Thursday, October 15, 2015

Tajuk: Keadaan Masyarakat Melayu Sebelum Dan Selepas Kedatangan Islam

TAKRIF - PENGENALAN

Kedatangan Islam ke Tanah Melayu dipercayai bermula pada abad ke-7 masihi. Pandangan ini berdasarkan kemungkinan agama Islam disebarkan oleh para pedagang dan pendakwah dari Asia Barat ke Negara China. Seterusnya Islam semakin berkembang pesat berikutan dengan kemunculan beberapa buah kerajaan Islam di Pasai dan Perlak di persekitaran Selat Melaka pada abad ke-13 Masihi. 

Sebelum kebangkitan Melaka, Islam terbatas di pelabuhan-pelabuhan di Sumatera. Bukti kehadiran Islam di kawasan pelabuhan-pelabuhan ini termasuk catatan pada 1292 oleh Marco Polo mengenai negeri-negeri Pasai dan Perlak yang mempunyai pemerintah-pemerintah Islam, dan batu nisan seorang raja Pasai yang meninggal dunia pada tahun 1297 yang mempunyai nama Islam Malek-al-Salleh. Penduduk di sekitar pelabuhan-pelabuhan ini adalah antara yang paling awal dalam Asia Tenggara memeluk Islam. Sebab pemelukan Islam awal ini termasuk jarak kawasan ini yang jauh daripada pengaruh kerajaan Hindu Majapahit, dan hubungan dagang yang lama antara kawasan ini ada dengan pedagang-pedagang India yang telah memeluk Islam. 

Manakala Ibn Battutah, pengembara Arab yang singgah sebanyak dua kali di Samudera semasa dalam perjalanan pergi dan balik dari Negara China antara tahun 1345 hingga 1346, menyatakan bahawa raja Samudera ketika itu telah memeluk Islam dan mengamalkan Mazhab Shafie. Menurut beliau lagi, negeri-negeri lain di sekelilingnya masih belum memeluk Islam. Sepanjang tempoh abad ke-13 dan ke-16 Masihi, agama Islam telah tersebar dengan meluas hampir ke seluruh Kepulauan Melayu dan mengurangkan pengaruh agama Hindu-Buddha yang bertapak berabad-abad lamanya di Tanah Melayu. Sejak itu, Islam telah berkembang pesat sehingga menjadi agama yang dianuti oleh sebahagian besar penduduk di Kepulauan Melayu (Ruslan Zainuddin, 2004: 91). 

Dari sudut sejarahnya selepas kedatangan Islam dan pembentukan Kerajaan Melaka yang bercorak keislaman, kita dapati proses Islamisasi di bidang undang-undang, sosio-budaya dan politik berterusan berlaku. Dalam bidang undang- undang dimulai dengan undang-undang Kanun Melaka & Kanun Laut Melaka, diikuti pula dengan Kanun Pahang dan seterusnya Kanun Kota Setar dan lain-lain. Demikian juga dengan Perlembagaan Terengganu & Perlembagaan Negeri Johor. Perubahan dalam bidang sosio-budaya juga berlaku di mana orang Melayu telah menghayati nilai-nilai akhlak Islam dalam kehidupan yang terangkum dalam adab-adab kehidupan mereka seperti adab berpakaian, adab berbahasa, adab berjiran dan sebagainya. Dalam bidang politik, pemerintah dianggap sebagai pemerintah di mana kekuasaan politik itu merupakan satu amanah Allah dan para pemimpin diminta bertindak mengikut lunas-lunas yang digariskan oleh Islam. 

KEPERCAYAAN MASYARAKAT MELAYU SEBELUM DAN SESUDAH ISLAM

Antara kesan utama yang telah dibawa oleh Islam ialah terhadap akidah dan kepercayaan. Sebahagian daripada masyarakat Melayu telah meninggalkan ajaran agama Hindu¬Buddha dan kepercayaan animisme. Mereka percaya kepada konsep ketuhanan, hormat-menghormati antara manusia dan menitikberatkan soal persamaan taraf. Cara kehidupan mereka juga telah berubah kepada cara hidup beragama dengan mengamal dan menghayati ajaran Islam dalam kehidupan mereka. 

Sebelum kedatangan Islam, terdapat dua kepercayaan iaitu Animisme yang berkaitan dengan jiwa dan roh. Dalam kepercayaan ini mereka telah menganggap benda-benda ghaib mempunyai semangat dan kuasa. Sehubungan dengan itu, wujudlah pemujaan atau penyembahan kepada batu-batu, pokok-pokok, sungai-sungai dan fenomena alam yang lain. Kuasa ghaib itu disifatkan sebagai hantu, jembalang atau jin yang menjadi penunggu objek tersebut (Haron Daud, 1989 : 26). 

Selepas kedatangan Islam, Islam telah mengubah pemikiran dan kepercayaan masyarakat Melayu daripada mempercayai roh, semangat dan dewa-dewa kepada mempercayai Tuhan Yang Maha Esa, percaya adanya nabi-nabi, rasul-rasul, malaikat dan kitab-kitab suci. Mereka telah mempelajari dan mengamalkan ilmu fadhu ain dan fardhu kifayah diikuti dengan amal ibadat seperti sembahyang, puasa, mengeluarkan zakat dan menunaikan rukun haji. Masyarakat Melayu juga merayakan hari-hari kebesaran Islam seperti mengadakan sambutan Maal Hijrah, sambutan Maulidur Rasul dan juga Nuzul al-Quran. 

Perubahan yang paling utama ialah daripada sudut kepercayaan yang mana masyarakat Melayu telah diperkenalkan dan diyakinkan dengan keyakinan yang berteraskan tauhid. Fahaman tauhid telah mengubah pemikiran orang Melayu daripada zaman Hindu-Buddha dengan metodologinya, penyembahan rajanya, ciri tertentu dan masyarakatnya, alam khayalannya, penyembahan berhalanya, kepada ajaran tauhid yang murni (Muhammad Uthman, 1977 : 185)

Kedatangan Islam ke Alam Melayu telah membawa banyak perubahan sebagaimana yang disebut oleh Syed Naquib al-Attas sebagai mencetuskan suatu zaman baru. Perubahan yang dibawa merupakan perubahan menyeluruh berteraskan asas tauhid. Impak tauhid ini telah menyebabkan berlakunya perubahan terhadap 'rupa dan jiwa' Alam Melayu ini. Ledakan tauhid ini telah meninggalkan zaman kehidupan t Hinduisme dan Buddhisme yang tiba pada abad ke-4 dan ke-5M, di mana perintah - perintah dan ajaran Islam itu diterima melalui jenis-jenis aktiviti pendidikan yang formal (Azhar Hj. Md Aros, 2003 : 304). 

Agama Islam di Melaka telah dihayati oleh masyarakat Melayu ketika itu sejak agama ini diterima oleh Raja Mahkota Iskandar Shah. Masyarakat Melaka telah menerima agama Islam yang telah dianuti oleh raja mereka. Dengan penerimaan ini, mereka berusaha pula untuk mengamalkan serta menghayati ajaran dan hukum Islam dengan sebaiknya. 

Penyebaran ajaran Islam juga telah berlaku tanpa mengganggu masyarakat yang ada sehingga akhirnya menjadikan orang Melayu di Alam Melayu beragama Islam. Tauhid juga telah mengubah kehidupan beribadah, menghiasi akhlak masyarakat Melayu. 

SISTEM PEMERINTAHAN MASYARAKAT MELAYU SEBELUM DAN SELEPAS ISLAM
Sebelum kedatangan Islam sistem pemerintahan adalah berteraskan ajaran Hindu. Ini kerana Parameswara asalnya beragama Hindu. Pengaruh dewa-raja berlaku dalam pentadbiran. Di dalam ajaran Hindu, raja dianggap sebagai dewa yang mana raja dianggap memiliki kuasa ghaib dan wajib disembah sebagai Tuhan. Di samping itu, Hindu mengamalkan sistem kasta yang telah membezakan antara golongan atasan dan golongan bawahan. Kesan daripada sistem ini, berlaku ketidakadilan dari segi cara hidup masayarakat di mana yang kaya bertambah kaya dan yang miskin kekal dengan kemiskinan mereka. Setelah Islam datang dan tersebar di seluruh Nusantara, sistem politik dan pentadbiran masyarakat Melayu telah berubah dan dipadankan dengan ajaran Islam. 

Gelaran raja telah bertukar kepada sultan dan disamakan dengan khalifah seperti yang diperkenalkan dalam sistem politik Islam. Dengan kedatangan Islam juga, terdapat suatu unsur kekuasaan rakyat dalam menentukan penubuhan sistem beraja. Rakyat boleh mengubah perjanjian jika syarat-syarat dilanggar oleh raja. Keadaan ini bertentangan dengan asas penubuhan yang disarankan oleh Tajus-Salatin dan Bustanus Salatin yang menekankan fardhu bagi penubuhan sistem beraja sebagai kurniaan Tuhan kepada manusia dan merupakan suatu pekerjaan yang hanya dapat ditanggung oleh orang yang terpilih sebagai pewaris kedudukan khalifah. 

Konsep dewaraja bertukar kepada konsep sultan. Ia merupakan suatu gelaran kepada orang yang diamanahkan mentadbir sesebuah negeri dan pada masa yang sarna berperanan sebagai khalifah Allah Subhanahu wa ta’ala di bumi. Kepatuhan dan ketaatan pada sultan adalah kepatuhan yang bersyarat, bukan kepatuhan mutlak seperti konsep dewaraja. Dalam konteks sosial, Islam telah mengajar supaya tidak ada pengkastaan dalam masyarakat seperti dalam pengaruh Hindu-Buddha, sebaliknya masyarakat mestilah diasaskan pada keadilan yang bersendikan agama. Raja dan rakyat, tua dan muda, kaya dan miskin semuanya mempunyai peranan dalam masyarakat (Mifah Abu Yazid, 2003: 54). 

POLITIK DAN PENTADBIRAN MASYARAKAT MELAYU
Dari segi pentadbiran sebelum kedatangan Islam, kerajaan Melayu Melaka telah ditadbir oleh seorang sultan yang mempunyai kuasa penuh dalam urusan pentadbiran negara. Sultan juga berperanan sebagai ketua dalam agama Islam dan ketua negara. Sultan juga bertanggungjawab dalam memastikan pentadbiran dapat dijalankan dengan baik dan berkesan. Pada zaman pemerintahan Melayu Melaka, kerajaan amat maju dan stabil. Antara langkah¬langkah yang diambil untuk menjadikan Melaka makmur, aman dan stabil termasuklah (Zulkefli Haron, 2005: 81):

Kedatangan Islam telah memberi perubahan terhadap sistem politik. Misalnya, agama Islam telah diisytiharkan sebagai agama rasmi di Melaka. Sehubungan dengan itu, beberapa institusi Islam telah didirikan bagi membantu mengukuhkan sistem pentadbiran berasaskan Islam. Antara institusi yang didirikan adalah Jabatan Agama Islam dan Syariah. Selain itu kitab Undang-undang Laut dan Hukum Kanun Melaka juga telah dihasilkan untuk dijadikan sebagai panduan masyarakat Melayu. Beberapa jawatan seperti kadi, imam dan sebagainya telah diwujudkan bagi melaksanakan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. 

Antara contoh perlantikan yang telah dilakukan di dalam system pemerintahan ialah :

(a) Penghulu Bendahara perlu memastikan pengurusa perbelanjaan Negara teratur dan amanah, pengutipan cukai berjadual, dan perbelanjaan juga perlu berhemah. 

(b)Bendahara merupakanpenasihat utama kepada sultan. 

(c)Temenggung sebagai Ketua Pasukan Keselamatan. 

(d)Laksamana sebagai Ketua Angkatan Tentera. 

(e)Para pembesar sebagai pembantu sultan dalam pentadbiran. 

(f)Syahbandar sebagai pengurus yang menguruskan pentadbiran pelabuhan dan perdagangan asing. 

Menurut sejarah, Kerajaan Melaka telah menyediakan tapak yang subur bagi perkembangan Islam di Tanah Melayu. Bukti-bukti sejarah menjelaskan bahawa Islam bertapak di Tanah Melayu seawal kurun ke-9M dan selewat-Iewatnya pada kurun ke-15M. Islam telah bertapak di Kelantan, Terengganu dan Kedah sebelum terbentuknya Kerajaan Melaka. Keagungan Melaka mula terserlah apabila ia mengamalkan dasar luar yang pragmatik iaitu dasar berbaik-baik dengan kuasa besar asing pada ketika itu seperti Siam, Majapahit dan China. Dasar ini mampu menstabilkan politik Melaka serta memberi peluang kepada perkembangan ekonomi dan pentadbirannya (Afifah Abu Yazid, 2003: 3). 

PENDIDIKAN MASYARAKAT MELAYU SEBELUM DAN SELEPAS ISLAM
Sebelum kedatangan Islam, system pendidikan tidak teratur dan terdapat banyak golongan buta huruf dikalangan masyarakat Melayu. Terdapat dua sistem pendidikan yang telah diwujudkan sebelum kedatangan Islam iaitu sistem formal dan tidak formal. Sistem formal ialah pendidikan yang dipelajari oleh guru dan kitab-kitab. Manakala, sistem pendidikan tidak formal ialah mempelajari budaya dan nilai-nilai masyarakat luar. 

Selepas kedatangan Islam, Islam telah membawa perubahan dalam sistem pendidikan masyarakat Melayu. Antaranya ialah golongan bawahan dapat menerima pendidikan yang sama seperti golongan atasan. Sistem pendidikan yang bermula di istana mula beralih ke beberapa institusi pendidikan Islam seperti pondok dan madrasah. Tradisi keilmuan yang telah ditekankan oleh Islam telah mengembangkan pula tradisi pendidikan dan pengajaran secara lebih tersusun dan teratur. Dorongan belajar bermula dengan pengajaran membaca al-Quran dan kitab-¬kitab suci. Golongan pemerintah dan pembesar-pembesar memainkan peranan penting dalam mengembangkan ilmu pengetahuan kepada masyarakat Melayu. 

Melalui sistem pengajian ilmuini, lahirlah para cendiakawan dan ulama¬-ulama Melayu yang telah menjadi pegawai-pegawai pemerintah, guru-guru dan ahli agama. Antara tokoh-tokoh Melayu yang terkenal ialah Syeikh Abdul Malik Abdullah, Sheikh Wan Hasan Wan Ishak dan ramai lagi (Hashim Hj. Musa, 2004 : 46). Tokoh-tokoh ini telah banyak menyumbang ke arahperkembangan ilmu pengetahuan di Tanah Melayu. 

Dalam bidang intelektual dan keilmuan, Islamtelah memberi kedudukan yang begitu tinggi dengan memperkenalkan kaedah ilmu berteraskan ilmiah dan rasional sejajar dengan tuntutan Islam. Keilmuan rasional dan intelek yang diperkenalkan oleh Islam adalah pendekatan baru dalam cara berfikir iaitu meninggalkan sesuatu yang bersifat tahyul serta memuja sesuatu yang bersifat estetik, kepada sesuatu yang mementingkan akal, pemahaman ilmu metafizik serta pandangan hidup yang munasabah pada akal yang sihat (Rasid Muhammad, 1996 : 140). 

Kesan pendidikan misalnya di Melaka, aktiviti pendidikan telah berlangsung di istana yang juga berfungsi sebagai perpustakaan atau tempat penyalinan dan penterjemahan. Di samping itu tempat-¬tempat lain yang digunakan sebagai tempat pengajian ialah rumah-rumah ulama, masjid, madrasah dan juga surau. Kebanyakan guru-guru agama pula terdiri dari bangsa Arab. Ilmu-ilmu yang dipelajari ialah ilmu usuluddin, fiqh dan tasawwuf. Kitab-kitab utama yang telah menjadi pegangan masyarakat di Melaka ketika itu ialah aI-Oar al-Manzum oleh Abu Ishak aI-Shirazi, Ihya Ulumuddin oleh al-Ghazali dan Minhaj al-Talibin oleh al-Nawawi. 

KESIMPULAN / RUMUSAN
Islam telah memberi pengaruh yang besar kepada masyarakat dan tamadun Alam Melayu. Penyerapan Islam ini telah berlaku secara berperingkat-peringkat di kalangan masyarakat Melayu yang bermula daripada golongan istana, pembesar sehinggalah kepada rakyat biasa. Proses Islamisasi ini menjadikan masyarakat Melayu dimana akhirnya dapat menerima ajaran Islam dengan baik. Ini kerana keistimewaan ajaran Islam yang sederhana dan tiada paksaan serta terbuka kepada semua jenis masyarakat sama ada Melayu atau tidak. 

Kedatangan Islam bukan sahaja telah mengubah pegangan hidup masyarakat Melayu, malah telah membentuk cara hidup baru dalam amalan seharian masyarakat Melayu. Amalan¬amalan tradisional yang berunsur tahyul dan khurafat telah ditinggalkan secara beransur¬ansur oleh masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu juga telah berubah daripada masyarakat yang buta huruf kepada masyarakat yang mengamalkan tradisi keilmuan kerana telah mendapat galakan daripada golongan pemerintah dan telah menjadikan Melaka suatu ketika dulu sebagai pusat pembudayaan ilmu. 

Dengan berlakunya penyebaran agama Islam ini agama Islam telah dijadikan sebagai teras dalam pembinaan tradisi budaya Melayu. Orang-orang Melayu yang menganut agama Islam telah menyedari dan memahami nilai-nilai yang telah ditetapkan oleh Islam dan berusaha menyesuaikan warisan tradisi budaya dan syariat Islam. Mereka telah menekankan usaha dalam memupuk nilai-nilai Islam sebagaimana yang dikehendaki dari satu generasi kepada generasi seterusnya. Malah, institusi-institusi sosial dan agama dalam masyarakat juga memainkan peranan penting dalam usaha memupuk dan mempertahankan nilai-nilai sosial dan agama yang telah mereka bina. 




PENUTUP
Alhamdulillah saya ucapkan ke hadrat Ilahi kerana telah berjaya menyiapkan tugasan yang diberi pada masa yang telah ditetapkan. Banyak perkongsian ilmu yang telah saya dapat dalam menyiapkan tugasan ini. Kedatangan Islam ke Tanah Melayu juga telah cukup memberi impak yang besar. Tanpa kedatangan para pedagang yang datang berdagang di pelabuhan Melaka serta menyebarkan ajaran yang cukup sempurna ini, maka Tanah Melayu tidak diiktirafkan sebagai salah satu Negara Islam pada masa kini. 

Perkahwinan di antara kerabat diraja juga faktor tersebarnya agama Islam di Tanah Melayu. Seperti yang dinyatakan di dalam buku, perkahwinan kerabat diraja merupakan faktor besar penyebaran Islam. Begitu juga dengan penaklukan, pengislaman raja- raja dan sebagainya. 

Kita sebagai umat Islam serta rakyat Malaysia hendaklah sentiasa mengingati jasa pendakwah, yang telah memberikan sedikit sebanyak ajaran tentang Islam kepada nenek moyang kita yang terdahulu. Selain itu, kita hendaklah sentiasa ingat bahawa kita ini umat Islam yang hendaklah mengejar Redha-Nya dan bukan sahaja menjadi seorang yang beragama Islam berlandaskan nama sahaja. Umat Islam warga Malaysia hendaklah berganding bahu memperkukuhkan ukhuwah antara satu sama lain dan menaikkan kembali Malaysia dengan berpandukan Al-Quran Dan Sunnah. 

Bukan setakat hukuman, malah segala apa yang dilaksanakan hendaklah berpandukan dengan apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam. Tidak kira dari segi politik, sosial mahupun ekonomi. Islam adalah ajaran yang cukup lengkap dan universal. 

 Akhir kata dari saya, saya sangat bersyukur kerana telah dilahirkan didalam Negara Malaysia yang mengamalkan ajaran Islam. 

RUJUKAN

  1. Abdul Jalil Hassan (1973) Falsafah dan Pengetahuan Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. 
  2. Aliran-Aliran Kepercayaan Dan Kebatinan di Indonesia. M. As’ad El Rafidy. Cetakan Pertama 1977 oleh Ghalia Indonesia. 
  3. Dienul Islam. Dr. Nasruddin Razak. Cetakan Kelima. Pt. AlMaa’rif 1982
  4. Majul, Cesar Adib (1964). Theories on The Introduction and Expansion of Islam In Malaysia. Dumaguete City, Philippines : Siliman University. 
  5. Pengantar Filasafat Agama. Dr. Aslam Hady. Penerbit CV. Rajawali Cetakan Pertama 1986. 
  6. Sejarah Tingktan 5 – Ramlah Adam, Shakila Parween Yaakob, Abdul Hakim Samuri dan Mushmim Fadzil
  7. Siti Fatimah Abdul Rahman (ed). The Impact of Globalisation on Social and Culture Life : An Islamic Response. Kuala Lumpur : IKIM. 


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

6 comments:

  1. Hi, bila dan dari siapa orang melayu menganut agama Hindu?

    ReplyDelete
  2. Hi, dalam sejarah malaysia kita tak pernah belajar bagaimana dan dari mana datangnya agama hindu buddha ke malaysia Dan asiatenggara pada zaman dulu.. Boleh jelaskan.. Terima kasih

    ReplyDelete
  3. Hi, pernah tak orang bukan melayu menjadi bendahara(perdana menteri) atau shah Bandar ?

    ReplyDelete
  4. Hi, is there any English version for this lovely written?

    ReplyDelete
  5. Zulkefli Haron, 2005..buku apa ye?

    ReplyDelete