Sunday, October 18, 2015

Tajuk: Tamadun Islam Berasaskan Akhlak Islam

PENDAHULUAN
Ketamadunan dan peradaban merupakan ciri khas manusia yang tidak terdapat pada makhluk-makhluk yang lain. Kaitan antara ketamadunan dengan kehidupan manusia jelas diungkapkan oleh Ibnu Khaldun di dalam kitabnya ‘al-Muqaddimah’ bahawa manusia secara tabiinya makhluk yang bertamadun (madaniyyun bi tab’ihi) atau makhluk sosial yang saling berinteraksi sesama sendiri dalam pelbagai aspek untuk memenuhi keperluan hidup mereka. Pada pemikiran al-Sirhindi, seorang figur Islam tersohor India, hidup bertamadun adalah fitrah dan sifat semulajadi manusia. Jika dilihat pada sudut pandangan lain, tamadun boleh dianggap sebagai sunnah insaniyyah yang menjelam dari sifat kreativiti dan inovasi manusia sendiri. Selagi mana manusia meneruskan kelangsungannya untuk hidup dengan selesa, maju, demi untuk mencukupi segala keperluannya maka selagi itulah proses ketamadunan akan berjalan.

Tamadun Islam merupakan segala yang dihasilkan oleh fikiran orang Islam menurut wataknya dengan panduan agama Islam, baik menerusi bangsa Arab, Parsi, Sepanyol, Turki, India, Cina, Melayu dan lain-lain yang membina tamadun Islam bersama-sama dalam pelbagai bidang tanpa mengira sempadan politik, geografi, etnik, kosmologi, ideologi dan sebagainya. Adunan ini berpandukan al-Quran dan al-Hadis sebagai dua sumber induk keilmuan Islam yang melahirkan elemen tamadun dalam bentuk dan acuan tersendiri, unik dan melambangkan keperibadian Islam di samping mampu berkembang dan memberikan sumbangan terhadap kehidupan manusia seluruhnya.

2. TAKRIF TAMADUN
Para pengkaji membahagikan tamadun kepada dua pengertian iaitu pengertian yang objektif dan pengertian yang subjektif. Pengertian yang objektif iaitu suatu himpunan fenomena kemajuan dalam bidang kesusasteraan, teknik, keilmuan dan undang-undang yang dipindahkan dari satu generasi ke satu generasi didalam suatu masyarakat. Pengertian yang subjektif bermaksud tamadun digambarkan sebagai satu peringkat perkembangan kehidupan yang tinggi, yang berlawanan dengan kehidupan liar atau ganas atau digambarkan kehidupan yang dapat atau hampir dapat mencapai ideal atau bentuk kehidupan yang tinggi yang hendak dicapai. Bentuk ideal kehidupan itu adalah subjektif sifatnya, bergantung kepada masa, tempat dan kepada nilai-nilai yang dianuti.

Tamadun berasal dari perkataan bahasa Arab iaitu ‘Mudun, Mada’in, Madanna’ yang bermaksud bandar. Perkataan ‘Madanna’ pula bermaksud sifat sesuatu yang berkaitan dengan pembangunan perbandaran serta kehalusan budi pekerti yang terpuji.

1. Menurut Ibnu Khaldun :

Beliau menggunakan istilah ‘hadarah’ yang merujuk kepada perbuatan duduk dibandar dan perilaku kehidupan yang tinggi.

Dalam kitabnya al-Muqaddimah, beliau lebih banyak menggunakan istilah ‘umran yang berasal dari kata asal ‘amara, ta’mir yang bermaksud membangun, memajukan, menghidupkan dan memakmurkan

2. Menurut Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas :

Beliau menyatakan bahawa istilah tamadun berasal dari perkataan al-Din yang merupakan asas tamadun itu sendiri.

Tamadun menurut beliau adalah “kehidupan insan yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakat”.

3. Menurut Syed Qutb :

Tamadun Islam ialah segala bentuk kemajuan yang dihasilkan oleh sekumpulan masyarakat seperti sistem sosial, pemerintahan, politik, ekonomi dan kebudayaan yang berteraskan syariat Allah serta bercirikan nilai-nilai moral Islam.

4. Menurut Kamus Dewan (1993)

Tamadun bermaksud “Keadaan manusia yang dicirikan oleh taraf pemikiran yang tinggi; negara dan penduduknya yang mencapai taraf pemikiran tinggi, budaya atau cara hidup orang-orang yang tertentu dan keadaan pemikiran yang halus”.

3. ASAS TAMADUN ISLAM
Tamadun Islam mempunyai asas-asas yang kukuh yang membolehkannya menjadi satu tamadun yang hebat di dunia. Asas-asas tersebut ialah :

1. Akidah

Merupakan iman atau kepercayaan kepada Allah AzzaWaJalla yang diikat oleh ucapan dua kalimah syahadah. Akidah merupakan asas tamadun Islam yang paling utama sekali. Kekuatan akidah dapat membantu manusia membezakan antara yang baik dan buruk disamping dapat membina tamadun dengan cara yang diredhai.

2. Syariah

Syariah pula merupakan asas Tamadun Islam yang kedua penting selepas akidah. Ia mengandungi peraturan-peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala untuk dipatuhi dan dilaksanakan oleh manusia. Sifatnya yang muktamad menyebabkan manusia tidak berhak mengubahnya. Segala masalah yang timbul semasa proses pertamadunan dapat diatasi dengan adanya syariah.

3. Syariah

Menurut Islam, akhlak bererti meletakkan keimanan kepada Allah AzzaWaJalla dalam bentuk praktis. Segala perilaku dan perbuatan mestilah berteraskan keimanan untuk membina tamadun yang kukuh dan disegani.

4. CIRI-CIRI TAMADUN ISLAM
Ciri-ciri Tamadun Islam amat penting bagi mewujudkan tamadun yang kukuh dan maju. Antara ciri-ciri Tamadun Islam ialah :

1. Rabbaniyah (bersumberkan ajaran Allah)

Konsep Rabbaniyah membezakan antara tamadun Islam dan tamadun Barat, hal ini kerana tamadun Islam menjadikan sumber naqli sebagai sumber asasi, disamping tidak menafikan kepentingan sumber akli. Sedangkan tamadun Barat hanya berdasarkan sumber akli iaitu berteraskan akal fikiran semata-mata malah yang lebih buruk mereka banyak menyangkal perkara yang dinyatakan didalam sumber naqli.

2. Penggunaan Tulisan

Membantu mempercepatkan proses penyebaran kebudayaan Islam dan meningkatkan perkembangan ilmu yang memberi kesan terhadap perubahan dalam semua aspek kehidupan umat

3. Kemunculan kota atau bandar

Ia menjadi punca dan faktor sebagai menampung pertambahan penduduk yang sedia ada dan yang akan datang untuk pelbagai aktiviti lain.

4. Kewujudan negara Islam

Menurut sebahagian penulis antarabangsa, Islam adalah satu ciri tamadun Islam yang tidak boleh dipertikaikan kerana sebarang aktiviti orang Islam hanya boleh dilakukan dengan bebas di dalam negara Islam.

5. TAMADUN BERASASKAN AKHLAK
1. Menjaga hubungan manusia dengan Allah Pencipta Alam

Allah menyuruh manusia berfikir lebih jauh ke depan dengan menumpukan pemikiran kepada Allah pencipta sekian alam.

Islam menyeru umatnya agar menghidupkan rasa perhubungan dengan pencipta-Nya kerana Allah yang memudahkan dan mengurniakan kepada ahli fikir untuk mencipta pelbagai ciptaan dari semasa ke semasa.

Hubungan dengan pencipta merupakan matlamat terpenting dan terakhir dituju dalam kehidupan.

Eratnya hubungan dengan Allah mempengaruhi perhubungan dengan makhluk lain.

2. Menjaga hubungan baik sesama manusia

Umat Islam adalah umat yang satu.

Kepentingan hubungan antara sesama manusia ditonjolkan dalam ajaran Islam.

Golongan bukan Islam diiktiraf kemuliaan insaniahnya dan diakui haknya sebagai sebahagian masyarakat dalam tamadun Islam.

Islam mewajibkan kepada pemerintah Islam supaya menjaga hak bukan Islam dengan sebaik-baiknya

3. Menjaga hubungan antara manusia dan alam sekitar

Manusia merupakan sebahagian daripada makhluk kosmos ini, dan menjadi khalifah kepada makhluk lain berdasarkan kelebihan akal.

Keistimewaan ini tidak dimiliki oleh haiwan dan tunbuh-tunbuhan

Manusia perlu ingat bahawa ala mini juga merupakan bahan renungan dan bahan kajian untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa ta’ala dan merasai keagunganNya.

4. Huraian :

Akhlak merupakan perkara yang amat penting dalam ajaran Islam. Permulaan pembinaan tamadun mestilah berasaskan kepada akhlak. Tanpa akhlak yang mulia, manusia tidak akan mencapai ketamadunan. Tamadun Islam adalah tamadun yang seimbang antara kebendaan dan kerohanian

Tamadun yang lahir adalah diwarnai oleh akhlak umat Islam. Jika umat Islam mempunyai akhlak yang murni, maka hasilnya juga adalah murni.

Akhlak juga membincangkan tentang tajuk-tajuk sifat-sifat yang mahmudah iaitu sifat yang wajib ada pada diri setiap muslim seperti sifat sabar, syukur, ikhlas, tawakal, takwa, zuhud, zikrulmaut, istiqamah dan sebagainya.

Semua sifat terpuji ini perlu ada dalam setiap umat Islam.

5. KESIMPULAN
Dalam menghadapi cabaran alaf baharu, umat Islam haruslah merancangkan agendanya yang lebih bercorak futuristic, iaitu berdasarkan perkembangan dan pembangunan yang.bakal berlaku pada alaf baharu itu.

Menjelang akhir abad ini, kita dapat melihat bahawa cabaran baharu yang dihadapi oleh umat Islam adalah dalam bentuk cabaran ilmu pengetahuan, sains dan teknologi serta persaingan ekonomi.

Kita memerlukan ahli teknokrat dan teknologi Islam, ahli professional dan pengamal yang aktif di dalam pelbagai bidang kehidupan moden, bukan hanya untuk memajukan diri dan masyarakat pada era baharu, malahan dapat berkhidmat dan bekerja untuk memberi sumbangan kepada manusia keseluruhannya yang sekaligus dapat memartabatkan agama dan umat kita.

Konsep tamadun Islam yang mencakupi pelbagai aspek jelas menunjukkan bahawa tamadun Islam suatu tamadun yang lengkap dan kukuh kerana ianya berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. Justeru itu, tamadun Islam merupakan suatu proses pembentukan yang bertolak daripada kalimah Tauhid yang diikrarkan oleh setiap anggota. Dengan perkataan lain ikrar itu menjadi kaedah atau asas bagi suatu sistem yang lengkap dan praktik. Alasan ini dapat dikukuhkan dengan firman Allah dalam surah Yusuf ayat 40 yang bermaksud :

Keputusan hukum itu kepunyaan Allah, Dia memerintahkan supaya jangan tunduk memperhambakan diri melainkan kepada-Nya, Itulah Addin(agama) yang benar.”

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment