Monday, October 12, 2015

Tajuk: Huraian Berkenaan Kaitan Antara Syariat Dan Sains Dan Teknologi

PENDAHULUAN
Hubungan antara Islam dengan sains dan teknologi adalah ibarat isi dan kuku, tidak dapat dipisahkan kerana sama-sama mempunyai peranan dan sumbangan yang penting dalam membina tamadun manusia. Sains dan teknologi membawa kemajuan, kemudahan dan keselesaan, manakala Islam pula memimpin manusia ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan juga di akhirat. Sains wujud daripada perasaan ingin tahu manusia terhadap alam sekelilingnya dan merupakan salah satu cabang utama ilmu pengetahuan yang dapat digunakan untuk meningkatkan keimanan. Sungguhpun Islam telah memberikan garis kasar terhadap kaedah dan jawapan kepada banyak persoalan sains, namun ianya masih memerlukan pengkajian yang mendalam untuk membuktikan kebenarannya. Atas sebab inilah maka Islam sangat menuntut umatnya mencari, mengembang dan menguasai ilmu pengetahuan. Syariat didefiniksan merujuk kepada segala apa yang dijelaskan oleh Allah kepada hamba hambaNya yang terdiri dari aqidah, ibadah, akhlak, muamalah dan sistem sistem hidup, serta cabang cabangnya yang pelbagai untuk mengatur hubungan manusia dengan Tuhan mereka danhubungan sesama mereka bagi mencapai kebahagian hidup di dunia dan akhirat. Manakala, perkataan sains datang daripada bahasa Latin, scinetia, yang bermaksud mendapatkan ilmu atau maklumat. Dan seperti proses mendapatkan maklumat yang lain, sains bermula dengan pengalaman, dan kemudiannyamendapatkan fakta dan peraturan daripadanya. Teknologi pula berasal dari segi bahasa, iaitu Techne dari bahasa Yunani yang bermaksud seni atau kerja tangan. Logos yang bermaksud wacana atau kata - kata sistematik. Ia juga merujuk kepada ilmu yang bersifat praktikal, berbeza dengan sains yang bersifat teoretikal. Dari segi istilah, teknologi bermaksud ilmu pengetahuan dan tindakan yang bersistem dan biasanya dikaitkan dengan proses industri. Sebagai contoh, kegiatan berkaitan dengan proses kejuruteraan. 

ISU PERBINCANGAN
Merujuk pencapaian tokoh tokoh terdahulu, Sejarah telah membuktikan bahawa suatu masa dahulu, umat Islam adalah umat yang sangat dihormati kerana ilmu pengetahuan yang mereka miliki. Nama-nama seperti Ibn Sina, Ibn Rush, Al Khawarizmi, Al Biruni adalah di antara tokoh-tokoh yang tidak asing lagi samada di dunia Timur ataupun Barat. Penghormatan yang diterima ini adalah melalui pencapaian mereka di bidang sains dan teknologi serta pegangan yang kukuh terhadap Al Quran dan Hadis. 

Sumbangan Sarjana Islam
Tokoh Islam Sumbangan
Ibn Sina (370 – 480H / 980 – 1037M)
- Nama sebenar adalah Abu Ali Hussain bin Abdullah bin Sina. 
- Dilahirkan di Afshina berhampiran Bandar Bukhara. 
- Di Barat dikenali dengan namaAvicenna. 
- Diikenali dengan nama tokoh perubatan agung dalam dunia Islam dan juga di Barat dikenali sebagai ‘al-Sheikh al-Rais’ atau ‘Prince of Physicians’. • Tokoh perubatan Islam yang agung. 
• Karyanya yang terkenal adalah Qanun fi al-Tibb (Canon of Medicine). 
• Qanun fi al-Tibb mengandungi 5 buku dan merupakan enskiopedia perubatan. 
• Sumbangannya adalah menganalisa pelbagai jenis penyakitdan telah menjadi doktor kepada beberapa khalifah al-Gurgan, Hamadan dan Isfahan. 
• Juga orang pertama yang menemui ubat bius. 
• Juga turut menyumbangkan kepada bidang mekanikal. 
Al-Battani (858 – 929M)
- Nama sebenarnya adalah Muhammad ibn Jarir Sinan Abu Abdullah al-Battani dan dilahirkan di Battan. 
- Di Barat dikenali dengan namaAlbategannius. 
 • Tokoh matematik dan astronomi. 
• Beliau memperkenalkan teorem tangent, kotangen, sinus dan kosinus serta menghasilkan sifir kotangen. 
• Karya beliau adalah Kitab al-Zij iaitu menerangkan tulisan kritis yang membetulkan pelbagai kesilapan dalam takwim pada masa itu. 
• Karyanya yang lain adalah Kitab al-Ma’rifat Matali al-Buruj fi Ma Baina Arba’ al-Falak, Risalah fi Miqdar, Tahqiq al-Ittisalat dan lain-lain. 
• Sumbangan beliau adalah dalam bidang trigonometri iaitu mengemukakan kaedah pengiraan astronomi secara trigonometri. 
• Sumbangan beliau adalah memulakan pencerapan terhadap bintang sejak tahun 264H sehingga tahun 306H. 
• Kejayaannya beliau berjaya dalam menyiapkan jadual gerhana matahari. 
Jabir Ibn Hayyan (750 – 803M)
- Di Bar dikenali dengan namaGeber. 
- Dianggap sebagai ‘Bapa Kimia Arab’ dilahirkan di Kufah. 
 • Tokoh Kimia Islam. 
• Teori kimia beliau adalah logam seperti timah, timah hitam, besi dan suasa (gangsa) boleh bertukar menjadi emas dan perak melalui proses menggunakan bahan-bahan Kimia seperti cinnaban (sulphide of mercury), arsenik oksid dan sebagainya. 
• Antara karyanya adalah Kitab Ustuqus al ‘As al-Awwal ila al-Baramikah, Kitab Tafsir al-Ustiqus al-Wahid al-Kabir, Kitab al-Rukndan lain-lain. 
• Sumbangannya adalah pengasas kepada kaedah penghabluran, penyulingan, pemejalwapan dan penyejatan. 
• Sumbangan lain mencipta peralatan bagi kardah-kaedah ini dan memperkenalkan istilah kimia dan digunakan di Eropah iaitu alkali, antimoni, alembik (anbique), dan alchemy. 

Islam yang telah diturunkan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala . kepada baginda junjungan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam . adalah lengkap dan sempurna serta sesuai dengan fitrah kejadian manusia. Sementara kejadian manusia yang serba indah ini pula dihiasi dengan anugerah akal oleh Allah kepada manusia untuk berfikir. Akal bukan sahaja dapat digunakan untuk kepentingan mencari ilmu tetapi juga untuk melihat kebenaran. Dengan sebab itulah Islam sangat menggalakkan umatnya untuk menggunakan akal demi untuk mencari kebenaran. 

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala : “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaanlangit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan Ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, Maka peliharalah kami dari siksa neraka. QS. Ali-Imran: 190-191)

Huraian Berkenaan Hubungan Antara Syariat dan Sains dan Teknologi
Islam telah menetapkan bahawa setiap perkara itu adalah tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh Al Quran dan Sunnah Nabinya, dan tidak terkecuali juga ilmu sains dan teknologi. Oleh itu ilmu sains dan teknologi yang diterima oleh Islam adalah ilmu yang dipimpindan disuluh oleh Nur Ilahi, kerana hanya dengan itu ilmu tersebut tidak akan bersifat menindas dan menganiaya makhluk lain. Hubungan antara syariat dan sains dan teknologi dapat dilihat melalui Al Quran itu sendiri. Sebenarnya, di dalam Al Quran itu sendiri sudah terkandung ilmu sains dan teknologi yang hanya menunggu untuk dikaji dan dikembangkan oleh mereka yang memahami dan mengamalkannya. Setiap ayat yang terkandung di dalamnya mempunyai maksud dan makna yang tertentu yang perlu digali, diteliti dan direnungi, sebab Al Quran adalah sumber ilmu pengetahuan yang terbesar dan terpenting. Jika tidak mutiara Al Quran itu tidak akan menyerlah dan memancarkan cahayanya untuk menyinari kehidupan umat manusia. Berdasarkan kepada hakikat inilah maka umat Islam perlu mengambil manfaat daripadanya dengan menggunakan akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah untuk menjalankan pengkajian yang bersifat empirikal dan saintifik. Sekiranya ini dapat dilaksanakan, maka tidak syak lagi zaman kegemilangan Islam dapat dikembalikan dan Islam sekali akan menjadi sumber inspirasi kepada kemajuan tamadun dan kekuatan ummah. 

Ciri ciri Sains Islam

Ciri Keagamaan
1. Menerima wahyu sebagai sumber ilmu. 
 i. Kajian sains dalam Islam bersumberkan wahyu dan akal. 
 ii. Merujuk kepada ayat al-Quran dan As-Sunnah sebagai satu sumber untuk menrangkan tentang alam tabi’i dan sifat-sifatnya. 
 iii. Kaedah penyelidikan melalui ilmu saintifik. (al-Quran dan Hadith)
2. Sains bersifat Rabbani
 i. Adanya peranan Allah dalam kewujudan dan proses alam dan konsep kausaliti (sebab dan musabab)
 ii. Dikaitkan dengan prinsip-prinsip dan hukum Islam. 
 iii. Tujuan terakhir keputusan sains adalah untuk mencari pembuktian kebenaran Allah Subhanahu wa ta’ala. 
3. Sains sebagai cara untuk mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. 
 i. Penyelidikan mengandungi nilai ibadah. 
 ii. Mengkaji, memerhati dan mencerap segala ciptaan Allah adalah sebagai ibadah kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. 
 iii. Menelti dan mengkaji kebesaran ciptaan Allah salah satu wasilah pengabdian diri kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. 

Ciri Saintifik i. Sains Islam menggunakan kaedah emperikal yang diperkenalkan oleh Islam sejak abad ke-7 Masihi lagi. 
 ii. Adanya formula dan alat-alatan yang berbentuk klinikal. 
 iii. Menggunakan kaedah sintesis ke atas sumber-sumber tamadun yang terdahulu. 
 iv. Bentuknya sejagat yang melibatkan pelnagai bangsa, agama, bahasa, tamadun, wilayah, zaman dan sebagainya. 

Ciri Universal i. Sains Islam bersifat universal atau sejagat kerana bukan sahaja dihasilkan oleh Muslimtetapi juga non-Muslim. 
Ciri Sepadu i. Tidak memisahkan cabang-cabang ilmu. 
 ii. Tanggungjawab fardu ain dan fardu kifayah yang bersepadu. 
 iii. Kajian yang bersifat menyeluruh. 
 iv. Kajian alam fizik tidak terpisah dengan metafizik. 
 v. Tidak terpisah daripada kepercayaan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala kerana keimanan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala dijadikan sebagai asas kajian. 
Ciri Harmoni i. Tidak terdapat percanggahan antara sains dan agama. 
 ii. Kajian yang dijalankan menuju kepada matlamat yang sama iaitu pengabdian diri kepada Allah Subhanahu wa ta’ala . 

Sains dan teknologi berperanan untuk membantu manusia mengenali Allah sebagai pencipta alam. Ayat al-Quran banyak menyebut dan menggalakkan kita manusia untuk berfikir, menyelidik dan mengkaji. Penyelidikan Islam adalah berasaskan kepada wahyu Allah membawa setiap kajian ke arah satu kepuasan yang telah ditentukan iaitu dengan menunjukkan tanda-tanda kekuasaan Allah yang menjadikan segalanya. Kewujudan alam ini adalah sebagai tanda kewujudan dan kebesaran pencipta. 
Firman Allah Subhanahu wa ta’ala dalam Surah ‘Ali ‘imran yang bermaksud:
“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal”. (Surah ‘Ali ‘Imran : 190)

Islam menetapkan sebarang perkara yang melibatkan kajian sains hendaklah berada dalam kerangka dan panduan syariat bagi tujuan kebaikan manusia dan keredhaan Ilahi. Dapatan sains Islam menjadikan saintis lebih dekat kepada Allah Subhanahu wa ta’ala, sebaliknya dapatan sains Barat lebih menjadikan manusia bongkak dan jauh daripada Allah Subhanahu wa ta’ala. Teknologi Islam lebih mendidik hati dan fikiran manusia tentang keagungan Allah Subhanahu wa ta’ala melalui kecanggihan ciptaan manusia, Sementera teknologi dan kejuruteraan Barat sekadar untuk menunjukkan kehebatan daya fikir manusia untuk kepentingan diri. Selain itu, membantu manusia supaya bertafakkur. Penyelidikan sains teknologi dalam Islam akan membawa seseorang kepada sifat-sifat tafakkur dan memberi kesedaran kepada manusia melalui penggunaan akal. Penyelidikan sains melalui wahyu-wahyu membawa kepada penerimaan kebesaran Allah Subhanahu wa ta’ala seperti yang dijelaskan dalam Al-Quran surah Al-Baqarah iaitu :

Maksudnya : “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera yang belayar di laut membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang Allah turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering)-nya dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan, dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; sungguh terdapat tanda-tanda (keesaan dan kebesaran Allah) bagi kaum yang memikirkan” (Surah Al-Baqarah : 164)

Seterusnya, sains dan teknologi ini berperanan untuk membantu pelaksanaan Syariat. Kajian sains dan teknologi dalam Islam adalah didorong oleh kepentingan dalam pelaksanaan syariat Islam. Pelaksanaan syariat akan berjalan lancar jika sekiranya masyarakat Islam membangunkan peraturan perhubungan antara mereka. Kepentingan untuk mengatur beberapa hubungan ini boleh dilihat kepada hubungan manusia dengan Allah Subhanahu wa ta’ala, hubungan manusia sesama manusia serta hubungan manusia dengan alam. 

Di samping itu, bidang ini adalah untuk manusia mampu menentukan dan membuat ramalan akan sesuatu perkara. Ia menentukan tarikh dengan melakukan pencerapan iaitu mencerap bulan akan dapat memberi ketentuan contohnya dalam tarikh awal puasa, tarikh awal bulan dan lain-lain. Manusia dapat menggunakan akalnya dengan pengetahuannya untuk meramal sesuatu perubahan cuaca. Akhir sekali, supaya manusia dapat berkarya dan berinovasi. Dengan mengkaji alam ini, manusia akan dapat menghasilkan sesuatu karya dan mencipta sesuatu hasil daripada kajiannya. Sains dengan maksud ilmu dalam sistem pendidikan Islam merangkumi bidang ilmu yang dinamakan sebagai sains transmisi dan sains intelek. 

Senibina yang Berasaskan Sains dan Teknologi Pada Zaman Dahulu
Institusi intelektual Islam sangat memainkan peranan penting dalam pembinaan dan dalam membangunkan tamadun Islam. Antaranya ialah Universiti dan institusi pendidikan. Wujudnya universiti-universiti di wilayah timur antaranya Univeristi al-Azhar, Universiti Granada di Andalus, Univerisiti Cordova dan Universiti Seville. Selain itu, perpustakaan. Wujudnya Baitul Hikmah yang didirikan oleh Khalifah Harun Ar-Rsyid di Baghdad. Sumbangannya berjaya melahirkan golongan penterjemah yang mahir, menjadi agen penukaran budaya dan pemindahan teknologi, menerbitkan bahan penterjemahan yang berkualiti dan berjaya menhghidupkan budaya ilmu. Menghimpunkan penterjemah dari pelbagai bangsa. Sterusnya, hospital yang berperanan sebagai pusat pengajian, penyelidikan perubatan, rawatan pusat latihan kejururawatan dan kedoktoran. Ia berjaya mempelbagaikan kaedah rawatan terutama dalam spiritual, pencegahan, aromaterapi dan mengeluarkan penyakit dan juga memperkenalkan etika dalam profesion kedoktoran dan pusat pengajian perubatan yang lebih teratur. 

Seterusnya, Balai Cerap yang berperanan sebagai pusat penyelidikan, pusat latihan pembelajaran astronomi dan pusat pengumpulan data. Balai ini berjaya menggabungkan pelbagai disiplin ilmu dan pengkajian astronomi seperti matematik, trigonometri dan algebra. Ia dapat menghubungkan manusia dengan Penciptanya, membuat pembetulan data-data yang kurang tepat dalam tamadun silam, mewujudkan kecenderungan mengkaji alam secara rasional dan emprikal serta menekankan kaedah penggunaan instrument dan cerapan untuk mengisahkan teori

Teknologi dan tamadun terutama sekali tamadun barat sering disatukan dan seakan-akan tidak boleh dipisahkan lagi. Ini menimbulkan suatu kekeliruan di dalam pemikiran umat Islam tentang soal teknologi dan Islam. Jika teknologi bererti tamadun dan nilai-nilai barat ataupun tamadun barat berserta nilai-nilainyalah yang menghasilkan teknologi maka, bolehkah umat Islam menerima dan mengambil teknologi? Ini mengakibatkan umat Islam berpecah kepada dua kumpulan iaitu, kumpulan pertama yang berpendapat bahawa umat Islam perlu maju dan mengikut arus perubahan maka, kita perlu berteknologi dan sekaligus memeluk cara hidup barat berserta idea-ideanya dan idea-idea barat tidak bertentangan dengan Islam. Kumpulan yang kedua pula berpendapat bahawa idea-idea barat memang bertentangan dengan Islam, oleh kerana itu segala apa yang datangnya daripada barat adalah salah dan bid’ah termasuk teknologinya. 

Jika kita mendalami persoalan ini, kita akan melihat bahawa kedua-dua pendapat ini adalah bertentangan dengan realiti yang sebenarnya. Ini ialah kerana teknologi dan tamadun/ nilai-nilai barat bukanlah dua perkara dalam satu yang tidak boleh diasingkan lagi malah, kedua-duanya merupakan perkara yang berasingan. Teknologi merupakan ciptaan barang-barang material dan fizikal yang tidak boleh dikaitkan dengan sesuatu tamadun, dalam kata lain ianya adalah madaniyyah (bahan material civilization) yang bersifat universal contohnya alat-alat dapur seperti gas cooker, microwave ataupun alat-alat komputer, televisyen, mesin jenerator dan alat-alat perang seperti kereta kebal, roket dan sebagainya. Semua alat-alat tersebut adalah ciptaan fizikal yang tidak terikat kepada mana-mana tamadun. Ini jelas sekali kerana tiada sesiapapun yang boleh mengaku bahawa sebuah microwave adalah terikat kepada tamadun barat atau menjadi lambang cara hidup barat. Ini berbeza dengan alat-alat materi seperti lambang salib yang sememangnya terikat kepada idea Kristianiti ataupun patung-patung yang terikat kepada kebebasan menunjuk aurat seperti patung-patung ukiran zaman renaissance. 

Umat Islam perlu membezakan di antara teknologi (madaniyyah) yang dicipta oleh ahli sains dan teknologi barat dengan tamadun barat itu sendiri. Ini ialah kerana tamadun barat bukan sekadar pencapaian teknologi dan ciptaan alat-alat materi tetapi tamadun (hadarah) barat bererti nilai-nilai atau idea-idea yang datangnya dari pemikiran, cara hidup dan ideologi barat, kapitalisme. Maka, idea-idea seperti demokrasi (iaitu manusialah yang berhak mencipta hukuman), women’s liberation dan freedom semuanya berasal dari tamadun/ hadarah barat yang bertentangan dengan Islam dan nilai-nilai Islam. Jika perbezaan ini tidak difahami oleh umat Islam, maka ianya akan membawa kesan buruk terhadap kehidupan umat Islam malah, seluruh manusia yang menganuti hadarah barat sebagaimana yang kita perhatikan di negara-negara barat itu sendiri. 

Teknologi perlu difahami sebagai bahan-bahan material yang bersifat universal dan boleh dicipta dan digunakan oleh sesiapa sahaja sama ada Islam atau kafir tetapi apa yang penting ialah tujuan kegunaannya dan tujuan penciptaannya yang ditentukan oleh idea-idea yang dipegang oleh sesebuah masyarakat. Sebagai contoh, komputer merupakan alat teknologi yang tidak ada baik atau buruknya dan tidak terikat kepada mana-mana tamadun tetapi ianya boleh digunakan untuk perkara-perkara sumbang seperti ponorgraphy akibat daripada idea barat seperti ‘freedom’ dan keghairahan nafsu sebaliknya komputer boleh pula digunakan untuk jalan berda’wah dan menyampaikan risalah Islam. Contoh lainnya seperti kegunaan teknologi dalam perang, alat-alat perang boleh digunakan untuk membunuh rakyat sesebuah negara mengikut idea-idea koloniasasi atau nasionalisme hinggakan kita lihat bagaimana umat Islam berperang sesama sendiri ataupun ianya boleh digunakan dalam berjihad iaitu berperang untuk menegakkan Islam sebagaimana yang disarankan di dalam Al Qur’an di dalam surah 8:60

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya. ” (An Anfal:60)

Di dalam Islam, memang tidak ada kekeliruan tentang kedudukan teknologi atau ciptaan barang-barang material. Ini dapat kita saksikan sendiri di zaman Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan khilafah Islam setelah zaman baginda. Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam pernah mengambil teknologi perang Persia semasa Perang Khandak di mana beliau berserta sahabah menggali parit mengelilingi kota Medina sebagai benteng pertahanan. Kita juga melihat ciptaan meriam pertama di zaman Khalifah Muhammad Al Fatih sewaktu penaklukan kota Constantinople. Malah Sains dan Teknologi merupakan bidang yang amat maju di zaman Khilafah Islam. AlQur’an banyak menyarankan supaya umat Islam bergiat menggunakan segala ciptaan Allah Subhanahu wa ta’ala untuk kegunaan mereka di dalam kehidupan seharian. Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman

"Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? " (Luqman:20)

"Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintahNya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya)". (Ibrahim: 32)

Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?" Katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui. (Al- A'raaf:32)

Ini sekaligus membantah pendapat sesetengah orang yang menyangkakan bahawa Islam itu ‘kuno’ dan tamadun Islam serta cara hidup Islam bererti tamadun unta. Walaubagaimanapun ianya amat penting bagi umat Islam supaya memahami bahawa kegunaan alat-alat teknologi tersebut adalah tertakluk kepada Syariah dan hukum Islam. Tujuan ciptaan dan kegunaan alat-alat material mestilah berasal dan mengikut hadarah (idea-idea) Islam dan objektif Islam. Ini ialah kerana Islam mempunyai idea-idea tersendiri yang bertentangan dengan hadarah barat. Ini juga memberi erti bahawa ukuran sesebuah negara maju bukanlah tertakluk kepada pencapaian teknologinya. Sebagai contoh, kita boleh katakan bahawa Iraq merupakan sebuah negara berteknologi hinggakan mampu mencipta ‘biological weapon’ tetapi ianya bukan sebuah negara maju sama dengan negara-negara Muslim yang lain seperti Pakistan, Malaysia dan Saudi Arabia. Kita juga tidak boleh membuat kesimpulan bahawa disebabkan teknologi berasal daripada negara-negara barat, maka kita perlu meniru cara hidup barat dan ideologinya untuk menjadi sebuah negara yang berteknologi. Kita perlu mengingati sejarah bahawa negara Khilafah Islam merupakan negara yang termaju malah merupakan sebuah ‘superpower’ semenjak zaman Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam hinggakan zaman Khilafah Uthmaniyyah di Turki. Oleh itu, umat Islam tidak boleh lagi memegang kepada prinsip bahawa teknologi serta tamadun barat adalah merupakan suatu pakatan hinggakan umat Islam perlu meniru tamadun barat untuk mencapai kemajuan. Tamadun apa sekalipun sama ada barat ataupun timur yang bertentangan dengan hadarah Islam perlu dihapuskan dari pemikiran dan hati umat Islam. Sebaliknya kita perlu kembali kepada hadarah Islam di dalam pemikiran, perbuatan, perasaan serta struktur masyarakat kita. 

Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (Al- Imran:85). 

CADANGAN / KESIMPULAN

Cadangan saya tentang tugasan saya ini ialah tentang cadangan untuk menaiktarafkan kedudukan sains dan teknologi dalam Islam di mata dunia. Antaranya ialah, memberi garis panduan kepada saintis. Bagi menjadikan peranan agamawan lebih bersifat proaktif, dialog yang berterusan perlu diadakan bagi mengenal pasti peluang dan cabaran yang dibawa oleh perkembangan dalam dunia sains dan teknologi ini. Namun, perkara yang kerap berlaku ialah agamawan mengambil sikap reaktif terhadap satu-satu isu yang timbul. Hal ini berlaku kerana tidak berlaku atau kurangnya dialog antara agamawan dan saintis kerana pengasingan yang berlaku antara bidang-bidang agama dan sains. Hal ini juga berlaku kerana pandangan sesetengah pihak yang melihat bahawa tidak ada garis panduan agama dalam konteks pembangunan sains. Selain itu, Peranan sebagai komunikator sains di sini bukan bermakna menyampaikan maklumat saintifik atau teknikal, tetapi lebih kepada penyampaian mengenai aspek hukum-hakam sesuatu penemuan sains dan aplikasi teknologi dalam masyarakat. Kepercayaan yang tinggi yang diberikan oleh ahli masyarakat di Malaysia terhadap golongan agama sebenarnya tidak mengejutkan. Ini kerana dalam berhadapan dengan perkara-perkara yang bersifat ijtihadi seperti pelbagai cabang sains dan teknologi, panduan yang diberikan oleh golongan agama amat diharapkan oleh ahli masyarakat dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan yang terbaik. 

Sebagai kesimpulannya, daripada kajian ini dapat dirumuskan bahawa kewujudan sains dan teknologi maklumat sememangnya dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat dari segi pendidikan, ekonomi, hiburan, perubatan dan sebagainya. Seiring dengan itu, sains dan teknologi memberi impak yang positif dari segi meningkatkan kualiti hidup, menjalin dan mengeratkan hubungan antara manusia, melindungi manusia serta memajukan pendidikan. Manusia juga perlu terus berusaha untuk memajukan teknologi agar taraf hidup masyarakat semakin meningkat dan berkembang maju. 

Di samping itu, perkembangan sains dan teknologi menjadikan komunikasi dan perhubungan antara manusia mudah dan cepat. Penggunaan teknologi membolehkan pelbagai maklumat dan informasi dalam bentuk digital dan boleh disalurkan kepada media massa sepantas kilat. Ciptaan satelit serta alat teknologi seperti telefon bimbit, telefaks, internet dan sebagainya untuk tujuan hiburan dan perhubungan telah berjaya membatasi had masa dan tempat, sekali gusmenjimatkan masa, tenaga, dan kos pengguna secara berlipat ganda. Selain itu, hubungan antara manusia dapat dirapatkan walaupun mereka berkomunikasi dari jarak yang jauh. Dalam bidang penyiaran, kejadian dan acara-acara yang berlaku di negara-negara lain boleh ditonton secara langsung melalui satelit dengan berterusan. Hal ini meningkatkan tahap ilmu dan budaya sesuatu masyarakat sejajar dengan perkembangan teknologi. 

Justeru itu, sains dan teknologi adalah nadi pembangunan masyarakat dan negara untuk mempertingkatkan taraf hidup yang lebih sempurna. Perkembangan sains dan teknologi yang semakin canggih telah mengubah cara hidup manusia dan membantu negara untuk meningkatkan taraf hidup sesebuah masyarakat. 


BIBLIOGRAFI
1. Abu bakar Abdul Majid, Sarina Othman, 1998. Cabaran Teknologi Maklumat dan Internet: agenda Umat Islam. Kuala Lumpur : Institut Kefahaman Islam Malaysia
2. Norhashim Abu Samah, Mazenah Youp, Rose alinda Alias, 1996. Pengajaran Bantuan Komputer. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka
3. Ramli Mohamad. 1998. Teknologi dan Masyarakat; Satu Kaedah Pengembangan Melalui Komunikasi. Pulau Pinang : Universiti Sains Malaysia
4. Rose Alinda. 2000. Teknologi dan Sistem Maklumat. [S. I]. Mc Graw Hill (Malaysia)
5. Rusli Haji Abdullah, Noraini Che Pa, Noorsalwati Nordin. 2003. Teknologi Maklumat dan Penggunaannya. Petaling Jaya : Prentice Hall


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment