Wednesday, October 14, 2015

Tajuk: Sumbangan Dan Peranan Jihad Di Alam Melayu

PENDAHULUAN
Terlebih dahulu saya bersyukur kepada Allah Subhanahu wa ta’ala kerana di atas keizinanNya, saya telah menyempurnakan tugasan ini dgn jayanya. Sumbangan para ulamak dalam perjuangan Islam dan dakwah Islamiah di Alam Melayu adalah satu sumbangan besar yang tidak boleh dilupakan. Sumbangan ini sungguh bermakna dan perlu dilihat secara 'ilmiah' supaya keunggulan sejarah ini tidak dikuburkan oleh pihak musuh Islam. 

Zaman baru 
Beberapa sarjana tempatan seperti Prof. Syed Muhammad Naqiub Al-Attas dan lain-lain dengan tegas telah membuat rumusan bahawa Islamlah yang telah memulakan zaman baru di Alam Melayu. Begitu juga, Abu Bakar Hamzah dalam mengulas pengaruh majalah al-Imam yang diasaskan oleh Sayid Syeikh Al-Hadi bahawa ada sarjana orientalis menganggap majalah itu dari satu segi adalah berorientasikan politik. Pengaruh al-Imam di kalangan masyarakat Melayu terbukti tatkala beliau menyimpulkan, "al-Imam menerbitkan makalah-makalah tentang teori-teori dan pemikiran politik walaupun bidang pengetahuan ini masih baru bagi orang Melayu". Ini bermakna bahawa kedatangan Islam telah mencetus semangat perjuangan Islam di kalangan masyarakat Melayu untuk membawa perubahan-perubahan besar dalam sejarah dan peradaban alam. 

TAKRIF
Jihad merupakan satu tuntutan ke atas Muslim, secara individual dan secara kolektif, untuk berusaha sehabis upaya ke arah melaksanakan misi tersebut bagi merealisasikan matlamat khilafah (kemakmuran dunia) dan ubudiyyah (kemakmuran akhirat). Sejarah Rasulullah dan para sahabat telah menyediakan gambaran jelas tentang jihad yang sebenarnya, yang boleh disimpulkan sebagai memperjuangkan dua lapangan tersebut. Dengan demikian, setiap usaha membangunkan upaya dan unsur-unsur sokongan ke arah dua kemakmuran itu adalah jihad, sepertimana usaha untuk mencegah atau menghilangkan faktor-faktor yang menghalang keduanya juga adalah jihad. 

Islam juga menganjurkan umatnya untuk sentiasa membaiki diri dan berusaha sebaik mungkin. Maka keadaan seseorang yang statik, tidak maju ataupun berkembang, tidak sejajar dengan semangat syara’ yang ditetapkan. Atas dasar ini juga, Islam menganjurkan sifat berlumba-lumba Oleh :

“Dan berlumba-lumbalah kamu dalam (melakukan) kebaikan. ” (Al-Baqarah : 148)

Secara umum, kondisi ummah pada hari ini menuntut jihad untuk menawarkan Islam sebagai alternatif praktikal ke arah kemakmuran hidup dunia dan kesejahteraan masyarakat global. Namun sebelum itu, realiti yang perlu diakui ialah bahawa pihak yang tidak memiliki tidak akan mampu memberi. Jihad ke luar ini, tidak dapat tidak, perlu diiringi, kalaupun tidak didahului, dengan jihad ke dalam secara serius untuk membangunkan khaira ummah, dengan membina quwwah (keupayaan dan kemampuan) dan amanah (berprinsip dan berkerohanian murni). 

ISTILAH
Para ulama Islam sepanjang zaman telah memahami jihad dalam erti kata yang luas sebagai mengerahkan usaha daya di jalan Allah yang meliputi usaha pembaikan diri, usaha pembangunan masyarakat, dakwah melalui lisan dan media. Dalam erti kata yang khusus pula, mereka memahami jihad sebagai berperang bagi membela agama Allah. 

Kedua-dua pengertian jihad, umum dan khusus ini, digambarkan di dalam sabda Rasulullah yang bermaksud :

“Berjihadlah kamu melawan orang-orang musyrik dengan hartamu, jiwamu dan lisanmu. ”
(Riwayat Abu Daud)

Dalam buku Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah oleh Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait, ada dinyatakan bahawa Ar-Raghib telah mengertikan jihad sebagai usaha yang bersungguh-sungguh dan mengerahkan usaha sepenuhnya dalam menghalang musuh, samada dengan tangan, lisan atau apapun sahaja yang ia mampu. Ini dilakukan dalam tiga bentuk : bermujahadah dengan musuh yang nyata, syaitan dan nafsu. Ketiga-tiga ini termasuk di dalam firman Allah, “dan berjihadlah kepada Allah dengan sebenar-benar jihad. ” Ibn Taimiyah pula berkata bahawa jihad samada dilakukan dengan hati seperti berazam untuk melakukannya, atau dengan dakwah kepada Islam dan syariatnya, atau dengan menegakkan hujah ke atas yang batil, atau dengan menerangkan yang benar dan menghilangkan syubhat, atau dengan pandangan dan tidakan yang memberi manfaat kepada orang-orang Islam, atau dengan berperang. 
1. Dalam Islam jihad ialah perjuangan yang sungguh-sungguh untuk menegakkan perkara-perkara yang diperintahkan oleh Allah dan membasmi perkara-perkara larangan-Nya sekalipun dengan mengorbankan hak-hak kepentingan diri sendiri. 
2. Dalam konsep Islam, jihad merangkumi korban kerana apabila seseorang berjihad dengan sendirinya bermaksud mengorbankan kepentingannya dan membawanya hampir kepada tuhan. 
3. Firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud:
" Dan orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami. Sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan kami, dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. "
2 Pembelaan Keadilan Merentas Sempadan Ummah

Berdasarkan konsep umum Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam, maka jihad bukan hanya untuk membela Islam dan umatnya, atau untuk menjaga kepentingan mereka sahaja. Akan tetapi ia juga adalah untuk membela keadilan bagi manusia sejagat. Ini adalah berdasarkan firman Allah yang bermaksud :

“ … dan sekiranya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti akan menolong orang yang menolong (agama)Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. ”
(Al-Haj : 40)

Antara pengajaran ayat ini ialah :

a. Sebahagian dari sunnah alam ini ialah Allah akan membangkitkan sekelompok manusia bagi menolak keganasan manusia yang lain. 

b. Umat Islam diajar bukan hanya untuk membela sesama umat Islam, tetapi juga membela umat agama lain jika mereka dizalimi. Ini boleh difahami dari pernyataan biara, gereja, rumah ibadat Yahudi bersama dengan masjid dari dirobohkan oleh keganasan sebahagian manusia. 

c. Jika ada sekelompok penganut agama lain yang dizalimi dan ditindas, umat Islam adalah lebih utama untuk bangkit membela mereka, menyuarakan suara mereka dan membebaskan mereka dari kezaliman itu. 

d. Walaupun Islam tidak sependapat dengan aqidah agama lain, namun Islam tetap menghormati kehidupan beragama. 

Berdasarkan prinsip jihad ini sebagai perjuangan membela keadilan secara inklusif dan komprehensif, dapat dinyatakan dengan jelas dan yakin bahawa slogan perjuangan ofensif sekelompok kecil Muslim mengenai jihad secara antagonistik dari pihak Muslim terhadap bukan Muslim, adalah pendekatan yang sangat keliru. Kedua-dua masyarakat Muslim dan bukan Muslim perlu difahamkan secara konsisten bahawa asas hubungan antara kedua-dua kelompok ini adalah keamanan, bukan peperangan atau ketegangan. Malang sekali, trajedi yang mencengkam dunia hari ini ialah ketiadaan kefahaman yang jernih mengenai jihad; golongan minoriti Muslim yang keliru melihatnya dengan lensa yang amat sempit dan kolot, lantas menterorasikan imej jihad dan kebenaran, sementara di satu pihak pula golongan bukan Muslim yang memilih untuk mewarnai persepsi mereka terhadap Islam dan Muslim dengan corak-corak kecurigaan dan tohmahan. 

Episod Jamaah Islamiah (JI), yang mutakhir ini menjejas dan menyulitkan lagi proses mengembalikan kemurnian Islam, membawa kita memasuki satu tahap baru dalam jihad, iaitu jihad untuk mempertahankan jihad. Usaha bersepadu perlu diorak untuk mengatasi dua kecenderungan ekstrim; pertama, kekeliruan dan kesangsian terhadap jihad seperti yang dinyatakan di atas, dan kedua, kecenderungan apologetik untuk menafikan gagasan jihad sebagai sebahagian daripada keperibadian ummah. 

3 Jihad Pendorong Kemakmuran Dunia

Semangat jihad yang sebenarnya mendorong masyarakat Islam untuk mengusahakan kemajuan dan pembangunan bagi manusia, ekonomi dan negara. Ini adalah kerana Islam menggalakkan kemajuan. Firman Allah bermaksud :
“Hendaklah ada dari kalangan kamu satu umat yang mengajak kepada kebaikan dan menyeru kepada yang maaruf dan mencegah yang mungkar, dan mereka itulah golongan yang berjaya. ” (Al-Qasas : 87)

SUMBANGAN DAN PERANAN JIHAD DI ALAM MELAYU

Al-Quran dan Al-Hadis
 Perjuangan Islam di kalangan masyarakat Melayu berlaku sejak kemasukan Islam ke rantau ini. Pada abad ke 15 perjuangan tersebut adalah berteraskan ajaran Al-Quran dan Al-Hadis. walaupun rantau Melayu pernah mempunyai tamadun yang diperjuangkan sebelum kedatangan Islam, namun perjuangan masyarakat Melayu pada waktu itu umumnya mementingkan perjuangan pembangunan kebendaan semata-mata. Perjuangan masyarakat Melayu yang hakiki ialah untuk penghayatan Islam serta menyebarkan Dakwah Islamiah. 
 Pusat-pusat penyebaran dakwah dan perjuangan Islam sebelum meluas di Tanah Melayu telah tersebar di merata tempat di Nusantara termasuk Aceh., Riau Banjar, Melaka, Jawa, Pattani, Berunei, Kelantan dan Champa. 
 Manakala ulamak-ulamak besar yang terlibat dengan perjuangan Islam sama ada di peringkat awal atau terkemudian di antaranya ialah Syeikh Mohd Tahir bin Jalaluddin, Syed Sheikh al-Hadi, Haji Abbas bin Mohd Taha, Haji Muhamad bin Yusof (Tok Kenali), Haji Abu Bakar Al-Baqir, Prof. Datuk Zulkifli Muhamad dan lain-lain lagi (sekadar beberapa nama). 
 Semangat perjuangan Islam di kalangan masyarakat Melayu sebenarnya berlaku kerana didorong oleh beberapa faktor penting. 
 Pertama, pengaruh aqidah dan ajaran agama Islam. Apabila Islam telah mempengaruhi kehidupan masyarakat Melayu, maka dengan sendirinya Islam telah dijadikan unsur nilai dalam kehidupan mereka sehari-hari. Dengan yang demikian Islam dan aqidah yang benar (sohih) merupakan pengaruh teras yang kukuh dalam perjuangan bagi menegakkan Islam sebagai cara hidup mereka. Sebab itulah bagi mereka, agama Islam adalah undang-undang bagi umat Islam, terutama sekali dalam hal-hal yang bersangkutan dengan soal politik, ekonomi, sosial, budaya, pendidikan dan lain-lain. 
Islah
 Kedua, pengaruh gerakan Islah, pada awal abad 20 Masihi masyarakat Melayu rantau ini telah dipengaruhi oleh gerakan Islah, iaitu satu gerakan perjuangan pembangunan dan pembaharuan yang berasakan SALAFIYY, iaitu pegangan dan ajaran Islam yang diamalkan oleh Rasullullah Sallallahu ‘alihi wa sallam . dan para-para sahabat dalam tempoh tiga ratus tahun dari kewafatan Rasullullah. 
 Gerakan Islah yang berlaku dirantau ini secara umumnya dapat dibahagikan kepada dua aliran iaitu dari Asia Barat (Timur Tengah) dan India. Apa yang dimaksudkan dengan aliran Asia Barat ialah fahaman Islah yang berpengaruh dengan pemikiran tokoh-tokoh Islah seperti Ibnu Taimiyah, Jalaluddin Al-Afghaniyy, Muhamad Abduh dan Rashid Rida. Manakala aliran dari India berpengaruh dengan faham pembaharuan yang bersumberkan pemikiran Shah WaliyyuLlah ad-Dahlwiyy. Gerakan Islah aliran Asia Barat teryata lebih besar pengaruhnya di kalangan masyarakat Melayu dan telah diperjuangkan oleh ulamak-ulamak lulusan Pusat Pengajian Islam Mesir dan Mekkah seperti Sheikh Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh al-Hadi dan lain-lain lagi. 
 Ketiga, semangat gerakan Hizbul- muslimin (HAMIM). Perjuangan masyarakat Melayu terutama golongan Islam telah meningkat apabila sampai tahap perjuangan politik per-juangan menubuhkan sebuah parti politik Islam Hisbul-Muslimin pada 14 Mac 1948 di Gunung Semanggol, Perak. Dasar Hamim ialah Islam. Begitu juga kebangkitan anti-British di Perak (Maharaja Lela), Pahang (Bahaman) dan Terengganu (Abdul Rahman Limbong) dikatakan juga di atas semangat jihad dan mengambil semangat perjuangan Hamim. 
Panggilan Jihad
 Dalam hubungan ini, perlu diingatkan bahawa golongan pondok yang mendapat didikan agama daripada ulamak-ulamak muktabar di pondok-pondok, Sekolah Arab dan Madrasah merupakan golongan yang pertama menyahut panggilan jihad menentang penjajahan dan tujuannya pula ialah antara lain untuk mencapai kemerdekaan agama Islam, bangsa Melayu dan tanah air yang berdaulat, berdasarkan Islam dan mencapai Tanah Melayu sebagai Darul-Islam. Hamim telah mendapat sambutan yang meluas daripada masyarakat Melayu. Justeru itu, beberapa pemimpin nasionalis Melayu merasai kerugian di sebalik pengaruh Hamim, lantas mendesak British mengharamkan Hizbul Muslimin. Apabila Hamim diharamkan dan pemimpinnya dipenjarakan, aspirasi perjuangan Islam yang diasaskan oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir itu tidak terkubur begitu sahaja. Tetapi sebaliknya telah menjelmakan sebuah wadah berupa parti politik iaitu Persatuan Islam Se-Tanah Melayu pada 23 November 1951 yang kemudiannya didaftarkan atas nama PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS). 
 Keempat, pengaruh kebangkitan anti- British. Siri kebangkitan anti-Beritish yang berlaku di negeri-negeri Tanah Melayu dan anti-penjajahan Belanda di kepulauan Indonesia sepanjang abad ke-18 Masihi dan selepasnya teryata ditiupkan oleh perjuangan Islam. Beberapa siri kebangkitan tokoh dan pejuang bangsa telah dikaitkan dengan kebangkitan ulamak. Kebangkitan Diponegoro di Jawa serta pengaruh Mahsyumi di Indonesia jelas mengandungi ciri-ciri perjuangan Islam yang tidak boleh diperkecilkan. 
Kerajaan Othmaniah
 Nyata sekali, sejak zaman seawal-awalnya Islam dengan ajaran jihadnya telah mencetuskan semangat juang menentang penjajah kafir tersebut. Dalam hal ini, apa yang berlaku dalam tahun 1910-an di Kelantan turut menggambarkan pengaruh yang sama. Umpamanya kebangkitan anti-British yang berlaku di Pasir Puteh Kelantan, di bawah pimpinan Haji Mat Hassan atau Tok Janggut adalah dilancarkan atas nama jihad lantaran tiupan perjuangan Islam dari perang dunia pertama. tatkala kuasa Islam - kerajaan Othmaniah Turki pada masa itu berperang dengan British. 

Dakwah dan Perjuangan Sufi di Alam Melayu

Sejarah membuktikan Ahli Tasawuf memainkan peranan penting di dalam usaha menegak dan mempertahankan agama Allah. Sebaliknya mereka turut mengambil bahagian yang serius di dalam dakwah dan jihad, malah memberikan sumbangan yang besar dalam perjuangan umat Islam atau dalam jihad menentang kuffar di medan peperangan, mahupun menentang kemungkaran dan kezaliman yang dilakukan golongan berkuasa. 

Pembelaan para pemimpin kerohanian terhadap Islam sangat jelas di dalam lembaran sejarah. Di antaranya ialah Di Asia Tenggara dan Kepulauan Melayu, kita akan temui tokoh-tokoh tasawuf yang memainkan peranan penting di dalam politik dan pentadbiran negara. Pada zaman keagungan empayar Islam Acheh pada abad ke-16 dan 17, kita dapat melihat bagaimana peranan yang dimainkan oleh Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Syeikh Abd Rauf Singkel dan lain-lain lagi. 
Sejarah kedatangan Islam di Terengganu, malah di Semenanjung Tanah Melayu juga berkait rapat dengan usaha dakwah golongan Tasawuf. Ia bermula di Kuala Berang yang menjadi pusat tamadun dan kerohanian Islam pertama. 

Kira-kira 700 tahun dahulu, penduduk Kuala Berang dipercayai menganut agama Buddha, kemudian Hindu dan akhirnya menerima Islam. 

Dakwah Islam ini telah dibawa oleh seorang ulama yang sangat berjasa kepada Nusantara ini bernama Syarif Muhammad al-Baghdadi. 

Beliau merupakan keturunan Saidina Hasan daripada sebelah bapanya dan Saidina Husin daripada sebelah ibunya. 

Syarif Muhammad dipercayai telah meninggalkan takhtanya dan kerajaan Baghdad untuk beruzlah di Mekah. Selepas Mekah, Syarif Muhammad menuju ke Hadratulmaut di Yaman dan kemudiannya ke Nusantara iaitu di Hulu Terengganu. Beliau berdakwah menyampaikan Islam kepada masyarakat dan berjihad menjatuhkan kerajaan Seri Wijaya Majapahit. 

Setelah berjaya menjatuhkan kerajaan Hindu, beliau telah mendirikan sebuah kerajaan Islam dan seterusnya membina sebuah pusat pemerintahan yang dinamakan “Kota Tamir” yang terletak di kawasan seluas 300 ekar. Ramai di kalangan para pembesar dan raja-raja Hindu yang memeluk Islam dan menjadi pengikut yang kuat. 

Pemerintahan dan perjuangan Baginda Syarif Muhammad diteruskan pula oleh keturunannya yang bernama Syarif Abdul Qahar bin Syarif Muhammad (Tok Paloh), kemudian diamanahkan kepada cucunya Syarif Abdullah bin Syarif Qahar (Tok Pauh) dan seterusnya kepada cicitnya Syarif Abdul Malik yang juga disebut Syeikh Abdul Malik atau Tok Pulau Manis. Kesemuanya adalah wali Allah dan dimuliakan Allah dengan diberikan pelbagai karamah. 

Tok Pulau Manis kemudiannya menubuhkan pula ‘Kota Pulau Manis’ dan mendirikan institusi pendidikan agama yang tertua dan terbesar di Tanah Melayu ketika itu. Beliau telah mengambil jalan wara’ dengan menyerahkan pemerintahan kerajaannya kepada menantunya iaitu Tun Jenal yang berkahwin dengan anaknya Siti Zubaidah. Tun Jenal ditabalkan sebagai raja di Tanjung Baru, Hulu Terengganu dan bergelar Sultan Zainal Abidin 1. 

Seorang lagi ulama tasawuf Terengganu ialah Tokku Paloh, seorang guru mursyid Tariqat Naqsyabandiah yang banyak berjasa terhadap kerajaan Terengganu dan rakyat jelata di dalam usaha menentang kerajaan British. 

Begitu juga dengan murid Tokku Paloh, Haji Abd. Rahman Limbong yang telah memainkan peranan penting dalam kebangkitan tahun 1921-1928 Masihi di Terengganu dalam mempertahankan Islam dari anasir penjajahan. 

Selain itu, sejarah juga mencatatkan peranan besar yang dimainkan olehWali Songo (Wali Sembilan) di Pulau Jawa. Dengan usaha gigih yang dilakukan, dengan sokongan rakyat jelata, mereka berjaya menubuhkan pemerintahan Islam, menewaskan kekuasaan Hindu, mendirikan masjid, pesantren (pondok), mewujudkan keamanan dan ketenteraman dalam kehidupan masyarakat. 

Sejarah Islamnya Kerajaan Pattani juga melibatkan ahli Tasawuf dengan kaedah menarik. Menurut ceritanya, tiga orang ulama sufi yang merupakan sahabat karib telah menjalankan dakwah di Patani. 

Mereka ialah Syeikh Shafiyuddin, Syeikh Sa’id Barsisa dan Syeikh Gombak Abdul Mubin. Sebaik tiba di Patani, mereka bertiga telah membuat pondok kecil di satu tempat bernama Kerisik. 

Di situ, mereka mengumpul maklumat, membuat kajian mengenai suasana dan budaya setempat serta memikirkan strategi dakwah yang sesuai kerana di masa itu Patani diperintah oleh raja yang beragama Budha. 

Syeikh Shafiyuddin amat kuat beribadah, berkhalwat dan berzikir memohon pertolongan Allah dalam dakwahnya. Akhirnya raja Budha itu pun memeluk Islam dan diikuti oleh ramai rakyatnya. Sejak itu, ketiga-tiga Wali Allah tadi mendapat tempat kedudukan yang tinggi di Kerajaan Patani. 

Selain itu terdapat tokoh-tokoh lain yang juga berperanan besar dalam menegakkan Islam di Nusantara seperti Syeikh Abd Samad al-Falimbani, Syeikh Daud al-Fatani, Ismail Minangkabau, Muhamad Salleh al-Zawawi, Arshad Banjari dan banyak lagi. 

Di samping itu, yang sudah termasyhur ialah seperti Imam Al-Ghazali, Syeikh Abd Qadir Jailani, Imam Hassan Al-Banna dan lain-lain. Mengenai hal ini, Al-Maududi berkata :
“Sesungguhnya mereka (ahli tasawuf) mempunyai jasa yang besar dalam penyebaran Islam di daerah-daerah yang jauh terpencil yang belum ditakluki oleh tentera-tentera Islam atau yang belum dapat ditundukkan di bawah hukum Islam. Di tangan mereka itulah, Islam tersebar di Afrika, Indonesia, pulau-pulau di Lautan Hindi, China dan India. ”

Demikianlah beberapa contoh mengenai peranan golongan tasawuf, wali-wali Allah dan pengikut perjalanan kerohanian di dalam amal dakwah dan jihad. Jelaslah bahawa golongan tasawuf bukanlah mereka yang hanya berzikir dan beramal semata-mata, malah berada di barisan hadapan dalam memperjuang dan mempertahankan Islam. Bagi setengah golongan yang meninggalkan amal-amal seperti ini, bermakna mereka telah meninggalkan sunnah Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam dan perjalanan para sahabat (radiaLahu ‘anhum)

Kajian sarjana Barat yang terbaik sampai kini tentang perkembangan tariqah-tariqah dan tasawwuf dalam Islam ialah The Sufi Orders in Islam oleh J. Spencer Trimingham (9). Abad ke 14 dan ke 15 zaman al-Maqrizi garis-garis perkembangan tariqah-tariqah sufiyyah itu terbentuk dengan jelas nyata dalam Alam Islam. (10). Beliau membuat kenyataan berkenaan dengan “para fuqara’ Ahmadiyyah dan Rifa’iyyah” di Kahirah. Dan lebih kurang pada masa yang sama golongan Qadiriyyah mula berkembang dan satu cawangan daripadanya dibentuk di Damsyik pada akhir abad ke 14 Masihi. Maqrizi menyatakan bahawa Azhar terbuka untuk para sufi dan majlis zikir diadakan di sana. Di kota-kota Islam lainnnya tariqah-tariqah sufiyyah berkembang mendapat pengikut-pengikutnya. 
Antara tariqah-tariqah yang dibicarakan ialah Suhrawardiyyah - dari nama Abun-Najib al-Suhrawardi rh ‘al-Rifa’iyyah, Qadiriyyah, al-Syadhiliyyah, al-Kubrawiyyah, al-Yasaviyyah, al-maulawiyyah, Khawajagan-Naqsyabandiyyah, Chistiyyah, Suhrawardiyyah di India, dengan cawangan-cawangannya pula. Antaranya ialah tariqah Tijaniyyah, Darqawiyyah dan cawangan-cawangannya, Ahmadiyyah, Mirghaniyyah, Sanusiyyah. (bab 2, 3 dan 4 karangan Trimingham). Tariqah-tariqah itu tersebar ke Nusantara dengan kedatangan Islam ke rantau ini. 
Antara maklumat-maklumat tentang perkembangannya boleh didapati dari penyelidikian Martin Van Bruinessen dengan bukunya Kitab Kuning Pesantren dan Tarekat, (11), Hj Wan Mohd Saghir Abdullah dengan Penyebaran Thariqat-Thariqat Shufiyyah Mu’tabarah di Dunia Melayu (12), A. H. Johns dengan Malay Sufismnya (13), dan huraian klasik tentang kedatangan Islam di Dunia Melayu bertajuk The Preaching of Islam, karangan T. W. Arnold (14), al-Attas dalam karyanya ‘Some aspects of Sufism in the malay Archipelago, ’ dan beberapa artikel dalam JMRAS oleh Dr Drewes dan lainnya. Termasuk antara yang terpentingnya ialah buku The Propagation of Islam in the Indonesian-Malay Archipelago, diedit oleh Alijah Gordon yang diterbitkan oleh MSRI baru-baru ini, yang terdiri daripada penyelidikan beberapa sarjana seperti Kern, Drewes, dan lain-lainnya. 
Antara fakta-fakta yang berfaedah diingatkan berhubungan dengan perkembangan tasawwuf di Dunia Melayu ialah beberapa tarikh berkenaan dengan ahli-ahli sufi yang terkemuka Alam Islam. Antaranya ialah Imam al-Ghazali yang banyak berbicara segi akhlak dalam tasawwuf. Ibn ‘Arabi yang banyak menimbulkan pengaruh kemudiannya (men. 1230 Masihi). ‘Abd al-Qadir al-Jilani yang menjadi asas tariqah Qadiriyyah (men. 1166 Masihi), dan Abun-Najib al-Suhrawardi yang namanya menjadi nama bagi tariqah Suhrawardiyyah (wafat tahun 1167 Masihi). Najmuddin al-Kubra, tokoh sufi Asia Tengah pendiri tariqah al-Kubrawiyyah, dan berpengaruh terhadap tariqah Naqsyabandiyyah (men. 1221), Abul-Hasan a-Syazili sufi Afrika Utara pendiri tariqah yang memakai namanya (men. 1258), dan Baha’uddin al-Naqsyaband (men. 1389) dan pendiri tariqah Syattariyyah (men. 1428-9). (16). 
Boleh dikatakan bahawa ajaran Islam yang disampaikan kepada Dunia Melayu sangat dipengaruhi oleh ajaran tasawwuf. Para sejarahwan menyatakan bahawa inilah yang menyebabkan Islam menarik kepada mereka di Asia Tenggara, dan boleh dikatakan bahawa tasawwuf dengan ajaran dan amalannya menyebabkan berlakunya proses Islamisasi Asia Tenggara, selain daripada faktor-faktor lainnya. 
A. H. Johns ahli sejarah Australia itu menyatakan bahawa Islamisasi tersebut berlaku dengan adanya dakwah yang cergas dilakukan oleh para penyebar sufi yang datang bersama-sama dengan para pedagang Muslim. Para pendakwah yang bersifat sufi ini disebutkan dalam punca-punca pribumi. Berhubungan dengan perkembangan tariqah dan tasawwuf sumber-sumber paling awal nampaknya berasal dari akhir abad ke-16. 
Nampaknya dalam naskhah-naskhah Islam yang paling tua dari Sumatera dan Jawa yang ada sekarang yang dibawa ke Eropah sekitar tahun 1600 ditemui tidak hanya risalah-risalah tasawwuf dan cerita-cerita ajaib berasal dari Parsi dan India tetapi juga kitab fiqh yang sahih. (17). Risalah-risalah agama berbahasa Jawa paling tua yang masih ada sekarang nampaknya menunjukkan adanya usaha mencari keseimbangan antara ajaran akidah, fiqh dan tasawwuf. Hanya dalam tulisan-tulisan Jawa pada masa belakangan ini adanya ajaran-ajaran tasawwuf yang jauh lebih kental. Tentang tariqah nampaknya tidak begitu banyak pengikut sebelum akhir abad ke-18 dan 19. (18). 
Tanah Arab -Mekah dan Madinah Sebagai Pusat Perkembangan Tasawwuf Asia Tenggara:
Ibadat haji merupakan kemuncak cita-cita kehidupan Muslim yang taat. Maka Muslimin di Dunia Melayu yang berkemampuan datang ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadat haji mereka, dan dalam masa yang sama ada dikalangan mereka yang menetap di sana. Nampaknya bilangan meraka yang menunaikan haji agak ramai berbanding dengan mereka yang datang dari wilayah lain apa lagi bila diambil kira jaraknya yang jauh dari Dunia Melayu. Orang-Orang Nusantara yang datang ke sana mempelajari ilmu-ilmu Islam dan ada di kalangan mereka yang mengambil tariqah daripada para ulama terkenal di sana, dan kemudiannya membawa ajaran itu pulang ke Nusantara. 
Pada abad ke 17 antara ulama yang terkenal itu ialah Syaikh Ahmad al-Qasyasyi, Ibrahim al-Kurani, dan putra Ibrahim, Muhammad Tahirdi Madinah. Pada abad ke 18 pula ulama Madinah yang terkenal Syaikh Muhammad al-Samman sangat berpengaruh ke atas oang-orang Dunia Melayu. Pada pertengahan abad ke-19 ulama dan sufi asli Indonesia, Ahmad Khatib Syambas di Makkah menjadi pusat perhatian utama orangf-orang Jawa, dan dalam separuh yang kedua abad yang sama suyaikh-syaikh di zawiyah tariqah Naqsyabandiyyah di Jabal Qubais di Makkah mengatasi pengaruh ulama lainnya. (23). 
Al-Qasyasyi (men. 1660) dan al-Kurani (men. 1691) merupakan wakil gabungan tradisi India dan Mesir. Di satu pihak mereka pewaris keilmuan sebagai ulama dari Zakaria Ansari dan ‘Abd al-Wahhab al-Sha’rani dalam fiqh dan tasawwuf, dan dari segi lain pula mereka mengambil bai’ah menjadi pengikut tariqah dari India, yang paling berpengaruh antaranya ialah tariqah Syattariyyah dan Naqsyabandiyyah. Dua tariqah ini mulanya diperkenalkan di Madinah oleh seorang India bernama Sibghatu’Llah yang menetap di sana sejak tahun 1605. Al-Kurani, seorang Kurdi, mungkin mengenal persuratan Islam dalam Bahasa parsi datri India; selain itu ia ahli hadith dan suka pula kepada metafisika. Dalam beberapa pertelingkahan pendapat yang sengit nampaknya ulama India menjadikannya sebagai rujukan. Orang Dunia Melayu juga nampaknya demikian sikapnya. Atas permintaan mereka beliau menulis syarah atas kitab Tuhfah karangan Burhanpuri, dengan memberi penafsiran aliran Ahlis-Sunnah. 
Antara tariqah yang diajarkan oleh al-Qasyasyi dan al-Kurani tariqat Syattariyyah digemari oleh orang Indonesia. Di Timur Tengah kedua syaikh ini terkenal sebagai pengikut tariqah Naqsyabandiyyah. ‘Abdu’r-Rauf yang tersebut di atas murid paling terkenal dari keduanya merupakan ulama paling terkenal antara murid mereka, tapi mungkin ada ramai lagi murid-murid mereka itu selain daripadanya. ‘Abdu’r-Rauf dihantar ke Dunia Melayu sebagai khalifah. 
Seorang ulama lagi yang sezaman dengan ‘Abdu’r-Rauf ialah Syeikh Yusuf Makassar yang dimuliakan sebagai wali utama Sulawesi Selatan. Dia menghabiskan masanya dua dekad di Tanah Arab dan belajar dengan Ibrahim al-Kurani dan lainnya dan mengembara sampai ke Damsyik. Beliau mengambil bai’ah sejumlah tariqah dan mendapat ijazah untuk mengajarkan tariqah Naqsyabandiyyah, Qadiriyyah, Syattariyyah, Ba’lawiyyah, dan Khalwatiyyah; juga beliau mengaku pernah mengikuti tariqah Dusuqiyyah, Syadhiliyhyah, ‘Aydrusiyyah, Chistiyyah, Ahmadiyyah, Madsriyyah, Kubrawiyyah, dan lainnya. Setelah beliau pulang ke Dunia Melayu pada tahun 1670 beliau mengajar apa yang dikatakannya sebagai tariqah Khalwatiyyah, tetapi berupa teknik kerohanian Khalwatiyyah dan yang lain-lainnya. Tariqah beliau ini berpengaruh di Sulawesi Selatan, terutama di kalangan golongan bangsawan Makassar. 
Hampir seratus tahun kemudian orang-orang Jawah di Tanah Arab tertarik kepadaa ajaran ulama yang sangat karismatik iaitu Syeikh Muhammad bin ‘Abd al-Karim al-Samman (men. 1775) di Madinah. 
Syeikh Muhamnmad Nafis al-banjari (dari kalimantan Selatan) menulis karya penting dalam bahasa Melayu iaitu al-Durrun-Nafis. 
Qadiriyyah wa Naqsyabandiyyah merupakan tariqah gabungan serupa dengan Sammaniyyah, yang di dalamnya teknik-teknik kerohanian tariqah Qadiriyyah dan Naqsyabandiyyah merupakan unsur utamanya, tetapi selain dari itu ada juga unsur-unsur lainnya. Tariqah ini adalah tariqah muktabar yang didirikan oleh ulama Dunia Melayu, Ahmad Khatib Syambas. Beliau yang menghabiskan masa dewasanya di Makkah sangat dihormati di luar kalangan orang Dunia Melayu sebagai ulama yang serba tahu yang menguasai fiqh, akidah dan juga tasawwuf. Ia mendapat ramai murid dan kemudian tariqah ini mengantikan tariqah Sammaniyyah sebagai tariqah yang paling popular di Dunia Melayu. Setelah beliau wafat tahun 1873, atau 1875, khalifahnya ‘Abd al-Karim dari Banten mengantinya sebagai syaikh tertinggi tariqah itu. ‘Abd al-Karim kena kembali dari Banten ke Mekah untuk mengganti kedudukan syaikh. Dua khalifah utama lainnya ialah Kiai Tolhah di Ceribon dan seorang kiai di Madura. ’Abd al-Karim adalah pimpinan pusat terakhir tariqah ini. 
Qadiriyyah wa Naqsyabandiyyah sekarang ini merupakan salah satu dari dua tariqat yang memiliki jumlah pengikut yang paling besar di Nusantara. Yang satu laginya ialah tariqah Naqsyabandiyyah Khalidiyyah yang tersebar ke seluruh Dunia Melayu berkat zawiyah yang didirikan oleh khalifah dari Maulana Khalid, ‘Abdul ‘Aziz al-Arzinjani di jabal Abu Qubais, Makkah. Para pengganti ‘Abdullah, Sulaiman al-Kirimi, Sulaiman al-Zuhdi, dan ‘Ali Ridha mengarahkan supaya penyebaran tariqah itu terutama kepada orang-orang Jawah yang datang ke Mekah dan Madinah dalam bilangan yang sangat ramai dalam dekad-dekad terakhir abad ke-19. Abad ke-21 memaparkan lepasan penuntut al-Azhar membawa pulang tariqah daripada Mesir. 
Perkembangan tariqah-tariqah Syattariyyah, Qadiriyyah, Naqsyabandiyyah, Rifa’iyyah, Ba’lawiyyah, Khalwatiyyah, Ahmadiyyah Idrisiyyah, dan Rahmaniyyah di bicarakan dengan lanjut lagi oleh ustaz Hj Wan Mohd Saghir Abdullah dalam buku barunya Penyebarann Thariqah-Thariqah Shufiyyah Mu’tabarah di Dunia Melayu, terbitan Khazanah Fathaniyyah, Kuala Lumpur, 2000. Antara karya yang membicarakan tariqat sufi dan tasawuf di alam Melayu iaitu karya Azyumardi Azra ‘ Jaringan ulama timur tengah dan nusantara’. The Sufi Orders in Islam oleh J. Spencer Trimingham, Martin Van Bruinessen dengan bukunya Kitab Kuning Pesantren dan Tarekat, (11), Hj Wan Mohd Saghir Abdullah dengan Penyebaran Thariqat-Thariqat Shufiyyah Mu’tabarah di Dunia Melayu (12), A. H. Johns dengan Malay Sufismnya (13), dan huraian klasik tentang kedatangan Islam di Dunia Melayu bertajuk The Preaching of Islam, karangan T. W. Arnold (14), al-Attas dalam karyanya ‘Some aspects of Sufism in the Malay Archipelago, ’ dan juga Syekh Ahmad al-Fathani ‘hadiqah al-Azhar’. 

CIRI-CIRI JIHAD
Sesuatu jihad yang hendak diperjuangkan hendaklah mempunyai ciri-ciri yang jelas dan mestilah mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh syara’. Diantara ciri-ciri yang benar dan perlu ada di dalam jihad ialah:

1. Matlamat hendaklah kerana Allah Subhanahu wa ta’ala dan Rasul semata-mata
Segala tindakan dan perlakuan yang dilakukan di atas nama jihad hendaklah ikhlas semata-mata kerana Allah dan Rasulnya, Justeru itu, segala tindakan yang matlamatnya selain dari itu tidak boleh dikatakan jihad. 

2. Mencurahkan daya dan tenaga kekuatan
Setiap jihad yang hendak dilaksanakan hendaklah memerlukan kepada usaha yang memerlukan kepada curahan daya tenaga dan kekuatan demi mencapai matlamat dan cita-cita Islam mendapat keredhaan, keampunan, dan kerahmatan Allah Subhanahu wa ta’ala. Contohnya, pelajar-pelajar yang sedang berjihad dengan jihad ilmu hendaklah sentiasa bersedia mencurahkan segenap daya dan tenaga mereka dengan bersungguh-sungguh di dalam menuntut ilmu yang dicari. 


3. Tidak bersalahan dengan nas-nas Al-Quran dan Sunnah
Jihad yang hendak dilaksanakan hendaklah mengikuti dan tidak menyalahi dengan apa yang telah ditetapkan oleh Al-Quran dan juga Al-Sunnah. Sekiranya perlaksanaan jihad tersebut mempunyai unsur-unsur yang bertentangan maka ianya tidak boleh dikatakan sebagai jihad yang sebenar iaitu jihad yang dituntut oleh Islam. 

ASAS-ASAS-JIHAD

1. Dalam Islam jihad ialah perjuangan yang sungguh-sungguh untuk menegakkan perkara-perkara yang diperintahkan oleh Allah dan membasmi perkara-perkara larangan-Nya sekalipun dengan mengorbankan hak-hak kepentingan diri sendiri. 
2. Dalam konsep Islam, jihad merangkumi korban kerana apabila seseorang berjihad dengan sendirinya bermaksud mengorbankan kepentingannya dan membawanya hampir kepada tuhan. 
3. Firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud:
" Dan orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami. Sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan kami, dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. "
2 Pembelaan Keadilan Merentas Sempadan Ummah

Berdasarkan konsep umum Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam, maka jihad bukan hanya untuk membela Islam dan umatnya, atau untuk menjaga kepentingan mereka sahaja. Akan tetapi ia juga adalah untuk membela keadilan bagi manusia sejagat. Ini adalah berdasarkan firman Allah yang bermaksud :

“ … dan sekiranya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya Allah pasti akan menolong orang yang menolong (agama)Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. ” (Al-Haj : 40)

KESIMPULAN
Jihad bagi umat Islam ibarat atap bagi sebuah bangunan. Dengannya umat ini akan dilindungi dari tindasan dan aniaya oleh musuh-musuhnya, sekaligus menjadikan umat ini mulia di dunia dan di akhirat. Adapun para mujahid merupakan seutama-utama bagi manusia dan umat ini. Bagi mereka ada dua kebaikan iaitu hidup mulia atau mati syahid. Secara umum, kondisi ummah pada hari ini menuntut jihad untuk menawarkan Islam sebagai alternatif praktikal ke arah kemakmuran hidup dunia dan kesejahteraan masyarakat global. Namun sebelum itu, realiti yang perlu diakui ialah bahawa pihak yang tidak memiliki tidak akan mampu memberi. Jihad ke luar ini, tidak dapat tidak, perlu diiringi, kalaupun tidak didahului, dengan jihad ke dalam secara serius untuk membangunkan khaira ummah, dengan membina quwwah (keupayaan dan kemampuan) dan amanah (berprinsip dan berkerohanian murni). 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment