Monday, October 12, 2015

Tajuk: Sejarah Sains Ekonomi Islam Pimpinan Nabi Yusuf

PENDAHULUAN

Sains diambil dari perkataan inggeris iaitu ‘science’. Dari bahasa Latin pula ‘scientia’ yang bermaksud pengetahuan. Dari segi terminologi, sains adalah pengetahuan yang mempunyai ciri-ciri, tanda-tanda dan syarat-syarat khas. Di dalam English Oxford Dictionary, sains ditakrifkan sebagai, “suatu cabang ilmu yang mengkaji sekumpulan pernyataan yang terbukti atau dengan fakta-fakta yang ditinjau, disusun secara bersistem dan dibentuk dalam hukum-hukum umum. ” Dari segi Islam pula, sains bermaksud ilmu pengetahuan tertentu, yang lahir hasil dari gabungan unsuru fizik dan metafizik. Gabungan ilmu intelek dan ilmu wahyu. Gabungan antara falsafah dan sains yang ada prinsipnya, ia selaras dengan ajaran-ajaran dan konsep-konsep dasar dalam Islam. 

Ekonomi Islam adalah ilmu yang mengkaji kegiatan manusia yang selaras dengan kehendak syariat dari segi mendapatkan, mengguna atau mengurus sumber-sumber alam secara kebendaan dan kerohanian untuk kebaikan semua pihak demi mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa ta’ala. Ekonomi Islam adalah berteraskan syariah bagi melindungi ketidakadilan dalam pemerolehan dan penggunaan sumber alam dengan memenuhi kepuasan manusia untuk melaksanakan tanggungjawab terhadap Alllah Subhanahu wa ta’ala. dan masyarakat seluruhnya. Konsep ekonomi Islam adalah bersandarkan kepada pegangan dan keyakinan bahawa rezeki yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. di muka bumi ini adalah cukup unuk seluruh makhluk-Nya. Oleh itu, sifat tamak atau mementingkan diri tidak perlu wujud pada diri seseorang. 

1. 0 Biodata Nabi Yusuf

Baginda merupakan putera ketujuh (ada sumber mengatakan anak kesebelas) Nabi Ya'akub a. s. dan baginda berkongsi ibu yang dikenali sebagai Rahil dengan adiknya, Bunyamin. Baginda mempunyai 12 orang adik beradik lelaki dan baginda mempunyai rupa paras yang tampan dan dimanjai oleh bapanya. Walau bagaimanapun, ibu kandungnya wafat ketika baginda berusia 12 tahun. Kasih sayang yang diperolehi dan kelebihan pada baginda dan Bunyamin mendorong 10 adik-beradik lelaki dari ibu yang lain berasa iri-hati dan dengki yang mewujudkan komplot menarik perhatian bapa mereka. Mereka bercadang untuk membunuh baginda. Yahudza, anak lelaki keempat dari Nabi Ya’akub dan yang paling cekap dan bijaksana di antara mereka tidak bersetuju dengan cadangan pembunuhan memandangkan perlakuan tersebut adalah dilarang. Maka, demi menghalau Yusuf, dia mencadangkan untuk mencampakkan baginda ke dalam sebuah "perigi buta" yang terletak di persimpangan jalan kafilah-kafilah dagang dan para musafir beristirehat. Dengan itu, berkemungkinan Yusuf akan diselamatkan dari perigi tersebut dan di bawa oleh sesiapa sahaja untuk dijadikan hamba. Sementara itu, baginda Nabi Yusuf telah ditemui oleh rombongan pedagang yang berhenti untuk mengambil air di perigi. Rombongan pedagang itu terkejut apabila melihat bahawa perigi yang disangka mempunyai takungan air itu hanya terdapat seorang kanak-kanak kecil sahaja, lalu rombongan pedagang tersebut mengeluarkan Yusuf dari telaga/perigi dan membawa baginda ke Mesir. Di sana, baginda dijual dengan harga beberapa dirham sahaja. Baginda dibeli oleh seorang bangsawan berbangsa Qibti atau Mesir yang bernama Futhifar. Baginda berkhidmat sebagai hamba di Mesir sehingga dewasa. 

Nabi Yusuf juga dikurniakan anugerah oleh Allah iaitu mampu mentafsir mimpi, ini terbukti apabila Yusuf dimasukkan ke dalam penjara bukan disebabkan telah melakukan kesalahan, tetapi kerana tuannya ingin meletakkan kesalahan pada diri baginda. Walau bagaimanapun, bagi baginda, penjara adalah tempat yang aman untuk menghindari segala godaan dan tipu daya yang akan menjerumuskannya ke dalam kemaksiatan dan perbuatan mungkar dan keadaan yang sempit dan tidak selesa membolehkan baginda beribadat. Yusuf dipenjarakan bersama dua orang pegawai istana Firaun yang dituduh hendak meracuni Firaun atas perintah dan dengan kerjasama pihak musuh istana. Salah seorang daripada mereka ialah penjaga gudang makanan dan seorang lagi ialah pelayan meja istana. Pada suatu hari, kedua tahanan itu menceritakan kepada baginda bahwa mereka telah mendapat mimpi. Si pelayan bermimpi dia akan memerah anggur dan si penjaga gudang melihat dirinya menjunjung roti sambil dipatuk dan disambar burung. Mereka berharap agar Yusuf mentafsirkan mimpi tersebut memandangkan mereka melihat baginda sebagai orang yang boleh berbuat demikian. Yusuf memberi tafsiran bahawa si pelayan yang memerah anggur akan dibebaskan manakala yang disambar burung akan dihukum mati. Maka, benarlah apa yang dikatakan baginda dan si pelayan itu dibebaskan. Baginda memesan agar si pelayan itu menyebut namanya di hadapan siapa dia bekerja iaitu Firaun dan memberitahu yang dia dipenjarakan bukan atas kesalahannya. Walau bagaimanapun, si pelayan itu telah terlupa dan menyebabkan baginda terperangkap di dalam penjara untuk beberapa tahun lagi. 

2. 0 SEJARAH SAINS ISLAM NABI YUSUF

Pada malam adik-beradik Nabi Yusuf merancang untuk mencampaknya ke dalam perigi buta itu, Nabi Yusuf telah bermimpi sesuatu. Keesokan harinya, Nabi Yusuf bertemu ayahnya iaitu Nabi Ya’kub lalu berkata “Wahai ayahku sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang (kaukab), matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku. ” Nabi Ya’kub pun berkata: “Hai anakku janganlah kamu menceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudaramu, maka mereka membuat makar [untuk membinasakan] mu. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia. ” Dan demikianlah Tuhanmu, memilih kamu [untuk menjadi Nabi] dan diajarkanNya kepadamu dan kepada keluarga Ya’kub, sebagaimana Dia telah menyempurnakan nikmatNya kepada dua orang bapakmu sebelum itu, Ibrahim dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhan mu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana” (12:4-6). “Kaukab” yang disebutkan oleh Nabi Yusuf dalam perbualan dengan bapanya memberi maksud dan informasi mengenai sains. “Kaukab” sering dieertikan dengan bintang. Kisah mimpi Yusuf yang difirmankan Allah Subhanahu wa ta’ala dalam Q. S Yusuf ayat 4 tersebut dikatakan bahawa Nabi Yusuf bermimpi sebelas bintang, matahari dan bulan yang bersujud kepadanya. Sebenarnya ulama tidak sependapat berkenaan kalimah kaukab. Ada ulama yang mentafsirkannya dengan maksud bintang. Manakala majoriti ulama meletakkan maksudnya sebagai planet. Ini kerana bintang dalam bahasa Arab boleh difahami dengan kalimah An Najm. Bintang menurut pengertian ahli astronomi adalah, benda angkasa yang dapat mengeluarkan cahaya sendiri, kerana matahari pun dapat mengeluarkan cahaya dengan sendirinya, maka ia tergolong dalam golongan bintang. Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa ta’ala dalam Q. S Yunus ayat 5: “Dia-lah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan-Nya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya) kepada orang-orang yang mengetahui. ”

2. 1 Tafsiran mimpi tersebut

Dalam ayat tersebut, Allah mengibaratkan sebelas planet itu dengan sebelas orang adik-beradik Nabi Yusuf manakala matahari dan bulan pula sebagai ayah dan ibunya. Ini membuktikan kebenaran dan kebijaksanaan Allah Subhanahu wa ta’ala . Perumpamaan yang dibuat mestilah sesuatu yang trjadi dan wujud secara realiti. Begitu juga dengan manusia kerana manusia tidak akan memisalkan sesuatu dengan perkara yang tidak wujud. Di samping itu, National Geographic juga pernah menerbitkan sebuah buku karya David A. Aguilar yang bertajuk 11 Planets: A New View of The Solar System. Ini menunjukkan bahawa mimpi Nabi Yusuf a. s. adalah benar dn al-Quran bukanlah kitab palsu. 

3. 0 SEJARAH EKONOMI ISLAM NABI YUSUF

Pada suatu hari, firaun Mesir mengumpulkan para pembesar, penasihat dan cendekiawan untuk mentafsir mimpi yang telah merunsingkan dan menakutkannya. Firaun itu bermimpi melihat tujuh ekor lembu gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus-kurus. Dia juga melihat dalam mimpinya tujuh tangkai gandum hijau di samping tujuh tangkai yang lain kering sekali. Tiada siapapun yang dapat memberikan tafsiran bagi mimpi Firaun bahkan sebahagian mereka menganggapnya hanyalah mimpi kosong yang tidak bererti dan menganjurkan Firaun agar melupakan saja mimpinya itu. Pelayan Firaun, pemuda yang pernah berjumpa Yusuf di dalam penjara teringat pesan Nabi Yusuf kepadanya sewaktu dia dikeluarkan dari penjara. Lalu dia memberanikan diri untuk menghampiri Firaun mengesyorkan agar Firaun merujuk kepada Yusuf. Dengan izin Firaun, pelayan tersebut mengunjungi Nabi Yusuf di dalam penjara dan menceritakan apa yang berlaku kisah mimpi Firaun dan jawapan penasihat Firaun. Dia mengatakan kepada Nabi Yusuf jika Firaun dapat dipuaskan dengan tafsir mimpinya, berkemungkinan baginda akan dikeluarkan dari penjara setelah bertahun lamanya. 

3. 1 Tafsiran mimpi firaun

Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). "Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)". 

Nabi Yusuf yang sudah cukup derita hidup sebagai banduan yang tidak berdosa enggan keluar dari penjara sebelum peristiwanya dengan isteri Ketua Polis Negara diselesaikan terlebih dahulu dan fitnah yang dituduh ke atasnya. Baginda ingin keluar dari penjara sebagai orang yang suci bersih. Firaun Mesir yang sudah banyak mendengar tentang Nabi Yusuf dan terkesan oleh tafsir mimpi baginda, membantu baginda lalu Firaun Mesir mengeluarkan titah untuk mengumpulkan para wanita yang telah menghadiri jamuan makan Zulaikha dan terhiris jari ketika itu. Mereka menceritakan tentang apa yang mereka lihat dan alami dalam jamuan itu dan mengatakan Nabi Yusuf adalah ia seorang yang jujur, dan bersih. Zulaikha pula mengaku dialah yang bersalah. Hasil pertemuan itu diumumkan ke seluruh lapisan masyarakat dan atas perintah Firaun, Nabi Yusuf dikeluarkan dari penjara secara hormat dan bersih dari segala tuduhan. 

3. 2 Ganjaran dari mentafsir mimpi tersebut

Kecerdasan, pengetahuan, kesabaran, kejujuran, keramahan dan akhlak serta budi pekerti baginda membuatkan Firaun terfikir untuk menyerahkan tugas untuk membantunya memimpin negara dan rakyat. Maka, Yusuf ditawarkan untuk tinggal di istana dan mewakili Firaun menyelenggarakan pemerintahan serta pengurusan negara serta memimpin rakyat Mesir yang diramalkan akan menghadapi masa-masa sukar dan sulit. Nabi Yusuf tidak menolak tawaran Firaun Mesir itu. Baginda meminta agar diberi kuasa untuk pada bahagian perbendaharaan (kewangan dan pengedaran makanan). Pada hari penobatan yang dihadiri oleh para pembesar dan bangsawan, Nabi Yusuf dinaikkan sebagai wazir dengan mengenakan pakaian kerajaan dan hiasan yang mewah. Kemudian, Firaun Mesir berkenan untuk mengahwinkan Yusuf dengan Zulaikha, janda majikannya yang telah mati ketika Nabi Yusuf masih dalam penjara. Yusuf menerima dan mendapat dua orang putera (menurut pendapat ulama, putera baginda dinamakan Ifratsim dan Minsya). Dalam masa tujuh tahun pertama Nabi Yusuf menjalankan pemerintahan di Mesir, rakyat merasakan hidup tenteram, aman dan sejahtera. Barang-barang keperluan untuk semua tanpa terkecuali. Baginda juga tidak lupa peringatan yang terkandung dalam mimpi Firaun Mesir, lalu mempersiapkan gudang bagi penyimpanan makanan untuk musim kemarau yang bakal tiba. Maka, tempoh kemarau telah dilalui tanpa sebarang kesukaran. 

KESIMPULAN

Seseorang mukmin yang memperoleh nikmat dan kurnia Allah berupa perluasan rezeki, kesempurnaan kesihatan dan kesejahteraan keluarga, ia tidak sepatutnya memperlihatkan sukacita dan kegembiraan yang berlebih-lebihan. Ia bahkan harus bersyukur kepada Allah dengan melipat gandakan amal solehnya sambil menyedarkan diri bahawa apa yang diperolehnya itu kadang-kadang boleh dicabut oleh Allah bila Allah mengkehendakinya. Seperti yang kita lihat dari teladan Nabi Yusuf yang telah kehilangan iman dan tawakalnya kepada Allah sewaktu berada seorang diri di dalam perigi mahupun sewaktu berada di dalam penjara, demikian pula sewaktu dia berada dalam suasana kebesarannya sebagai Penguasa Kerajaan Mesir, ia tidak disilaukan oleh kenikmatan duniawinya dan kekuasaan besar yang berada di tangannya. Dalam kedua keadaan itu ia tidak melupakan harapan, syukur dan pujaan kepada Allah dan sedar bahawa dirinya sebagai makhluk yang lemah tidak berkuasa mempertahankan segala kenikmatan yang diperolehnya atau menghindarkan diri dari musibah dan penderitaan yang Allah limpahkan kepadanya. Ia mengembalikan semuanya itu kepada takdir dan kehendak Allah Yang Maha Kuasa. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment