Sunday, October 18, 2015

Tajuk: Konsep Sains Perubatan Menurut Islam

PENDAHULUAN
Sejarah sains perubatan Islam mempunyai sejarah yang cukup panjang.Sains perubatan Islam berkembang pesat bukanlah secara kebetulan tetapi kerana ia mempunyai dasar dan falsafah yang kukuh dan serasi dengan ajaran dan tuntutan Islam. Dalam tamadun Islam, bidang perubatan menjadi cukup istimewa kerana ia adalah sains yang paling awal berkembang disamping paling masyhur dan unggul. Kajian dan pemahaman tentang sains perubatan Islam menunjukkan bagaimana falsafah berkembang menjadi sains yang praktis dalam kehidupan manusia dalam erti kata lain dari falsafah lahirlah ilmu sains. Beberapa nama besar dalam sejarah perubatan Islam seperti Ibn Sina, Al – Razi dan Al – Zahrawi telah menjulang nama mereka ke universiti-universiti Eropah dan karya-karya mereka telah menjadi teks utama sehinggalah ke-abad 19 Masihi.

Islam sinonim dengan sains. Segala arahan dan larangan dalam Islam memang bertepatan dengan penemuan saintifik. Ajaran Islam yang telah dibawa oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam lebih dari 1400 tahun lalu adalah ajaran yang mempunyai unsur saintifiknya. Konsep perubatan dalam Islam terdiri daripada dua perkara iaitu syarak atau naqli dan aqli atau bukti akal melalui kajian. Perubatan Islam adalah satu bidang ilmu dan amalan yang berasaskan ilmu sains perubatan dimana terkandung di dalamnya paradigma, konsep, nilai-nilai tatacara ujian serta rawatan yang selaras dan tidak bertentangan dengan Al-Quran dan sunnah Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam.

Terdapat beberapa asas perubatan dalam Islam, antaranya ialah perubatan Islam adalah yang terbaik dan menjadi peneraju kepada semua kaedah perubatan yang ada. Seterusnya ialah perubatan yang seiringan dengan etika yang benar lagi luhur. Selain itu, perubatan Islam adalah berasaskan bukti bukannya dakwaan testimoni.Ia juga lengkap dalam memberi rawatan sepenuhnya kepada tubuh badan, jiwa samada individu mahupun masyarakat. Tambahan pula, ia adalah universal iaitu menyeluruh dalam mengambil manfaat dari pelbagai sumber dan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada semua makhluk. Akhir sekali, ia adalah saintifik dan menepati kaedah syariat.

Seterusnya, konsep perubatan menurut Islam pula membincangkan tentang manusia yang secara umumnya mengenali beberapa sistem rawatan penyakit yang diketengahkan untuk diterima pakai. Bagaimanapun, ramaiyang kurang mengenali rawatan Islam kerana tidak diketengahkan sedangkan ianya telah lama wujud bersama lahirnya Islam di dunia ini.

Pengubatan Islam berkonsepkan wahyu Ilahi yang diambil daripada al-Quran dan as-Sunnah. Perubatan adalah amalan semua umat manusia dalam dunia ini tanpa mengira bangsa, keturunan atau agama kerana sesiapa sahaja boleh diserang penyakit. Usaha untuk mendapatkan ubat bagi sesuatu jenis penyakit telah dilakukan zaman Nabi Adam A.S sehingga sekarang dan usaha ini masih berterusan. Jenis penyakit kian bertambah dan lebih rumit lagi dengan perubahan cara gaya hidup manusia dan perubahan dalam alam sekitaran. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud : “Setiap penyakit ada ubatnya melainkan mati”

Walaupun berbagai jenis ubat telah dicipta oleh manusia, namun masih banyak lagi penyakit yang belum diketahui punca dan ubatnya. Umat Islam juga tidak terkecuali dari diserang dan berbagai usaha dan cara dilakukan untuk merawat penyakit. Baginda menekankan pentingnya pencegahan penyakit melalui langkah-langkah tertentu.

Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam sendiri mempunyai kemahiran untuk merawat setengah jenis penyakit yang tertentu. Kaedah rawatan yang diamalkan oleh Baginda berasaskan aqidah dan nilai-nilai Islam. Mungkin pada zaman itu belum banyak lagi jenis ubat-ubatan yang terdapat untuk merawat berbagai jenis penyakit berbanding dengan ribuan jenis ubat farmasi dan berbagai rawatan yang ada dipasaran masa kini. Pengubatan Islam berkonsepkan wahyu Ilahi yang diambil daripada petunjuk Al Quran dan Al Sunnah dikenali sebagai ATTIBBUN NABAWI (Pengubatan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam).

Bertitik tolak dari sistem perubatan yang berkonsepkan wahyu, maka ianya adalah suatu ibadah yang dilakukan untuk mencari keredhaan Allah, kerana yang menyuruh kita mencari kesembuhan apabila mendapat penyakit ialah Allah. Tidak ada definisi sebenar tentang perubatan Islam. Keadaan ini berterusan sehingga para cendekiawan Islam memperdebatkan isu ini semasa diadakan Kongres Antarabangsa dalam Perubatan Islam yang pertama di Kuwait pada 1981.

Terdapat dua pandangan utama mengenai definisi Perubatan Islam iaitu pertamanya perubatan Islam adalah alternatif kepada perubatan yang datang dari barat. Ini bermakna semua konsep dan teknik perubatan yang berlainan dari masyarakat barat boleh diterima pakai tanpa batasan. Prof. Dr. Omar Hassan Kasule dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyatakan definisi ini tidak diterima oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam dunia perubatan Islam. Hal ini adalah kerana sesetengah amalan atau pegangan pengamal perubatan bertentangan dengan tauhid yang melibatkan unsur-unsur syirik dan khurafat.

Yang keduanya ialah perubatan Islam bersifat nasionalisme atau politik. Konsep ini adalah bertentangan dengan ajaran Islam sendiri. Konsep ini mengehendaki supaya umat Islam tidak mempergunakan ilmu perubatan barat sedang hakikat semua ilmu itu datang dari Allah Subhanahu wa ta’ala. Oleh itu, satu definisi yang tepat dalam mentakrifkan Perubatan Islam telah dicadangkan oleh Prof. Dr. Omar Hassan Kasule semasa membentangkan kertas kerjanya di Kongres Antarabangsa dalam Perubatan Islam yang pertama di Kuwait pada 1981; 
“Perubatan Islam adalah satu bidang ilmu dan amalan yang berasaskan ilmu sains perubatan yang mana terkandung di dalamnya paradigma, konsep, nilai dan prosedur serta rawatan yang selaras dan tidak bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunnah”.
Perubatan Islam seperti mana-mana konsep Islam lain kerana pada akhirnya ia kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah sebagai petunjuk kebenaran.

Hadith-hadith perubatan daripada Rasulullah s.a.w boleh dikategorikan kepada tiga bahagian. Bahagian pertama ialah hadith yang menggalakkan rawatan perubatan apabila sakit dan memberikan prinsip-prinsip yang amat luas tentang kesihatan. Bahagian yang kedua pula merangkumi kenyataan-kenyataan yang dikenali oleh Rasulullah s.a.w tentang penyakit tertentu dan masalah-masalah kesihatan dan juga kaedah-kaedah rawatan samada secara secara spiritual atau secara perubatan. Yang ketiga ialah peranan hadith dalam hasil-hasil tulisan Perubatan Nabi-Nabi.

Satu kenyataan yang menyeluruh daripada Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam dalam tulisan hadith ialah “Tuhan menurunkan rawatan bagi setiap penyakit”, atau “ada ubat bagi setiap penyakit iaitu jika ubat yang betul digunakan terhadap sesuatu penyakit, dangan redha Tuhan, kesihatan akan kembali”. Hadith ini mempunyai satu titik teologi yang mustahak-iaitu ubat-ubat bertindak terhadap pelbagai penyakit melalui kehendak Tuhan. Rasullullah Sallallahu ‘alaih wa sallam pernah bersabda yang bermaksud : “Berubatlah wahai hamba Allah sesungguhnya Allah tidak menurunkan penyakit melainkan (bersamanya) diturunkan ubat. Seterusnya, Rasulullah s.a.w. juga bersabda yang bermaksud : “Sesiapa yang berkemampuan menolong saudaranya (yang sakit) bagi menyembuhkannya maka hendaklah dia lakukan“ (Hadith riwayat Jabir bin Abdullah).

Daripada konsep sebegini maka bolehlah dikatakan bahawa sesiapa sahaja yang beriman dengan Allah dan melibatkan dirinya dalam sistem perubatan kerana mentaati perintah dan mengharapkan redha Allah, maka prinsip itu adalah Islamik dan boleh dikatakan pengubatan Islam.Ulamak Hadith (Muhaddithun) telah mengumpul semua petunjuk Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam dalam kitab-kitab mereka. Pengumpul-pengumpul hadith seperti Al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, An- Nasaai’, Ibnu Majjah, At Tirmidhzi dan lain-lain telah mengkhususkan satu bab dalam kitab-kitab hadith mereka dengan menamakan Bab At-Tadaawi (bab pengubatan penyakit). Pengarang-pengarang kitab termasyhur telah mengkhususkan Kitab yang diberi judul “ AT-THIBBUN NABAWI” oleh ratusan penulis.

Selain itu, di dalam Al-Quranul Karim juga terdapat banyak ayat-ayat yang menyebut tentang penyakit rohani dan jasmani. Begitu juga dalam As-Sunnah banyak didapati Hadith-hadith nabi yang menyentuh tentang penyakit dan pengubatannnya. Kebanyakan hadith itu merupakan nasihat tentang makanan dan minuman serta bersifat pencegahan. Ini adalah prinsip mustahak dalam penjagaan kesihatan pada zaman pra Islam Arab. Sebagai contohnya, nasihat yang melarang terlampau kenyang atau makan terlalu cepat, banyak dibincangkan dalam hadith-hadith. Inilah petunjuk yang dijadikan konsep perubatan Islam.

Perlu ditekankan disini bahawa amalan dan perkhidmatan perubatan masakini yang diamalkan oleh semua bangsa dan agama di seluruh dunia ini memang telah mematuhi apa yang dituntut oleh agama Islam. Amalan perubatan memerlukan penerapan nilai nilai Islam dalam segala bidang walaupun kita akui tidak boleh mencapai ke tahap pengubatan yang ideal. Namun jika perubatan tidak boleh menyembuhkan, amalan perubatan Islam yang menyeluruh sekurang-kurangnya boleh memberi kepuasan kepada pesakit dan ahli keluarga yang terlibat.

Justeru itu beberapa langkah perlu diambil untuk mencapai ke tahap ini. Pertamanya ialah Kurikulum Latihan dimana kurikulum latihan doktor dan paramedik perlulah dikaji semula untuk menerapkan nilai-nilai Islam. Kadar kaedah perubatan yang lain (alternative medicine) perlu juga diajarkan pada para doktor dan perawat yang lain. Ini bertujuan untuk memberi ilmu serta pendedahan yang lebih menyeluruh terhadap berbagai kaedah pendekatan rawatan.

Seterusnya ialah perkhidmatan kesihatan. Kaedah penyampaian perkhidmatan kesihatan ini perlulah diubahsuai dengan menerapkan nilai nilai Islam. Penekanan patut diberi kepada pencegahan penyakit dan mempromosikan penjagaan kesihatan diri mengikut panduan agama serta sunnah Rasullullah. Selain itu, etika perubatan Islam iaitu garis panduan etika perubatan Islam perlulah diamalkan oleh semua gulongan perawat termasuk doktor, jururawat, therapist dan kakitangan kakitangan sokongan. Dari masa ke semasa mereka perlulah diingatkan tentang garis panduan etika ini.

Selain itu, rangkaian hospital dan klinik Islam yang cemerlang perlulah dibina diseluruh negara. Saya percaya bahawa hospital Islam yang mempunyai ciri ciri dan reka bentuk luaran dan hiasan dalaman yang sesuai dengan Islam akan menjadi tarikan kepada orang ramai. Hospital ini juga perlu dilengkapi dengan peralatan moden serta canggih dan dikendalikan oleh para doktor dan perawat yang mahir dan berwibawa yang sentiasa mematuhi garis panduan etika perubatan Islam. Jika rangkaian ini dapat diwujudkan tentulah “credibility” Islam, khususnya dalam bidang ilmu dan amalan kedoktoran akan meningkat bukan sahaja dikalangan orang Islam, tetapi juga dikalangan bukan Islam.

RUMUSAN
Ilmu dan amalan perubatan telah lama berkembang dan masih lagi maju ke hadapan walaupun banyak lagi isu-isu tentang punca penyakit dan tentang kaedah rawatan belum dapat diselesaikan. Masanya telah tiba bagi para doktor dan ahli ahli sains perubatan Islam, negara negara Islam, hartawan dan ahli ahli korporat Islam untuk mengembeling tenaga untuk memulakan satu era barudalam meningkatkan satu lagi sudut perkhidmatan kemanusiaan menerusi perubatan Islam. Penggembelingan tenaga pakar yang disokong dengan pembiayaan dan pengumpulan danaserta tabung kewangan yang bertujuan untuk meningkatkan ilmu dan amalan perubatan Islam akan mengangkat imej Islam ke tahap kecemerlangan dan kegemilangan seperti pada zaman khalifah dahulu.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment