Sunday, October 18, 2015

Tajuk: Sumbangan Ibn Sina (980-1037) M Dalam Perubatan

Pendahuluan
Agaknya tak ada nama yang begitu besar dalam bidang kedoktoran dan falsafah dalam kalangan Islam, selain Ibn Sina. Bahkan tokoh ilmuwan, ulama, doctor, cendekiawan, dan filosof ini tidak hanya dikenal dalam kalangan Islam sahaja; namanya menjulang ke peringkat dunia, menjadi orang yang tercatat banyak memberikan sumbangan dan pengaruh bagi kemajuan ilmu pengetahuan, khususnya kedoktoran.Nama lengkapnya adalah Abu Ali Al-Husain ibn Abdullah Ibn Sina dilahirkan pada 980 M di negeri Ifsyia Karmitan. Kemudian Ibn Sina mengikuti ayahnya Husain Ibn Abdullah yang pindah tugas ke Bukhara. Di sinilah Ibn Sina menghabiskan sebahagian besar hidupnya sampai meninggal dunia pada 1037.

Ibnu Sina adalah seorang ilmuwan Islam di abad pertengahan yang mempunyai banyak kepakaran. Di Barat, beliau dikenal sebagai Avicenna dan karya-karyanya sangat digemari di sana. Kehebatan dan kepakaran dalam bidang perubatan tiada tolok bandingnya sehingga beliau diberikan gelaran al-Syeikh al-Rais (Mahaguru Pertama).

Ibnu Sina meniggal dunia di Hamdan, dalam usia 58 tahun pada bulan Ramadhan 428 H/1037 M.Beliau dimakamkan di sana. Dalam rangka memperingati 1000 tahun hari kelahirannya (Fair Millenium) di Tehran pada tahun 1955 M beliau telah dinobatkan sebagai “Father of Doctor” untuk selamanya-selamanya, dan di sana (Tehran) telah dibangunkan sebuah monemun sejarah untuk itu. Makam beliau di Hamdan telah di kelilingi oleh makam-makam doktor Islam yang lain. Hal ini menyebabkan ahli-ahli ilmu yang terkemudian merasa megah jika dimakamkan di tanah perkuburan di mana “zeninth” itu dimakamkan.

3.0 Isi Perbincangan
3.1 Latar belakang Ibn Sina
Ibnu Sina sudah menguasai ilmu tafsir dan usuludin ketika berusia 10 tahun lagi. Kemudian beliau menelaah falsafah, politik dan logik, matematik, fizik, politik dan kedoktoran hingga berusia 16 tahun. Kecerdasannya semakin tampak apabila beliau sering kali menyelesaikan persoalan yang tidak dapat diselesaikan oleh gurunya. Setelah berusia 16 tahun, beliau mula belajar sendiri. Beliau sangat menyenangi ilmu kedoktoran dan metafizik. Gurunya yang pertama adalah bapanya sendiri, seorang alim, Abdullah Natalia. Beliau mempelajari ilmu kedoktoran daripada seorang kristian yang bernama Isa bin Yahya.

Sebelum usianya mencecah 17 tahun nama beliau telah terkenal sebagai seorang tabib.Ibnu Sina juga terkenal sebagai seorang pengembara. Setelah kematian ayahnya beliau mula berkelana, menyebarkan ilmu dan mencari ilmu yang baru. Tempat pertama yang menjadi tujuannya setelah hari duka itu adalah Jurjan, sebuah kota di Timur Tengah. Di sini beliau bertemu dengan seorang sasterawan dan ulama besar, Abu Raihan Al-Biruni. Al-Biruni adalah guru baru dengan ilmu yang baru pula bagi Ibnu Sina.Setelah Jurjan dan Al Biruni, tidak lama Ibn Sina melanjutkan lagi pengembaraannya. Rayy dan Hamadan adalah kota selanjutnya, sebuah kota dimana karyanya yang terkenal Al-Qanun Fit Al-Tibb mula dituliskan. Di tempat ini pula Ibn Sina banyak berjasa, terutama pada raja Hamadan. Seakan tidak pernah lelah, beliau melanjutkan lagi pengembaraannya, kali ini daerah Iran menjadi tujuannya. Di sepanjang jalan yang dilaluinya itu, banyak lahir karya-karya besar yang memberikan manfaat besar pada dunia ilmu kedoktoran khususnya. Dalam usia 21 tahun, beliau mula menulis secara sistematik, produktif dan berjaya menghasilkan karya yang banyak. Hasil karya beliau yang masih kekal hingga ke hari ini berjumlah 250 karya termasuk 116 buah karya dalam bidang perubatan. Banyak karyanya ditulis dalam Bahasa Arab danada beberapa buah dalam Bahasa Parsi.

3.2Karya terkenal
Setiap hari beliau menulis tidak kurang dari 50 muka surat dan selama hidupnya telah menghasilkan buku sebanyak 238 buku dan risalah. Sebahagian di antaranya terdiri dari beberapa jilid dan besar-besar. Karyanya bertajuk Al-Qanun Fi Al-Tibb (Undang-Undang Perubatan) merupakan karya raksasa yang abadi, terdiri dalam 5 jilid dan membahaskan 760 jenis ubat. Kitab ini dianggap sebagai himpunan perbendaharaan ilmu perubatan dan William Osler dalam bukunya yang bertajuk The Evolution of Modern Medicine telah menyifatkan kitab Al-Qanun sebagai “Injil Perubatan”.

Di Barat, buku ini disebut Canon of Medicine dan menjadi rujukan utama dibeberapa fakulti perubatan di Eropah dan juga di ChinaKarya abadi lainnya adalah Al-Isyarah wa Al-Tanbihat dalam bidang falsafah mengenai ketuhanan dan kemurniaan hidup. Pada abad 12M, Gerard of Cremona telah menterjemahkan kitab Al-Qanun ke Bahasa Latin.Al- Qanun Fit-Tibb telah membincangkan serta mengenengahkan mengenai penyakit saraf. Buku tersebut juga telah mengajar mengenai cara-cara pembedahan dimana telah menekankan keperluan pembersihan luka. Malahan di dalam buku-buku tersebut juga dinyatakan keterangan –keterangan dengan lebih jelas di samping hiasan gambar-gambar dan sketsa-sketsa yang sekaligus menunjukkan pengetahuan anatomi Ibnu Sina yang luas.Penulis-penulis Barat telah menganggap Ibn Sina sebagai bapa kedoktoran kerana beliau telah menyatupadukan teori perubatan Yunani, Hipocrates dan Galen dengan pengalaman dari ahli-ahli perubatan India dan Parsi serta pengalaman beliau sendiri. Ibnu Sina juga telah menghasilkan sebuah buku yang diberi judul al-Adwiyat al-Qalbiyyah ("The Remedies of the Heart") yang mengandungi sajak-sajak perubatan. Dalam buku itu, beliau telah menceritakan dan menghuraikan 760 jenis penyakit bersama dengan cara untuk mengubatinya. Hasil tulisan Ibnu Sina sebenarnya tidak terbatas kepada ilmu perubatan sahaja, tetapi turut merangkumi bidang dan ilmu lain seperti metafizik, muzik, astronomi, philologi (ilmu bahasa), syair, prosa, dan agama.

Antara karyanya yang lain:
1. Shifa' - Sebuah ensiklopedia dalam ilmu falsafah yang terdiri daripada 18 jilid. Tentang psikologi, pertanian, retorika dan syair. Beliau mengambil masa 20 bulan untuk mengarang buku ini.
2. Nafat - Buku ini adalah ringkasan buku Shifa'.
3. Sadidiyya - Berkaitan dengan ilmu kedoktoran dan mengandungi lima jilid.
4. Al-Rasa'il - Tentang biologi, fizik, astronomi, psikologi, etika dan teologi
5. Risalah Al-'Isyqa - Tentang kerinduan Ibnu Sina kepada Tuhan.
6. Kitab Fi Aqsamil Ulumil Aqliya (On the Division of the Rational Sciences) tentang pembahagian ilmu-ilmu rasional.Kitab An Nayat (Book of Deliverence) buku tentang kebahagiaan jiwa (merupakan sebuah buku psikologi.
7. Kitab Risalah As Siyasah (Book of Politics) tentang politik.
8. Penemuan di bidang bahan perubatan.
9. Penemuan dalam bidang psikoterapi.
10. Kitab Al Musiqa, tentang muzik.
11. Kitab Al Mantiq, tentang logik. Buku ini dipersembahkan untuk Abu Hasan Sahil.
12. Kitab Uyun Al Hikmah (10 jilid) tentang falsafah. Ensiklopedio Britanica menyebutkan bahawa kemungkinan besar buku ini telah hilang.
13. Kitab Al Hikmah El Masyriqiyyin, tentang falsafah timur.
14. Kitab Al Insyaf tentang keadilan sejati.
15. Kitab Al Isyarat Wat Tanbihat, tentang prinsip ketuhanan dan sembahyang.
16. Kitab Al Isaguji (The Isagoge), tentang logik
17. Kitab Fi Ad Din (Liber de Mineralibus) tentang mineral.
18. Kitab Al Qasidah Al Aniyyah, tentang prosa.
19. Kitab Risalah At Thayr, tentang karangan roman.
20. Kitab Danesh Nameh, tentang falsafah.
21. Kitb Mujir. Kabir Wa Saghir, tentang dasar-dasar ilmu logik secara lengkap.
22. Salama wa Absal, Hayy ibn Yaqzan, al-Ghurfatul Gharabiyyah (Pengasingan di Barat) dan Risalatul Thayr (Risalah Burung).
23. Kitab Al Majmu‘, tentang ilmu pengetahuan yang lengkap ditulis saat beliau berusia 21 tahun.
24. Penemuan tentang rawatan psikomosaik. Beliau mengembangkan ilmu diagnosis melalui denyutan jantung (pulse diagnosis) untuk mengetahui secara pasti keseimbangan emosi seseorang dalam beberapa saat.
25. Penemuan di bidang kimia tentang logam. Beliu menerangkan bahawa benda-benda logam sebenarnya berbeza antara satu dengan yang lain secara khusus. Setiap logam membentuk dengan sendirinya dengan pelbagai jenis. Beliau dianggap penerus dari perkembangan ilmu kimia yang telah dirintis oleh Jabir Ibnu Hayyan (Bapa Kimia Muslim Pertama).
26. Penemuan di bidang geografi tentang asal usul lembah.
27. Penemuan tentang peredaran darah. Beliau mendapati bahawa “Darah mengalir terus menerus dalam suatu lingkaran dan tidak pernah berhenti.”

3.3Kepakaran Ibn Sina
Ibnu Sina telah memperkembangkan ilmu psikologi dalam perubatan dan membuat beberapa perjumpaan dalam ilmu yang dikenali hari ini sebagai ilmu perubatan psikosomatics “psychosomatic medicine”. Beliau juga memperkembangkan ilmu diagnosis melalui denyutan jantung (pulse diagnosis). Diagnosis melalui denyutan jantung ini masih dipraktikkan oleh para hakim (doktor-doktor muslim) di Pakistan, Afghanistan dan Parsi yang menggunakan ilmu perubatan Yunani. Seorang doktor tabii dari Amerika (1981) melaporkan bahawa para hakim di Afghanistan, China, India dan Parsi sangat berkebolehan dalam denyutan jantung di tempat yang dirasai tetapi mutunya yang pelbagai. Ini merangkumi kuat atau denyutan yang lemah, masa antara denyutan dan kandungannya lembap di paraskulit dekat denyutan itu dan lain-lain lagi.
Dari ukuran-ukuran denyutan jantung seseorang hakim mungkin mengetahui dengan tepat penyakit yang dihinggapi di dalam tubuh si pesakit.Ibnu Sina menyedari kepentingan emosi dalam pemulihan. Apabila pesakit mempunyai sakit jiwa disebabkan oleh pemisahan daripada kekasihnya, beliau boleh mendapati nama dan alamat kekasihnya itu melalui cara berikut:
Caranya adalah untuk menyebut banyak nama dan mengulanginya dan semasa itu jarinya diletakkan atas denyutan (pulse) apabila denyutan itu terjadi tidak teratur atau hampir-hampir berhenti, seseorang itu hendaklah mengulang proses tersebut. Dengan cara yang sedemikan, nama jalan, rumah dan keluarga disebutkan. Selepas itu, kata Ibnu Sina “Jika anda tidak dapat mengubat penyakitnya maka temukanlah si pesakit dengan kekasihnya, menurut peraturan syariah maka buatlah”. (Terjemahan)

Ibnu Sina adalah doktor perubatan yang pertama mencatatkan bahawa penyakit paru-paru (pulmonary tuberculosis) adalah suatu penyakit yang boleh menjangkit (contagious) dan dia menceritakan dengan tepat tanda-tanda penyakit kencing manis dan masalah yang timbul darinya. Beliau sangat berminat dalam bidang mengenai kesan akal (mind) atas jasad dan telah banyak menulis berkenaan gangguan psikologi.

3.4Teori perubatan Ibn Sina
Perubatan Yunani berasaskan teori empat unsur yang dinamakan hempedu hitam (black bile), darah (humor), lendir (phlegm), hempedu kuning (yellow bile). Menurut teori ini, kesihatan seseorang mempunyai hubungan dengan campuran keempat-empat unsur tersebut.Keempat-empat unsur itu harus berada pada kadar yang seimbang. Apabila keseimbangan keempat-empat unsur ini terganggu, maka risiko seseorang itu untuk mendapat penyakit adalah tinggi.

Setiap individu dikatakan mempunyai formula keseimbangan yang berlainan. Meskipun teori itu didapati tidak tepat tetapi telah meletakkan satu landasan kukuh kepada dunia perubatan untuk mengenal pasti punca penyakit yang menjangkiti manusia. Ibnu Sina telah menapis teori-teori kosmogoni Yunani ini dan "mengislamkannya".

Ibnu Sina percaya bahawa setiap tubuh manusia terdiri daripada empat unsur iaitu tanah, air, api dan angin. Keempat-empat unsur ini memberikan sifat lembap, sejuk, panas, dan kering serta sentiasa bergantung kepada unsur lain yang terdapat dalam alam ini. Ibnu Sina percaya bahawa wujud ketahanan semula jadi dalam tubuh manusia untuk melawan penyakit. Jadi, selain keseimbangan unsur-unsur yang dinyatakan itu, manusia juga memerlukan ketahanan yang kuat dalam tubuh bagi mengekalkan kesihatan dan proses penyembuhan.

3.4.1 Teori Peredaran Darah
“Canon of Medicine” memuatkan pernyataan yang tegas bahawa “darah mengalir secara terus-menerus dalam suatu lingkaran dan tak pernah berhenti”. Namun ini belum dapat dianggap sebagai suatu penemuan tentang srikulasi darah, kerana bangsa cina tidak membezakan antara urat-urat darah halus (Veins) dengan pembuluh nadi (arferies). Analogi tersebut hanyalah analogi yang digambarkan antara gerakan darah dan siklus alam semesta, pergantian musim dan gerakan-gerakan tubuh tanpa peragaan secara empirik pada keadaan yang sebenarnya.

Beliau adalah orang yang pertama yang berjaya melakukan pengubatan terhadap beberapa penyakit seperti miningitis (radang selaput otak). Beliau juga merupakan orang yang pertama yang menemukan teori peredaran darah manusia, 600 tahun lebih awal daripada penemuan Willian Harvey.

Di dalam bidang falsafah, beliau juga dianggap sebagai seorang yang agung. Sebagai seorang muslim, falsafah-falsafah beliau berlainan sekali dengan falsafah-falsafah golongan yang telah rosak akhlaknya. Adalah diriwayatkan jikalau beliau berhadapan dengan masalah yang berat untuk difikirkan dan diselesaikan, beliau akan mengambil wudhuk sembahyang dan berdoa kepada Allah.

3.4.2 Teori-Teori Anatomi Dan Fisiologi

Teori-teori anatomi dan fisiologi dalam buku-buku beliau adalah menggambarkan analogi manusia terhadap negara dan mikrokosmos (dunia kecil) terhadap alam semester sebagai makrokosmos (dunia besar).Misalnya digambarkan bahawa syurga kayangan adalah bulat dan bumi adalah persegi dan dengan demikian kepala itu bulat dan kaki itu empat persegi. Terdapat empat musim dan 12 bulan dalam setahun, dengan itu manusia memiliki empat tangkai dan lengan (anggota badan) mempunyai 12 tulang sendi.

3.5 Kisah Ibn Sina menyelamatkan perut raja

Diceritakan bahawa pada suatu ketika Raja Nuh bin Mansur dari Bukhara ditimpa sakit perut yang sangat parah. Berbagai doktor telah datang mengubatinya, tapi tiada seorang pun yang dapat mengurangkan kesakitan sang raja. Baginda semakin meraung dan penyakitnya semakin teruk. Akhirnya sang raja yang sudah berada dalam keadaan sangat kritikal itu hanya dapat berbaring saja sambil menunggu saat-saat kedatangan malaikat Izrail untuk mencabut nyawanya.

Tiba-tiba seorang pemuda dalam lingkungan usia 17 tahun yang sedang merayau-rayau di sekitar istana dibawa masuk oleh para pengawal dan terus dimasukkan ke dalam bilik raja yang sedang nyawa-nyawa ikan. Semua yang hadir terdiri daripada para pembesar Negara, bangsawan, orang-orang berpangkat, doktor-doktor pakar, cendikiawan dan ulama merasa hairan melihat seorang pemuda terburu-buru dibawa masuk ke tempat eksklusif dan mewah itu. Ternyata pemuda itu dapat menyembuhkan perut sang raja yang sudah tidak dapat diubati oleh para doktor pakar lainnya dalam masa yang tidak lama. Semua yang hadir menjadi hairan. Pemuda itu adalah Ibnu Sina yang berpraktik sebagai doktor.

 Raja telah menawarkan wang seberapa banyak yang diminta kepada Ibnu Sina sebagai imbalan perkhidmatannya itu, tapi beliau hanya minta diberi kebenaran untuk menggunakan perpustakaan istana raja saja. Raja pun memberikan kebebasan seluas-luasnya kepada doktor muda itu. Di sanalah Ibnu Sina berenang di lautan ilmu yang tiada bertepi, berbagai buku telah dibacanya. Beliau berkata:

“Saya pergi ke sana (ke perpustakaan) dan menemukan beberapa bilik yang penuh dengan buku yang dikemas di dalam peti. Kemudian saya membaca katalog para pengarang purba itu dan saya mendapatkan semua yang saya inginkan. Saya banyak menemukan tajuk buku yang tidak diketahui oleh orang, juga buku-buku yang belum pernah saya lihat sebelumnya.”
Ibnu Khallikan menulis bahawa apabila Ibnu Sina telah menguasai ilmu dari kitab-kitab purba itu, khazanah raja yang sangat berharga itu pun terbakar. Hanya Ibnu Sinalah satu-satunya orang pada zamannya yang menguasai ilmu-ilmu tersebut. Ada pula yang mengatakan bahawa Ibnu Sina sengaja membiarkan perpustakaan itu terbakar dengan tujuan agar hanya beliau seoranglah yang mengetahui ilmu-ilmu di dalam kitab-kitab lama itu, yang kemudian dinisbatkan kepada dirinya sendiri dalam kitab-kitab karangannya.
Walaubagaimanapun, Ibnu Sina yang memang berotak cemerlang itu menjadi seorang ilmuwan agung yang tiada tolok bandingnya pada zamannya. Beliau menjadi doktor pakar dan mula menulis berbagai buku ketika berusia 21 tahun.

4.0 KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, Ibnu Sina banyak memberi sumbangan terhadap tamadun Islam terutamanya dari ilmu perubatan. Beliau seorang yang tidak mengenal putus asa, sebab itulah beliau berusaha bersunggu-sungguh mempelajari sesuatu ilmu dan menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Ibnu Sina adalah seorang yang berinovatif kerana beliau banyak menghasilkan karya dalam pelbagai bidang ilmu terutama dalam bidang perubatan. Sudah terang lagi bersuluh bahawa kita mempunyai seorang tokoh yang begitu mahir dalam pelbagai jenis bidang seperti ilmu Perubatan, Astronomi, Etika, Logik, Matematik, Metafizik, Falsafah, Fizik, Sains, Teologi, Zoologi, Muzik, Geografi dan sebagainya. Karya-karya yang dihasilkan oleh Ibn Sina juga ternyata bukan sahaja disanjung dalam kalangan masyarakat Islam malah menjadi rebutan para karyawan masyarakat pelbagai kaum. Selain itu, kita juga boleh mengambil iktibar tentang kehidupan berhijrah Ibn Sina bahawa ilmu sentiasa berada di mana-mana dan sesuai untuk dipelajari dalam banyak keadaan. Seterusnya, malu bertanya sesat jalan sesuai untuk dihubungkaitkan dengan sikap Ibn Sina yang gigih berguru dengan tokoh-tokoh ilmuwan yang ada untuk mendapatkan sebanyak ilmu yang mungkin. Yang terakhir, kita harus belajar untuk mengamalkan ilmu yang dipelajari supaya dapat digunakan ke arah kebaikan.

5.0 RUJUKAN

1. Hasan, M. Y. (2006). Tamadun Islam. Selangor: iBook Publication Sdn. Bhd.
2. Nawas, A. R. (1995). Tamadun Islam. Kuala Lumpur: Pustaka Haji Abdul Majid.
3. Prof. Dr. Azyumardi Azra, M. (2002). Historiografi Islam Kontemporer. Jakarta: Penerbit PT Gramedia Pustaka Utama.4.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment