Monday, October 12, 2015

Ibnu Hawqal Sebagai Seorang Ahli Geografi

Oleh : Nur Amira Izzati Binti Ramli

PENDAHULUAN

Geografi ialah salah satu bentuk ilmu yang berkaitan dengan muka bumi.Dengan menggunakan ilmu geografi, kita dapat mengkaji tentang bentuk muka bumi, punca-punca terjadi sesuatu bencana alam contohnya seperti letusan gunung berapi.Kita juga dapat mengelakkan bencana alam daripada terjadi di bumi yang dapat merosakkan malah mampu meragut nyawa penduduk di bumi.Dengan melakukan kajian yang berkaitan dengan sifat-sifat muka bumi kita, banyak hal yang boleh dielakkan yang dapat memberi manfaat kepada manusia di segenap penjuru alam.

Geografi berasal dari bahasa Yunani iaitu ‘geo’ yang bermaksud bumi dan ‘graphon’ yang bermaksud menulis.Geografi lebih daripada pengkajian peta.Ia bukan hanya menyiasat di mana kedudukan di bumi, malah kadang kala digelar kedudukan di angkasa. Geografi mengkaji sama ada sesuatu kejadian itu berlaku oleh manusia atau secara semulajadi malah mengkaji kesan perbezaan tersebut.

Selain itu, melalui geografi juga kita dapat mengkaji tentang hasil muka bumi yang terdapat di dalam perut muka bumi.Antaranya seperti minyak, biji timah dan emas yang terdapat di Malaysia. Dengan menggali, kita akan memperolehi hasil-hasil bumi dan dapat mengait keuntungan yang banyak dengan menjual kepada negara lain yang memerlukan hasil-hasil bumiyang tidak terdapat di negara mereka sendiri.

Georafi juga membantu dari segi pembangunan yang semakin pesat membangun di negara-negara maju termasuklah di Malaysia.Dengan menggunakan ilmu geografi, kita dapat mengetahui jenis-jenis pembangunan yang boleh dibangunkan di sesuatu tempat.Jika ilmu geografi tidak diambil berat, maka susahlah untuk pembangunan membangun di negara kita.Ini kerana, tidak semua tempat sesuai untuk dijadikan sebagai tempat sesebuah bangunan didirikan. Kita perlulah mengira faktor tanah dan juga keadaan di sekitar tempat tersebut sama ada sering berlakunya bencana alam mahupun tidak.

Dari segi agama, geografi juga memainkan peranannya yang tersendiri.Dengan mempelajari geografi, kita dapat mengetahui tentang kedudukan Kaabah yang terletak di Makkah.Hal ini penting kerana Kaabah merupakan arah kiblat untuk menunaikan solat bagi semua umat Islam di seluruh dunia. Tanpa ilmu gegografi, kita akan menghadapi masalah dalam menentukan arah kiblat untuk menunaikan solat. Selain itu, umat Islam juga diwajibkan bagi yang berkemampuan untuk menunaikan fardhu haji.Fardhu haji perlulah dilakukan di Makkah di mana Kaabah terletak.Oleh sebab itu, ilmu geografi memainkan peranan penting dalam kehidupan umat Islam.

Tokoh Islam pada suatu masa dahulu yang mendalami ilmu geografi antaranya ialah Khalifah Al-Ma'mun, al-Idrisi, Ibnu Hawqal dan banyak lagi. Tokoh yang akan dibincangkan di dalam tugasan ini ialah Ibnu Hawqal. Ibnu Hawqal banyak memberi sumbangan terutamanya dalam bidang geografi ataupun dikenali jugak sebagai bidang geologi.Beliau merupakan tokoh ilmuwan yang terkenal sekitar abad ke 10M.Beliau telah menyumbang dalam bidang penulisan dan lukisan, pemetaan, pelayaran dan juga dalam bidang kartografi.


Apabila kita berbicara mengenai penjelajahan dan penerokaan yang berlaku sejak awal kejadian manusia, kita pasti memikirkanakan beberapa orang tokoh Islam yang telah berjaya melakukan penjelajahan dan penerokaan tersebut. Antara tokoh yang dimaksudkan ialah Ibnu Batutah, Ibnu Hawqal, Ibnu Majid Al- Mas’udi, Sulaiman Al-Mahri dan Al-Istakhri.Salah seorangnya yang akan dibincangkan ialah tokoh geografi iaitu Ibnu Hawqal. Ibnu Hawqal atau nama sebenarnya Muhammad bin Ali atau Abu al-qassam al-Mawasili al-Nasibi dilahirkan di Nasibin, Mesopotamia al-Jazirah sekitar tahun 922 M bersamaan 310 Hijrah. Tarikh sebenar Ibnu Hawqal meninggal dunia tidak dapat ditentukan oleh para pengkaji sejarah.Namun, beberapa sumber menyatakan beliau meninggal dunia pada sekitar tahun 997 M bersamaan 385 Hijrah.

Ibnu Hawqal merupakan seorang ahli geografi Arab Islam yang sangat terkemuka dan disegani pada abad ke 10 M. Ibnu Hawqal telah memulakan pelayarannya ke serata negara Islam pada 15 Mei 942 M hingga 973 M.Beliau telah mengambil masa sekitar 30 tahun dalam pelayaran yang dilakukan di serata negara Islam. Ibnu Hawqal yang melakukan pelayarannya di samping mengkaji tentang negara-negara Islam tersebut telah banyak memberi sumbangan terutama di dalam bidang geografi.Beliau tutut memainkan peranan sebagai pedagang dan pendakwah dalam pelayaran beliau ke serata negara Islam justeru agama Islam dapat dikembangkan ke serata tempat dan akan menyebababkan angka masyarakat yang memeluk agama Islam akan meningkat. Selain itu, daripada dakwah yang diberi beliau kepada masyarakat sekitar yang dilawati, mereka dapat menyebarkan tentang dakwah beliau kepada negara-negara yang tidak dilawati beliau.

Justeru itu, pelayaran dan pengembaraan Ibnu Hawqal memberi sumbangan yang begitu besar kepada perkembangan agama Islam di negara-negara Islam yang pernah dilawati oleh beliau.Tokoh Ibnu Hawqal memberi sumbangan yang begitu besar kepada seluruh umat Islam khususnya dalam bidang geografi dan pelayaran melalui pelayaran dan penerokaan yang telah dilalui beliau.
Sumbangan dalam bidang penulisan dan lukisan

Dalam bidang geografi, Ibnu Hawqal memberi sumbangan dalam bidang penulisan dan lukisan. Hal ini dapat dilihat dan dibuktikan melalui penghasilan sebuah kitab yang dikenali sebagai kitab al-Masalik wa al-mamalik atau lebih dikenali sebagai surah al-Ard yang disiapkan pada tahun 997 M. Di dalam kitab ini terdapat revisi atau peta al- Istakhiri yang dibuat selepas pelayaran beliau ke Andalus iaitu di Sepanyol. Kitab ini telah diterbitkan sebanyak tiga kali dengan menambah baik dari kitab sebelumnya dalam pembaharuan dari aspek isi dan faktanya. Ibnu Hawqal juga dikatakan memplagiat dan meniru fakta-fakta dalam buku-buku ahli geografi yang lain seperti al-Iskandar. Hal ini tidak dipersetujui kerana dikatakan beliau hanya mengambil bahagian dasar dalam penyelidikannya sahaja dan sebagai bahan rujukan dalam menyiapkan kitab al-Masalik wa al-mamalik atau lebih dikenali sebagai surah al-Ard tersebut.

Surat al-Ard merupakan sebuah peta yang mengambarkan wajah dunia oleh Ibnu Hawqal.Pada tahun 1086 buku ini ditemui di Topkapi Sarayi Muzesi Kutup Hanesi, Istanbul.Ibnu Hawqal juga dikatakan merupakan seorang saudagar berdasarkan isi-isi yang disebut di dalam buku beliau malah beliau juga turut lebih terbuka tentang dirinya di dalam buku atau lebih dikenali sebagai surah al-Ard.Ia dapat dibuktikan berdasarkan karyanya yang penuh dengan fakta-fakta yang berkaitan dengan kegiatan ekonomi. Kitab ini merupakan hasil pembetulan dan penambahbaikan semula dari karya pakar geografi Islam iaitu Al-Istakhri.

Perbezaan utama antara karya Ibnu Hawqal dan Al-lstakhri ialah dari segi bahasa iaitu pembahasan Byzantium sebagai sebahagian dari Islam.Ibnu Hawqal telah meletakkan Sepanyol, Afrika Utara, dan Sicilia sebagai tiga bahagian yang terpisah yang dibincangkan di dalam bukunya. Manakala karya Al-lstakhri pula berkenaan dengan peta-peta dan beliau turut menyatakan bahawa rencana yang terdapat di dalam karyanya adalah untuk menjelaskan dan untuk menggambarkan peta, pelbagai lautan, dan penamaan nama masing-masing yang menyebabkan ia boleh dikenali di peta-peta terutamanya peta dunia.

Al-Istakhri juga membandingkan karyanya dengan karya Ibnu Hawqal kerana beliau tertarik dengan komposisi peta, .Menurut beberapa fakta yang disebut di dalam buku-buku sejarah, Ibnu Hawqal menyatakan bahawa Al-Istakhri telah menyusun peta Sind, namun terdapat beberapa kesalahan yang dikesan. Di dalam buku yang dinamakan Fars ini, terdapat tiga versi.Yang pertama iaitu sekitar tahun 961 Masihi yang didedikasikan kepada Hamdanid Sayf Al-Dawlah yang telah meninggal dunia 967 Masihi.Yang keduanya pula merupakan kritikan dari Hamdanids dari sekitar satu dekad kemudian.Dan yang terakhir iaitu versi terakhir yang muncul sekitar 988 Masihi. Melalui fakta-fakta yang terdapat di dalam buku sejarah, Ibnu Hawqal juga dikatakan pada awalnya ingin menerbitkan satu set peta

Ibnu Hawqal juga dikatakan memasukkan tambahan teksnya pada daerah tertentu yang terdapat di dalam petanya.Beliau juga telah dikatakan memasukkan bahagian yang menggambarkan peta secara sederhana.Antara contohnya ialah peta Kirman yang dimulai dari segi penjelasan nama-nama dan legenda yang telah ditemui pada peta Kirman. Karya Ibnu Hawqal yang merupakan seorang ilmuwan Arab yang terkenal terutamanya pada abad ke 10M, merupakan karya yang khusus, walaupun isinya sama saja menjelaskan tentang peta tersebut bahkan beliau juga turut membuat risalah tentang peta geografinya itu di dalam era keemasan Islam.

Sumbangan dalam bidang pemetaan

Suatu lukisan yang menggambarkan sebidang kawasan yang diterangkan dalam bentuk simbol dan dibuat mengikut ukuran samada sama luas, sama bentuk, sama jarak dan sama arah ialah dinamakan peta. Pemetaan ialah suatu perbuatan ataupun perihal untuk membuat peta tersebut. Antara ciri-ciri peta ialah ia haruslah dilukis mengikut skala dan menggunakan simbol-simbol piawai untuk menunjukkan permukaan umum yag mengikut skala dan tujuan peta. Selain itu ia haruslah mengandungi sistem koordinat geografikal iaitu latitud dan longitud

Ibnu Hawqal juga turut tidak ketinggalan memberi sumbangan dalam bidang pemetaan.Beliau banyak melakukan pembaharuan dan telah memperbaiki peta-peta umat Islam yang sebelum ini majoritinya telah dilukis oleh al-Istakhiri dan al-Balkhi.Ibn Hawqal juga banyak menambah serta memperbaiki hasil kerja orang sebelumnya malah mengambil rujukan daripada beberapa ilmuwan yang terkenal. Dengan tindakan beliau ini, ia telah memudahkan orang lain untuk lebih memahami malah manarik minat orang ramai untuk turut mendalami ilmu tentang pemetaan.

Ibnu Hawqal merupakan seorang yang sangat rajin dan tekun dalam melakukan kerja-kerjanya.Beliau telah menerangkan dengan begitu terperinci dan jelas mengenai sempadan dan iklim bagi setiap daerah yang dilawatinya dan ianya menjadi bukti bahawa Ibnu Hawqal merupakan seorang yang berdedikasi dalam kerjanya.Jelasnya nahawasanya, sifatnya yang gigih dalam melakukan kerja yang menyebabkan dia menjadi ilmuwan yang terkenal dan kerjanya mendapat sambutan orang ramai.

Sumbangan dalam bidang pelayaran

Pelayaran merupakan kawalan pergerakan layar. Pengemudi mengurus daya angin pada layar supaya kapal dapat digerakkan seiring dengan pergerakan air. Ia boleh mengubah arah dan kelajuan sesebuah kapal layar itu. Pengemudi memerlukan pengalaman dalam pelbagai keadaan angin dan laut, serta pengetahuan berkenaan dengan jenis kapal layar itu sendiri dan pemahaman tentang keadaan persekitarannya.

Ibnu Hawqal turut memberi sumbangan yang besar dalam bidang pelayaran.Bidang pelayaran merupakan bidang yang berkaitan dengan bidang geografi.Beliau telah memulakan pelayarannya ke Afrika Utara, Andalus iaitu di Sepanyol dan Selatan Sahara pada tahun 947 Masihi bersamaan 336 Hijrah. Beliau turut berlayar ke Armenia dan Adherbayjan pada tahun 955 M bersamaan 344 Hijrah dan Sicily pada tahun 973 M bersamaan 362 Hijrah. Ibnu Hawqal telah berjaya melakukan penyelidikan tentang kekuatan tentera semasa di dalam perlayarannya. Contohnya apabila beliau menyelidik tentang kekuatan tentera kota Palermo dan menganggarkan penduduk Palermo di Sicily. Beliau turut menyelidik tentang keadaan iklim, bentuk muka bumi serta aktiviti penduduk di negara-negara yang dilawati.

Ibnu Hawqal juga telah menulis mengenai keadaan bentuk muka bumi di dalam perjalanan ke Andalus iaitu di Sepanyol.Beliau juga turut menulis tentang kawasan-kawasan yang terdapat di India dengan teliti dan terperinci semasa beliau melawat di negara tersebut.Oleh itu, hasil kerja yang telah dilakukan oleh Ibnu Hawqal telah mendapat sambutan yang baik malah menggalakkan daripada seluruh umat Islam secara keseluruhannya.Selain daripada negara-negara yang disebut di atas, beliau turut bertanggungjawab dalam menghuraikan keadaan bentuk muka bumi, penduduk dan geografi kemanusiaan di negara-negara yang pernah dilawati oleh beliau.

Sumbangan dalam bidang kartografi

Kartografi berasal dari bahasa Yunani iaitu chartis yang bermaksud peta dan graphein yag bermaksud tulis. Ia merupakan kajian dan amalan penyediaan peta geografi yang menggabungkan ilmu sains, estetika, dan teknik. Kartografi adalah suatu bentuk pembelajaran dan mempraktikkan dalam membuat peta atau globe. Peta secara tradisional sudah dibuat menggunakan pena dan kertas, tetapi kartografi telah muncul seiring dengan perkembangan teknologi terutamanya computer.

 Ibnu Hawqal juga turut terlibat dalam memberi sumbangan dalam bidang kartografi iaitu melukis peta.Sebagai contohnya, beliau telah melukis peta bagi negara India.Hal ini dapat membuktikan bahawa sumbangan Ibnu Hawqal tidak hanya terbatas di negara-negara Islam sahaja tetapi bersifat menyeluruh.Islam mengajar kita bahawasanya kita haruslah berkongsi ilmu tanpa mengira agama, bangsa mahupun negara.Walaupun begitu, Ibnu Hawqal dikatakan oleh orang ramai bahawa beliau banyak mempelajari karya-karya daripada orang lain seperti al-Istakhiri. Jelasnya, tujuan beliau adalahhanya untuk memperbaiki dan memperbaharui karya-karya tersebut agar mudah difahami oleh umat Islam di masa akan datang.

Peta-peta yang dilukis oIeh Ibn Hawqal sangat terkenal di Barat kerana kerja-kerja kartografinya begitu teliti dan cermat.Ini juga dapat dibuktikan dengan hasil kerjanya yang masih dikagumi dan dijadikan rujukan sehingga ke hari ini.Ini jelas menunjukkan bahawa Islam amat mementingkan kesungguhan dan ketelitian dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Kerja tersebut akan menimbulkan kepuasan sama ada pada dirinya sendiri mahupun orang lain yang mempelajari kerjanya.

KESIMPULAN DAN CADANGAN

Peradaban Islam di era kekhalifahan telah melahirkan banyak pakar geografi terkenal dan terkemuka yang karya hasilan mereka masoh dikagumi sehingga zaman sekarang.Dunia Islam memiliki seorang pakar geografi ulung yang terkemuka yang lebih dikenali sebagai Ibnu Hawqal.Beliau sangat terkenal dengan karyanya pada abad ke 10 Masihi.Popularitinya sebagai seorang pakar geografi semakin melambung setelah berjaya melancarkan surat al-Ard atau ‘peta bumi’.Antara kehebatan Ibnu Hawqal adalah beliau mampu menjelaskan sesebuah wilayah secara terperinci dan lengkap.Maka tidak hairanlah, jika peta yang dicipta olehnya telah berjaya menarik minat orang ramai untuk lebih mendalami ilmu geografi. Surat al-Ard yang diciptakannya mampu menjelaskan secara terperinci tentang sesebuah wilayah seperti wilayah Sepanyol Islam dan Itali dan khususnya Sicilia. Ibnu Hawqal juga termasuk di kalangan ilmuan terkemuka yang telah mengharumkan nama Islam di Basrah, Iraq iaitu kota yang dikenali sebagai penghasil kurma berkualiti itu.

Di sini jelaslah bahawa ilmu pengetahuan itu penting dalam kehidupan seseorang dan memainkan peranan sama ada pada diri sendiri, keluarga, anggota masyarakat, negara mahupun agama Islam. Oleh sebab itu Islam amat menitikberatkan ilmu tanpa mengira pangkat mahupun umur. Ilmu haruslah dituntut sehingga saat kematian kerana ilmu tidak akan habis dipelajari walaupun sehingga kematian menjemput. Oleh itu, Malaysia sebagai sebuah negara Islam haruslah mementingkan ilmu pengetahuan dan memberi peluang untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira status seseorang dalam menuntut ilmu sejak dari kecil lagi.

Salah satu faktor yang menyebabkan terlahirnya ilmuwan Islam yang banyak di zaman kegemilangan Islam pada suatu masa dahulu adalah kerana galakan pemerintah.Pemerintah haruslah memberi galakan kepada rakyatnya dalam menuntut ilmu kerana ini boleh juga membantu dalam kemajuan negara itu sendiri.Hal ini boleh dilaksanakan dengan memberi bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan dalam membeli bahan pembelajaran.Selain itu, pemerintah juga haruslah menyediakan tempat belajar yang mencukupi kepada rakyatnya untuk terus menuntut ilmu tanpa mengira umur dan tahap kepandaian seseorang.

Antara faktor lain ialah sikap masyarakat itu sendiri yang memberi sepenuh perhatian dalam menuntut ilmu dan mengembangkan ilmu pengetahuan tersebut ke serata tempat.Tanpa perhatian seseorang itu untuk menuntut ilmu, nasib seseorang itu tidak akan diubah. Malah umat Islam akan mundur dan dipandang rendah oleh agama lain. Islam jugak tidak dapat menarik minat bangsa lain untuk memeluk agama Islam disebabkan umatnya sendiri yang tidak suka menuntut ilmu dan akhirnya mundur. Agama Islam juga payah untuk tersebar ke serata dunia disebabkan sifat malas umatnya sendiri.Oleh itu, kita haruslah cintakan ilmu dan bersedia untuk mengembangkan ilmu di samping agama Islam ke serata dunia.

Jelaslah di sini betapa pentingnya ilmu pengetahuan tidak kira sama ada ilmu geografi mahupun ilmu lain. Umat Islam zaman sekarang haruslah menguasai ilmu pengetahuan dengan sebaiknya kerana tanpa ilmu kita akan ditindas oleh bangsa lain. Umat Islam pada masa sekarang haruslah berusaha untuk mengembalikan kembali kegemilangan Islam seperti suatu masa dahulu di mana para ilmuwan dari kalangan umat Islam banyak terhasil.

Pensyarah: Abd Aziz bin Harjin
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com



No comments:

Post a Comment