Thursday, October 15, 2015

Tajuk: Tamadun Islam Menekankan Hubungan Baik Manusia Dengan Alam

Pendahuluan
Ketamadunan dan peradaban merupakan ciri khas manusia yang tidak terdapat pada makhluk-makhluk yang lain. Kaitan antara ketamadunan dengan kehidupan manusia jelas diungkapkan oleh Ibnu Khaldun di dalam kitabnya al-Muqaddimah bahawa manusia secara tabiinya makhluk yang bertamadun (madaniyyun bi tab’ihi) atau makhluk sosial yang saling berinteraksi sesama sendiri dalam pelbagai aspek untuk memenuhi keperluan hidup mereka. Pada pemikiran al – Sirhindi seorang figur Islam tersohor India, hidup bertamadun adalah fitrah dan sifat semulajadi manusia. Jika ditinjau daripada sudut pandang lain, tamadun boleh dianggap sebagai sunnah insaniyyah yang menjelma daripada sifat kreativiti dan inovasi manusia sendiri. Selagi mana manusia meneruskan kelangsungannya untuk hidup dengan selesa, maju, demi mencukupi segala keperluannya maka selagi itulah proses ketamadunan akan berjalan. 

Tamadun Islam merupakan segala yang dihasilkan oleh fikiran orang Islam menurut wataknya dengan panduan agama Islam naik menerusi agama Arab, Parsi, Sepanyol, Turki, India, Cina, Melayu dan lain-lain yang membina tamadun Islam bersama-sama dalam pelbagai bidang tanpa mengira sempadan politik, geografi, etnik kosmologi, ideologi dan sebagainya. Adunan ini berpandukan al-Quran dan al-Hadis sebagai dua sumber induk keilmuan Islam yang melahirkan elemen tamadun dalam bentuk dan acuan tersendiri, unik dan melambangkan keperibadian Islam di samping mampu berkembang dan memberikan sumbangan terhadap kehidupan manusia seluruhnya. 

Takrif Tamadun

Tamadun merupakan kemajuan kebendaan sesebuah masyarakat. Dari perspektif semasa pula, perkataan tamadun selalunya merujuk kepada pencapaian yang tinggi dalam bidang sains dan teknologi, ini dapat dilihat pada zaman ini dimana negara-negara maju yang moden mengalami penonjolaan dalam Tamadun barat. 

Sebenarnya perkataan 'tamadun' dari sudut etimologi berasal daripada perkataan 'maddana' dalam bahasa arab. Madana yang merupakan kata kerja merujuk kepada perbuatan membuka bandar atau kota serta perbuatan memperhaluskan budi pekerti. Daripada perkataan 'Maddana' ini diterbitkan perkataan 'Madani' yang merupakan sifat nama (adjective). Madani merujuk kepada sifat sesuatu yang berkaitan dengan pembangunan perbandaran serta kehalusan budi pekerti yang terpuji. 

Perkataan arab lain yang mengambarkan tamadun ialah hadarah, yang merupakan perbuatan duduk dibandar dan melakukan perilaku yang tinggi. Dalam bahasa latin pula tamadun berasal dari perkataan civitas yang bermaksud bandar atau kota. Civilization juga membawa maksud yang menekankan penggabungan antara ketinggian dan kemajuan kebendaan. 

Pengertian Tamadun dan Tamadun Islam


Pengertian tamadun dan tamadun Islam mempunyai perkaitan daripada aspek bahasa dan istilah. Pengertian tamadun atau peradaban secara keseluruhannya dapat dilihat melalui sudut bahasa Arab, sudut epistemology bahasa Inggeris dan Latin. Dari sudut bahasa Arab, terdapat beberapa istilah yang dirujuk dalam konteks tamadun. Antara istilah-istilah tersebut ialah madaniah, tamadun dan hadarah. Ibn Khaldun, seorang sarjana Islam yang unggul dalam bidang ilmu kemasyarakatan Islam dalam karyanya Muqaddimah telah menggunakan istilah umran. Umran digunakan dalam kajian tentang bandar-bandar atau ibu kota yang memiliki kawasan tanah yang didiami dan penempatan, keadaan tinggal menetap, berkembang subur dan maju. Selain itu, Ibn Khaldun juga menggunakan istilah hadarah sebagai berlawanan dengan istilah badi atau badiah. Hadarah ialah satu daerah, kota, bandar, kampung atau tanah yang diusahakan. Dalam penggunaan bahasa Arab moden masa kini, perkataan tamadun bererti memiliki ciri-ciri hidup bandar, dan kota-kota dipanggil mudun yang memiliki ciri-ciri tamadun. 

Dari sudut epistemology, istilah civilization dalam bahasa Inggeris berhubung kait dengan kemajuan dalam kehidupan manusia yang membentuk peradaban dan tamadun. Ini menunjukkan, bahawa istilah civilization yang dimaksudkan sebagai tamadun manusiawi lebih merujuk kepada kemajuan jati diri manusia di dalam membangunkan kehidupan dalam pelbagai peringkat terutamanya diperingkat negara. 

Selain daripada definisi di atas, terdapat di kalangan sarjana Islam yang memberikan definisi berhubung dengan tamadun Islam. Di antara sarjana tersebut ialah Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Beliau telah memberikan takrif tamadun Islam sebagai “ keadaan kehidupan insane bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakatnya”. 

Tamadun Islam bersumberkan wahyu iaitu al-Quran dan al-Hadis (al-Sunnah) dan tamadun ini didirikan oleh masyarakat yang digelar dan menggelarkan diri mereka sebagai Muslim. Ini bermakna, tamadun Islam tidak didirikan atas peranan atau kepentingan sesuatu bangsa, budaya atau bersifat kebangsaan semata-mata. Tamadun Islam didirikan dan didukung sama ada oleh bangsa Arab, Turki, Parsi, India, Sepanyol, Melayu dan sebagainya yang dianggap saling melengkapi atau dikenali sebagaikesatuan ummah dan berpegang kepada unsur penyatuan iaitu konsep tauhid. 

Pengenalan

Manusia sebagai khalifah Allah di dunia diamanatkan untuk memakmurkan alam kehidupan. Makhluk manusia diberi tanggungjawab tersebut atas dasar manusia mempunyai ilmu serta kemahiran berfikir sebagai alat dalam menyeleggarakan amanat tersebut. Oleh yang demikian manusia wajar terlebih dahulu melengkapkan dirinya dengan ilmu pengetahuan sama ada ilmu keduniaan mahupun ilmu keakhiratan atau ilmu kejasmaniaan dan kerohanian. 
Firman Allah dalam Al-Quran surah Al-Ahzab, ayat 72 yang bermaksud (terjemahan):

“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khuwatir akan mengkhianantinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. ”

Makhluk-makhluk langit, bumi, gunung yang telah dijadikan Allah di alam ini, iaitu makhluk yang besar pada bentuknya dan besar pula kekuatannya, jika dibandingkan dengan manusia. Meskipun besar, namun makhluk-makhluk tersebut itu tidak mempunyai pesediaan untuk menanggung bebanan yang berupa perintah dan tegahan daripada Allah, bahkan tidak ada persediaan untuk memperhatikan mengenai urusan agama dan dunia. 

Sebaliknya pula bangsa manusia sebagai makhluk yang bentuknya lebih kecil dan tenaganya terlalu lemah, namun demikian telah dijadikan oleh Allah ada mempunyai persediaan untuk menanggung bebanan yang berupa perintah dan tegahan daripada Allah, bahkan tidak ada persediaan untuk menerima bebanan yang berat-berat berupa tanggungjawab yang dinamakan dengan “amanat”. 

Ilmu dunia adalah untuk memakmurkan alam kehidupan yang ada semasa hidup di alam dunia. Segala makhluk yang Allah wujudkan di alam dunia menjadi tanggungjawab manusia untuk memakmurkan kehidupannya di samping menggunakan atau memanfaatakan nya terutama sekali makhluk yang tidak hidup seperti segala jenis logam, tanah, batu. Pasir, Air, udara, cahaya matahari dan sebagainya. 

Istilah

Istilah tamadun

Sebenarnya perkataan 'tamadun' dari sudut etimologi berasal daripada perkataan 'Maddana' dalam bahasa arab. Perkataan maddana bererti bandar atau kehidupan menetap di bandar. Ia mula digunakan secara meluas setelah diperkenalkan oleh Muhammad FaridWajdi dan Muhammad Abduh. Perkataan arab lain yang mengambarkan tamadun ialah hadarah, yang merupakan perbuatan duduk dibandar dan melakukan perilaku yang tinggi. 

Ciri-ciri

Alam diciptakan untuk Manusia

Manusia dapat hidup di bumi kerana Allah telah menetapkan keadaan bumi yang ada pada posisi sekarang. Pemikiran yang murni yang berdasarkan kenyataan dan tanpa prasangka, mudah memahami alam semesta diciptakan dan dikendalikan oleh Allah yang semuanya diperuntukkan pada manusia. 

FirmanAllah : “Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya tanpa hikmah. Yang demikian itu adalah anggapan orang-orang kafir, maka celakalah orang-orang kafir itu karena mereka akan masuk neraka. ” (Surah Shad:ayat 27)

Selainitu Allah jugaberfirman: “Dan Allah menjadikan bagimu tempat bernaung dari apa yang telah Dia ciptakan, dan Dia jadikan bagimu tempat-tempat tinggal di gunung-gunung, dan Dia jadikan bagimu pakaian yang memeliharamu dari panas dan pakaian (baju besi) yang memelihara kamu dalam peperangan. Demikianlah Allah menyempurnakan nikmat-Nya atasmu agar kamu berserah diri (kepada-Nya). ” (Surah An-Nahl: ayat 81)

Manusia sebagai Khalifah

Manusia dipilih oleh Allah sebagai penduduk bumi, tiada lain adalah sebagai khalifah. Hal ini ditegaskan dalam surah Al-Baqarah ayat 30:
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi. ” Seterusnya, Allah memuliakan manusia dengan memberikan kemampuan untuk menundukkan sumber daya alam yang ada di bumi dan memanfaatkan segala fasiliti yang ada di bumi dengan baik. 

Firman Allah: “Allah-lah yang telah menciptakan langit dan bumi dan menurunkan air hujan dari langit, kemudian Dia mengeluarkan dengan air hujan itu berbagai buah-buahan menjadi rezeki untukmu; dan Dia telah menundukkan bahtera bagimu supaya bahtera itu, berlayar di lautan dengan kehendak-Nya, dan Dia telah menundukkan (pula) bagimu sungai-sungai. Dan Dia telah menundukkan (pula) bagimu matahari dan bulan yang terus menerus beredar (dalam orbitnya); dan telah menundukkan bagimu malam dan siang. ” (Surah Ibrahim:ayat 32-33)


AsasTamadun

1. AKIDAH

Merupakan iman atau kepercayaan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala yang diikat oleh ucapan dua kalimah syahadah. Akidah merupakan asas tamadun Islam yang paling utama sekali. Kekuatan akidah dapat membantu manusia membezakan antara yang buruk dan yang baik dan dapat membina tamadun dengan cara yang diredhai. 

2. SYARIAH

Syariah pula merupakan asas Tamadun Islam yang kedua penting selepas akidah. Ia mengandungi peraturan-peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala untuk dipatuhi dan dilaksanakan oleh manusia. Sifatnya yang muktamad menyebabkan manusia tidak berhak mengubahnya. 
3. AKHLAK

Menurut Islam, akhlak bererti meletakkan keimanan kepada Allah dalam bentuk praktis. Segala perilaku dan perbuatan mestilah berteraskan keimanan untuk membina tamadun yang kukuh dan disegani. 

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas kita dapat menyimpulkan bahawa tamadun adalah merupakan cetusan pencapaian yang berlaku di dalam kehidupan manusia daripada dahulu sampai kini. Cuma, di dalam tamadun Islam ia mempunyai keistimewaan yang berbeza dengan pencapaian-pencapaian yang wujud di dalam tamadun bukan Islam. Hal ini adalah disebabkan kerana tamadun Islam berunsurkan nilai-nilai rabbani (ketuhanan) yang berbeza dengan tamadun bukan Islam yang bertunjangkan manusiawi. Perkara ini boleh kita lihat dalam kupasan bab selanjutnya yang menyentuh tentang nilai-nilai yang wujud dalam tamadun Islam berbanding nilai-nilai yang wujud di dalam tamadun bukan Islam. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment