan orang Arab doktor yang terdidik di Jundishapur. Hal ini demikian kerana, setelah orang Arab disatukan di bawah pemerintahan Islam yang seterusnya menewaskan Syria dan Parsi, mereka menemui bahawa tamadun ini adalah tamadun yang diketahui oleh mereka. Dari tebing Sungai Indus sehingga ke pergunungan Caucasus merupakan tempat di mana kuasa Islam terus bertapak dan menyelubungi hampir ke seluruh Afrika Utara dan Sepanyol Selatan termasuk Sardinia dan Sicily. Pada tahun 762 M, Baghdad telah ditubuhkan sebagai ibu kota Islam.

Tokoh-tokoh Islam menyerap tamadun yang terdapat dalam kalangan puak-puak yang telah ditewaskan ketika dalam abad kemegahan ini. Sebagai pembela utama dan tokoh yang melindungi dan membina pusat-pusat pengajian tersebut, khalifah-khalifah Islam dengan hasil usaha mereka, telah menjadikan Baghdad sebagai pusat pengajian yang begitu cemerlang. Selepas itu, akademi-akademi di Samarkand, Isfahan dan Damsyik mulai ditubuh, dan akademi-akademi ini berpusat di masjid, tempata maha guru serta siswa menginap. Di masjid, terdapat kelengkapan seperti perpustakaan yang lengkap, klinik dan hospital. Siswa-siswa dari seluruh empayar Islam telah diberi pelajaran di akademi-akademi yang telah ditubuhkan ini. Semua pelajarannya merangkumi serta terdiri daripada semua disiplin sains dan juga ilmu falsafah ajaran keagamaan dan sains perubatan. Untuk pengajian perubatan, pada mulanya buku-buku yang digunakan merupakan terjemahan dari bahasa Yunani. Khalifah Harun al-Rasyid (763-809M) mula menubuhkan dan mengembangkan pusat pengajian di Baghdad pada tahun 765 M. Diterima dengan toleransi oleh Islam, doktor-doktor mazhab Nestorian dan Sabaen iaitu pemuja bintang dan ahli falak dan matematik dari Harran di Mesopotamia, menterjemahkan buku-buku teks perubatan terutamanya karya-karya yang dihasilkan oleh Galen.

Umat Islam berketurunan Arab terus mencipta suatu sejarah baharu dalam perkembangan perubatan berasaskan pengenalan yang tepat tentang “gejala-gejala di sisi katil” si pesakit atas kecenderungan mereka terhadap ilmu perubatan. Dengan ini, ilmu perubatan mula berkembang semula di bawah naungan Islam dengan mengikut ajaran Hippocrates yang menyatakan bahawa pengalaman dan logik itu jauh lebih penting dari apa yang terdapat sebelumnya iaitu melalui cara dogmatik dan spekulasi.

Zaman sejarah ilmu perubatan Islam memakan masa yang sangat lama iaitu selama 7 abad dan serentak dengan zaman kecemerlangan Islam. Penggal pertama zaman tersebut bermula dengan zaman Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam di mana baginda amat memahami kepentingan kesihatan jasmani dan menekankan beberapa ajaran dari segi kesihatan. Tidak dinafikan juga oleh pengajaran Islam adalah konsep-konsep kesihatan dari unsur-unsur asas keagamaan yang lain dari Islam, seperti unsur-unsur keagamaan Yahudi dan Nasrani. Tibb al-Nabi iaitu Kitab Perubatan Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam mengandungi beberapa ajaran asas tentang pemakanan untuk membina jasmani yang sihat.

3.0 Definisi Sains, Sains Islam, Teknologi Dan Perubatan Dalam Islam

3.1 Definisi Sains
Sains ialah satu perkataan yang diambil dari perkataan Inggeris iaitu ‘science’. Sains juga berasal dari perkataan Latin ‘scientia’, yang bermaksud ‘pengetahuan’. Berdasarkan terminologi, sains adalah pengetahuan yang mempunyai ciri-ciri, tanda-tanda dan syarat-syarat khas. Berdasarkan English Oxford Dictionary, sains ditakrifkan sebagai, “suatu cabang ilmu yang mengkaji sekumpulan pernyataan yang terbukti atau dengan fakta-fakta yang ditinjau, dan disusun secara bersistem dan dihimpun dalam bentuk hukum-hukum umum. Sains juga merupakan satu percubaan mencari kebenaran dengan kaedah-kaedah yang rasional dan emperikal.

3.2 Definisi Sains Islam
Sains Islam ialah ilmu pengetahuan tertentu, yang lahir hasil dari gabungan unsur fizik dan metafizik. Gabungan antara ilmu intelek dan ilmu wahyu. Gabungan antara falsafah dan sains yang pada prinsipnya ia selaras dengan ajaran-ajaran dan konsep-konsep dasar dalam Islam. Antara peranan sains Islam adalah untuk membantu manusia mengenali Allah sebagai pencipta, membantu manusia memahami persoalan Tauhid, menegakkan hakikat kebenaran, membawa manusia bersifat tafakkur, membantu manusia memenuhi keperluan material, membantu dalam pelaksanaan syariat, menghubungkan nilai etika dengan sains, sains dengan agama dan sains dengan Al-Quran dan As-Sunnah, memenuhi keperluan manusia kepada konsep keindahan serta memudahkan kehidupan manusia.

3.3 Definisi Teknologi
Makna teknologi akan lebih tepat dan dapat difahami dengan merujuk kepada etimologinya. Melalui sudut bahasa, perkataan teknologi berasal daripada perkataan Yunani, ‘Techne’ yang bermaksud seni atau kerja tangan, manakala ‘Logos’ pula bermaksud kata-kata sistematis atau wacana. Teknologi juga ialah penggunaan bersistem pengetahuan sains untuk tujuan amali. Tujuan utamanya ialah untuk memudahkan sesuatu proses kerja, memaksimakan penggunaan sesuatu peralatan dan meningkatkan produktiviti di samping dapat menjimatkan masa. Islam hanya menerima bentuk teknologi yang boleh member manfaat seperti untuk kemudahan dan kemakmuran kepada ummah. Islam menolak teknologi yang membawa kerosakan kepada minda dan fizikal. Terdapat empat ciri sains Islam iaitu yang bersifat rabbani atau ciri keagamaan, sains yang terikat dengan syariat, universal dan sepadu iaitu sepadu antara rohani dan jasmani, sepadu antara spiritual dan material, serta sepadu antara fardhu ain dan fardhu kifayah.

Dalam sejarah sains dan teknologi Islam, sina’ah, yang bererti ilmu gunaan merupakan satu perkataan dalam bahasa Arab yang bertetapan dengan istilah teknologi. Al-Jurjani menyatakan bahawa, sesuatu ilmu yang yang tiada kaitan dengan aktiviti (praktikal), yang dipupuk dengan untuk tujuannya yang tersendiri maka ia dipanggil ilm, akan tetapi, sekiranya ia tiada kaitan dengan aktiviti (praktikal) dan dipupuk oleh sebab aktiviti itu, maka ia dipanggil sina’ah. Kesimpulan daripada ini, teknologi merupakan ilmu praktis atau teknik yang member peluang kepada manusia untuk melakukan sesuatu perubahan di dunia ini.

3.4 Definisi Perubatan Islam
Perubatan Islam merupakan satu bidang ilmu dan amalan yang berasaskan ilmu sains perubatan, di mana terkandung di dalamnya paradigma, konsep, nilai-nilai, tatacara, ujian serta rawatan yang selaras dan tidak bertentangan dengan Al-Quran dan sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. Perubatan Islam juga didefinasikan sebagai satu sistem perubatan yang mempunyai beberapa subsistem yang selari ajaran Islam seperti perubatan rohaniah, perubatan Nabi dan perubatan Yunani. Sistem-sistem ini telah diintegrasi secara harmonis sehingga melahirkan satu kaedah perubatan yang menyeluruh dengan beberapa kaedah dan pendekatan.

Allah Subhanahu wa ta’ala telah menentukan dasar-dasar hukum di dalam setiap permasalahan yang dihadapi oleh manusia dan sebagai agama yang cukup lengkap, Islam sangat memelihara dan menyelesaikan tiga maslahat yang diperlukan oleh manusia, iaitu perkara Daruriyat iaitu perkara-perkara asas di dalam kehidupan di mana sekiranya perkara-perkara ini luput, ia akan menghancurkan kehidupan seseorang manusia dan musnahlah segala yang dinikmati selain mendatangkan seksaan di hari Kiamat. Perkara yang kedua ialah perkara Hajjiyat, di mana perkara ini diperlukan oleh manusia untuk menghilangkan kesusahan serta kesempitan hidup dalam pelbagai bidang dan aspek, dan perkara yang ketiga ialah perkara Tahsiniyat yang merupakan aspek penyempurnaan yang diperlukan untuk mencantikkan kehidupan serta untuk memelihara maruah dan akhlak manusia dalam semua bidang.

Perubatan Islam mempunyai beberapa perbezaan dengan perubatan moden (barat) khususnya dari segi falsafah dan pengiktirafan terhadap kaedah - kaedah yang berbagai-bagai. Sebagai contoh, berdoa sebagai satu cara rawatan.

Sungguhpun begitu, terdapat persamaan dari segi material medikal (ubat-ubatan) yang digunakan dan penggunaan teknologi dan inovasi untuk tujuan perubatan. Perubatan Islam juga merupakan kajian terhadap sejarah perubatan selepas kemunculan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan terus berkembang di bawah naungan ketamadunan Islam.

4.1 Kegemilangan Ilmu Perubatan Islam
Kecemerlangan ilmu perubatan Islam adalah disebabkan kesyumulan dan keagungan ajaran Islam yang tidak menolak sebarang bentuk pengaliran ilmu kepada umatnya walaupun ia diambil daripada bukan Islam. Penyebab berkembangnya ilmu perubatan Islam adalah disebabkan galakan Islam yang membuka ruang kepada umatnya untuk mendalami apa jua bidang ilmu yang memberi manfaat kepada kesejahteraan dan kemajuan hidup mereka.

Ketika mana Islam memperkembangkan sayap pemerintahannya, tamadun Islam telah berdamping dengan pelbagai jenis manusia di bawah naungannya seperti bangsa Parsi, Sepanyol, Syria, Mesir dan India. Bangsa-bangsa ini telah menyumbang unsur-unsur mereka yang tersendiri dalam membentuk sistem yang dikenali sebagai perubatan Islam. Manfaat ini kemudiannya diadun dengan keserasian dan kewajaran ajaran Islam. Melalui kegeligaan pemikiran, falsafah dan amalan tokoh ternama dunia perubatan Islam telah terus mengevolusi dan memberi bentuk serta corak tersendiri kepada sistem ilmu perubatan Islam.

Perkembangan ilmu perubatan dapat dilihat secara lebih terperinci dengan pembahagiannya mengikut era zaman seperti zaman para sahabat dan zaman Bani Umayyah. Sejarah ilmu perubatan Islam telah bermula pada zaman sahabat lagi di mana perkara ini terbukti melalui riwayat-riwayat yang telah mendedahkan beberapa bentuk perubatan dalam kalangan orang-orang Islam ketika itu. Antaranya ialah kisah ‘Afranjah r.a yang merupakan salah seorang sahabat Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Beliau telah tercedera dalam satu peperangan di mana beliau telah kehilangan batang hidungnya. Beliau akhirnya menggunakan hidung palsu yang diperbuat daripada perak. Namun, setelah digunakan, tempat kecederaannya itu telah mengeluarkan bau yang busuk. Lalu Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam telah mencadangkan agar beliau (‘Afranjah) menggunakan hidung palsu yang diperbuat daripada emas.

Dalam riwayat yang lain pula, ‘Urwah ibn al-Zubair ibn al-Awwam telah ditimpa satu penyakit pada bahagian kakinya dan penyakit itu timbul ketika beliau berkunjung ke Damsyik untuk berjumpa dengan Khalifah al-Walid ibn ‘Abd al Malik. Khalifah al-Walid telah mengumpulkan ahli-ahli perubatan yang hebat pada zamannya untuk membantu mengubati penyakit ‘Urwah. Mereka, ahli-ahli perubatan, akhirnya sepakat mengatakan bahawa kaki ‘Urwah terpaksa dipotong demi menyelamatkan nyawa dan anggota-anggota badan yang lain daripada terkena jangkitan penyakit tersebut. ‘Urwah bersetuju kakinya dipotong. Ahli-ahli perubatan yang merawatnya telah menawarkan sejenis ubat yang boleh menghilangkan kesedaran akalnya buat sementara sewaktu kakinya dipotong. Akan tetapi ‘Urwah enggan menggunakannya, sebaliknya, beliau meminta kakinya dipotong ketika beliau bersembahyang. Walau bagaimanapun beliau tidak sedikitpun mengerang kesakitan kerana terlalu khusyuk dalam munajat beliau dengan Tuhannya.

Berdasarkan cerita ini, jelaslah bahawa perubatan secara saintifik telah wujud pada peringkat awal Islam lagi. Penggunaan alat gentian palsu telahpun wujud pada zaman Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam, manakala pembedahan terhadap anggota badan manusia telahpun dipraktikkan dalam sejarah Bani Umayyah. Ia juga menunjukkan bahawa penggunaan ubat penahan sakit atau bius telahpun tersebar dan digunakan pada zaman tersebut. Pengamal-pengamal perubatan pada zaman tersebut juga telah mula mendekati buku-buku perubatan karangan orang-orang Greek. Dikatakan juga bahawa al-Walid ibn Abdul al-Malik, salah seorang khalifah Bani Umayyah merupakan orang yang pertama membina hospital di dalam Islam.

Perkembangan yang seterusnya ialah pada zaman Kerajaan Abbasiyyah iaitu pada tahun 750 hingga 1258 M, di mana terdapat dua buah pusat pengajian tinggi dalam bidang perubatan, pertamanya di Jundisyapur di Parsi dan keduanya di Harran, Syria. Tenaga-tenaga pengajarnya terdiri daripada pakar-pakar perubatan dari Parsi, Yunani dan Syria. Menurut riwayat, banyak tenaga perubatan luar telah dibawa ke Baghdad yang menjadi ibu kota kerajaan Islam pada masa itu. Keadaan ini menjadikan ilmu perubatan orang-orang Islam merupakan kesinambungan ilmu-ilmu perubatan dari Parsi, Yunani, India, Mesir, dari orang-orang Yahudi dan Kristian. Oleh itu, bidang ini terpapar sebagai integrasi antara teori-teori perubatan berbagai bangsa dan tamadun. Pemetikan ilmu-ilmu perubatan dari pelbagai bangsa dan kaum tidaklah menggambarkan bahawa ilmu perubatan Islam hanyalah tiruan dari tamadun Yunani atau bangsa-bangsa lain semata-mata, dan tidak jua menggambarkan bahawa peranan orang-orang Islam hanyalah sebagai penyimpan ilmu-ilmu tersebut di dalam khazanah-khazanah ilmuan mereka. Islam merupakan agama sejagat untuk seluruh umat manusia, selain agama yang menggerakkan akal, mencetuskan minda dan menghormati daya kreatif manusia. Islam tidak menolak segala bentuk ilmu hasil daripada akal fikiran manusia, lebih-lebih lagi yang melibatkan saintifik, percubaan dan pengalaman selagi mana ianya tidak bercanggah dengan prinsip dan batas-batas yang telah digariskan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala dan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam.


Kegemilangan dan kecemerlangan tamadun Islam telah membuka laluan dan tempat yang tinggi kepada sistem perubatan yang diperkenalkan oleh bangsa-bangsa lain, atau dengan kata lain kesejagatan ilmu manusia dalam bidang ini telah diislamkan di bawah satu kawalan pemerintahan dan undang-undang yang dikenali dengan pemerintahan dan undang-undang Islam. Perkembangan ilmu perubatan seperti yang disebutkan sebenarnya berpunca daripada pendedahan ilmu-ilmu luar secara perdana terutamanya dalam bidang falsafah. Pendedahan ini telah dianjurkan oleh pemerintah kerajaan Abbasiyyah terutama pada zaman khalifah al Ma’mum. Ianya berlaku melalui perterjemahan buku-buku falsafah Greek. Al-ma’mum telah menubuhkan satu perpustakaan sebagai sokongan berikutnya bagi tujuan mengumpulkan buku-buku ilmiah yang diterjemahkan ke bahasa Arab dan perpustakaan ini dinamakan sebagai “Bait al-Hikmah”. Beliau juga telah membelanjakan sejumlah wang yang banyak bagi pembiayaan program penterjemahan buku-buku ilmiah terutamanya dalam bidang falsafah ke dalam bahasa Arab.

Kesan perkembangan ilmu perubatan dalam empayar Islam telah menyebabkan banyaknya pusat pengajian dalam bidang tersebut. Bandar-bandar utama umat Islam seperti Bahgdad, Damsyik, Basrah, Samarkand, Kaherah, Tunis, Fez, Cordoba, Toledo, Seville dan Granada telah menyaksikan pertumbuhan yang positif ini sekaligus telah menjadi antara pusat-pusat terpenting bagi pengajian bidang ini. Hakikat yang mesti diperakui ialah kecemerlangan dan keagungan tamadun Islam sebenarnya lebih menyerlah pada era kegemilangan evolusi perubatan Islam. Kemuncak ini makin dirasai apabila terhasilnya beberapa karya-karya perubatan yang ditulis oleh pakar-pakar perubatan Islam. Karya-karya ini bukan setakat boleh menandingi penulisan-penulisan Yunani dan sebagainya, bahkan terdapat padanya penelitian dan kritikan yang mendalam terhadap cara pemikiran orang-orang Yunani dalam arena perubatan.

4.2 Tokoh-tokoh Terkemuka
Dengan galakan hebat daripada Al-Quran yang menyeru supaya tekun mencari ilmu pengetahuan semasa hidup, ramai ahli fikir Islam telah muncul pada setiap zaman sejak munculnya agama Islam.

 Abu Bakr Muhammad Ibn Zakaria al-Razi yang dikenali di Barat sebagai Rhazes, dilahirkan di Rayy berhampiran Tehran. Selain pakar dalam ilmu kedoktoran, beliau juga merupakan seorang ahli kimia yang ulung dan juga seorang penulis yang produktif. Beliau dilaporkan telah menghasilkan tidak kurang daripada 200 buah buku dan beliau telah menghasilkan “Kitab al-Tib al-Mansuri”, karyanya dalam bidang kedoktoran, yang ditulis sebagai tanda penghormatan terhadap Mansur Ibn Ishaq al-Samani dari Sijistan. Buku tersebut telah diterjemahkan ke bahasa Latin, Perancis dan Jerman. Dalam satu karyanya yang terkenal, iaitu “al-Judari wa al-Hisbah”, beliau telah memuatkan perbahasan tentang penyakit cacar (small pox) dan campak, menjelaskan cara-cara untuk mengubati penyakit tersebut, yang belum diketahui oleh orang sebelumnya. Karya beliau yang terkenal, “Kitab al-Hawi”, merupakan sebuah ensiklopedia kedoktoran, yang mana beliau membincangkan tentang ilmu pengetahuan kedoktoran.

Seterusnya ialah Ali Ibn Abbas yang dikenali sebagai Haly Abbas di Barat. Beliau juga merupakan doktor Islam yang terkenal. Beliau telah menghasilkan sebuah kitab ilmu perubatan yang terkenal dengan judul “Kitab al-Maliki” atau dikenali dengan nama “Kamil al-Shina’ah Al-Tibbiyah” ketika beliau berkhidmat dengan Adu al-Dawlah Fanna Khusraw. Karya beliau ini lebih ringkas daripada kitab “al-Hawi”, kitab al-Razi, dan lebih mudah difahami dan dipelajari. Buku ini juga membincangkan tentang pengaturan pemakanan atau diet, dan bahan-bahan pengubatan. Beliau juga mengemukakan beberapa penemuan baru seperti pembuktian bahawa pergerakan proses kelahiran (parturition) bukannya gerakan daripada bayi, sebaliknya merupakan kontraksi rahim ibu dan beliau juga menemui kaedah kapilati (perlangsingan).

Seorang lagi sarjana perubatan dan kedoktoran Islam yang paling terkenal pada zaman pertengahan ialah Abu Ali al-Husein Ibn Abdullah Ibn Sina yang lebih dikenali dengan nama Ibn Sina. Di Barat, beliau dikenali sebagai Avicenna. Oleh sebab kepakarannya dalam bidang ilmu falsafah, kedoktoran dan syair, Ibn Sina telah diberi gelaran “al-Shaykh al-Rats”. Ibn Sina sudah memperlihatkan kecerdasannya yang biasa sejak beliau masih kecil. Beliau telah berjaya mengubati Nuh Ibn Mansur, seorang raja dari keluarga Samani, ketika berusia 19 ahun dan atas kejayaan tersebut, beliau telah dibenarkan untuk mengguna perpustakaan diraja. Beliau telah dapat menguasai semua bidang ilmu yang terkandung dalam buku-buku di perpustakaan dalam masa yang singkat. Beliau sudah mulai menulis secara sistematik ketika beliau dalam usia 21 tahun, yang mana beliau telah menulis secara produktif dan berjaya menghasilkan karya yang banyak. Antara kitab ilmu kedoktoran karyanya yang paling terkemuka ialah “al-Qanun fi al-Tibb”, yang merupakan sebuah karya yang amat berpengaruh untuk tempoh waktu yang lama. Kitab juga telah dijadikan teks utama dalam pengkajian ilmu perubatan dunia Barat.

Selain tokoh-tokoh terkenal, terdapat ramai lagi sarjana-sarjana yang tidak kurang pentingnya. Antaranya ialah Ali Ibn Isa, dikenali sebagai Jesu Haly di Barat. Beliau merupakan seorang pakar penyakit mata di Baghdad, di sekitar pertengahan abad. Ali Ibn Isa telah menghasilkan tidak kurang daripada 32 buah karya tentang oftamologi. Buku beliau yang bertajuk “Tazkirat al-Kahlin” iaitu Buku Nota Para Okulis atau doktor mata, merupakan sebuah naskhah tertua yang bernilai dalam bidang berkenaan. Kitab ini masih boleh didapati dalam bentuk asli yang lengkap. Beliau telah membahaskan 132 jenis penyakit mata dan 143 jenis ubat mata.

Terdapat ramai lagi tokoh-tokoh penting dalam bidang perubatan ini seperti Ibn Juzlah (Bengzela), Abu Ali al-Hasan Ibn al-Haitham, seorang tokoh jurusan optik, Ya’qub Ibn Akhi Hizam seorang doktor haiwan, Ali Ibn Ridwan, al-Afkani dan Sadaqah Ibn Ibrahim al-Sadiqi yang merupakan tokoh perubatan Mesir dan ramai lagi.

Walaupun tidak disenaraikan, namun jasa serta sumbangan mereka amat besar terhadap perkembangan ilmu perubatan Islam.

4.3 Sumbangan Perubatan Islam
Manusia dijadikan Allah Subhanahu wa ta’ala dengan dua unsur iaitu metafizik dan fizik atau rohani dan jasmani. Manusia juga ditinjau dari segi jasmani adalah dipengaruhi oleh empat faktor iaitu penyakit, kecederaan, kesusutan dan kematian. Faktor-faktor ini juga disebut sebagai 4D dalam bahasa Inggeris iaitu Disease, Damage, Degeneration dan Death. Tentang faktor pertama dan kedua, manusia boleh berikhtiar untuk mengatasinya bergantung pada kemampuan diri yang terbatas, namun faktor ketiga dan keempat, manusia tidak dapat mengatasinya sama sekali. Dari dorongan Al-Quran dan hadis, Islam dalam zaman keemasannya telah meneroka, mengkaji, cuba mengatasi apa jua masalah yang berkenaan perubatan, berbanding dengan masa kegelapan di waktu itu atau sebelum datangnya Islam. Hadis Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam ada yang bermaksud bahawa tiap-tiap penyakit itu ada ubatnya dan dengan keizinan Allah Subhanahu wa ta’ala, penyakit itu akan sembuh dengan jalan berikhtiar.

Dengan kelahiran Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam yang membawa Nur Islam, suatu zaman kegemilangan atau keemasan telah berlaku sebagai zaman penerokaan bagi beberapa bidang ilmu algebra, alkemi dan astronomi. Ilmu-ilmu ini dikaji, diasingkan dan diselidiki terutamanya dalam bidang perubatan. Seramai 25 orang tokoh yang disebut oleh Donald Campbell dalam bukunya “Arabian Medicine” dan jumlah ini mungkin lebih banyak lagi, dan antara tokoh yang paling terkemuka yang telah member banyak sumbangan dalam bidang perubatan ialah al-Razi (al-Hawi), Ibnu Sina (al-Qanun), Ibnu Rusyd (al-Kuliyah), al-Zahrawi (al-Tasrif), Ali Ibn Abbas al-Majusi (al-Maliki).

Tokoh-tokoh ini telah menyumbang pelbagai sumbangan dalam pelbagai bidang seperti oftalmologi, farmakologi dan farmakognosi, farmasi, sumbangan perubatan internal,. Mereka bukan sahaja menemui bidang perubatan ini, malah mereka menerokai serta menguasai ilmu-ilmu ini bagi kepentingan mereka juga kepentingan ummah.

Selain penemuan serta penerokaan bidang ilmu, pembinaan hospital merupakan salah satu sumbangan yang telah disumbang pada tamadun Islam. Banyak hospital yang telah dibangunkan merata-rata setelah pemerintahan Islam berjalan selama enam abad selepas Hijrah. Klinik-klinik serta hospital bergerak juga telah ditubuhkan yang akan mengiring ke mana sahaja pasukan askar bergerak, seperti yang berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud. Hospital-hospital yang ditubuhkan telah dibahagikan kepada beberapa bahagian mengikut wad-wad tertentu seperti surgeri, oftalmologi, ortopedik, dan perubatan umum dan dilengkapi pula dengan dipensari dan dapur umum untuk menyiapkan makanan pesakit.

Islam pada zaman kegemilangannya telah memberi perkhidmatan terbesar dalam bidang perubatan kepada manusia dengan melahirkan beberapa tokoh ternama dalam bidang ini. Bukan sahaja mahir dalam bidang perubatan, malah mereka juga mahir dalam beberapa ilmu di luar bidang perubatan yang dapat dipusakai dan dimajukan oleh Dunia Barat.

“Apabila manusia dapat mengenal dirinya dalam keadaan sihat atau sakit, maka jalan untuk mengenal Allah terbuka luas dan mudah baginya.”

4.4 Kemerosotan Perubatan Islam
Dalam lingkungan 15 abad dahulu, tamadun manusia berada dalam keadaan runcing, yang mana kebudayaan purba di Timur dan di Barat telah mula merosot dan semakin bertambah dengan berleluasanya kekacauan politik dan agama. Penulisan Brown dalam “Withington’s Medical History” yang menyatakan bahawa, “Orang Arab telah gagal mengembalikan kegemilangan purba Yunani tetapi telah menghalang ilmu ini kemerosotan dan selepas lima abad telah mempersembahkan ilmu ini dalam keadaan yang lebih membara”. Hal ini demikian kerana dari kekacauan yang berlaku ini, muncul satu harapan keamanan dan bibit-bibit pemulihan suasana. Namun, setelah mencapai zaman keemasan selama beberapa abad, momentum masyarakat Islam yang menghasilkan kerja yang banyak dan bernilai telah kian malar. Perubatan Islam sudah tidak dapat berkembang selari dengan kemajuan-kemajuan yang dicapai oleh dunia Barat sehinggalah sampai kepada keadaan yang wujud sekarang. Antara sebab yang telah membawa kemerosotan ilmu perubatan Islam ialah keruntuhan empayar Islam, penjajahan serta pendidikan dan teknologi.

Keruntuhan empayar Islam berlaku apabila Baghdad yang menjadi ibu kota kerajaan Abbasiyah telah dimusnahkan akibat serangan tentera Mongol dalam tahun 1258. Beribu-ribu naskah buku dan hasil karya masyarakat Islam bersama dengan koleksi buku Arab di perpustakaan telah dibakar oleh Mongol. Pusat pemerintahan kerajaan Umaiyah di Cordova pula telah jatuh ke tangan Kristian pada tahun 1264. Kuasa pemerintahan baru ini tidak bertolak ansur terhadap orang-orang Islamdi Sepanyol, malahan mereka telah mengharamkan semua pengajian yang berunsur tamadun Islam kepada orang Islam dan Yahudi dalam suatu inquisition yang berkuatkuasa sehinggalah ke tahun 1950 dan berdasarkan inquisition ini, pemerintahan Katolik Sepanyol telah menghalang sebarang kaitan dengan ilmu yang berunsurkan Islam atau Yahudi.

Namun, keruntuhan empayar Islam tidak bermakna perkembangan ilmu perubatan Islam terhenti malahan semasa keruntuhan ini berlaku, muncul tokoh-tokoh Islam dalam bidang kedoktoran seperti Ibnu al-Qifti, Ibnu Abu Usaibiah, Ibnu Khallakan dan Barhebraeus. Kaum Mongol yang telah memusnahkan institusi perubatan dan hospital Islam telah menjadi penaung perubatan Islam dan ramai doctor Islam yang berkhidmat di istana-istana Mongol. Dalam abad ke-14M pula, bermulanya perkembangan perubatan haiwan (veterinari) dan ilmu astronomi dan pada masa ini, zaman ini telah digelar sebagai zaman keemasan farmakologi dalam Islam. Pada abad ke-16M dan ke-17M merupakan zaman merebaknya perubatan Islam di India.

Seterusnya, penjajahan. Keruntuhan empayar Islam dituruti pula oleh penjajahan negara-negara Islam secara sistematik dan tidak disedari dan hal ini telah mengakibatkan berpecahnya negara-negara Islam kepada beberapa kawasan di bawah naungan kuasa-kuasa Eropah. Perpecahan ini telah menyebabkan berlakunya perpecahan kepada pelbagai bangsa dan ada juga yang bermusuhan sesama sendiri. Rakyat negeri yang dijajah telah dipaksa menggunakan bahasa ibunda penjajah dan bahasa rasmi Islam yang dahulunya bahasa Arab telah dialih ganti dengan beberapa bahasa asing. Faktor-faktor ini juga telah memecahkan Dar al-Islam orang-orang beriman. Selain itu, penjajah Barat juga telah mengambil beribu-ribu buku dan karya orang Islam dari negara yang dijajahi dan membawa balik ke negara asalnya. Pada hari ini, buku karya orang Islam yang terbaik sudah tidak ada di negeri orang Islam sendiri malahan telah terbenam di muzium di Britain dan di tempat-tempat lain di Eropah.

Sebab yang terakhir ialah pendidikan dan teknologi. Pada masa ini, zaman teknologi mulai muncul di Barat dan orang Islam yang terjajah tidak didedahkan kepada pendidikan dan kemajuan di Eropah. Ketidakupayaan memepelajari bahasa asing dan rintangan-rintangan keras dan kejam oleh penjajah untuk menentukan teknologi Barat tidak terlepas ke tangan orang Islam membuat umat Islam jahil untuk satu tempoh yang agak panjang.

Kemajuan teknologi seperti penggunaan mikroskop, stetoskop, kromatografi, computer dan banyak lagi alat-alat moden telah terlindung dari pengetahuan orang Islam.Pencapaian era teknologi baru dengan sendirinya telah memperbaiki lagi konsep-konsep lama, malahan telah juga menimbulkan teori-teori baru dalam pathogenesis, teknik-teknik diagnostic dan terapeutik. Oleh hal yang demikian, orang Islam yang kebanyakannya berada di negara-negara yang serba kurang dan tandus dari segi teknologi moden telah tertinggal belakang dalam kaedah-kaedah sofistikasi.

Daripada beberapa faktor ini dan sebab-sebab lain yang tidak dapat dikawal, kemajuan kedoktoran Islam telah merosot. Walaupun begitu, harus diingat bahawa perubatan Islam belum menghembuskan nafasnya yang terakhir. Perubatan Islam terus hidup dalam bentuk asalnya dan dalam satu sistem yang masih lagi diamalkan di beberapa negeri di India. Kegerhanaan tamadun Islam yang memakan masa lebih kurang tujuh abad ini telah beransur hilang dan sinar Islam mulai memancar kembali dengan nafas dan kesedaran baru yang bertiup kencang di tiap-tiap negara Islam pada hari ini.

5.0 Kesimpulan

Ilmu dan amalan perubatan telah lama berkembang dan masih lagi maju ke hadapan walaupun banyak lagi isu-isu tentang punca penyakit dan kaedah rawatan belum dapat diselesaikan. Masanya telah tiba masanya bagi para doktor dan ahli-ahli sains perubatan Islam, negara-negara Islam, hartawan dan ahli-ahli korporat Islam untuk bergabung tenaga untuk memulakan satu era baru dalam meningkatkan satu lagi sudut perkhidmatan kemanusiaan menerusi perubatan Islam. Penggemblengan tenaga pakar yang disokong dengan pembiayaan dan pengumpulan dana dan tabung kewangan yang bertujuan untuk meningkatkan ilmu dan amalan perubatan Islam akan mengangkat imej Islam ke tahap kecemerlangan dan kegemilangan.

6.0 Bibliografi
1. Abidin, D. D. (2002). Perubatan Islam Dan Bukti Sains Moden. Pahang: PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd.
2. Latiff, A. Z. (2012, Julai 22). Scribd. Retrieved from Scribd Inc.: http://www.scribd.com/doc/100721591/Sumbangan-Sains-Islam#scribd
3. Latiff, P. M. (2011, Mei 22). Academia. Retrieved from Academia Corporation: ttp://www.academia.edu/1801700/Sumbangan_Sains_Islam_Bidang_Perubatan_dan_Farmasi_Sains_Pemakanan_Astronomi_dan_Kejuruteraan
4. Omar, N. (2006). Universiti Kebangsaan Malaysia. Retrieved from The National University of Malaysia: http://www.ukm.my/jmalim/images/vol_07_2006/nizaita_2006.pdf
5. Saad, I. (1985). Pengenalan Tamadun Islam Dalam Ilmu Perubatan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.
6. Ustaz Azam Hamzah, U. Z. (1990). Tamadun Islam : Konsep Dan Pencapaiannya. Shah Alam: Penerbitan HIZBI.
7. Khaliq, A. (2012, November 19). SlideShare. Retrieved from LinkedIn Corporation: http://www.slideshare.net/khaliqfreedom/uici-2022-bab-04-teknologi-dalam-islam-nota
8. Manaf, S. (2013, April 8). SlideShare. Retrieved from LinkedIn Corporation: http://www.slideshare.net/saifuddeenmanaf/konsep-sains-dan-teknologi-dalam-islam

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment