Sunday, October 18, 2015

Tajuk: Sejarah Sains Dan Teknologi Seni Bina Di Dalamal-Quran

2.0 Pengenalan
Seni bina merupakan salah satu kegiatan seni yang digalakkan oleh agama Islam disebabkan sifat agama Islam yang menyukai sesuatu yang indah. Seni bina bermaksud bidang seni untuk mendirikan bangunan, reka bentuk, reka letak yang dibina oleh manusia. AlfredFrazer berpendapat, seni bina Islam merupakan gambaran dari sudut agama, dan tumpuannya ialah pada bangunan masjid, madrasah, istana, pasar dan rumah kediaman.

Seni atau ‘art’ pada asalnya didapati daripada perkataan Latin, yang difokuskan kepada kerja- kerja tangan atau ukiran. Dalam konteks senibina, ianya adalah seni membuat bangunan. ‘Seni’ mempunyai erti yang merangkumi konsep, rupa, bentuk, gerak, dan masa. Manakala perkataan ‘bina’ tidak khusus kepada rangka bangunan ataupun sesuatu bentuk fizikal tetapi meliputi tindakan dan juga konsep (Romzah 1994 : 2).

Senibina Islam menurut Yaa’cob Yusuf, merupakan gabungan konsep- konsep Tauhid, perundangan, dankemasyarakatan yang terdapat dalam kepercayaan dan ajaran Islam merupakan faktor penyatu yang mencantumkan berbagai bentuk bangunan dalam menghasilkan satu corak yang menggambarkan semangat kesatuan dalam kepelbagaian, keharmonian dan keseimbangan (Yaa’cob 1983 : 40).

Senibina merupakan seni par excellence yang berkaitan dengan pengaturan ruang, manakala senibina Islam dibangunkan bertujuan menempatkan manusia dihadapan Tuhan dengan cara memperlihatkan ruang yang dibentuk, diatur, dan disesuaikan dengan pelbagai teknik senibina (Nasr 1987 : 58). Menurut M. A. J. Beg, senibina bukan sahaja dilihat pada bentuk- bentuk bangunan dan tugu- tugu peringatan, malahan ia turut membayangkan tamadun yang dilahirkan (Romzah 1994 : 4).

Seyyed Hossein Nasr telah berpendapat bahawa, keutuhan senibina Islam bukan sahaja berhubungkait dengan kesatuan aspek kosmologi dan apa yang ada di sebalik alam dengan Kesatuan Prinsip Ketuhanan itu sendiri, malahan ia juga berhubungkait dengan kesatuan hidup individu dengan masyarakat yang diatur oleh hukum Ilahi ataupun al-Syari’ah (Nasr 1987 : 73). Menurut beliau lagi, prinsip- prinsip senibina Islam tidak ditemui dalam sumber- sumber penulisan pada zaman awal Islam bukan bermaksud ia tidak wujud, tetapi ia tidak perlu dijelaskan secara terperinci seperti hari ini.

Selain itu, seni tidak dapat memainkan suatu fungsi spiritual apabila ia tidak dihubungkan dengan bentuk dan kandungan wahyu Islam. Suatu karya seni dapat dikategorikan sebagai seni Islam bukan hanya kerana diciptakan oleh seorang Muslim, tetapi juga dilandasi oleh wahyu Ilahi (Nasr 1987 : 17).

Perkembagan tamadun Islam tidak dapat lari daripada keagungan seninya termasuklah seni ukiran, seni khat, seni bina dan sebagainya. Perkembangan seni bina Islam selari dengan pencapaian seni khat, ukir, sains dan teknologi serta seni lukis. Kesemuanya saling melengkapi antara satu sama lain dan akhirnya menghasilkan satu binaan yang dikagumi.

3.1 Seni Bina Menurut Al-Quran
Al- Qur’an banyak menjelaskan kepada kita tentang senibina. Penerangan dari wahyu Allah Subhanahu wa ta’ala telah dijadikan sumber rujukan bagi para sarjana. Antaranya ialah al-Qur’an telah memberitahu bahawa Allah Subhanahu wa ta’ala adalah Maha Mencipta, dan segala ciptaanNya adalah sempurna.Hal ini dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala dalam banyak surah, antaranya pada surah an- Naba’, ayat 12 dan 13 yang memberitahu kepada manusia bahawa Allah Subhanahu wa ta’ala telah membinakan tujuh langit yang kukuh di atas manusia:

(13) وَجَعَلْنَا سِرَاجاً وَهَّاجاً (12) وَبَنَيْنَا فَوْقَكُمْ سَبْعاً شِدَاداً

Antara ayat lain yang membicarakan tentang senibina adalah seperti dalam surah Qaf, ayat 6 tentang pembinaan (penciptaan) langit yang tidak retak walau sedikitpun:

أَفَلَمْ يَنظُرُواْ إِلَى السَّمَآءِ فَوْقَهُمْ كَيْفَ بَنَيْنَـهَا وَزَيَّنَّـهَا وَمَا لَهَا مِن فُرُوجٍ

Allah Subhanahu wa ta’ala juga telah menjelaskan bahawa rumah ibadat yang pertama didirikan ialah Ka’bah, penerangan ini terdapat dalam beberapa surah seperti pada ayat 96, surah Ali- Imran:

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِى بِبَكَّةَ مُبَارَكاً وَهُدًى لِّلْعَـلَمِينَ

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala dalam surah al-Isra’ ayat 1 turut memberitahu kepada manusia tentang binaan (rumah ibadat) yang diberkati Allah Subhanahu wa ta’ala adalah Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa’:

سُبْحَانَ الَّذِى أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الاْقْصَى الَّذِى بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ ءايَـتِنَآ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ

Allah Subhanahu wa ta’ala turut menceritakan peristiwa sejarah tentang kebinasaan negeri- negeri orang yang zalim dan keruntuhan bangunan- bangunan dan istana, kesan ini dapat dilihat sehingga kini. Peristiwa ini diceritakan dalam surah al-Hajj, ayat 45:

فَكَأَيِّن مِّن قَرْيَةٍ أَهْلَكْنَـهَا وَهِىَ ظَالِمَةٌ فَهِىَ خَاوِيَةٌ عَلَى عُرُوشِهَا وَبِئْرٍ مُّعَطَّلَةٍ وَقَصْرٍ مَّشِيدٍ

Allah Subhanahu wa ta’ala telah memberi ilham kepada Ashab al-Kahfi, supaya mendirikan bangunan (tempat ibadat) di atas gua, peristiwa ini telah diceritakan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala dalam surah al-Kahfi, ayat 21:

وَكَذلِكَ أَعْثَرْنَا عَلَيْهِمْ لِيَعْلَمُواْ أَنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ وَأَنَّ السَّاعَةَ لاَ رَيْبَ فِيهَا إِذْ يَتَنَـزَعُونَ بَيْنَهُمْ أَمْرَهُمْ فَقَالُواْ ابْنُواْ عَلَيْهِمْ بُنْيَـنًا رَّبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْ قَالَ الَّذِينَ غَلَبُواْ عَلَى أَمْرِهِمْ لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِمْ مَّسْجِدًا

Tujuan penciptaan piramid oleh kerajaan Firaun pada zaman nabi Musa a.s di Mesir turut dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala dalam surah al-Qasas, ayat 38:

وَقَالَ فِرْعَوْنُ يأَيُّهَا الْملأ مَا عَلِمْتُ لَكُمْ مِّنْ إِلَـهٍ غَيْرِى فَأَوْقِدْ لِى يَهَـمَـنُ عَلَى الطِّينِ فَاجْعَل لِّى صَرْحاً لَّعَلِّى أَطَّلِعُ إِلَى إِلَـهِ مُوسَى وَإِنِّى لأَظُنُّهُ مِنَ الْكَـذِبِينَ

Aspek pertahanan dalam senibina turut diterangkan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala secara terperinci. Allah Subhanahu wa ta’ala telah mengajar manusia tentang bagaimana membuat dinding pertahanan yang hebat, yang tidak mampu dimusnahkan oleh manusia, kecuali hanya kuasa Allah Subhanahu wa ta’ala sahaja yang boleh menghancurkannya dalam sekelip mata. Penjelasan itu terdapat pada ayat 94- 98, surah al-Kahfi:

قَالُواْ يذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِى الاٌّرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجاً عَلَى أَن تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا قَالَ مَا مَكَّنِّى فِيهِ رَبِّى خَيْرٌ فَأَعِينُونِى بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا ءَاتُونِى زُبَرَ الْحَدِيدِ حَتَّى إِذَا سَاوَى بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انفُخُواْ حَتَّى إِذَا جَعَلَهُ نَاراً

قَالَ آتُونِى أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْراً فَمَا اسْطَـعُواْ أَن يَظْهَرُوهُ وَمَا اسْتَطَـعُواْ لَهُ نَقْبًاقَالَ هَـذَا رَحْمَةٌ مِّن رَّبِّى

3.2 Sejarah Seni Bina Islam.
Pada tahun 630 M, tentera Islam menakluk kembali bandar Mekah dari kaum Quraisy. Perlindungan suci Kaabah telah dibina balik dan didedikasikan semula kepada Islam, pembinaan semula ini telah dijalankan sebelum kewafatan Nabi Muhammad pada tahun 632 M oleh seorang tukang kayu kapal Habsyah dalam gaya aslinya. Tempat suci ini dapat digunakan sebagai contoh yang paling awal gaya seni bina Islam walaupun tidak sama seperti gaya seni bina Islam hari ini. Dinding Kaabah dihiasi dengan lukisan Nabi Isa, Siti Maryam, Nabi Ibrahim, nabi-nabi lain, malaikat dan pokok-pokok. Doktrin Islam kemudiannya, bermula dari abad kelapan dengan bersumberkan Hadith, melarangkan penggunaan ikon dalam gaya seni bina, terutamanya ikon manusia dan haiwan. Hanya terdapat sebilangan kecil sahaja bangunan yang dibina dalam zaman Nabi Muhammad, sebagai contohnya ialah Masjid Juatha di Saudi Arabia. Kekhalifahan al-Rasyidin (632–661 M) merupakan pemerintah Islam yang pertama menggunakan seni bina Islam.

Kekhalifahan Umaiyah (661–750) menggabungkan unsur-unsur seni bina Byzantine dan Sassan, akan tetapi seni bina Umaiyah memperkenalkan gabungan-gabungan baharu gaya-gaya timur dan barat.Gernag berbentuk ladam muncul buat kali pertama dalam seni bina Umaiyah, dan kemudiannya berubah menjadi bentuk terhalusnya di al-Andalus. Seni bina Umaiyah dibezakan dengan penggunaan serta kepelbagaian hiasan, termasuk mozek, lukisan dinding, ukiran dan ukiran timbulan yang menggunakan motif-motif Islam. Orang Umaiyah memperkenalkan sebuah transept (sayap) yang membahagikan ruang solat pada paksi pendeknya. Mereka juga menambah mihrab ke dalam reka bentuk masjid. Masjid di Madinah yang dibina al-Walid I memiliki mihrab, sebuah ruang pada dinding yang menghadap ke kiblat, yang terlihat sebagai gambaran tempat di mana Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam berdiri semasa mengimamkan solat. Ciri ini hampir serta merta menjadi ciri buat semua masjid.

Pada abad ke-7, tentera Muslim memasuki dan menakluki wilayah yang luas. Setelah kaum Muslim telah mengambil kuasa suatu daerah, keperluan pertama mereka adalah tempat beribadah iaitu sebuah masjid. Susun atur sederhana merupakan unsur-unsur yang digabungkan dalam semua masjid, penganut Muslim awal membina bangunan sederhana berasaskan rumah Nabi atau mengadaptasikan bangunan-bangunan sedia ada, seperti gereja, untuk kegunaan mereka.

Seni bina dalam era pemerintahan Kekhalifahan Abbasiyah (750–1513 M) dipengaruhi kuat oleh seni bina Sassan, dan diikuti oleh seni bina Asia Tengah. Masjid-masjid Abbasiyah semuanya mengikut pelan yang mengandungi laman. Masjid terawal ialah masjid yang dibina oleh al-Mansur di Baghdad, yang kini sudah musnah.

Masjid Agung Samarra yang dibina al-Mutawakkil sebesar 256 by 139 meter mempunyai sebuah bumbung rata yang diperbuat daripada kayu dan disokong oleh tiang. Masjid juga dihiasi dengan panel marmar dan mozek kaca.Dewan solat di dalam Masjid Abu Dulaf di Samarra memiliki arked yang dibina di atas tembok batu bata yang terletak pada sudut tegak dinding kiblat. Kedua-dua masjid di Samarra mempunyai menara berpusar, dan masjid-masjid ini merupakan masjid yang mempunyai menara sedemikian di Iraq.Sebuah masjid Balkh (sekarang Afghanistan) mempunyai kawasan lebih kurang 20 x 20 meter persegi, dengan tiga barisan tiga ruang segi empat, yang menyokong sembilan kubah yang mempunyai ruang.

3.3 Pengaruh Dan Gaya Seni Bina Islam
Gaya seni bina Islam yang dapat dikenali kini berkembang tidak lama selepas kewafatan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam, yang dikembangkan dari model Rom, Mesir, Parsi/Sassanid dan Byzantine. Contoh awal boleh dikenal pasti dengan siapnya Kubah Batu (Qubbat al-Sakhrah) di Baitulmuqaddis. Ia mempunyai ruang kekubah dalaman, kubah bulat, dan penggunaan pola hiasan diolah dalam gaya berulang (arabesque).

Masjid Agung Samarra di Iraq yang siap dibina pada tahun 847 M, menggabungkan gaya seni bina hypostyle pada deretan tiang yang menyokong sebuah dasar datar yang di atasnya dbina sebuah menara berpilin besar

Hagia Sophia di Istanbul juga telah mempengaruhi gaya seni bina Islam. Ketika tentera Turki Uthmaniyyah menawan bandar itu dari Byzantine, mereka menukarkan gereja itu kepada sebuah Masjid (sekarang sebuah muzium) dan memasukkan unsur seni bina Byzantine ke dalam karya mereka sendiri (contohnya kubah). Hagia Sophia juga telah berkhidmat sebagai model untuk beberapa buah Masjid Turki Uthmaniyyah seperti Masjid Shehzade, Masjid Suleiman dan Masjid Rüstem Pasha.

Masjid Agung Kairouan (atau Masjid Uqbah) di Tunisia dianggap sebagai pelopor seni bina semua masjid di dalam alam Islam barat. Tiang marmar asalnya buatan Romawi yang dibawa masuk dari Carthage, dan unsur-unsur lain mengandungi bentuk-bentuk Romawi. Masjid ini merupakan satu daripada contoh utama masjid agung yang dipulihara, dibina dalam tahun 670 M, dan dalam bentuknya kini berasal dari zaman Aghlabiyah (abad ke-9 M). Masjid Uqbah dibina dengan sebuah menara segi empat besar, sebuah laman yang dikelilingi anjung serambi dan sebuah dewan solat besar yang dibina dengan gaya hypostyle. Masjid Agung Samarra di Iraq, yang selesai dibina dalam tahun 847 M, menggabungkan gaya hypostyle dengan barisan tiang yang menyokong tapak rata dengan binaan sebuah menara berpusar di atasnya.

3.4 Tujuan dan Keistimewaan Seni Islam
Seni boleh dibahagikan kepada dua tujuan iaitu seni untuk seni dan seni untuk masyarakat. Bagi seni untuk seni, seseorang itu dibolehkan mencipta unsur seni dengan apa-apa sahaja tujuan. Ia tidak mengambil kira sama ada tujuan itu untuk kebaikan ataupun sebaliknya. Manakala seni untuk masyarakat pula ialah seni yang dicipta itu mempunyai tujuan untuk sesebuah masyarakat. Maka seni itu haruslah difahami oleh mereka dan digunakan tujuan kemasyarakatan, politik dan akhlak.

Seni Islam bertujuan mengangkat martabat manusia ke tempat yang tinggi dan tidak terpisah daripada nilai-nilai kemanusiaan. Sebagai contoh seni selain Islam yang melibatkan penciptaan patung seperti patung yang berbentuk manusia dan binatang lalu bertujuan untuk disembah dapat menjatuhkan kemuliaan manusia itu sendiri. Sedangkan dalam seni Islam ia mengharamkan penciptaan sesuatu yang motifnya berbentuk manusia dan haiwan.

Seni Islam berupaya menanam rasa ketenangan dalam jiwa manusia kerana ia melahirkan satu perasaan yang khusyuk apabila seseorang itu menghayati karya hasil seni Islam. Sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr. Ismail Hamid:

“seni dalam Islam menanam rasa khusyuk kepada Allah di samping memberi ketenangan di jiwa manusia sebagai makhluk Allah yang diciptakan dengan fitrah yang gemar kepada kesenian.Oleh itu, seni dalam Islam tidak berslogan seni untuk seni tetapi sebagai seni kerana Allah untuk manusia.

Kesenian Islam menghubungkan manusia dengan tuhan, alam sekitar dan sesama manusia dan juga makhluk. Seperti yang diketahui, seni Barat telah terpisah dengan agama, ini bermakna tiada hubungan dengan Pencipta kerana mengamalkan dasar sekularisma.

3.5Ciri-Ciri Utama Seni Bina Islam
Terdapat beberapa jenis ciri-ciri utama seni bina Islam menurut I.H. Qureshi sepertimana yang telah ditulis oleh Mahayudin Haji Yahaya, iaitu; 

1. Ciri utama seni bina Islam ialah mempunyai ruang pengaliran udara dan cahaya yang baik untuk keselesaan mengerjakan ibadah di dalam masjid atau di rumah kediaman.Ciri ini dititikberatkan agar isi bangunan lebih terdedah kepada pancaran cahaya yang tidak terik mahupun tidak terlalu kurang sehingga menyebabkan ruang dalam sesebuah bangunan nampak muram. Dengan sistam pencahayaan yang baik dalam seni bina Islam, bangunan yang dibina kelihatan lebih cerah, hening, dan tenang. Pengaliran udara yang baik juga dapat membantu pengguna untuk melaksanakan ibadah dengan lebih khusyuk.

2. Seni bina Islam juga terdapat seni ukiran dan kaligrafi sebagai hiasan. Sebagai contoh, tulisan khat dapat dibuktikan melalui masjid cordova. al-maqqari dan beberapa orang penulis telah memberikan pendapat mereka tentang masjid cordova. Mereka semuanya terpesona dan menganggap masjid cordova mempunyai kecantikan yang begitu istimewa dan menakjubkan sehingga tidak dapat digambarkan dengan perkataan. Selain itu, seni ukiran dan hiasan yang berbentuk ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis dan kata-kata hikmat turut menghiasi dinding-dinding istana dan masjid. Sebagai contoh, di istana Alhambra iaitu di dinding masjid dipenuhi dengan hiasan ukiran yang berselang-seli dengan ayat-ayat menggunkan tulisan arab seperti al-Qudratu bi’llah, al-mulku li’llah dan La ghaliba illa’alah. Rekaan sesuatu banggunan juga mempunyai seni ukiran yang berunsurkan bugan-bungaan dan geometri untuk kelihatan lebih menarik.

3. Seni bina Islam juga mempunyai ruang bilik yang memisahkan antara lelaki dan wanita, ruangan khas atau bilik yang mempunyai fungsi tersendiri. Sebagai contoh, istana al-Hamra’ yang mempunyai beberapa bilik khas, dewan besar dan halaman yang dihiasi kolam air pancut dan taman, 128 batang tiang bulatdaripada marmar, ruang duta, ruang persalinan permaisuri, ruang persiraman diraja dll berfungsi untuk keselesaan dan keindahan. Ciri ini juga dititikberatkan untuk memelihara aurat wanita dan menjaga batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan.

4. Reka bentuk sesuatu bangunan hendaklah diambil kira dari segi faktor iklim dan keadaan sesuatu tempat. Hal ini kerana, rekaan banggunan yang sesuai dengan iklim dan keadaan sesuatu tempat dapat menimbulkan keselesaan kepada pengguna.

5. Reka bentuk sesuatu bangunan juga haruslah mengambil kira aspek keselamatan.Hal ini kerana untuk menimbulkan perasaan yang tenteram untuk pengguna dan sesuatu banggunan tersebut boleh digunakan untuk jangka masa yang panjang.

6. Ciri seni bina dalam Islam turut mementingkan kesederhanaan dalam pembinaannya. Hal ini kerana ajaran Islam sendiri yang menuntut umatnya untuk bersederhana dalam melakukan setiap perkara.

3.6Jenis-Jenis Seni Bina Islam
1. Salah satu jenis seni bina Islam ialah banggunan keagamaan atau “ imarah diniyah”. Kreativiti umat Islam dalam bidang ini telah berjaya memukau dunia dengan keindahan yang tiada tolok bandingnya. Antara contoh banggunan keagamaan seni bina Islam yang dapat ditatap sehingga hari ini ialah masjid. Sejarah telah membuktikan bahawa masjid adalah asas bermulanya seni bina. Sebagai contoh, Masjid Quba yang dibina pada zaman Rasalullah.

2. Banggunan ketenteraan atau “imarah harbiyah” seperti pembinaan benteng-benteng, kubu-kubu dan menara pertahanan juga merupakan salah satu jenis seni bina Islam. Sebagai contohnya ialah istana dimana kedudukan istana terletak di tengah-tengah pusat pentadbiran dan banggunan askar persendirian yang menjadi simbol kekuasaan, pemerintahan, kebanggaan dan keagungan.

3. Jenis seni bina Islam yang lain ialah banggunan awan atau “Imarah Madaniyah” dalam perbandaran seperti institusi pendidikan. Pendidiksn Islam pada peringkat awalnya memang dijalankan di masjid-masjid tetapi lama kelamaan madrasah dibangunkan dalam bentuk tersendiri sesuai dengan keadaan dan fungsinya.

3.7 Asas Permulaan Seni Bina Islam.
Berbicara tentang seni bina Islam, sejarah telah membuktikan bahawa masjid adalah asas bermulanya seni bina tersebut. Sebagai contoh, masjid pertama yang dibina Rasulullah s.a.w semasa berhijrah ke Madinah ialah masjid Quba’ bersama-sama kaum Muslimin di Quba’ di mana selepas Baginda berada disana selepas empat hari.

Seni bina masjid Quba’ adalah ringkas dan sederhana sesuai dengan ajaran Islam yang mengutamakan pembentukan akhlak, tanggungjawab beribadah dan perkara-perkara lain yang berkaitan. Masjid terawal ini didirikan di tempat lapang, mempunyai ruang sembahyang yang dilingkupi oleh tembok yang diperbuat daripada batang pohon tamar, berbentuk segi empat dengan keluasan kira-kira 50 meter persegi.Dindingnya pula setinggi 3.5 meter.Terdapat lindungan atau al-mizallah yang turut diperbuat dari batang tamar yang diikat dengan tanah liat di sebelah baratnya. Sembilan bilik yang menjadi tempat kediaman Nabi Muhammad s.a.w turut dibina di bahagian tenggara. Reka bentuk bumbung masjid ini diletakkan di bahagian tepi (serambi keliling) atau ruang riwaqs (cloister). Masjid ini beratapkan daun tamar yang disokong oleh sebilangan tiang yang diperbuat dari batang tamar dan batang tamar juga turut digunakan untuk mimbar.

3.8 Asas- asas Susun Atur Seni Bina Masjid.
Komponen setiap masjid-masjid yang didirikan adalah berbeza kerana ia bergantung kepada tujuan penggunaannya, sama ada perseorangan, berjemaah termasuk kepada solat Jumaat. Kaum wanita akan diasingkan dengan kaum lelaki dan diletakkan di sudut khas dengan memasang tirai atau dengan cara yang lain. Komponen asas di dalam seni bina masjid ialah:

1. Dewan berbumbung dan ruang terbuka untuk berjemaah. Lazimnya berbentuk segi empat dan keluasaannya mengikut nisbah keluasan ruang terbuka.Contohnya, terdapatmasjid yang berkubah besar atau bumbungnya ditutupi dengan lebih daripada satu kubah.

2. Mempunyai mihrab iaitu tempat imam mengetuai solat secara berjemaah. Bentuknya berbentuk separuh bulat yang dibina melengkung ke dalam dinding masjid dan ianya merupakan tempat penunjuk arah kiblat.

3. Mempunyai mimbar. Ia sentiasa diletakkan di sebelah kanan mihrab dan terdapat anak tangga untuk naik ke platform kecil yang mempunyai bumbung yang dihias dengan ukiran menarik. Mimbar mula digunakan di rumah Rasulullah s.a.w kerana pengikutnya yang makin bertambah dan agar memudahkan Baginda memberi ucapan dengan kedudukannya yang tinggi membolehkan pengikutnya mendengar dengan jelas apa yang diucapkan. Selepas itu, komponen ini menjadi sangat penting bagi sebuah masjid dan dijadikan tempat imam membaca khutbah jumaat.

4. Mempunyai menara.Tujuan dibina menara adalah memastikan laungan azan dapat didengari dalam jarak yang jauh selain sebagai mercu tanda sebuah masjid. Ia dibina tinggi bertujuan memanggil orang ramai untuk menunaikan solat berjemaah di masjid. Ia mula wujud selepas mendapat inspirasi dari menara api di Yunani sekaligus menjadikan salah satu komponen penting di dalam pembinaan masjid.

3.9FungsI-Fungsi Seni Bina Islam
Fungsi utama masjid adalah untuk berdoa dan beriktikaf di samping melakukan ibadat-ibadat yang lain seperti solat secara berjemaah, solat terawih dan sebagainya. Ia juga sebagai tempat untuk umat Islam berkumpul di mana umat Islam berhimpun untuk menunaikan ibadat sepertimana berkumpulnya umat Islam untuk menunaikan solat lima waktu dan juga solat Jumaat. Selain itu, masjid juga merupakan tempat penerimaan wahyu daripada Allah bagi Nabi Muhammad s.a.w yang disampaikan melalui Jibril. Masjid merupakan tempat menyampaikan segala maklumat yang berkaitan dengan urusan kemasyarakatan di mana ia dilihat sebagai tempat memberi dan menerima al-Din. Ia juga tidak terbatas pada aspek agama sahaja kerana aspek keduniaan juga disampaikan di sini. Fungsi masjid bertambah iaitu dengan perananya sebagai perpustakaan di mana perpustakaan ini mengumpulkan kitab-kitab agama dan buku-buku yang berkaitan dengan agama. Di zaman Rasulullah s.a.w juga, masjid dijadikan sebagai hospital untuk tempat merawat mangsa-mangsa yang cedera dalam peperangan dan tempat pengumpulan wang zakat atau baitul mal. Pada ketika itu juga masjid turut dijadikan tempat persidangan bagi perbahasan mengenai hukum-hukum dan juga keadilan serta turut menyelesaikan permasalahan kemasyarakatan dan negara. Sewaktu zaman sahabat, masjid dijadikan tempat untuk merancang taktik dan strategi peperangan. Ia juga dijadikan tempat untuk menyelesaikan permasalahan yang berkaitan dengan rumah tangga selain diadakan upacara pernikahan di situ. Fungsi- fungsi ini diteruskan sehingga kini. Jenazah yang telah meninggal dunia akan dibawa ke sini untuk disembahyangkan. Masjid turut dijadikan tempat penginapan bagi musafir selain menjadi pusat pembentukan dan pengembangan fikiran dan penghayatan Islam.

4.0 Kesimpulan
Tidak dapat dinafikan bahawa al-Qur’an menjadi sumber inspirasi kepada perkembangan seni bina Islam. Di dalam al-Qur’an terdapat banyak ayat yang menggambarkan seni bina sama ada berkenaan dengan tamadun manusia di dunia ini seperti kerajaan Iram, Ad, Thamud dan Firaun atau kehidupan mahligai di dalam syurga.

Perkembangan tamadun Islam tidak dapat lari daripada keagungan seninya termasuklah seni ukiran, seni khat, seni bina dan sebagainya. Perkembangan seni bina Islam selari dengan pencapaian seni khat, ukir, sains dan teknologi serta seni lukis. Kesemuanya saling melengkapi antara satu sama lain dan akhirnya menghasilkan satu binaan yang dikagumi.

 Di dalam al-Quran telah dijelaskan bahawa setiap tamadun yang dicapai oleh manusia hanya dapat diabadikan dan terkenal sehingga ke hari ini melalui kepakaran seni bina. Sebagai contoh, terdapat surah di dalam al-Qur’an yang menceritakan tentang tamadun kaum Ad, kaum Thamud, kerajaan Firaun (Surah al-Fajr : 6-10) yang kesemuanya terkenal dengan binaan yang gagah dan mengagumkan seperti piramid. Namun, oleh kerana mutu seni bina ini tidak diseimbangkan dengan pembangunan akidah, syarak dan akhlak, akhirnya ia menjadi punca kehancuran tamadun itu sendiri. Sebab itulah Islam menekankan kesepaduan dan keseimbangan pembangunan fizikal dengan pembangunan kerohanian.

Zaman pertengahan merupakan zaman perkembangan dan kegemilangan seni bina Islam yang merupakan gabungan unsur –unsur daripada bangsa Parsi, Roman, Turki, dan Byzantine yang meninggalkan kesan kegemilangan sebagai contoh bangunan-bangunan di Sepanyol dan India. Dua kawasan yang menjadi sebutan sehingga kini kerana meninggalkan kesan yang cukup membanggakan dalam aspek seni bina ialah Andalusia dan India.

5.0 Rujukan

  1. Ahmad FauziHj.Morad et.al (1997), Tamadun Islam. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.
  2. Mahayudin Hj. Yahaya (2001), Tamadun Islam, c.2. Selangor: Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd.
  3. Manja Mohd Ludiet.al (1995), Aspek- Aspek Kesenian Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka.
  4. Nash Rahman (ed.) (1998), Masjid; Sejarah, Cir- ciri Pembentukan dan Pembinaan Masjid- Masjid Dunia, Malaysia dan Kuala Lumpur., c.1. Kuala Lumpur: Puncak Awal (M) Sdn. Bhd.
  5. Abdul Halim Nasir (1995), Seni Bina Masjid di Dunia Melayu- Nusantara.Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.
  6. Amir A.Rahman (1991), Pengantar Tamadun Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka.



Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment