Monday, October 12, 2015

Tajuk: Abdul Qasim Khalaf Al-Abbas Al-Zahrawi

BIODATA TOKOH

Nama penuh tokoh perubatan ini adalah Abdul Al Qasim Khalaf Al Abbas Al Zahrawi, panggilan Al Zahrawi dan Al Qasim diambil sempena nama tempat kelahirannya di Bandar Al Zahra. Selain itu, beliau turut digelar Abu Jirahah iaitu Bapa Pembedahan. Beliau dilahirkan pada 936M di Kota Zahra’, Cordova di ibu negeri Sepanyol semasa pemerintahan Khalifah Abdul Rahman III (Abdul Rahman Nasir)(912M – 961M) yang juga telah membuka kota Al-Zahra. dan pernah berkhidmat dengan Raja Andalusia iaitu Raja Hakam II. Beliau meninggal dunia pada tahun 1013M ketika berumur 77 tahun. Beliau berketurunan Ansar Madinatul Munawwarah dan keluarganya telah berpindah lalu menetap di Andalus. Tokoh ini juga dikenali di Eropah dengan gelaran Abulcasis. Antara nama lainnya adalah Albalcassis, Assarawi, Akarani, Zahirophius, Alcarafi dan Al Zahrawi. 

PENDIDIKAN DAN PEKERJAAN

Beliau menuntut ilmu, mengajar dan berlatih dalam bidang perubatan di Cordova sehinggalah beliau meninggal pada 1013M, lebih kurang 3 tahun selepas Kota Zahra’ dihancurkan. Terdapat sebuah pusat perniagaan dan pendidikan di Andalus di Cordova adalah tempat dimana beliau menuntut ilmu. 

Beliau telah dilantik sebagai doktor peribadi Khalifah Abd Ar-Rahman III dan juga anaknya Al-Hakam II. Beliau turut mengubati masyarakat ketika beliau menuntut ilmu dia Cordova. Selain bidang pembedahan, beliau juga pakar dalam bidang pergigian dan lain lain yang berkaitan dengan kesihatan. 

KEPAKARAN DAN SUMBANGAN

Sungguh pun digelar sebagai bapa pembedahan, namun bakatnya tidak hanya pada pembedahan malah ada kepakaran lain seperti pergigian, pencipta alat-alat bedah, pakar telinga, tekak dan kerongkong atau disebut sebagai ENT (Abbreviation for ears, nose and throat) juga dikenali sebagai bidang otolaryngology, serta mencipta ubat-ubatan farmasi. Dr Campbell dalam bukunya, “Sejarah Perubatan Arab” menyatakan bahawa prinsip Al Zahrawi telah menjadi asa kurikulum perubatan Eropah. 

Al Zahrawi juga terkenal dalam menghasil alat alat untuk mengenalpasti bahagian dalaman badan seperti telinga. Selain itu, beliau turut memperkenalkan teknik pembakaran tisu dalam 50 jenis pembedahan yang berbeza. Beliau juga merupakan orang pertama yang memperkenalkan dengan terperinci mengenai hemofilia dan penggunaan benang sutera untuk tisu yang berselirat. 

Sumbangan besar beliau dalam bidang perubatan adalah penghasilan ensiklopedia perubatannya “at-Tashrif Liman Ajiza An at-Ta’lif” yang mempunyai 30 jilid. Ensiklopedia ini mengambil masa selama 50 tahun untuk disiapkan dan telah siap sepenuhnya pada 1000M yang wujudnya atas pengalamannya dalam perubatan. At-Tashrif memuatkan 30 bab dan ditujukan kepada pelajar pelajar perubatan dan juga doktor perubatan sebagai rujukan dalam segala masalah yang dihadapi dalam bidang perubatan terutaman pembedahan. Ensiklopedia ini mengandungi gambar alat pembedahan lebih kurang 2000 gambarajah peralatan yang ditunjuk jelas. 

Diantara semua bab, bab yang ke 30 menjadi rujukan plaing termasyur dan menjadi paling meluas setakat ini. Diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh Gerard of Cremona (1114 – 1187) dan diulang cetak sekurang kuranya 10 kali dalam edisi yang telah dibaiki. 

Teks pembedahan al Zahrawi setebal 300 helai merupakan kitab pertama dalam saiz ini ditujukan sepenuhnya dalam bidang pembedahan gigi dan pergigian. Di dalam kitab ini, al Zahrawi membangunkan semua aspek pembedahan dan cabang-cabangnya, penyakit-penyakit oftalmologi iaitu terdiri daripada bahagian telinga hidung dan tekak, kepala dan leher, pembedahan umum, sakit puan (obstetrics and gynaecology), perubatan ketenteraan, urologi (sistem perkumuhan) dan ortopedik (tulang). 

Ensiklopedia ini juga mengupaskan tentang kosmetik termasuk hand lotion dan pewarna rambut yang berkembang sehingga kini. Ensiklopedianya dengan lengkap menjelaskan juga tentang pengubatan dalam bidang perubatan, nutrisi, kosmetik dan teknik pembedahan seperti pembedahan terbuka. 

Kitab lain yang menjadi hasil tulisannya adalah kitab Al Maqalah fi Amal Al-Yad Ala Fanni Al Jarahah dan kitab A’mar Al-Aqaqir yang membahaskan tentang jenis ubat dengan khusu termasuk sebab penamaanya, cara membuatnya dan manfaatnya. 

PEMBEDAHAN

Al Zahrawi merupakan pakar bedah pertama yang menggunakan kapas dalam prosedur pembedahan untuk mengawal pendarahan. Selain itu, beliau memperkenalkan tracheotomy (pembedahan trakea) dan membezakan antara goiter (beguk) dan kanser thyroid. Dalam pembedahan ortopedik, beliau telah memperkenalkan kaedah kocher untuk mengurangkan pengalihan tulang bahu 1000 tahun sebelum Brooke memperkenalkannya semula pada tahun 1937M. 

Rawatan pembedahan yang dilakukannya termasuklah cauterization iaitu teknik pembedahan bahagian badan untuk merawat luka dan sebagainya, mengeluarkan batu karang daripada buah pinggang. Beliau juga merupakan tokoh pertama yang memperkenalkan posisi lithotomy untuk pembedahan genik (genikologi), perbidanan, pembedahan ke atas haiwan dan juga pembedahan mata, telinga dan kerongkong (ENT). Beliau juga telah berjaya menyelesaikan pembedahan rumit seperti mengeluarkan fetus yang tidak bernyawa daripada kandungan. 

Salah satu teknik pembedahan moden yang dilakukan beliau adalah kauteri (cauterization). Ini adalah proses memusnahkan tisu yang berpenyakit dengan cara membakarnya dengan besi panas ataupun kimia kaustik. Kauteri turut digunakan untuk membuang tisu kanser, ketuat, buasir dan menyembuhkan fistula yang bermaksud liang abnormal yang telah menembusi kulit. Diatermi adalah sejenis kauteri yang digunakan pada masa kini dengan menggunakan besi panas elektrik. Alat ini telah dipergunakan dengan meluas pada zaman dahulu walaupun zaman lampau tidak mempunyai kuasa elektrik. Para doktor bedah bahkan Al zahrawi sendiri menggunakan proses ini untuk menghentikan pendarahan pemuluh pembuluh kecil semasa pembedahan. Pembuluh pembuluh darah kecil yang dipotong dari masa ke semasa dapat dibakar dengan mudah menggunakan diatermi dan pendarahan dapat dihentikan dengan mudah. 

PRESTASI

Dalam bidang pembedahan secara umum, beliau menasihati para ahli bedah agar mempelajari ilmu bedah dan melakukan banyak latihan sebelum membedah agar mereka memahami ilmu anatomi, bentuk, susunan dan hubungannya antara satu sama lain. Mereka perlu tahu mengenai otot, tulang dan urat serta tempat – tempatnya agar kesalahan dapat dielakkan semasa pembedahan dijalankan. 

Beliau menemukan alatan bedah yang sesuai mengikut pembedahan dan fungsi setiap satunya. Sebagai contoh alatan tersebut adalah gunting, pengikat, alat pelebar, kempan (apitan) dan baju pelindung dari besi dengn ukuran yang berbagai macam. Alat pelebar digunakan untuk mengatasi tertutupnya lubang kencing pada anak yang baru dilahirkan. 

Beliau merupakan pakar pembedahan pertama yang mengikat urat nadi dan pembuluh darah dengan menggunakan benang sutera untuk mengatasi pendarahan semasa pembedahan dijalankan dan ini juga sama seperti beliau mengubati dengan panaskan luka tersebut. 

Al Zahrawi juga menemukan cara pembedahan dengan menggunakan hanya satu benang dan dua jarum. 

Manakala dalam pembedahan saluran kencing, beliau merupakan orang pertama juga yang menemukan cara mengeluarkan penompokkon zat kapur pada saluran kencing. Beliau menasihatkan para bedah agar mengeluarkan tompokkan ini dengan menggunakan cara yang betul yang telah menjadi batu. Tompokkon ini perlu dipecahkan terlebih dahulu dengan menggunakan kempa (apitan) dan baru dikeluarkan sepotong demi sepotong. Zat kapur ini dikeluarkan melalui alat kelamin pada perempuan. 

Al Zahrawi berjaya mengembangkan bedah rongga pernafasan (tracheotomy). Namun, cara ini tidak digemari oleh para bedah yang berbangsa Yunani kerana menganggap cara ini adalah berbahaya bahkan mereka telah mengharamkan cara ini kerana cara ini boleh membawa maut jika dilakukan dengan cara yang tidak betul. Di dalam ensiklopedia Al Zahrawi, beliau telah menjelaskan tentang tercekiknya tenggorokan dan cara membedahnya berdasarkan pengembangan yang beliau lakukan. Beliau menyatakan bahawa cara ini telah dijalankan ke atas seekor kambing sambil memantau perkembangan kambing tersebut, akhirnya usaha ini membawa kejayaan kerana kambing itu sembuh sepenuhnya. Beliau mampu menyambung tulang rawan pada batang tabung udara secara tepat setelah membedah. Selain itu, beliau berjaya memotong tumor daging pada yang tumbuh di hidung dan berjaya memotong amandel dari pangkalnya dengan cara pembedahan. 

Selain tiga pembedahan yang telah disebut, beliau juga berjaya melakukan pembedahan ke atas pesakit yang perlu menjalani pembedahan usus besar. Untuk pembedahan di bahagian pencernaan ini, pesakit perlu ditidurkan di atas kasur dalam keadaan kepala di bawah apabila pesakit tersebut di bedah di bahagian atas usus. Tujuan ini dilakukan adalah supaya darah dapat dikurangkan ketika pembedahan berjalan dan memudahkan pakar bedah untuk melakukan pembedahan dengan mudah dan tanpa berlakunya kesalahan yang tidak diingini. Disebabkan itu, Al Zahrawi merupakan orang pertama yang menemukan cara ini berbanding pakar barat yang menggelarkan posisi ini sebagai ‘trendelenburg position’ yang ditemukan oleh Trendelenburg. Disamping itu, Al Zahrawi adalah orang pertama yang membedah bahagian luar hati (liver) dan merawatnya dengan cara pemanasan. 

Al Zahrawi telah menjelaskan cara untuk memudahkan kelahiran yang dipakai sehingga kini di dalam ensiklopedianya. Beliau mengeluarkan janin dengan menggunakan beberapa alatan khusus. Beliau adalah orang pertama yang menerangkan kondisi-kondisi letak janin yang tidak normal di perut ibunya. 

Dalam mengubati penyakit tulang, beliau adalah seorang yang unggul dalam mengubati tempurung kepala yang pecah. Dia tidak mendiagnosis bahagian luaran sahaja dan melihat keadaan orang sakit bahkan menentukan dengan teliti cara pemeriksaan luka. Beliau menyatakan bahawa pakar bedah perlu mengetahui semua jenis luka dengan memeriksa dan melidiknya terlebih dahulu kemudian barulah membuang daging yang rosak dari atas. Luka yang masih terdapat pada batas akar rambut dapat diketahui dengan memeriksa tulang kepala dan mengusapnya supaya bahagian yang pecah akan nampak hitam. Dalam ensiklopedianya, telah dijelaskan langkah langkah pembedahan dengan teliti kepada doktor yang sedang menjadi pelatih. Beliau juga telah menyediakan gambar supaya mudah untuk para pelatih memahami. Seterusnya, Al Zahrawi berjaya melakukan pembedahan pada tulang punggung yang patah. Orang pertama yang membuat lubang “jendela” dalam mengikat gypsum pada luka yang terbuka adalah Al Zahrawi. 

FARMASI DAN TERAPI

Al Zahrawi mempunyai satu kelebihan dalam membincangkan tentang bahan ubat-ubatan. Beliau telah memberi sumbangan yang banyak terhadap bentuk ubat atau dos, teknik dan alat penyediaan ubat. Kepakarannya dalam bidang farmasi telang diterangkan dengan mendalam didalam ensiklopedianya yang mengandungi maklumat lengkap mengenai ubat-ubatan, cara membuat sukatan dan berat timbangannya. Penulisannya bukan sahaja tertumpu kepada bidang farmasi malah tentang pemakanan serta terapeutik. 

Karya Hnarneh dan Sonnedecker dalam bukunya A Pharmaceutical View of Abulcasis al Zahrawi in Moorish Spain banyak menerangkan mengenai farmasi al Zahrawi. Buku tersebut membincangkan tentang farmasi dan rawatan terapi yang dilakukan oleh al Zahrawi dan bab bab lain seperti penjagaan kesihatan dan diet, farmasi secara praktikal, serbuk dan pil yang dihasilkan beserta ilustrasi dan alat untuk menghasilkannya. 

PERGIGIAN
Al Zahrawi juga pakar dalam bidang pergigian dan pembedahan mulut selain pembedahan badan. Ensiklopedianya yang terakhir membincangkan tentang penyakit gigi dan cara mengubatinya. Buku ini juga menerangkan tentang pelbagai bentuk pembedahan penting dalam bidang pergigian. Beliau juga telah menyediakan gambar alatan yang digunakan untuk melakukan pembedahan gigi dan telah menerangkan dengan jelas fungsi setiap satu alatan tersebut. Beliau telah mengenal pasti langkah-langkah dan memperkenalkan teknik menyediakan gigi tiruan atau gigi palsu yang dibuat dari tulang haiwan. Ini dapat memudahkan sesiapa yang tidak mempunyai gigi yang sempurna supaya kelihatan sempurna dan supaya seseorang itu berasa selesa dengan mulutnya. 

Al Zahrawi telah meneliti dengan spesifik tentang gigi graham yang tidak tumbuh pada tempat sepatutnya ia berada, memberi ikatan emas atau perak serta mencabutnya tanpa rasa sakit. 

MENGKAJI PENYAKIT

Beliau juga terkenal sebagai perintis ‘Ilmu pengenalan penyakit’ (diagnosis) dan cara menyembuhkan penyakit telinga untuk mengembalikan fungsi pendengaran dengan cara memerhatikan secara adil anatomi saraf – saraf halus (artris), pembuluh-pembuluh darah (veins) dan otot-otot (tendorus). Al Zahrawi juga terkenal sebagai pelopor pengembangan ‘Ilmu penyakit kulit’ (dermatology) yang juga terkandung dalam at-Tashrif. 

Memandangkan beliau adalah seorang pengamal perubatan, al Zahrawi telah mengkaji penyakit dan pengkelasan penyakit dan telah menjelaskan cara mengelakkan penyakit (profilaksis), meningkatkan kesihatan dan mengurangkan kesakitan. Beliau adalah orang pertaman yang mengenal psti penyakit haemophilia (kanser darah) yang merupakan penyakit keturunan. Hal ini telah diceritakan oleh beliau dengan terperinci mengenai hemofilia dan penggunaan benang sutera untu tisu yang berselirat dan menghentikan peredaran racun dalam tubuh badan manusia. 

PENEMU ALAT BEDAH MODEN

Beliau telah mendedikasikan dirinya untuk pengembangan ilmu kedoktoran selama separuh abad khususnya dalam bidang bedah. Puluhan alatan bedah telah ditemukan oleh beliau dan lebih dari 200 alatan bedah yang dimilikinya telah diperkenalkan dalam at-Tashrif. Antara ratusan alatan bedah beliau, banyak alatan yang tidak pernah digunakan oleh ahli bedah sebelumnya. 

Beliau telah menemukan sebanyak 26 alat bedah sepanjang beliau menjadi pakar bedah. Antara alatan tersebut adalah cagut yang berfungsi sebagai menjahit bahagian dalam itu dan masih digunakan sehingga kini. 

Penggunaan ligature turut diperkenalkan dalam at-Tashrif yang merupakan benang mengikat luka untuk mengawal pendarahan arteri. Jarum bedah juga diperkenalkan. 

Peralatan penting dalam pembedahan yang ditemui adalah scalpel (pisau bedah), curette, retractor, senduk bedah (surgical spoon), sound, pengait bedah (surgical hook), surgical rod dan specula. Selain itu, al zahrawi juga menemukan alatan bedah yang digunakan untuk memeriksa dalam uretra, alat memindahkan benda asing dari tenggorokan serta alat untuk memeriksa telinga. 

KARYA

Nama kitabnya ialah Kitab at-Tashrif Liman Ajiza an at-Ta’lif yang secara ringkas disebut at-Tashrif sahaja. Tidak sekadar aspek pembedahan, dalam bukunya itu juga membincangkan mengenai penyediaan pelbagai jenis perubatan selain penerangan komprehensif mengenai rawatan pembedahan yang mengkhusus dalam bidang ENT, Oftalmologi dan sebahagiannya. Beliau juga menerangkan beberapa teknik secara terperinci seperti pejalwapan dan juga penyiringan (decantation). 

Ensiklopedia ini mengandungi 30 bab merangkumi pelbagai aspek sains perubatan. Bagaimana pun, aspek yang paling penting yang terkandung di dalamnya ialah siri tiga buah buku mengenai pembedahan. Karya perubahan at-Tashrif yang ke-30 oleh al Zahrawi adalah satu karya yang menakjubkan. Ia mengandungi penghuraian yang begitu mendalam dalam ilmu pembedahan. Disertai pula dengan 200 lukisan alat pembedahan. Karya ini terbahagi kepada 3 bahagian, bahagian pertama mengandungi 56 bab tentang kauteri, bahagian kedua mengandungi 99 bab tentang teknik pembedahan dan bahagian terakhir iaitu bahagian ketiga 35 bab tentang fraktur (patah tulang) dan dislokasi (terlepasnya kompresi jaringan tulang dari kesatuan sendi). 

Penemuan dan juga hasil kerja al Zahrawi melalui ensiklopedianya at-Tashrif ini menunjukkan bahawa kepercayaan dunia Islam yang ketandusan pakar dalam bidang surgery atau pembedahan adalah salah sama sekali. 

Antara karya-karya lain yang dihasilkan selain daripada karya utamanya iaitu at-Tashrif ialah seperti kitab Fi Anradhi al-Nisai iaitu kitab mengenai sakit puan, kitab

Fi Istihdari al-Adawiyah iaitu kitab mengenai ubat-ubatan (farmasi) dan kitab Fi al-Kail Wa al-Mazain iaitu mengenai sukatan dan timbangan. 

KESIMPULAN

Pencapaian tamadun Islam pada zaman ini sangat menakjubkan. Ini dapat dibuktikan dari ketokohan dan sumbangan yang telah diberikan oleh tokoh Al-Zahrawi di Andalusia. Ketokohan beliau telah diakui di negara Sepanyol, Afrika Utara dan kerajaan Islam Timur dan juga di Eropah Barat. Beliau telah berjaya menghasilkan karyanya yang agung iaitu al-Tashrif bahkan telah menjadi sumber rujukan dan beliau telah memperkenalkan peralatan bagi memudahkan pembedahan dilakukan dengan mudah. Alatan yang ditemukan beliau masih digunakan hingga ke masa kini. Ternyata, sumbangan yang telah diberikan beliau terlalu besar hingga ke masa kini. 

Bibliography
1. Amna, M. (29 Disember, 2010). Ketokohan Perubatan Al-Zahrawi Dalam Tokoh Perubatan. 
2. Danish. (n. d.). 10 Ilmuan Islam paling berjasa dalam ilmu pengetahuan dan teknologi dunia. Retrieved from Danish Net: danish56. blogspot. com
3. Mahmood, M. S. (1975). Mengenal Islam dan Hubungannya dengan Sains dan t. 
4. Nurwasilah, A. (20 Januari, 2012). Perkembangan Sejarah Keilmuan Islam dan Perkembangannya. Retrieved from anie-nurwasilah. blogspot. com
5. Saad, I. (1995). Pengenalan Tamadun Islam dalam Ilmu Perubatan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. 
6. Zain, S. M. (Kuala Lumpur). Pengenalan Tamadun Islam dalam Sains dan Teknologi. Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment