Sunday, October 18, 2015

Tajuk: Tamadun Islam Adalah Tamadun Bersifat Syumul

MAKSUD TAMADUN
Maksud tamadun dari segi bahasa ialah membincangkan tentang kekuasaan, kehebatan, kemakmuran dan kemajuan sesuatu bangsa dan pemerintahan.Istilah tamadunialah pembandaran yang datang dari perkataan arab seperti “Umran”, “Madaniyyah”, “Hadharah” dan “Thaqaffah” yang bermaksud peradaban, kemajuan perindustrian dan pembangunan ekonomi sesuatu negara. Definisi secara bahasa Arab yang pertama ialah Umran. Terbitan dari perkataan ‘Amara yang berertikawasan tanah atau rumah yang didiami, diduduki orang, tinggal menetap, segolongan penduduk yang menetap dan seumpamanya dalam suatu keadaan yang berkembang subur lagi makmur dari keadaan kering tandus atau terbiar dan binasa. Yang kedua ialah Hadarah bermaksud tanah yang diusahakan, kampung, kota atau bandar. Tamadun pula digambarkan sebagai memenuhi ciri-ciri kehidupan di bandar bagi menggambarkan masyarakat yang bertamadun.Madaniyyah / mudun adalah memiliki ciri-ciri tamadun.

Dari segi bahasa Inggeris, perkataan tersebut diambil dari bahasa Latin ‘civitas’ bererti ‘bandar’.Civilization merujuk kepada budaya manusia yang kompleks yang memiliki sains dan teknologi serta mempunyai pengkhususan pekerjaan.Selain itu, tidak lupa juga istilah tamadun dalam bahasa Melayu ialah peradaban yang bermaksud kemajuan pada kehidupan jasmani dan rohani.

Muqaddimah memperkenalkan dua terminologi al – umran dan al – hadarah dalam abad ke – 14 yang membawa maksud sekumpulan manusia yang tinggal kekal di sesuatu tempat atau kota atau wilayah dan tanah pertanian yang akhirnya merintis kemajuan, kemakmuran dan pencapaian yang bersumberkan agama. Sayyid Qutb menerangkan segala bentuk kemajuan yang dihasilkan oleh sekumpulan masyarakat seperti sosial, pemerintahan, politik, ekonomi dan kebudayaan yang berteraskan syariat Allah, serta bercirikan nilai-nilai moral Islam. Collingwood berkata, tamadun ialah satu proses bagi mencapai satu tahap kehidupan yang lebih sempurna ataupun satu proses ke arah sivil yang mana hasil daripada proses tersebut akan melahirkan ciri-ciri masyarakat bandar iaitu masyarakat yang mempunyai kehalusan budi. Arnold Toynbee menerangkan, tamadun merupakan suatu kehidupan yang unggul yang dipandukan oleh sistem perundangan, agama, politik dan pentadbiran yang menjamin kemajuan dan keselamatan masyarakat. Edward L. Farmer pula menjelaskan tamadun sebagai unit budaya besar yang mengandungi unsur-unsur sosial, tradisi dan institut yang dikongsi bersama dan diwarisi dari generasi ke generasi yang lain.

Sarjana barat iaitu Gordon Childe menerangkan tamadun adalah pencapaian lahiriah yang merupakan kayu ukur kemajuan tamadun dalam sesebuah masyarakat.Manakala Darcy Riberio dan R.A.Buchanan menolak unsur kerohanian dan menekankan kepentingan kepentingan dan pembangunan lahiriah.

Dari sudut Islam, tamadun mesti merangkumi pembangunan lahiriah dan rohaniah kerana perkara tersebut penting untuk mengukur tahap ketamadunan sesebuah masyarakat.Seperti yang dikatakan oleh Syed Naquib al-Attas, tamadun adalah suatu pencapaian tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan yang luhur.Perkara ini disokong oleh sarjana barat seperti Richard Sullivan yang mengakui bahawa unsur rohaniah penting dalam konsep tamadun.Kesimpulannya, konsep tamadun merangkumi pencapaian berbentuk lahiriah dan pencapaian dalam aspek rohaniah, tatasusila dan moral.

MAKSUD SYUMUL

Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, syumul merupakan perkataan dalam bahasa Arab yang membawa maksud, bersifat menyeluruh dan sempurna.

Yusuf Qardhawi menerangkan, antara ciri-ciri yang membezakan Islam daripada agama – agama, falsafah – falsafah dan ideologi – ideologi yang dikenal oleh manusia ialah ciri ‘asy-Syumul atau kemenyeluruhan dengan segala pembawaan maknanya yang merangkumi dan meliputi segala-galanya.Ia meliputi semua zaman dan merangkumi seluruh kejadian dan kehidupan manusia.

Seorang ulama’ menggambarkan keluasan erti asy-Syumul’ di dalam risalah Islam itu sebagai berikut “Islam adalah risalah yang panjangnya meliputi semua zaman, lebarnya mengatur segenap aspek hidup manusia dan dalamnya merangkumi setiap persoalan dunia dan akhirat”. Islam adalah risalah bagi setiap zaman dan generasi, bukan risalah yang terhad pada masa yang tertentu yang peranannya habis dengan berakhirnya masa itu, sebagaimana keadaan risalah Nabi-nabi yang terdahulu daripada Nabi Muhammad s.a.w. Bahawa setiap Nabi diutus bagi jangka masa yang tertentu. Bila tempoh itu habis, maka Allah s.w.t. mengutus pula Nabi yang lain. Adapun Nabi Muhammad s.a.w. adalah penutup para Nabi.Oleh itu risalahnya adalah risalah yang abadi yang berkekalan hingga ke hari Qiamat dan meliputi seluruh alam.Risalah ini membawa hidayah yang terakhir kepada umat manusia.Jelaslah bahawa tidak ada syariat selepas Islam, tidak ada kitab selepas Al Quran dan tidak ada Nabi selepas Nabi Muhammad s.a.w.

Tidak ragu-ragu lagi bahawa Islam adalah risalah masa depan yang abadi dan risalah masa lalu yang jauh. Sesunggughnya pokok iqtikad dan akhlaknya adalah menjadi risalah bagi tiap-tiap nabi yang diutus dan tiap-tiap kitab yang diturunkan.Maka semua Nabi datang dengan Islam, menyeru Tauhid dan menjauhi Thaghut.

Yusuf Qardhawi menyatakan Islam agama yang syumul adalah, risalah sejagat yang merangkumi setiap umat, setiap jenis manusia, setiap bangsa dan setiap kelas di dalam masyarakat.Ia bukan risalah bagi satu bangsa yang tertentu, yang mendakwa bahawa bangsanya adalah pilihan Tuhan danseluruh manusia mesti tunduk kepadanya. Iajuga bukan risalah bagi kawasan tertentu sehingga kawasan – kawasanlain terpaksa mengakuinya supaya ia dapat menarik keuntungan daripadanya.

Justeru, ia bukan risalah bagi satu kelas tertentu dalam masyarakat supaya ia dapat memerintah kelas – kelasyang lainnya berkhidmat untuk kepentingannya atau mengikut kemahuannya ataupun ia dapat mengeksploitasinya, sama ada kelas yang berkuasa itu dan kalangan orang – orangkuat atau orang – oranglemah, dan kalangan pemimpin atau hamba, dan kalangan orang – orang kaya, atau orang-orang miskin.

Sesungguhnya Islam adalah risalah untuk mereka seluruhnya, bukan untuk kepentingan satu golongan daripada mereka.Dan tidaklah menjadi hak monopoli satu golongan tertentu untuk memahamkan, menafsirkan serta mendakwahkan Islam seperti yang disalah-fahamkan setengah-setengah orang.

Sesungguhnya ia adalah hidayah Allah Subhanahu wa ta’ala kepada setiap manusia dan rahmat Allah bagi setiap hambaNya.Islam adalah agama Allah yang kekal, bersifat umum dan menyeluruh. Kerana Islam diturunkan untuk semua manusia. Ini jelas terbukti melalui firman Allah dalam Surah Saba’ ayat 28:

Yang bermaksud: “Dan kami tidak mengutuskan kamu melainkan kepada ummat manusia seluruhnya sebagai pembawa berita dan sebagai pemberi peringatan”.
Dan juga di dalam surah al-Nahl ayat 89:

“Dan Kami turunkan kepadamu al-Quran untuk menjelaskan tiap-tiap sesuatu”.

Di atas dasar sifat-sifat Islam yang tetap dan tidak berubah inilah al-Mursyid Hasan al-Banna r.m telah membicarakan asas yang pertama ini. Beliau bertujuan menjelaskan sebahagian daripada perkara – perkarayang terkandung dalam Islam. Penjelasan yang dibuat oleh beliau ini diperkukuhkan lagi oleh Al Quran; dalam Al Quran terdapat ayat – ayatyang berkaitan dengan hukum, sembahyang, muamalat, kehakiman dan sebagainya.

Setengah orientalis menyangka bahawa Nabi Muhammad s.a.w. tidak mengisytiharkan dan permulaannya bahawa beliau adalah utusan Allah s.w.t. kepada seluruh manusia, tetapi hal itu dilakukannya setelah beliau mendapat kemenangan ke atas kaumnya bangsa Arab. Maka ayat-ayat yang kita sebutkan itu menolak sangkaan mereka.Ini disebabkan salah – faham mereka terhadap ayat – ayatMakkiyyah. Ayat – ayat sepertinya banyak di turunkan pada masa – masapermulaan turunnya AlQuran.

SYUMUL DARI SEGI AQIDAH

Aqidah (العقيدة) dari segi bahasa berasal dari Bahasa Arab (عَقَدَ) yang bermakna 'ikatan' atau 'sangkutan' atau menyimpulkan sesuatu. Menurut istilah 'aqidah' bererti 'kepercayaan', 'keyakinan' atau 'keimanan' yang mantap dan tidak mudah terurai oleh pengaruh mana pun sama ada dari dalam atau dari luar diri seseorang.

Pengertian aqidah dalam Al-Quran adalah keimanan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala yakni mengakui kewujudan-Nya. Dari segi fungsinya Allah Subhanahu wa ta’ala sebagai Rabb (رب), Malik (ملك), dan Ilah (إله) seperti dapat dilihat dalam Surah Al-Fatihah ayat 1, 3, 4, Surah An-Nas ayat 1, 2, 3. Berdasarkan ayat di atas, Aqidah Islamiyah dapat disimpulkan dengan rumusan Tauhid Rububiyah, Tauhid Mulkiyah, Tauhid Uluhiyah.

Aqidah adalah Iman kepada Allah Subhanahu wa ta’ala, Malaikat-MalaikatNya, Kitab –KitabNya, Rasul – RasulNya, Hari Kiamat, Qada dan Qadar (baik buruknya) dari Allah Subhanahu wa ta’ala. Makna Iman adalah pembenaran secara pasti (tashdiq al-jazim) sesuai dengan kenyataan berdasarkan dalil.Jika pembenaran saja tanpa disertai dalil tidak digolongkan Iman, kerana tidak termasuk pembenaran yang pasti kecuali apabila bersumber dari dalil.Jika tidak disertai dalil maka tidak ada kepastian.

Jadi, kalau cuma pembenaran saja terhadap suatu berita tidak termasuk Iman.Berdasarkan hal ini pembenaran harus berdasarkan dalil agar menjadi bersifat pasti, atau agar tergolong Iman.Ini bererti adanya dalil terhadap segala sesuatu yang dituntut untuk diimani adalah suatu hal yang pasti agar pembenaran terhadap sesuatu tadi tergolong Iman.Maka adanya dalil merupakan syarat utama adanya keimanan, tanpa melihat lagi apakah hal itu sahih (benar) atau fasid (rosak).

Dalil Aqidah ada dua, iaitu Dalil Aqli (menggunakan akal) dan Dalil Naqli (dari Al-Quran dan Hadis).Yang menentukan apakah dalil itu aqli atau naqli adalah fakta dari permasalahan yang ditunjukkan untuk diimani.Apabila permasalahannya adalah fakta yang boleh difikirkan maka dipastikan dalilnya aqli bukan naqli.Namun jika permasalahannya tidak dapat difikirkan maka dalilnya adalah naqli.

Orang yang mendalami perkara yang dituntut akidah Islam untuk diimani akan menjumpai bahawa Iman kepada (wujud) Allah Subhanahu wa ta’ala, dalilnya adalah aqli.Perkara tersebut menerangkan bahawaadanya al-Khaliq (Maha Pencipta) bagi segala yang ada yang dapat dijangkau dengan panca indera.

Beriman terhadap (keberadaan) malaikat-malaikat dalilnya adalah naqli.Alasannya keberadaan malaikat tidak dapat dilihat. Malaikat tidak boleh dijangkau zatnya dan tidak boleh dijangkau dengan apapun yang menunjukkan atas (keberadaan)nya.

Beriman terhadap kitab-kitab allah Subhanahu wa ta’ala dapat dihuraikan sebagai berikut, jika yang dimaksud adalah beriman terhadap Al-Quran maka dalilnya aqli, kerana Al-Quran dapat dilihat dan dijangkau. Demikian pula kemukjizatan Al-Quran dapat dilihat sepanjang zaman.

Begitu pula halnya beriman terhadap para rasul.Beriman terhadap Rasul (Nabi Muhammad s.a.w.) dalilnya aqli, kerana pengetahuan akan Al-Quransebagai kalam Allah dan ia dibawa oleh Rasul (Nabi Muhammad s.a.w.) adalah sesuatu yang dapat dilihat. Dengan membaca Al-Quran dapat diketahui bahawa Muhammad itu Rasulullah.

Dalil Hari Kiamat adalah naqli, kerana Hari Kiamat tidak dapat dilihat, malahan tidak ada satu pun perkara yang dapat dilihat yang menunjukkan tentang Hari Kiamat.Dengan demikian tidak terdapat (satu) dalil aqli pun untuk hari kiamat.Dalilnya adalah naqli.

Qada dan Qadar dalilnya aqli, kerana Qada adalah perbuatan manusia yang dilakukannya atau yang menimpanya (dan tidak dapat ditolak).Ia adalah sesuatu yang dapat dilihat maka dalilnya adalah aqli. Qadar adalah khasiat sesuatu yang dimunculkan (dimanfaatkan) oleh manusia, seperti kemampuan membakar yang ada pada api, kemampuan memotong yang ada pada pisau. Khasiat ini adalah sesuatu yang dapat dilihat, maka dalil untuk perkara Qadar adalah aqli.

SYUMUL DARI SEGI IBADAH

Perkataan ibadat datang dari perkataan Arab.Dari segi bahasa bermaksud patuh, taat, tunduk, menyembah dan perhambakan diri kepada sesuatu.

Dari segi istilah agama pula, Ibadat bererti tindakan menurut dan mengikat diri dengan sepenuhnya kepada segala perkara-perkara yang disyariatkan oleh Allah dan diseru oleh para Rasul, sama ada ia berbentuk suruhan atau larangan.

Ibadat dalam Islam mempunyai ciri-ciri yang tersendiri yang berbeza sama sekali daripada konsep ibadah di dalam agama dan kepercayaan yang lain. Antara ciri-ciri tersebut ialah tidak ada sebarang perantaraan di antara Allah dan manusia, dan ibadat dalam Islam tidak terikat dengan sesuatu tempat atau masa yang tertentu.

Ibadat itu terdiri daripada berbagai bentuk, bukan satu perkarasahaja sehingga manusia merasa tidak jemu dalam menunaikan ibadatnya.Peningkatan ibadat itu pula berbeza dan pelbagai bentuk sesuai dengan perangai, kecenderungan dan minat manusia itu sendiri.

Ibadat di dalam Islam merangkumi segala kegiatan manusia dari segi rohaniah dan jasmaniah. Setiap seorang muslim boleh mencampurkan urusan dunia dan akhirat, inilah kombinasi yang indah di dalam Islam yang tidak terdapat di dalam agama –agamalain.

Tempat untuk beribadat adalah terbuka di semua penjuru. Semua aktiviti manusia sehingga makan dan minum pun boleh menjadi ibadat jika ia berniat untuk mengumpulkan tenaga bagi memperjuangkan perkara-perkara yang baik seperti yang disuruh oleh Islam.

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala, “Wahai sekalian manusia beribadahlah kepada Tuhan kau yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertaqwa.”, surah Al – Baqarah, ayat 21.

Daripada ayat di tersebutboleh dibuat kesimpulan bahawa, Allah Subhanahu wa ta’ala menciptakan umat manusia dan memerintah mereka supaya melakukan ibadat serta menjunjung perintahNya dan meninggalkan larangan-laranganNya.Tujuan sebenar Allah Subhanahu wa ta’ala menciptakan manusia ialah untuk beribadat.Manusia diwajibkan beribadat kepada.Allah Subhanahu wa ta’ala serta mengemukakan ibadah-ibadahnya, hanya kepada Allah tanpa menyekutui Allah dengan sesuatu makhluk. Selain itu, manusia juga dewajibkan dan ditugaskan sentiasaberibadat serta dituntut sehungga menemui Allah, seseorang itu tidak akan terlepas daripada tugas tersebut walaupun jiwanya telah meningkat tinggi dan sentiasa dalam perhubungan yang kuat dengan Tuhannya.Setiap peribadatan hendaklah berdasarkan keikhlasan yang lahir daripada hati yang redha, sebagai mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu wa ta’ala.Natijahnya, konsep ibadah dalam Islam adalah amat luas dan menyeluruh, merangkumi tingkah laku dan amalan manusia seluruhnya yang dikerjakan menurut ajaran Islam.Ibadah mempunyai kaitan yang rapat dengan akhlak. Menerusi ibadah yang betul akan melahirkan kelakuan yang baik bersopan dan berakhlak mulia. Nilai akhlak berpunca daripada agama ditetapkan oleh al Qur’an dan al sunnah. Setiap amalan yang memenuhi syarat-syarat berkenaan boleh menjadi ibadah.

SYUMUL DARI SEGI AKHLAK

Akhlak dari segi bahasa ialah berasal daripada perkataan 'khulq' yang bererti perilaku, perangai atau tabiat. Maksud ni terkandung dalam kata-kata Aisyah berkaitan akhlak Rasulullah saw yang bermaksud, "Akhlaknya (Rasulullah) adalah al-Quran." Akhlak Rasulullah yang dimaksudkan di dalam kata-kata di atas ialah kepercayaan, keyakinan, pegangan, sikap dan tingkah laku Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam yang semuanya merupakan pelaksanaan ajaran al-Quran.

Akhlak dari segi istilah, menurut Imam al-Ghazali, "Akhlak ialah suatu sifat yang tertanam dalam jiwa yang daripadanya timbul perbuatan-perbuatan dengan mudah tanpa memerlukan pertimbangan terlebih dahulu”. Menurut Ibnu Maskawih, "Akhlak ialah keadaan jiwa seseorang yang mendorong untuk melakukan perbuatan-perbuatan tanpa pertimbangan akal fikiran terlebih dahulu”.Manakala menurut Profesor Dr Ahmad Amin, "Akhlak ialah kehendak yang dibiasakan dan ia akan menjadi kebiasaan yang mudah dilakukan”.

Daripada definisi tersebut dapat kita fahami bahawa akhlak merupakan suatu perlakuan yang tetap sifatnya di dalam jiwa seseorang yang tidak memerlukan daya pemikiran di dalam melakukan sesuatu tindakan.Pengertian Akhlak Menurut Sarjana lslam iaitu Imam Al-Ghazali menyebut akhlak ialah suatu sifat yang tertanam dalam jiwa.Daripada jiwa itu, timbul perbuatan-perbuatan dengan mudah tanpa melakukan pertimbangan fikiran.

Prof. Dr. Ahmad Amin mendefinisikan akhlak sebagai kehendak yang dibiasakan.Maksudnya, sesuatu yang mencirikan akhlak itu ialah kehendak yang dibiasakan.Ertinya, kehendak itu apabila membiasakan sesuatu, maka kebiasaan itu dinamakan akhlak.Ahmad Amin menjelaskan erti kehendak itu ialah ketentuan daripada beberapa keinginan manusia.Manakala kebiasaan pula ialahperbuatan yang diulang-ulang sehingga mudah melakukanya. Daripada kehendak dan kebiasaan ini mempunyai kekuatan ke arahmenimbulkan apa yang disebut sebagai akhlak.Ibnu Maskawayh mengatakan akhlak ialah suatu keadaan bagi diri atau jiwa yang mendorong (diri atau jiwa itu) untuk melakukanperbuatan dengan senang tanpa didahului oleh daya pemikiran kerana sudah menjadi kebiasaan.

SYUMUL DARI SEGI SYARIAT

Syari’ah dalam bahasa Arab bererti aliran (almazhab) dan jalan yang lurus.Syariah Islamiyyah menurut istilah ialah hukum-hukum yang disyara’kan oleh Allah s.w.t. untuk hambaNya, samada yang berkaitan dengan aqidah, ibadat, akhlak, muamalat, dan sistem-sistem hidup dalam pelbagai aspek demi untuk kebahagiaan mereka di dunia dan akhirat.Ia juga diertikan sebagai saluran air yang mengalir yang menjadi sumber minuman.

Hukum-hukum ini dinamakan Syariah kerana lurus dan tidak menyimpang sistemnya dari matlamatnya, seperti landasan yang lurus tidak ada bengkang-bengkok.Berdasarkan penjelasan di atas maka syariat Islam Islam dari segi istilah syara’ adalah “semua hukum yang diciptakan oleh Allah untuk hambanya sama ada hukum – hukum ini diperundangkan melalui al-Qur’an atau Sunnah Nabi Sallallahu ‘alaih wa sallam dalam bentuk perkataan, perbuatan atau perakuan baginda”.

Syariat Islam menjadi keistimewaan dengan ciri ini, ia menjadi rahmat untuk sekalian alam, menjadi petunjuk kepada seluruh umat manusia dan merupakan peraturan untuk manusia sejagat pada semua masa dan tempat. Ia bukan perundangan untuk manusia, negara, bangsa dan kabilah tertentu sahaja, bahkan ia untuk manusia di mana jua mereka berada.

Islam meraikan kehendak dan keperluan manusia dalam beberapa perkara seperti, Dharuriyyat iaitu kehidupan manusia tidak akan wujud dengan ketiadaannya. Perkara-perkara dharuriyyat ini perlu untuk menjaga akal, agama, jiwa, keturunan dan harta.Hajiyyat, perkara yang diperlukan manusia untuk hidup. Namun manusia hidup tanpa kewujudannya.Tahsiniyyat iaitu perkara yang diperlukan manusia untuk hidup lebih mulia. Contohnya Islam mewajibkan menutup aurat tetapi cara penutupan mengikut tempat dan suasana. Ia lebih mirip kepada unsur kesempurnaan kemewahan.

Syariat Islam kekal sepanjang zaman tanpa dinasakh dan tiada perubahan.Ia merupakan Syariat Islam terakhir dan penutup syariat-syariat samawi. Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaih wa sallam adalah rasul terakhir, tiada Nabi lagi selepas baginda.

Kesejagatan Syariat Islam, umum untuk seluruh manusia dan tidak menerima sebarang pembatalan dan tukar ganti, sudah pasti segala peraturan dan hukum-hukumnya itu dapat mencapai kepentingan manusia sepanjang zaman dan disemua tempat dan mampu memenuhi segala keperluan yang dihajati oleh manusia setiap masa, dijadikannya sebagai penutup semua syariat, peraturan, prinsip dan hukum-hukumnya sesuai dilaksanakan untuk semua masa dan tempat.

Syariat Islam itu suatu sistem yang syumul mencakupi semua urusan hidup yang menggariskan manusia jalan iman, menerangkan dasar-dasar aqidah, menyusun hubungan manusia dengan Tuhannya, memerintah bersihkan jiwa, dan mengatur hubungan manusia sesama manusia.Kesyumulan Islam ini dapat dilihat pada tiga kelompok iaitu hukum-hukum yang berkaitan dengan aqidah seperti beriman kepada Allah dan hari akhirat.

Perbahasan hukum-hukum aqidah ini dan kajiannya terdapat dalam ilmu kalam atau Tawhud.Hukum-hukum yang berkaitan dengan akhlak seperti wajib bercakap benar, amanah, menyempurnakan janji, haram berdusta, khianat, mungkir janji.Hukum-hukum akhlak ini kajiannya adalah dalam ilmu akhlak atau Tasawwuf.

Hukum-hukum yang berkaitan dengan perkataan dan perbuatan manusia dalam hubungan mereka dengan yang lain. Hukum amali ini dinamakan dengan al-fiqh, perbincangannya dalam ilmu al-Fiqh.

Ia terbahagi kepada 2 bahagian yang besar iaitu, Ibadat seperti solat, puasa, zakat yang mana ia bertujuan mengatur hubungan di antara individu dengan Tuhannya.Adat dan muamalat yang bertujuan untuk mengatur hubungan di antara sesama manusia.Syariat Islam bersifat kemanusiaan sejagat kerana ianya diturunkan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala untuk seluruh manusia dan rahmat Allah kepada mereka sepanjang zaman dan di semua tempat.

KESIMPULAN

Dalam menghadapi cabaran alaf baharu, umat Islam haruslah merancangkan agendanya yang lebih bercorak futuristic, iaitu berdasarkan perkembangan dan pembangunan yang bakal berlaku pada alaf baharu itu.Menjelang akhir abad ini, kita dapat melihat bahawa cabaran baharu yang dihadapi oleh umat Islam adalah dalam bentuk cabaran ilmu pengetahuan, sains dan teknologi serta persaingan ekonomi.

Kita memerlukan ahli teknokrat dan teknologi Islam, ahli professional dan pengamal yang aktif di dalam berbagai- bagai bidang kehidupan moden, bukan hanya untuk memajukan diri dan masyarakat pada era baharu, malahan dapat berkhidmat dan bekerja untuk memberi sunbangan kepada manusia keseluruhannya yang sekalihgus dapat mematabatkan agama dan umat kita.

Masyarakat Islam juga tentunya tidak boleh mengabaikan pendidikan Ilmu ketuhanan dan kerohanian atau bidang yang kini dikenali sebagai bidang pengajian Islam.Namun, dalam masa yang sama kita juga tidak mahu masyarakat Islam ketinggalan dalam bidang Ilmu keduniaan dan professional yang dapat mengangkat martabat dan kehidupan masyarakat kita di dalam dunia yang penuh persaingan ini. Akhir sekali, perlulah diingatkan dan dihayati oleh semua umat Islam bahawa perjuangan ke arah meningkatkan martabat dan tamadun Islam perlu diteruskan.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment