Thursday, October 15, 2015

Tajuk: Perpindahan Ilmu Sains Dan Teknologi Islam Ke Eropah

PENDAHULUAN

Perkembangan ilmu di barat menyaksikan berlakunya gerakan pembudayaan ilmu dan intelektual secara besar-besaran pada sekitar abad ke-13-17 Masihi.Kebangkitan ini merangkumi pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti kesusasteraan, kesenian, seni bina, sains, matematik dan sebagainya.Kebanyakan penulis Barat mengatakan kebangkitan ini bermula di Itali dan kemudiannya tersebar ke seluruh Eropah.Kesahihan pandangan tersebut dipertikaikan oleh Robert Briffault (1876-1948) dalam ensiklopedia sejarahnya, “The Making of Humanity” dengan menegaskan bahawa Renaissance yang sebenarnya telah berlaku melalui kebudayaan Islam dan bermula di Sepanyol dan bukannya di Itali.pada abad-abad pertengahan, Eropah sedang mengalami zaman yang paling mundur dan gelap gelita. Ketika jalanjalan di kota-kota besar seperti London masih berlumpur, jalan-jalan raya di Baghdad telahpun berturap dengan batubatu.Begitu juga ketika kota-kota besar di Eropah sedang diselimuti kegelapan, sedangkan kota-kota di negara-negara umat Islam telah diterangi oleh lampu-lampu jalan raya yang berderetan. Kota-kota besar di Eropah sunyi daripada kegiatan intelektual dan keilmuan, manakala bandar-bandar utama di dunia Islam seperti Baghdad, Kaherah, Damsyik, Toledo, dan Cordova merupakan pusat perkembangan tamadun dan intelektual. Di sinilah bermulanya kehidupan baru yang akhirnya berkembang menjadi Tamadun Moden di Eropah.

J. Chipperfield dalam tulisannya, The Artistic and Scientific Acheivements of Early Islam antara lain menyebut:“Kekuatan dan keagungan Islam yang berada pada kemuncaknya telah dijelmakan dalam pemaparan gemilang daripada tamadunnya dengan beberapa gelombang kemunculan. Ia bermula dari abad ke 10 hingga abad ke 15 Masihi. Waktu itu kota-kota seperti London dan Paris masih merupakan bandar-bandar yang usang dengan jalanjalan raya yang dipenuhi lumpur, sistem saliran yang berbau busuk lagi menyedihkan dengan rumah-rumah berupa pondok kecil yang diperbuat daripada kayu. Tetapi di sana, di sebelah Timur Tengah, telah wujud pancaran cahaya di bahagian-bahagian tertentu dengan bandar-bandar yang cerah bermandi cahaya; tersergam indah bangunan-bangunan dengan hasil kerja kesenian tangannya. Konstantinople, ibu empayar Rom Timur yang merupakan bandar terpencil lagi tersorok telah ditawan oleh tentera Islam Turki pada 1453M dan kemudian ditukarkan namanya menjadi Islambul (kota Islam). Nama ini kemudiannya diubah menjadi Istanbul oleh Barat.Kota ini menjadi pusat pembelajaran dan kebudayaan Islam terbesar pada waktu itu.Minuman air seperti kopi telah sedia dikenali dan menjadi kegemaran orang-orang Arab sejak abad ke 9 M.Ia mengambil masa selama tujuh kurun bagi orang-orang Barat untuk menghasilkan ramuannya. Kopi mocha adalah berasal dari bandar Mocha di negara Arab (sebuah bandar yang terkenal dengan eksport kopi).Pada tahun 1580 kopi ini telah dieksport ke Italy, disusuli kemudiannya ke London, Oxford, dan Paris.Semua itu tidak berlaku kecuali sesudah tahun 1683 M.”

CIRI CIRI TAMADUN ISLAM

Dalam usaha untuk mencapai matlamat Tamadun Islam terdapat beberapa ciri diantaranya; 

1. PENGAJARAN DALAM AL-QUR’AN
-Seperti yang kita sedia maklum Al-Qur’an merupakan Perlembagaan bagi seluruh ummah dan Islam sebagai ad-din yang memainkan peranan besar dalam kecemerlangan Tamadun Islam.Ianya jelas dibentuk oleh ajaran Al-Qur’an itu sendiri melalui akidah, syariah dan akhlak.Semua ajaran di dalamnya sebagai panduan yang lengkap dan sempurna; tidak dapat dibantah walaupun satu ayat.Ia juga merupakan petunjuk yang konkrit sepanjang zaman serta sesuai dengan sesiapa saahja kerana al-Qur’an itu sebagai manual kepada manusia, dimana pendidikan Islam memainkan peranan yang terpenting sebagai panduan untuk mencapai kecemerlangan tamadun Islam.

2. MEMPERTINGKATKAN ILMU PENGETAHUAN DAN PENGGUNAAN TULISAN
-Islam amat menggalakkan umatnya menimba ilmu pengetahuan sebanyak mungkin sepanjang hayatnya; sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud “Dari Rasulullah saw bersabda “tuntutlah ilmu sejak dari dalam buaian sehingga ke liang lahad”.Tujuan menuntut ilmu pengetahuan ialah untuk melahirkan masyarakat yang berilmu dan beriman kepada Allah Subhanahu wa ta’ala dengan sebenar-benarnya, di samping memakmurkan alam dalam semua aspek.Negara yang bertamadun adalah mempunyai kaitan rapat dengan perkembangan ilmu pengetahuan.Sebagai contoh:kebangkitan kecemerlangan tamadun Islam negara Sepanyol pada abad yang ke 8 kerana pemimpin Islam pada ketika itu cinta kepada ilmu pengetahuan; walaupun keseluruhan negara Barat lain masih dalam ‘dark ages’ atau zaman kegelapan.

3. KEMUNCULAN BANDAR-BANDAR BARU
-Pada peringkat permulaan Islam hanya bandar Mekah dan Madinah sahaja yang ditadbir dan dibangunkan.Berkat keredhaan Allah Subhanahu wa ta’ala yang dikurniakanNya kepada pentadbir-pentadbir pada ketika itu, hanya selang beberapa tahun kemudian, Islam telah mengembangkan sayapnya secara meluas ke negara-negara lain seperti Afrika Utara, Afrika Tengah, di barat iaitu Sepanyol dan Pulau Sicily.Sebahagian besar penduduk-peduduk di negara tersebut telah memeluk Islam dan saling bekerjasama dalam pembangunan tamadun Islam.Akhirnya muncullah bandar-bandar baru yang membangun di sana-sini yang amat mengkagumkan dunia; tanpa mengabaikan ciri-ciri keislaman seperti bangunan Masjid, Perpustakaan dan Istana

4. KESEPADUAN UMMAH
–Walaupun masyarakat dalam pelbagai negara yang berada di bawah naungan Islam merupakan masyarakat majmuk yang berlainan bangsa dan budaya, tetapi mereka saling membantu bekerjasama untuk menaikkan taraf kehidupan bertamadun ke peringkat yang lebih dinamik dalam semua aspek; baik dari segi rohani mahupun jasmani.Kesepaduan demikian akhirnya membawa kecemerlangan tamadun Islam secara keseluruhannya.Sebagaimana pepatah melayu berkata: “Bersatu teguh bercerai roboh”, dimana akhirnya turut sama-sama membentuk sebuah masyarakat Islam yang aktif dan maju.Perbezaan peranan yang dimainkan melahirkan pembahagian kerja seterusnya wujudlah suatu bentuk ekonomi bandar.

5. MEMPUNYAI SENIBINA TERSENDIRI
-Senibina dalam tamadun Islam mempunyai kaitan rapat dengan perkembangan bandar-bandar.Menurut Prof..Dr J. A. Toyndee mengatakan bahawa tamadun Islam adalah tamadun bandar. Ianya sebagai senibina yang terbaik dan sempurna, kerana lahirnya di bandar-bandaryang di bina oleh Islam.Walaupun demikian, senibina Islam ini tidak pula mengabaikan aspek ketuhanan.Dalam kategori ini termasuk juga kesenian halus seperti seni Khat dan seni awan larat.Kedua-dua jenis ini di gunakan untuk menghiasi kulit kitab, bangunan-bangunan, dewan-dewan dan seumpamanya, dimana ianya menjadi keagungan generasi berikutnya.

6. KEWUJUDAN NEGARA ISLAM
-Menurut sebahagian penulis-penulis antarabangsa, Islam adalah satu ciri tamadun Islam yang tidak boleh dipertikaikan kerana sebarang aktiviti orang Islam hanya boleh dilakukan dengan bebas di dalam negara Islam.

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI TAMADUN ISLAM KEATAS MASYARAKAT EROPAH

1) FAKTOR ISLAM ITU SENDIRI
-Kegemilangan tamadun Islam adalah bepunca daripada ajaran Islam itu sendiri; di mana Al-quran dan Al-Hadis sebagai sumber rujukan utama.Dengan kemunculan awal Islam di Mekah dan tertubuhnya negara Islam yang pertama di Madinah, maka secara keseluruhan dapat mengubah cara hidup masyarakat Arab yang sesat, jahil dan tidak beradap kepada cara hidup yang beradap dan bertamadun dalam semua aspek, antara lain:

-Perubahan dari penyembahan pelbagai tuhan kepada Tuhan yang satu iaitu Allah Subhanahu wa ta’ala.Mereka telah meninggalkan kesesatan akidah, menuju akidah tauhid, dengan hanya menyembah Allah Subhanahu wa ta’ala yang Maha Esa dan Nabi Muhammad adalah sebagai pesuruhNya.Sebagaimana firmanNya dalam surah Al Hujuraat, ayat 15 seperti berikut: -Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah Subhanahu wa ta’ala dan rasulNya, kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang-orang yang benar”perubahan masyarakat Jahiliah daripada hidup berpuak-puak kepada bersatu padu.Lazimnya berlaku di kalangan mereka, si kuat menindas si lemah, seperti kata pepatah “sesiapa yang kuat, mak mereka itulah yang kudrat.”Begitulah amalan masyarakat Jahiliah sepanjang masa.Kedatangan Islam mampu mengubah keadaan masyarakat demikian kepada kesepaduan ummah tanpa mengira suku, kaum, bangsa dan keturunan, asalkan beragama Islam.Mereka semuanya bersaudara iaitu saudara seagama Islam.Mereka berpandukan kepada Al-Quran dan Al-hadis.

-Perubahan masyarakat jahiliah daripada gemar meminum minuman keras kepada minuman yang menyegarkan dan menyehatkan badan.Firmannya Allah Subhanahu wa ta’ala dalam surah Al Maidah, ayat 90 sebagai berikut:

-Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (minuman) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib (dengan panah), adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan.Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.”

-Perubahan masyarakat jahiliah daripada suka melakukan perzinaan kepada pernikahan yang dibenarkan Islam daripada hidup bebas kepada hidup yang berperaturan.

-Maksudnya: “Dan janganlah kamu mendekati zina: sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”

2) FAKTOR GALAKAN PEMIMPIN DAN SIKAP UMMAH.
-Yang menjadi tunggak tamadun Islam yang kedua ialah faktor hubungan timbal balik antara galakan pemimpin dan sikap ummah itu sendiri.Usaha dan peranan mereka amat diperlukanuntuk meneruskan kesinambungan peranan yang telah dimainkan oleh faktor Islam itu sendiri.Semenjak dari perutusan Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam sebagai ketua agama dan pemimpin negara.Islam tidak pernah mengalami ketandusan pemimpin walau zaman kemunduran sekalipun.Mereka sentiasa di hormati oleh masyarakat sekeliling disebabkan peranan mereka

menyelamatkan rohani dan meningkatkan keimananan ummah sebagaimana yang dikehendaki Allah Subhanahu wa ta’ala sehingga datangnya zaman kebangkitan Islam.Dengan itu jelas apa yang telah dididik dan diasuh oleh Rasulullah saw terhadap ummah telah membuahkan hasil terhadap pemikiran pemimpin pelapis yang mempunyai akidah yang teguh, memiliki akhlak yang mulia, memperlihatkan kepimpinan yang unggul.Sebagai contoh; 

 Saidina Abu Bakar r.a.Ketokohan beliau sebagai seorang ahli politik Islam yang terkenal, dapat dilihat menerusi kejayaannya menyatukan kembali umat Islam yang berpecah sebaik sahaja berita kewafatan Rasulullah tersebar

3) KESTABILAN SOSIO-EKONOMI DAN SOSIO POLITIK ANDALUS
-Pengajaran Al-Qur’an dan Al-Hadis tentang pentingnya ilmu pengetahuan serata galakan dan usaha gigih para pemimpin, bukan sahaja umat Islam mampu menguasai pelbagai ilmu pengetahuan, bahkan telah membawa kesan dengan peningkatan kestabilan sosio-ekonomi dan sosio politik sejagat.Kestabilan politik, ekonomi dan sosial di Andalus turut menjadi penyumbang kepada perkembangan ilmu pengetahuan.

FAKTOR PENGALIRAN ILMU ISLAM KE EROPAH

Para sejarawan telah sepakat bahawa terdapat beberapa faktor yang mendorong pengaliran ilmu-ilmu pengetahuan Islam ke Eropah iaitu hubungan diplomatik,, aktiviti penterjemahan, pembukaan Pulau Sicily, pembukaan Pulau Andalus (Sepanyol) dan Perang Salib.

a) Hubungan Diplomatik.
-Sejarah telah mencatatkan bahawa telah wujud hubungan diplomatik di antara negara-negara Eropah dengan negara Islam.Islam mengajar umatnya supaya berinteraksi antara satu sama lain baik berinteraksi secara vertikal deengan Allah Subhanahu wa ta’ala, mahupun berinteraksi secara horizontal sesama manusia dengan sesama makhluk Allah.Islam juga menyuruh umatnya mengutamakan perdamaian atau menerima perdamaian, jika diminta berbuat demikian oleh musuh, tetapi hendaklah berwaspada dan berserah kepada Allah Subhanahu wa ta’ala.Firman Allah dalam surah Al-Anfal, ayat 61 yang bermaksud; “dan mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah.Sesungguhnya Dia Yang Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui”

2) Aktiviti penterjemahan
Dalam masa peperangan Salib telah wujud hubungan kebudayaandan tamadun antara pihak Kristian dan Muslimin secara langsung atau tidak langsung.Kehadiran orang-orang Kristian di Eropah di negeri-negeri Islam, menyebabkan mereka banyak memperolehi pengetahuan dari tamadun Timur melalui interaksi mereka dengan orang-orang Islam dineeri-negeri dimana mereka berada.Mereka melihat secara langsung ketinggian tamadun Islam dalam pelbagai bidang Ilmu pengetahuan, antara lain: bidang perubatan, pertanian, pendidikan, arkitektur, ketenteraan dan sebagainya

Orang-orang Eropah menetap di negeri-negeri Islam mengambil unsur-unsur tamadun Islm daan kemudiannya mereka bawa pulang kenegeri masing-masing.Semenjak mereka mengenali kecemerlangan tamadun Islam pada lingkungan abad ke 11 Masihi, maka makin tinggilah keinginan mereka untuk menyerap tamadun dalam kehidupan mereka sehari-sehari
Setelah mereka berfikir bagaimanakah caranya supaya ilmu pengetahuan yang berguna itu masuk ke Eropah lebih cepat, golongan cendikiawan di kalangan mereka sependapat bahawa cara yang terbaik ialah penterjemahan.

Usaha penterjemahan tersebut, sebahagian besarnya dilakukan oleh cendikiawan di Universiti Islam di Sepanyol, Sicily dan cendikiawan Islam di Universiti Islam di Timur.Usaha penterjemahan buku berjalan pesatnya kerana mereka mempunyai pengetahuan kemaampuan untuk menterjemahkan buku-buku bahasa Arab ke dalam Bahasa Latin dan bahasa Eropah yang lainnya.

Usaha seperti ini berlangsung selama dua abad sehingga akhir abad ke-13 Masihi.Bangsa Eropah mempergiatkan lagi bidang ini dan mendirikan Institusi penterjemahan yang berfungsi sebagai institusi akademik, contohnya seperti; 
a) Institusi penterjemahan di Toledo.Penterjemah yang aktif dalam institusi ini antara lain; 
-Ibrahim Ibnu Daud (1190) seorang Yahudi
-Herman (1272) warganegara Jerman
-Gerard (1187) dari Itali
yang mana mereka ini menterjemahkan bidang falsafah dan sebahagian kecil dalam bidang sains dan teknologi.
b) Institusi penterjemahan di Palermo ibu negeri Sicily.Kaisar Faderick 11 amat menggalakkan usaha penterjemahan.Beliau mengirim para ilmuan untuk mencari buku ke perpustakaan di Timur Islam untuk diterjemahkan kedalam bahasa Latin dan bahasa Eropah lain.Diantara buku yang menarik perhatian Kaisar ialah karya Ibnu Rusyd dan melantik Michael Scott (1235M) untuk menterjemahkannya.

Diantara buku Sains yang diterjemahkannya ialah; 
a) “Al Madkhal ila-ilm Hayat al Aflak” karya Al Farghani yang diterjemahkan kedalam bahasa Latin oleh Yohannes Hispalensis dan Gerard pada tahun 1135M
b) “Al Tarikh Al Jalali” karya Umar al Khayyam diterjemahkan kedalam bahasa Eropah dan Latin.
c) Ibnu Nafis terkenal sebagai seorang doktok yang pertama kali menemui pengaliran darah.Orang yang boleh menyamai kepakarannya ialah seorang pakar bedah Islam di Sepanyol yang bernama Abu Qasim.Penemuannya itu mendahului 400 tahun berbanding dengan pakar Eropah yang bernama Hervey dan Michael Servet.Penemuan beliau di bidang ini amat mempengaruhi doktor-doktor Eropah seperti Ambroise Pare 1517-1590 dan Percivall Pott 1713-1788M.

3) Perang Salib
Peperangan Salib berlaku sebanyak 8 kali dalam masa 2 abad diantara tahun 1097-1292M bersamaan tahun491-692 Hijrah.Perang Salib diambil dari nama ‘Salib’ sebagai lambang orang-orang Kristian.Dengan sebab itulah ramai beranggapan bahawa peperanganini juga dikatakan peperangan ‘agama’.Sebenarnya jauh dari itu bukan faktor agama sahaja yang menyebabkan
berlaku peperangan, malah wujud sebab –sebab lain yang lebih banyak.Menurut Prof.Dr.Ahmad Shalaby (1975:1-6) mengatakan diantara sebab-sebab itu ialah:

1) sebab-sebab perdagangan
i. -ahli-ahli perniagaan Eropah sanggup mengeluarkan wang dan senjata untuk membantu peperangan Salib kerana mereka berkeinginan supaya dapat menakluki sesetengah dermaga-dermaga di sepanjang pantai Timur dan selatan Laut Mediterranean, terutama di Venice, Genoa dan Pisa.Tujuannya ialah supayadermaga-dermaga tersebut menjadi pusat perniagaan mereka di Timur dan wujud kesinambungan di antara perniagaan Eropah dengan perniagaan di Timur melalui jalan-jalan ini
ii. Perang Salib berlaku di Manzikert, Byzantin.
-Pada tahun 1071M telah berlaku satu pertempuran antara orang Islam yang dipimpin oleh Ali Arsalam dengan Emperor Rumanos IV bagi pihak Byzantin di Manzikert. Pertempuran ini merupakan satu pertempuran yang terbesar pernah berlaku di antara Islam dengan orang kafir.Pertempuran ini berakhir dengan kemenangan Islam.

SUMBANGAN UMAT ISLAM

Apa yang dikenali sebagai ‘sains’ muncul di Eropah sebagai natijah daripada semangat penyelidikan baru, metode percubaan, penelitian dan ukuran baru (new methods of investigation, experiment, observation and measurement). Semangat dan metode saintifik ini telah diperkenalkan oleh orang-orang Islam ke dunia Eropah.Berbeza dengan orang-orang Greek yang lebih berminat dalam teori dan generalisasi (falsafah), orang Islam mengarahkan pemerhatian mereka kepada mencari fakta-fakta yang konkrit dan cuba mendapatkan maklumat yang tepat berhubung dengan sesuatu fenomena. Mereka membuat penyelidikan dan percubaan bagi membuktikan sesuatu teori itu benar-benar tepat.Sumbangan umat Islam terhadap perkembangan ilmu di Eropah adalah meliputi pelbagai bidang.

SUMBANGAN UMAT ISLAM YANG PALING KETARA
 ialah dalam bidang sains sebagaimana dinyatakan oleh Briffault dengan katanya:
 “Science is the most momentous contribution of Arab civilization to the modern world.... It was not science only which brought Europe back to life. Other and manifold influences from the civilization of Islam communicated its first glow to European life.”

PENYEBARAN ILMU DAN TAMADUN MASYARAKAT ISLAM DI EROPAH

 Ilmu dan tamadun masyarakat Islam tersebar di seluruh Eropah terutamanya menerusi usaha-usaha penterjemahan secara besarbesaran dan pembukaan beberapa buah universiti di Barat.

 Abad ke 12 dan 13 M adalah tahap kemerosotan ciri-ciri kreatif sains muslim sedangkan kegiatan terpenting di Barat pada masa itu ialah peniruan dan penyerapan bahan-bahan intelektual dan kebudayaan. Menurut Sarton, dunia Barat menyifatkan kedua-dua abad tersebut sebagai ‘zaman peralihan’ dan ‘penyatuan’ apa yang ada di timur oleh Barat.

PROSES PENGHIJRAHAN ILMU

 Ilmu dan tamadun orang Islam tersebar di seluruh Eropah terutamanya menerusi usaha-usaha terjemahan yang dilakukan secara besar-besaran. Contohnya, di Toledo, sekolah terjemahan yang teratur telah lahir hasil daripada inisiatif Archbishop Reymond I (1126-1152).
 Siri-siri penterjemahan telah berkembang pesat sekitar tahun 1135 hingga 1284 Masihi. Pada tahun 1145, Robert of Chester telah menyiapkan terjemahan karangan alKhwarizmi dalam bidang algebra dan pada tahun yang sama juga Robert bersama dengan Hermenn the Dalmatian telah menyempurnakan terjemahan al-Quran buat pertama kalinya dalam sejarah.
KESAN-KESAN PERPINDAHAN ILMU

1)Sikap dan cara hidup orang-orang Eropah berubah kepada pemikiran yang terbuka dan berkembang. Mereka yang selama ini terkongkong dengan pemerintahan feudal gereja akhirnya bertemu dengan cahaya kebebasan akal sehingga mencetuskan zaman kebangkitan (Renaissance). Walau bagaimanapun wujud pula di Barat apa yang dinamakan sebagai pemisahan agama daripada cara hidup seharian (fahaman sekularisme).
2) Orang Barat mula meningkatkan usaha untuk mendapatkan ilmu yang menyebabkan berlakunya pemindahan ilmu secara meluas.
3) Tertubuhnya beberapa universiti milik penganut Kristian yang tidak lagi anti kepada ilmu seperti Universiti Palencia (1214 M) yang diasaskan oleh Alfonso VII dan Universiti Lerida (1300 M) yang ditubuhkan oleh Jaime IX.
4) Mengalirnya karya-karya ilmuwan Islam ke Eropah seperti alKhawarizmi dengan algebra dan aritmatik, Ibnu Sina dengan Canon of Medicine dan Ibn Zuhr, Ibn Rusyd, al-Idrisi dan lain-lain yang telah menghasilkan ramai sarjana Barat seperti Alexander of Holle, Thomas Aquinas, Alberto Magnus, Roger Bacon, Peter of Abano dan lain-lain.
 5) Gerakan terjemahan daripada bahasa Arab ke bahasa Latin yang bermula sekitar kurun ke 12 M bukan sahaja mengalirkan ilmunya tetapi turut mengubah nama-nama Islam menjadi ala kebaratan. Contohnya, nama al-Zarqali menjadi Azarquiel, al-Battani menjadi alBatanius, al-Ghazali menjadi Algazel, al-Razi menjadi Rhazes, Abu al-Qasim menjadi Abulcases, Ibn Sina menjadi Avicenna, Ibn Rusyd menjadi Averros, dan juga Jabir bin Hayyan menjadi Geber.
6) Ramai sarjana Islam yang menjadi guru di kebanyakan universiti di Eropah menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Kesannya ialah peninggalan banyak istilah ilmu Islam-Arab dalam pelbagai disiplin ilmu-ilmu yang ada hingga kini. Contohnya, perkataan algebra (aljabar), zero-cipher (sifr), algorism (al-jabar walmuqabalah), nadir (nadir), azimuth (al-thumuth), kimia (kimiya’), alchemy (al-kimya’), alkohol (al-kuhul), dan alkali (al-kaliyy).

KESIMPULAN
Perpindahan ilmu adalah proses interaksi antara sebuah tamadun dengan tamadun lain. Ia adalah proses yang tidak boleh disekat memandangkan sifat ilmu itu sendiri yang terus berkembang dan mengalami perubahan dari masa ke masa. Kemajuan sains dan teknologi yang kita kecapi sekarang adalah hasil daripada proses perpindahan ilmu yang terus berlaku dan akan terus berlaku. Pengaruh tamadun Islam ke atas masyarakat Eropah adalah banyak antaranya perubatan, pendidikan, perindustrian, ekonomi dan matematik.Antara faktor-faktor yang menyebabkan perkembangan pesat masyrakat Eropah pada ketika itu antaranya ialah hubungan diplomatik diantara masyarakat Islam dan masyarakat Sepanyol di Eropah.Senario ini menunjukkan betapa luasnya pengaruh tamadun Islam dan sumbangannya terhadap dunia.Oleh sebab itu seharusnya kita menyedari betapa pentingnya kita mempelajari dan memahami sejarah tamadun dunia.Kesan daripada itu, berlakulah proses perpindahan ilmu yang menyaksikan kebangkitan tamadun Barat sebagaimana kita kenali pada zaman moden ini. Dorongan perpindahan ilmu terdiri sama ada bersifat keagamaan, keduniaan mahupun dorongan materialistik dan politik. Masyarakat yang menerima proses perpindahan ilmu berpeluang menikmati kemajuan dalam bidang sains dan teknologi di samping menikmati taraf kehidupan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

RUJUKAN
Chipperfield, J. TheArtistic and Scientific Achievements of Early Islam.
Hitti, Phillip K. 1970. History of the Arabs.London: Mac. Millan St. Martin’s Press.
Khawaja Abd al-Wahhab.Islam and the Origin of Modern Science.
Robert. 1919. The Making of Humanity. T.tp: G. Allen & Unwin Ltd.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment