Monday, October 12, 2015

(Konsep Sains Politik Dalam Islam)

Oleh:Nur Amalina Binti Fauzil 

PENDAHULUAN

Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat.Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini, politik negaraseharusnya bertambah mantap dan semakin kukuh. Hal ini dapat mengusir anasir-anasir yang ada dalam sesebuah negara. Untuk mencapai kejayaan, pemimpin dan rakyatnya perlu berganding bahu bagimencapai matlamat ini.

Apabila pemimpin memimpin negara dengan adil kehidupan rakyat menjadi sejahtera. Rakyat bukanlah ‘haiwan robotik’ yang tidak mempunyai rasa dan jiwa. Oleh itu, kita sebagai rakyat perlu menjalankan tanggungjawab kita untuk sama-sama memastikan negara kita terus gah di persada dunia. Dengan adanya tanggungjawab sebegitu, kita mampu mengadunkan satu kombinasi yang cukup padu bagi memastikan sains politik dalam Islam diamalkan dalam pemerintahan negara.

Saya akan menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai sains politik dalam Islam, sumber-sumber falsafah politik Islam, politik dan agama, undang-undang politik, konsep politik Islam, hubungan diplomatik dalam Islam. Sebagai penutup wacana, marilah kita bermuafakat bersama-sama pemimpin untuk menjulang negara ke puncak jagat kerana muafakat merupakan inti perpaduan. Hal ini dapat mengukuhkan lagi negara kita daripada berpecah-belah.

KONSEP SAINS POLITIK DALAM ISLAM

1.1 Sains Politik Dalam Islam

Perkataan falsafah yang berasal daripada cantuman 2 perkataan Yunani iaitu philo-sophia bermakna ‘cinta pada kebaikan’. Falsafah politik Islam adalah teori berkenaan negara seperti prinsip-prinsip pembinaan dan pentadbiran negara. Terasnya adalah keadilan, kebebasan bersuara, berunding dan lain-lain. Antara matlamatnya untuk memberi panduan pembinaan negara supaya ia dapat mencapai matlamat kewujudan negara itu berdasarkan kaedah undang-undang Islam. Antara pakar-pakar yang membahaskan falsafah politik kenegaraan Islam ialah Farabi, Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Ibnu Rusdi, Kindi dan lain-lain.

Falsafah politik adalah asas dalam sains politik. Pemikiran falsafah dan idea tentang politik oleh tokoh-tokoh klasik dan moden di bahas dan di analis bagi melihat kesesuaiannya dengan amalan kehidupan politik masa kini. Antara tokoh-tokoh ulung ialah Plato, Aristotle, Hobbes, Locke, IbnKhaldun dan Mark.Analisis dilakukan dalam bentuk normatif iaitu sekadar mengemukakan saranan apakah yang terbaik mengikut pandangan sarjana yang dikaji.

Sumber-sumber falsafah politik Islam al-Quran, sunnah, iaitu perbuatan dan kata-kata-kata Nabi Muhammad, amalan sahabat-sahabat karib beliau dan pendapat sarjana agama dan pakar-pakar undang-undang Islam. Ayat 104 dalam al-Quran surah Ali Imran yang bermaksud, “ Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”.Syed Qutubmengatakan kumpulan orang Islam yang mendorong kebaikan danmencegah kejahatan memerlukan kuasa politik bagi menyeru kebaikan dan mencegah kejahatan memerlukan kuasa politik. Ayat ini adalah bukti daripada al-Quran bahawa bagi mendorong kebaikan dan mencegah kejahatan kita memerlukan kuasa politik dan kuasa pemerintahan yang kukuh.

Sumber politik Islam sebagaimana yang disentuh lebih awal diambil daripada panduan al-Quran dan sunah. Ia juga boleh dilihat dari sudut pengertian kuasa, penghayatan nilai-nilai seperti keadilan, bertanggungjawab dan amanah dalam melaksanakan tugas pemerintahan. Semua ini adalah perintah Allah SWT dan dipraktikkan oleh Rasulullah SAW. Tiada mana-mana pengamal boleh mendakwa ia beramal dengan politik Islam sebagaimana tindakannya itu bercanggah dengan prinsip sumber yang ditetapkan Allah dan Rasul-Nya. Dalam hal kebebasan bagaimana prinsip sumber ini dilaksanakan terpulanglah kepada ijtihad semasa bersesuaian dengan keperluan konteks dan zaman yang berubah-ubah.

1.1.1 Politik dan Agama

Negara Islam yang pertama didirikan oleh Nabi Muhammad. Negara itu dikenali dengan nama Madinah, diambil sempena nama bandar Madinah yang menjadi pusat pemerintahan negara itu. Ketua negaranya ialah Nabi Muhammad sendiri. Sistem ketatanegaraan Islam yang digunakan di Madinah menunjukkan Islam agama yang tidak memisahkan antara politik dan agama. Politik adalah sebahagian daripada Islam dan menegakkan pemerintahan berdasarkan undang-undang Islam adalah kewajipan orang-orang Islam.Islam ialah suatu peraturan umum danundang-undang yang bersifat sempurna dan menyeluruh mencakupi seluruh ruang kehidupan manusia dalam mengatur perancangan dan sistem hidup mereka.

Erti kata lain, Islam adalah agama yang lengkap kerana agama yang mengandungi berkaitan akidah, ibadah, akhlak, muamalah dan sejarah seperti yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah. Ia mencantumkan kehidupan spiritual dengan kehidupan material, tidak memisahkan dunia daripada akhirat. Buktinya, C.A.Nallino berkata, “ Dalam masa yang sama, Muhammad berjaya mengasakan agama dan negara. Kedua-dua unsur ini berjalan seiringan selama hayat beliau”. Selain itu, Dr. V. Fitzgerald juga mengatakan dalam bukunya MuhammadanLaw, “ Islam bukan sahaja agama tetapi ia merangkumi sistem politik. Meskipun pada dekad terakhir ini muncul sekelompok orang Islam yang mengaku berfikiran moden dan berusaha memisahkan agama dan politik, namun kedua-dua unsur itu tidak dapat dipisahkan antara satu dengan yang lain”.

Sistem politik Islam terikat kepada prinsip-prinsip undang-undang Islam yang mutlak dan faktor-faktor yang boleh berubah-ubah. Dalam masyarakat yang berkembang pesat, banyak isu-isu yang perlu ditangani dengan segera. Sistem politik Islam dapat menyelesaikan masalah isu-isu kontemporari dengan menggunakan konsensus pakar-pakar bagi mengatasi kekeliruan apabila menentukan dasar-dasar pentadbiran. Sistem politik Islam dapat berfungsi apabila pemerintahan itu berdasarkan sistem Islam adalah seperti undang-undang negara dicipta oleh Tuhan. Tuhan telah menetapkan cara hidup yang paling baik untuk manusia dan alam. Orang-orang Arab Mekah yang menyembah berhala mengakui kewujudan dan kuasa Tuhan tetapi mereka tidak mahu mematuhi undang-undang Tuhan. Orang Islam menerima prinsip bahawa tugas membuat undang-undang adalah hak Tuhan. Hal ini dibuktikan dalam Surah al-A’raaf ayat 3 yang bermaksud, (Katakanlah kepada mereka Wahai Muhammad): "Turutlah apa Yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin Yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan". Orang Islam yakin undang-undang yang dicipta oleh Tuhan adalah undang-undang yang terbaik dan demi menjaga kepentingan manusia dan alam.

Selain itu, keadilan dan kesamaan merupakan salah satu dari ciri-ciri sistem politik Islam. Ketua negara wajib melaksanakan hukuman dengan adil tanpa mengira keturunan, bahasa dan pangkat. Dalam Islam, manusia adalah sama di sisi undang-undang. Tiada siapa yang dapat mengatasi undang-undang. Pakar-pakar menetapkan syarat menjadi ketua negara mestilah bersifat adil. Ketua negara hendaklah adil dalam melaksanakan undang-undang, menagihkan kekayaan negara serta kuasa dan pangkat walaupun kepada orang-orang bukan Islam. Contohnya, kisah khalifah Ali yang kehilangan baju besi sewaktu Perang Safain dan didapati baju besi itu ada pada seorang Yahudi, lalu Ali membuat laporan kepada hakim Suraih bin Hani. Dalam perbicaraan tersebut, Ali tidak dapat mengemukakan saksi, lalu mengikut prosedur mahkamah, orang Yahudi itu menang, walaupun Ali adalah ketua negara. Akhirnya, orang Yahudi itu mengaku bersalah dan memeluk Islam, selepas beliau melihat sendiri keadilan undang-undang Islam dan keadilan sistem pemerintahan Islam.

Ciri yang terakhir adalah ketaatan. Ketaatan rakyat kepada ketua negara adalah ciri penting dalam sistem politik Islam. Umar bin Khatab pernah berkata, “ Tidak ada Islam tanpa jemaah, tidak ada jemaah tanpa ketua, dan tidak ada ketua tanpa pengikut yang taat”. Al-Quran mengatakan sikap taat kepada ketua adalah wajib, seseorang itu dilarang menolak suruhan ketuanya selagi tidak melanggar undang-undang Islam. Dalam Surah an-Nisaa’ ayat 59 bermaksud, “ Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Dalam Islam rakyat wajib patuh kepada ketua negara dalam perkara-perkara yang ditetapkan oleh Tuhan. Antara syarat-syarat rakyat wajib patuh kepada negara adalah ketua negara itu melaksanakan undang-undang Islam, menjalankan pentadbiran secara adil dan ketua negara tidak menyuruh rakyat melakukan perkara-perkara yang tidak dibenarkan oleh Islam. Oleh itu, setiap pemimpin harus mengamalkan ciri-ciri agar negara kita terus aman tanpa ada persengketaan.
1.1.2 Undang-undang Politik

Objektif undang-undang Islam adalah mengawal, menjaga, melindungi masyarakat, mempertahankan negara yang di ceroboh musuh dan memberi hak yang sepatutnya kepada rakyat di samping menghukum mereka yang melanggar undang-undang itu.

Abdullah NasihUlwan menerangkan ciri-ciri undang-undang Islam di dalam bukunya (Islam Undang-undang Sepanjang Zaman dan Tempat dan buku Perbahasan-perbahasan Undang-undang dalam Islam)iaitu dicipta oleh Tuhan. Undang-undang Islam serta peraturan undang-undang ini bukan ciptaan manusia tetapi dicipta oleh Tuhan. Ia undang-undang yang sesuai dengan sifat naluri manusia. Orang Islam wajib menerima peraturan Tuhan sebagai panduan hidupnya. Ayat 36 dalam Surah Al-Ahzab bermaksud, “ Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.

Ciri yang keduanya ialah universal. Undang-undang Islam adalah untuk manusia dan alam. Ia bukan khas untuk sesuatu bangsa ataupun sesuatu tempat. Dalam Surah Al-Anbiyaa’ ayat 107 yang bermaksud, “Dan tiadalah Kami mengutus Engkau (Wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. Ayat 28 dalam Surah Saba’ bermaksud, “Dan tiadalah Kami mengutusmu (Wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang Yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar) akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).
 Seterusnya, komprehensif iaitu undang-undang Islam yang memenuhi semua dimensi kehidupan manusia sama ada ekonomi, politik dan sosial. Undang-undang ini berfungsi sebagai asas pembinaan semua kehidupan masyarakat sama ada peringkat nasional ataupun internasional. Dari segi kehakiman ayat 58 dalam Surah An-Nisaa’ bermaksud, “ Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat”.Dari segi pentadbiran, ayat 38 dalam Surah Asy-Syuura yang bermaksud, “Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya”.

Seimbang antara spiritual dan material merupakan salah satu daripada ciri-ciri undang-undang Islam. Undang-undang Islam tidak memisahkan antara material dan spiritual, tidak memisahkan antara dunia dan akhirat. Dalam Surah al-Qashash ayat 77 yang bermaksud, "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah Engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah Engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan ".

Di samping itu, ciri-ciri perundangan Islam ialah seimbang antara kepentingan peribadi dan masyarakat. Setiap orang mempunyai tanggungjawab masing-masing iaitu tanggungjawab dengan Tuhan dan masyarakat. Manusia juga mempunyai tanggungjawab antara hak-hak asasi iaitu hak kebebasan, hak belajar, hak bersuara, hak persamaan di samping hak-hak masyarakat seperti nak berbuat baik kepada jiran-jiran, menjalin serta menggeratkanhubungan silaturahim. Islam meletakkan kedua-duanya kepentingan ini pada kedudukan yang sama dan seimbang.

Ciri-ciri yang seterusnya ialah memudahkan serta menyenangkan. Undang-undang Islam tidak membebankan manusia kecuali mengikut kemampuan mereka. Misalnya, dalam perjalanan yang sukar dan jauh seseorang itu boleh berbuka puasa, melakukan solat jamak dan meninggalkan solat Jumaat. Dalam keadaan sakit, dia boleh berbuka puasa, solat dalam keadaan duduk atau berbaring.

Yang terakhir, matlamat undang-undang Islam adalah menegakkan keadilan. Undang-undang Islam adil dalam semua dimensi kehidupan. Undang-undang Islam bukan untuk mana-mana bangsa, individu dan masyarakat. Ia juga bukan untuk dunia dengan meninggalkan akhirat atau sebaliknya. Ia adalah undang-undang yang membawa keadilan untuk alam. Apabila tegak undang-undang Islam maka tegaklah keadaan Islam. Perkara-perkara yang menjadi prinsip undang-undang Islam adalah kebijaksanaan di dunia dan di akhirat. Kebajikan hanya terletak pada keadilan, belas kasihan, kemanusiaan dan kebijaksanaan. Sesuatu yang lari daripada keadilan kepada penindasan dan belas kasihan kepada kekerasan dan kebajikan kepada kesengsaraan dan daripada kebijaksanaan kepada kebodohan tidak lagi kena mengena dengan undang-undang Islam.

Undang-undang Islam terbina di atas dua prinsip iaitu undang-undang Islam, ia digubal berdasarkan kaedah yang sudah ditetapkan oleh Islam, yakni tidak boleh diubah-ubah walaupun berbeza tempat dan masa. Yang kedua, undang-undang itu tidak bertentangan dengan ayat-ayat al-Quran dan perbuatan serta kata-kata Nabi Muhammad. Banyak ayat al-Quran dan kata-kata Nabi Muhammadyang menerangkan prinsip-prinsip politik Islam yang merangkumi kehakiman, peperangan dan pentadbiran.Surah al-Nisaa’ ayat 58 mengatakan, “Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Sistem perundangan Islam meliputi semua aspek dan bidang kehidupan manusia. Islam menggariskan prinsip-prinsip dan kaedah-kaedah am bagaimana mentadbir negara. Islam tidak menentukan saiz dan bentuk yang mutlak secara terperinci yang perlu diikuti sepanjang masa dan tempat. Perkara ini bergantung pada suasana, keadaan, masa dan tempat.
1.2 Perkembangan Sains Politik

Ia bermula dari Zaman Yunani. Plato sebagai Bapa Falsafah Politik dan muridnya Aristotle sebagai Bapa Sains Politik kerana memperkenalkan kaedah saintifik dalam pengkajian politik. Sains politik berkembang dari Zaman Yunani ke Zaman Rom, tamadun Islam sehinggalah ke zaman tamadun Eropah mulai abad ke 18 dan 19 sehingga hari ini. Revolusi Perancis 1789, membawa perubahan sehingga pengaruh gereja mula tercabar. Pendapat gereja bertentangan dengan penemuan-penemuan sains. Sains mula mengambil alih peranan gereja dalam mentakrifkan sebagai kehidupan manusia. Kajian bersifat empirikal dilakukan terhadap bidang politik. Teori politik mula diasaskan bagi mempertahankan aspek ‘validity dan reliability’. Bidang politik yang wujud ini kini melalui proses evolusi yang panjang. Ia menjadi satu bidang ilmu yang berkembang dan diadunkan dengan pelbagai disiplin ilmu seperti sosiologi, antropologi, ekonomi, matematik dan sebagainya.

Pada perkembangan awal, bermula sejak berkembangnya tamadun Yunani (300-500 SM) iaitu hampir 2500 tahun lalu. Pendekatan yang digunakan bersifat normatif yang mengemukakan saranan ‘ hukum moral’ atau ‘standard’ atau tahap piawai tentang baik buruknya sesuatu perkara. Kajian ilmu politik dimulakan oleh Plato dalam bukunya ‘The Public dan The Law’. kajian seterusnya dilakukan oleh Aristotle melalui bukunya ‘Politics’. Selain Plato dan Aristotle ‘Demokrasi Langsung’ juga merupakan sumbangan tamadun Yunani yang merupakan model kepada sistem demokrasi pada hari ini.

Sumbangan besar tamadun Islam dalam Renaissance Eropah tidak dapat dinafikan. Sumbangan seperti intelektual Islam menjadi penyumbang kebangkitan di barat dalam pelbagai bidang. Seterusnya, sains politik mula melalui perkembangan ketika kebangkitan liberalisme pada abad ke 17-18. Perubahan sains politik sejajar dengan perkembangan zaman dan pada abad ke 20 ia telah mengubah sains politik secara radikal. Antara bidang kajian Sains politik antaranya tiada kesepakatan dalam kalangan sarjana sains politik tentang apakah yang membentuk bidang kajian dalam disiplin ini. Sains politik telah mendapat manfaat dari bidang-bidang seperti sosiologi, antropologi, ekonomi, geografi, psikologi, sejarah dan falsafah. Akibatnya, wujud perbezaan ‘ trend’ yang diamalkan antara negara dengan sesebuah negara yang lain. Secara umumnya, terdapat 11subdisplin mengkategorikan sains politik.

Pada era moden sains politik ia bermula pada zaman Renaissance pada abad ke-15 sebagai garis pemisah antara zaman gelap kepada zaman moden. Pengaruh gereja dicabar dan diusul spy aliran dipisahkan daripada politik. Aliran sekularisme mula bertapak dan pendekatan baik buruk diganti dengan prinsip objektiviti. Renaissance melahirkan Niccolo Machiavelli sebagai pelopor aliran sekularisme yang memperkenalkan slogan ‘ends justifies the means’ (matlamat menghalalkan cara).
  
1.3 Konsep Politik Islam

Abdul WahabKhallaf mengatakan sains politik syariat adalah ilmu yang membincangkan sistem undang-undang dan pentadbiran negara Islam yang selaras dengan prinsip-prinsip agama Islam, walaupun tidak ada bukti yang khusus mengenainya baik dalam al-Quran mahupun pada kata-kata Nabi Muhammad. Sains politik Islam menghuraikan langkah-langkah yang perlu diambil bagi menyelaraskan pentadbiran undang-undang yang dilaksanakan oleh ketua-ketua negara bagi memenuhi keadilan dan kepentingan rakyat. Kepentingan umum didefinisikan sebagai manfaat yang memang menjadi tujuan Tuhan mencipta undang-undang untuk manusia, manfaat yang meliputi penjagaan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta benda. Sistem politik Islam mengambil sesuatu langkah berdasarkan kepentingan rakyat tanpa terikat kepada tatacara yang biasa diamalkan oleh pakar-pakar agama apabila menggubal undang-undang. Satu-satunya syarat yang perlu dipatuhi adalah undang-undang yang digubal itu tidak bertentangan dengan ayat-ayat Quran dan kata-kata Nabi Muhammad serta konsensus pakar-pakar agama.

 Abdul WahabKhallafjuga mendefinisikan sains politik Islam sebagai ilmu yang mengatur pentadbiran awam dalam pemerintahan bagi mendorong kebaikan dan mencegah kejahatan selagi tidak melampaui batasan undang-undang dan prinsip umum.Yang dimaksudkan mengatur pentadbiran awam dalam pemerintahan ialah sesuatu yang berupa keperluan kehidupan daripada segi peraturan, sama ada daripada segi undang-undang kewangan, hukum, kehakiman, lembaga eksekutif, hubungan dalam negeri ataupun hubungan antarabangsa. Berdasarkan analisis tertumpu pada fungsi dan jentera pentadbiran kerajaan ataupun ‘ perkhidmatan awam’ sesebuah negara dalam melaksanakan dasar-dasar politik dan pentadbiran sesebuah kerajaan. Dari aspek pengurusan dan peningkatan kualiti serta kecekapan sistem penyampaiannya. Pengurusan tertumpu pada gelagat manusia dan organisasi di sektor swasta.

 Perkataan ‘siasah’ dalam bahasa Arab sekarang diterjemahkan menjadi ‘politik’. Pada mulanya siasah bererti melakukan kebaikan untuk sesuatu. Pengertian ini kemudian dikembangkan menjadi peraturan bagi menjaga tatasusila, kepentingan umum dan sistem hidup. Ia juga membawa erti mentadbir urusan sesuatu golongan yang ada kaitan dengan prinsip-prinsip pemerintahan. Berdasarkan pengertian inilah “siasah” disamakan dengan ‘politik’ pada masa ini. Sarjana-sarjana sains politik Islam membahagiakan politik kepada dua kategori iaitu politik yang adil yang menjadi sebahagian daripada undang-undang Islam. Yang kedua, politik yang zaman yang diharamkan oleh undang-undang Islam. Politik Islam ialah sebarang langkah yang dilakukan oleh ketua negara untuk kepentingan rakyat yang dirasakannya baik, walaupun perkara itu bukan berdasarkan ayat Quran dan kata-kata Nabi Muhammad.

1.4 Hubungan Diplomatik dalam Islam

Dalam konteks sekarang, hubungan negara Islam dengan negara bukan Islam hendaklah melalui perdamaian. Walaupun ada sesetengahpendapat orang awam yang mengatakan negara Islam mesti memerangi negara bukan Islam tetapi pada masa sekarang perdamaian ataupun mengadakan hubungan diplomatik adalah lebih baik mudah-mudahan dengan cara ini orang Islam dapat menyampaikan dakwah kepada mereka dengan lebih berkesan dan bukannya pedang. Sesungguhnya, agama Islam adalah agama yang sejahtera dan antara sifat-sifat Tuhan juga sejahtera. Pakar-pakar sejarah mengatakan, pada kurun ke-2 Hijrah orang Islam berperang kerana musuh Islam menggugat kestabilan negara Islam. Dalam al-Quran, Tuhan menyuruh orang Islam berdamai dan mengadakan hubungan baik sesama manusia.

 Prinsip-prinsip hubungan diplomatik negara Islam dengan negara-negara bukan Islam adalah ialah menyampaikan ajaran Islam kepada negara bukan Islam. Selain itu, hubungan diplomatik dapat menjalinkan hubungan dengan orang bukan Islam melalui pendamaian selagi mereka tidak mengancam keselamatan negara. Di samping itu, jihad dibenarkan bagi mempertahankan orang-orang Islam daripada perbuatan musuh yang mengancam keselamatan agama dan negara Islam. Bagi orang-orang bukan Islam yang lain, peperangan itu sudah cukup dan dapat dihentikan apabila mereka bersetuju untuk membayar cukai diri (cukai jizyah). Sehubungan itu, negara Islam bebas mengadakan perhubungan ekonomi dan perdagangan dengan negara-negara bukan Islam.

PENUTUP

Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang isu politik. Ia menjadi topik perbincangan dalam kalangan masyarakat daripada ketua negara sehingga rakyat jelata, daripada parlimen sehinggalah kedai-kedai kopi. Isu ini lebih menjadi rumit apabila ia dijadikan bahan bagi kepentingan kelompok dan kepentingan parti politik. Pada hari ini cerdik pandai dan sarjana Islam perlu merangka semula konsep sains politik yang selaras dengan zaman ini kerana agama Islam tidak meletakkan format yang tetap. Ia terpulang kepada keperluan dan kebijaksanaan pemimpin untuk menjalankan pemerintahan asalkan beliau melaksanakan prinsip-prinsip negara yang adil dan makmur.

 Pada awal zaman Islam, pakar-pakar tidak menulis buku-buku mengenai sains politik Islam dan undang-undang pentadbiran negara. Hal ini mungkin disebabkan institusi pemerintahan pada masa itu berpegang kuat pada agama. Kebanyakan ketua-ketua negara waktu itu adalah orang-orang yang menjalankan undang-undang Islam. Pada masa dahulu, ilmuwan dan pakar undang-undang Islam menjauhkan diri mereka daripada arena politik. Mereka yang cuba mendekatkan diri dengan raja dan istana akan dikecam. Barangkali raja-raja Islam masa itu tidak suka ilmuwan Islam menyentuh isu-isu berkaitan dengan pemerintahan mereka. Ada ilmuwan dan pakar agama yang dipenjarakan dan diseksa kerana mereka memberanikan diri menegur tingkah laku raja-raja Islam masa itu. Sebagai jalan selamat, ilmuwan dan pakar undang-undang waktu itu tidak menyentuh politik dan undang-undang pentadbiran negara Islam. Dr. Fathi Uthman mengatakan pada masa Mawardi menjalankan kajian berkenaan sains politik Islam dan menulis buku-buku beliau, keadaan pemerintahan Islam sedang semakin lemah. Keadaan inimendorong banyak pakar-pakar sains politik Islam mula mengarang buku-buku mengenai sistem kenegaraan sebagai respons kepada keperluan masyarakat waktu itu yang amat memerlukan pemerintahan yang adil.


Pensyarah: Abd Aziz bin Harjin
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com



No comments:

Post a Comment