Wednesday, October 14, 2015

Tajuk: Interaksi Antara Islam Dengan Hindu- Kesan Positif Dan Negatif

PENDAHULUAN
Agama Hindu
Agama Hindu telah muncul sejak tahun 3102-1300 s. m menjadikannya sebagai agama yang tertua di dunia. Ianya bermula di lembah Indus iaitu penempatan bagi bangsa Arya dan telah dimulakan oleh bangsa Arya sendiri. Bangsa Arya yang selepas itu masuk ke India telah membawa masyarakat India ke dimensi yang baru dari segi tata kehidupan setelah mengalami pertembungan budaya dengan bahasa Dravida. 

Bangsa Arya telah menulis karangan-karangan mereka sendiri yang dikenali sebagai kitab suci Veda. Kitab suci ini mempunyai 4 bahagian iaitu Reg Veda, Sama Veda, Yayur Veda dan Atharva Veda. Terdapat juga kitab seperti Brahmana dan Upanisad yang menggambarkan peradaban dan kehidupan bangsa Hindu menjadikan 3 kitab ini sebagai dasar pemikiran orang- orang Hindu. 

Masyarakat Hindu mengamalkan sistem kasta iaitu sistem golongan yang terbahagi kepada 4 kasta antaranya Kasta Brahmana (Golongan Keagamaan), Kasta Ksatria (Golongan Pemerintahan), Kasta Waisya (Golongan Pertanian dan Perdagangan) dan Kasta Sudra (Golongan Buruh Kasar). Peringkat tertinggi ialah Kasta Ksatria di mana mereka mendapat sanjungan dan layanan yang tinggi dalam masyarakat dan Kasta Sudra adalah golongan yang paling rendah darjatnya serta tidak mendapat hak dalam masyarakat. 

Umat Hindu mengamalkan politiesme iaitu kepercayaan terhadap pelbagai tuhan tetapi pada dasarnya mempercayai hanya satu sahaja tuhan yang agung Dewa Brahman iaitu Dewa Pencipta. 2 lagi dewa disamping Dewa Brahman iaitu Dewa Visnu (Dewa Pelindung) dan Dewa Siva (Dewa Pemusnah). Ketiga-tiga dewa ini digelar Tri Murti (Maha Kuasa). Terdapat banyak lagi dewa-dewa yang lain dan kesemuanya dijelmakan dalam pelbagai jenis patung yang disesuaikan dengan peranan setiap dewa untuk tujuan pemujaan. 

Selain melakukan ritual keagamaan di kuil dan candi, umat Hindu juga sering terbiasa menziarah tempat bersemayam para dewa yang di anggap tempat suci untuk memohon keselamatan dan kesejahteraan mereka. Antara tempat-tempat suci adalah Kota Benares (tempat bersemayam Dewa Siva) dan Sungai Gangga yang dikatakan airnya dapat menyucikan segala bentuk dosa. 

Umat Hindu juga mempercayai Karma, peringkat-peringkat kehidupan manusia dan peringkat tertinggi ialah Moksha. Peringkat Moksha ialah peringkat manusia bersatu dengan tuhan, hidup di sisi tuhan dan tidak akan pulang semula ke dunia. Setiap umat Hindu yang tidak mencapai peringkat ini akan dihidupkan semula ke dunia berulang kali sehinggalah mereka mencapai peringkat ini. 

Agama Islam
Agama Islam bermula pada tahun 611 m. s saat malaikat Jibrail hadir dan menyampaikan wahyu yang pertama iaitu surahh Al-Alaq kepada rasul yang terakhir iaitu Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam di Gua Hira’, Makkah yang ketika itu kehidupan penduduknya tersangatlah jahil dan melakukan pelbagai kejahatan. Allah mengutuskan nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam untuk membetulkan semula tatacara kehidupan masyarakat bukan sahaja di Makkah bahkan di seluruh dunia. 

Kehidupan umat Islam adalah berlandaskan dua prinsip asas iaitu Rukun Islam (perbuatan) dan Rukun Iman (akidah). Rukun Islam ialah rukun yang perlu dilakukan oleh umat Islam iaitu mengucap dua kalimah syahadah, solat 5 waktu sehari semalam, berpuasa di bulan Ramadhan, megeluarkan zakat fitrah dan mengerjakan haji bagi yang berkemampuan. Rukun Iman iaitu beriman kepada Allah, beriman kepada rasul, beriman kepada malaikat, beriman dengan kitab, beriman dengan hari akhirat dan beriman kepada qada’ dan qadar. 

Umat Islam berpandukan kepada al-Quran dan al-Hadis pada dasarnya untuk mencorak cara hidup dan menggubal sebarang bentuk peraturan. Sebarang bentuk tindakan yang membelakangi kedua-dua ini akan menyebabkan individu atau masyarakat terpaling dari ajaran Islam atau murtad

Umat Islam menggunakan masjid dan surau khususnya untuk beribadah kepada Allah tetapi fungsi masijd adalah terlalu luas iaitu ia juga boleh dijadikan pusat pemerintahan, pusat penyebaran ilmu atau madrasah dan juga pusat kebudayaan seperti yang dilakukan Rasulullah ketika zaman pemerintahannya. 

Ajaran Islam terpisah kepada 4 mazhab iaitu Mazhab Syafie, Mazhab Hambali, Mazhab Hanafi dan Mazhab Maliki. Mazhab Syafie mendominasi jajahan tanah Melayu, Mazhab Hambali di Semenanjung Arab, Mazhab Hanafi mempengaruhi Mesir, Turki dan sebahagian India manakala Mazhab Maliki pula mendominasi benua Afrika. Walaupun terpisah kepada 4 mazhab atau fahaman, kesemuaya masih memegang tunjang atau dasar yang sama iaitu Rukun Islam dan Rukun Iman. 

Dalam mengerjakan amalan-amalan wajib seharian, Islam juga sangat menggalakkan umatnya mengerjakan amalan-amalan sunat seperti berselawat, bertasbih, bertahmid supaya umatnya sentiasa dalam keadaan muhasabah diri serta dan menampung pahala-pahala ibadah wajib yang dilakukan. 

PENDAHULUAN

Interaksi antara Islam dengan Hindu telah wujud sejak zaman pemerintahan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam diikuti zaman Khulafak ar-Rasyidin dan seterusnya sehinggalah ke hari ini. Interaksi yang berlaku boleh terjadi daripada pelbagai cara atau method. 

Antaranya adalah melalui pengiktirafan kerajaan Islam oleh kerajaan Hindu. Kerajaan Hindu misalnya telah mengiktiraf kerajaan Bani Umaiyah melalui dua perutusan surat di zaman pemerintahan Muawiyah dan juga Umar Abdul Aziz. 

Seterusnya melalui hubungan perdagangan. Pedagang-pedagang Islam dari Arab serta India datang ke Tanah Melayu untuk berdagang dan hanya akan pulang setelah arah angin bertukar dalam tempoh 6 bulan dan pada masa ini, interaksi antara mereka dengan rakyat tempatan sangat menggalakkan dan saling bertukar budaya. 

Akhir sekali melalui bidang pengajian. Pada zaman kini juga, di Malaysia, hubungan antara pelajar Islam dengan pelajar Hindu sangat rapat kerana interaksi antara mereka yang telah dipupuk seawal sekolah rendah membuahkan toleransi dan rasa hormat-menghormati biarpun berlainan agama mahupun bangsa. 

KESAN-KESAN POSITIF

1. Sistem Pemerintahan

Kedatangan pedagang-pedagang Islam ke Tanah Melayu serta mempraktikkan ajaran Islam di sana telah membuka mata pemerintah kerajaan Hindu di sana untuk menerima Islam serta menukar sistem pemerintahan mereka kepada lebih Islamik dan berlandaskan al-Quran dan al-Hadis. Contohnya Parameswara telah menukar namanya menjadi Sultan Iskandar Shah setelah dia memeluk Islam serta menukar pentadbirannya kepada Sistem Pembesar Empat Lipatan. 

Hal yang sama juga berlaku apabila kerajaan-kerajaan Islam melebarkan jajahannya ke wilayah-wilayah Hindu di mana sistem pemerintahannya akan mengikut pentadbiran Islam tetapi mereka masih lagi dibenarkan untuk menetap dan mengamalkan ajaran Hindu serta berjawatan dalam kerajaan selagi mengikuti peraturan yang ditetapkan. Seperti contoh, Kerajaan Ghaznawi telah melantik Tilak, seorang jeneral beragama Hindu sebagai pemerintah wilayah Punjab. 

2. Seni Bina

Interaksi antara Islam dan Hindu juga memberikan dimensi baru terhadap bidang kesenian terutamanya seni bina. Ketika zaman pemerintahan Islam, banyak bangunan-bangunan menggunakan reka bentuk Islamik walaupun dimiliki oleh individu bukan Islam dan ciri-ciri yang paling ketara ialah meletakkan kubah pada bumbung sesuatu bangunan. Contohnya seperti Taj Mahal di India yang merupakan sebuah istana yang bercirikan Islam di bina oleh Shah Jahan sebagai hadiah kepada isterinya. 

Walau bagaimanapun, ada juga sesetengah binaan Islam yang menggunakan seni ataupun ciri-ciri Hinduism pada seni binaannya. Logiknya adalah supaya orang Islam lebih mudah untuk mendekati dan memahami golongan Hindu serta sebagai lambang persaudaraan dengan mereka. Orang Hindu juga tidak membantah dengan hal ini malahan ada di antara mereka yang turut sama membantu dalam mengukir atau memasukkan motif-motif Hindu pada sesuatu binaan tersebut. Antara binaan Islam yang menggunakan ciri Hinduism ialah Masjid India dan Masjid Kapitan Keling di Malaysia, Masjid Shahi Jama di India dan Menara Masjid Kudus di Indonesia yang turut mengaplikasikan ciri Buddha pada seni binaannya. 

3. Aktiviti Penterjemahan

Aktiviti penterjemahan telah menjadi antara salah satu kesan yang ketara akibat interaksi apabila karya-karya ilmiah mahupun bahan-bahan sejarah diterjemahkan dengan kerap oleh sarjana-sarjana daripada seluruh dunia. Aktiviti ini bermula pada dasarnya untuk bertukar pandangan dan pengenalan sosiobudaya antara sesuatu bangsa tetapi menjadi pesat setelah wujudnya kesedaran kepada pentingnya ilmu dalam kehidupan seharian. 

Aktiviti penterjemahan antara Islam dan Hindu turut berkembang pada zaman Khalifah al-Makmun dengan penubuhan Baitul Hikmah di mana sumber-sumber ilmu falak Hindu telah disalin semula, diterjemahkan dan disesuaikan dengan corak Islam begitu juga karya-karya Hindu yang bermotifkan kesusasteraan seperti Ramayana dan Purana telah diterjemah ke bahasa Urdu supaya dapat difahami oleh masyarakat Islam di India. Karya-karya Islam seperti al-Qanun fi-Tibb oleh Ibnu Sina dan juga Al-Quran telah diterjemah ke dalam bahasa Hindu bagi supaya mereka juga tidak ketinggalan dalam arus keilmuan serta menambahkan lagi penganut Islam di India. 

4. Pertambahan Bahasa dan Sistem Tulisan

Interaksi antara Islam dan Hindu telah menyebabkan munculnya bahasa-bahasa baru bagi memudahkan urusan antara kedua-dua belah pihak dari pelbagai aspek secara langsung mahupun tidak langsung. Misalnya di India, wujudnya bahasa Urdu yang merupakan campuran tatabahasa Prakrit dengan penbendaharaan kata Parsi, Arab dan juga Turki. Menarik tentang bahasa ini adalah ianya ditulis dengan skrip Arab tetapi diubah mewakili bunyi bukan Arab. Tujuannya supaya orang India lebih senang berkomunikasi dengan bangsa asing dan mengukuhkan ciri-ciri Islam di India. 

 lam Melayu juga memperlihatkan pertambahan bahasa dan sistem tulisan contohnya bahasa Melayu. Wujud daripada kerajaan-kerajaan Hindu di Nusantara yang diperhalus daripada bahasa di sekitar Nusantara tujuannya untuk memudahkan aktiviti perdagangan di Alam Melayu tetapi telah menjadi lingua franca ketika zaman kegemilangan kerajaan Melayu Melaka. Tulisan Jawi juga telah diperkenalkan ketika itu di mana ianya di olah daripada perkataan Arab dan telah di tambah kosa katanya untuk disesuaikan dengan bahasa Melayu. 

KESAN-KESAN NEGATIF

1. Persaingan Agama

Islam dan Hindu semasa zaman pra-British sangat menghormati antara satu sama lain serta hidup dalam harmoni. Namun, itu semua berakhir dengan berakirnya era British. Zaman pasca-kemerdekaan di India menampakkan betapa jahatnya ideologi yang disebarkan oleh British kepada rakyat sehingga mengakibatkan berlakunya diskriminasi agama oleh orang Hindu terhadap Muslim. Mereka merasakan yang orang Islam sangat berbahaya dan perlu di kawal atau di usir untuk menjaga kepentingan agama mereka bahkan sikap inilah yang mengakibatkan terjadi perbalahan antara mereka sehingga kini. 

Antara peristiwa perbalahan agama yang melibatkan Islam dan Hindu ialah peristiwa pergaduhan besar di Moradabad pada tahun 1980 di mana orang Hindu telah menyerang orang Islam ketika sedang mengerjakan solat Aidlifitri yang menyebabkan 3 ribu orang Islam terbunuh. Peristiwa yang paling besar dan dahsyat yang pernah berlaku di India ialah peristiwa rusuhan yang memusnahkan Masjid Babri dan mengorbankan 2000 penganut Islam yang didalangi oleh pemimpin politik Hindu dengan mengatakan bahawa tapak Masjid Babri itu kononnya adalah tapak kelahiran Sri Rama. 

2. Persaingan Politik

Perkembangan Islam di India turut memberikan ancaman politik kepada penganut Hindu. Umat Islam di India pada zaman awal pasca-kemerdekaan telah menuntut agar turut diberikan hak untuk bersuara dan memegang sebarang jawatan dalam pemerintahan. Namun begitu, kelompok Hindu yang majoriti tidak mengambil enteng terhadap tuntatan mereka malahan memperbesarkan isu-isu kecil yang boleh menyekat usaha mereka menubuhkan sebuah negara Hindu. 

Antara isu yang hangat diperkatakan ialah isu bahasa. Selepas merdeka, penganut Hindu meminta untuk menjadikan salah satu bahasa di India sebagai bahasa kebangsaan dan setelah di nilai, mereka telah memilih bahasa Hindi. Akan tetapi, peratusan penduduk yang bertutur dengan bahasa Hindi adalah lebih rendah dari yang bertutur bukan Hindi. Ini menyebabkan orang-orang Islam memperjuangkan bahasa Urdu sebagai bahasa kebangsaan hanya di wilayah minoriti di India tetapi di tentang oleh penganut Hindu kerana menurut mereka, hanya bahasa yang ditulis dalam skrip devanagari yang boleh dijadikan bahasa rasmi. 

Perbalahan antara Indian Nasional Congress dengan Muslim League juga memburukkan lagi situasi politik di India. Perjuangan kedua-dua parti ini tidak membawa sebarang kesan postif dalam pentadbiran dan pembangunan di India kerana kedua-duanya hanyalah boneka kepada kuasa asing semata-mata. 

3. Persaingan Sosial

Dari segi sosial, Muslim di India juga tidak mendapat layanan yang baik dari penganut Hindu. Penganut Hindu seboleh-bolehnya ingin mengelak daripada melakukan hubungan secara terus ataupun tidak dengan masyarakat Islam kerana bagi mereka, penduduk Muslim di India hanyalah ‘benalu’, pendatang atau penumpang yang tidak mungkin menyamai taraf dan darjat mereka dan mereka juga menganggap umat Islam adalah umat yang ganas dan tidak berperikemanusiaan. 

Sistem kasta yang diamalkan orang Hindu juga memburukkan situasi ini kerana setiap kali orang Hindu memeluk Islam, mereka akan memandang serong terhadap Islam. Peristiwa pengislaman golongan Harijan di Meenakshipuran adalah kerana mereka kecewa dengan sistem kasta yang memandang golongan ini sebagai ‘kaum hina’. Mereka memeluk Islam kerana menginginkan kesamarataan dalam kehidupan namun golongan Hindu tetap menyalahkan dan mencurigai umat Islam biarpun punca pengislaman ini adalah disebabkan amalan dan cara hidup masyarakat Hindu sendiri. 

Isu Bharti Borot yang memeluk Islam atas kerelaannya sendiri dan pernikahannya dengan Salim Shaik turut menimbulkan kontroversi di mana keluarga Bharti telah membuat laporan polis mengatakan anaknya telah di culik dan akhirnya mereka menyerah diri kepada pihak polis. Aktivitis Hindu telah membesarkan isu ini dengan mengatakannya sebagai ‘pemaksaan’ sehinggalah Bharti membakar dirinya sendiri ketika dalam tahanan polis akibat tertekan. 

KESIMPULAN/CADANGAN

Interaksi antara Islam dan Hindu dilihat lebih banyak memberikan kesan positif daripada kesan negatif. Ini kerana, kedua-dua agama ini lebih memerlukan antara satu sama lain dari pelbagai aspek kehidupan bagi mengecilkan jurang antara mereka biarpun perbezaan antara kedua-dua agama ini sungguh ketara. 

Sifat toleransi antara agama ini mampu melahirkan lebih banyak persamaan kerana pada dasarnya, kedua-dua agama ini mempunyai prinsip asas kehidupan yang sama iaitu kehidupan bertunjangkan agama dan mengaplikasikan tatacara kehidupan yang baik serta terpuji. 

Antara cadangan ataupun saranan yang boleh diberikan ialah dengan melakukan lebih banyak dialog antara penganut Islam dan Hindu bukan sahaja untuk menarik mereka masuk ke dalam agama yang syumul ini tetapi memberikan lebih banyak pengetahuan dan pemahaman terhadap kedua-dua agama seperti yang dilakukan oleh Ustaz Zakir Naik yang banyak melakukan siri dialog dengan bukan sahaja masyarakat Hindu bahkan seluruh warga dunia. 

Pendidikan di sekolah juga haurslah menerapkan unsur Islamik walaupun ketika mengajar bukan subjek agama Islam dan cadangan yang paling bernas ialah mewajibkan subjek Tasawwur Islam di kalangan pelajar bukan Muslim supaya mereka mendapat pendedahan umum tentang betapa bagusnya, sucinya, lengkapnya ajaran Islam. 


BIBLIOGRAFI

1. Annemarie Schimmel. (1980). Islam In The Indian Subcontinent. Leiden, The Netherlands: E. J. Brill. 
2. Pro Dr Ahmad Shalaby. (2001). Perbandingan Agama: Agama Islam. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd. 
3. Dr. Abdul Muta’al As Sa’idy. (2002). Apa Ertinya Saya Memeluk Islam?. Kuala Lumpur: Pustaka Syuhada. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment