Monday, October 12, 2015

Tajuk: Tamadun Islam Berasaskan Kepada Akhlak

Pendahuluan
Manusia adalah makhluk Allah Subhanahu wa ta’ala yang teristimewa yang memiliki tabiat dan mentaliti yang mempengaruhi amalan dan tingkah lakunya, maka keperibadian inilah yang menjadi perbicaraan dan perbincangan yang utama dalam akhlak. Memang tidak dapat disangkalkan lagi bahawa akhlak merupakan nadi utama dalam pembangunan manusia. Setiap tamadun umat manusia dari dahulu sehingga kini ianya terbina dari asas akhlak ataupun dikenali sebagai tamadun kemanusiaan, iaitu asas yang membina tamadun tersebut di luar kuasa kebendaan. Walau bagaimanapun, Islam mempunyai persepsinya yang tersendiri dan memiliki asas akhlaknya dan asas tamadunnya yang tersendiri. 

Takrif dan Istilah

Peristilahan Tamadun

Peristilahan tamadun yang sering memenuhi diskusi para sarjana ketamadunan terdiri daripada istilah-istilah berikut:
• ‘Umran
• Hadharah
• Madaniyah
• Tamadun
• Civilization
• Peradaban

Istilah Umran dan Hadarah

Istilah umran dan hadarah diperkenalkan oleh Ibn Khaldun (14M) dalam karya beliau yang terkenal berjudul Muqaddimah. Beliau menggunakan dua istilah ini untuk menggambarkan masyarakat yang bertamadun. Istilah umran digunakan untuk menerangkan sifat-sifat fizikal tamadun; iaitu kawasan tanah yang didiami secara tetap dan aspek-aspek pembangunan yang wujud di satu-satu kawasan. Manakala hadarah pula merujuk kepada kehidupan yang menetap (M. A. J. Beg, 1982a,, 1982b). Oleh itu, istilah umran digunakan untuk maksud pembangunan dan kuantiti penduduk sebagai hasil daripada kewujudan tamadun. Ini bermakna apabila organisasi sosial terbentuk maka bilangan penduduk bertambah besar. Sehubungan itu, tamadun akan terhasil. 

Ibn Khaldun juga menentukan beberapa kriteria utama masyarakat yang bertamadun. Antaranya seperti berikut:
• Aspek keagamaan
• Organisasi sosial
• Sistem perhubungan
• Sistem perundangan
• Bandar
• Aspek kesenian – senibina, seni khat dll. 

Ibn Khaldun tidak meninggalkan peranan agama dalam pembentukan masyarakat bertamadun. Malah bagi beliau, agama memainkan peranan penting. Demikian juga peranan penting yang dimainkan oleh sistem perundangan kerana sistem ini mampu menghasilkan keadilan. Nilai keadilan amat besar pengaruhnya dalam menentukan jatuh bangun sesebuah tamadun. Bandar juga merupakan salah satu asas yang penting dalam pembinaan masyarakat yang bertamadun kerana kota atau bandar merupakan pusat pemerintahan dan kekuasaan. Oleh itu, pembangunan Bandar

mestilah menggunakan perancangan yang baik dan rapi. Antara faktor penting yang mesti diambilkira dalam perancangan sesebuah bandar adalah seperti berikut:
• Udara yang bersih
• Kemudahan asas yang lengkap seperti terusan sebagai jalan perhubungan
• Sumber makanan asasi
• Berhampiran dengan sumber binaan
• Kawasan penternakan (M. A. J. Beg, 1982a; 1995)

Istilah Madaniyah
Istilah madaniyah diperkenalkan oleh Muhammad Farid Wajdi (19M) dan Syeikh Muhammad Abduh (20M) (M. A. J. Beg, 1982b). Istilah ini juga merujuk kepada makna tamadun. Perkataan madaniyah diambil daripada perkataan madinah yang bermaksud bandar, kota atau city. Kota merupakan pusat peradaban atau tamadun. Ini jelas menunjukkan kaitan yang rapat antara keempat-empat perkataan ini. Keempat-empat perkataan ini juga sama dengan maksud perkataan civitas dalam bahasa Latin. Oleh itu, civitas dan madinah menjadi pusat dan lambang kemunculan tamadun. 

Istilah Tamaddun
Istilah tamaddun yang mempunyai maksud yang sama dengan civilization telah diperkenalkan oleh Jurji Zaydan, seorang penulis Arab (M. A. J. Beg, 1982b). 

Istilah Civilization
Dalam bahasa Inggeris, istilah yang digunapakai untuk menggambarkan masyarakat yang bertamadun ialah civilization. Istilah ini diambil daripada perkataan Latin civitas yang bermaksud kota, di mana kota merupakan salah satu faktor penting kewujudan sesebuah tamadun (Beg, 1982). Civilization juga dihubungkan dengan perkataan civil yang bermaksud keadaan masyarakat yang mempunyai tahap kehidupan yang tinggi (Azhar Hj Mad Aros dll, 2003). 

Para sarjana barat pula telah memberi beberapa gambaran berikut bagi masyarakat yang bertamadun. 
i. Collingwood:
Masyarakat yang bertamadun ialah masyarakat yang mencapai tahap kehidupan civil iaitu kehidupan sopan. Masyarakat civil ini akan melahirkan masyarakat bandar iaitu masyarakat yang mempunyai kehalusan budi. 

ii. Samuel Johnson:
Masyarakat yang bertamadun ialah suatu keadaan yang bertentangan dengan kehidupan biadab (barbaric). Masyarakat ini telah mencapai tahap kesopanan yang tinggi. 

iii. Gordon Childe (sejarawan):
Pencapaian material adalah lambang ketamadunan. Civilization mempunyai persamaan dengan revolusi perbandaran. Pengukuran tamadun adalah berdasarkan kepada kewujudan bandar. Beliau menyamakan erti tamadun dengan revolusi bandar kerana apabila berlakunya revolusi bandar di satu-satu kawasan, maka akan lahirlah satu tamadun baru di kawasan berkenaan. 

iv. Edward L. Farmer:
Masyarakat yang bertamadun ialah masyarakat yang memiliki unit kebudayaan yang besar yang mengandungi norma-norma sosial, tradisi dan institusi yang dikongsi bersama dan diwarisi dari generasi ke generasi. Beliau juga memasukkan beberapa ciri berikut bagi menggambarkan masyarakat yang bertamadun iaitu:
• Penempatan kekal
• Revolusi pertanian
• Stratifikasi sosial
• Kewujudan agama
• Urbanisasi
• Pengkhususan kerja
• Sistem tulisan. 

v. Darcy Riberio (Ahli antropologi):
Proses kehidupan bertamadun melibatkan aspek-aspek berikut:
• Penyebaran teknologi pertanian – berakhirnya corak kehidupan nomad. 
• Wujud aktiviti perternakan dan pengkhususan kerja berasaskan kelompok kemahiran. 
• Revolusi bandar – pertumbuhan bandar dan negara, wujud stratifikasi sosial. 
• Penggunaan peralatan tembaga dan gangsa. 
• Wujudnya sistem tulisan, angka, kalendar dan lain-lain. 
• Revolusi pengairan
• Revolusi penghasilan inovasi teknologi berasaskan besi
• Revolusi penternakan
• Revolusi perdagangan
• Revolusi teknologi
• Revolusi industri

vi. E. B. Taylor (ahli antropologi):
Tamadun merangkumi keseluruhan pencapaian manusia termasuk pengetahuan, kepercayaan, seni, moral, undang-undang, adat dan keupayaan serta tabiat-tabiat lain yang diusahakan oleh manusia sebagai anggota masyarakat. 

vii. Albert Schwetzer (ahli falsafah Jerman):
Tamadun merupakan keseluruhan kemajuan hasil daripada tindakan dan pemikiran manusia yang membawa kepada penyempurnaan kerohanian seseorang individu (Azhar Hj Mad Aros dll, 2003; M. A. J. Beg, 1982b). 

Istilah Peradaban
Peradaban merupakan istilah dalam bahasa Melayu yang sering dikaitkan dengan masyarakat yang bertamadun. Menurut Kamus Dewan, masyarakat yang beradab atau bertamadun ialah masyarakat yang memiliki tingkat kemajuan dalam kehidupan jasmani dan rohani. Tamadun dinyatakan sebagai satu keadaan masyarakat yang dicirikan atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran sama ada aspek sosial, budaya, politik dan lain-lain yang tinggi (Kamus Dewan, 2002). 

Pada dasarnya, istilah-istilah di atas merujuk kepada satu keadaan yang memiliki dua aspek pencapaian iaitu material dan spiritual dalam kehidupan. Kedua-dua pencapaian ini membentuk pencapaian asas dalam kehidupan masyarakat bertamadun. Antara pencapaian tersebut ialah seperti berikut:
• Kehidupan beragama
- Pembentukan kota sebagai pusat pemerintahan atau pembinaan tamadun. 
- Kehidupan menetap. 
- Kemunculan dan perkembangan ilmu dan kemahiran. 
- Tahap kehidupan yang tinggi iaitu kehidupan hadarah bukannya badawah. 
- Kemajuan rohani dan jasmani

Peristilahan Akhlak
Menurut bahasa, akhlak berasal dari kata khulqun yang artinya budi. Yakni sesuatu yang tersimpan didalm sanubari, halus, serta sulit untuk ditebak, akan tetapi, mempunyai kekuatan yang cukup besar terhadap pola prilaku mengenai perbuatan manusia. Atau bisa juga dikatakan khulqun mempunyai arti sebagai perbuatan – perbuatan dari lahir. 

Sedangkan akhlak menurut istilah merupakan tingkah laku yang ada sejak lahir yang diperbuat oleh seseorang dengan cara yang spontan yakni sebagai manifestasi pencerminan, serta refleksi dari jiwa serta batin atau hati seseorang. Kata akhlak bisa dikatakan dengan istilah adab. Nah, adab sendiri lebih sering kita dengar sebagai kata ganti dari akhlak. Adab serta akhlak keduanya ini bersumber dari Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam, sehingga istilah keduanya ini sering disama artikan. Sedangkan dalam bahasa yunani, khuluqun memiliki istilah sebagi ethos atau ethicos yang memiliki erti kebiasaan. 

Dari sudut bahasa:
Ianya membawa maksud tabiat dan perangai. 
 Manakala dari sudut istilah ulamak :
1. Sepertimana yang ditakrifkan oleh al-Ghazali : "Akhlak adalah suatu ibarat mengenai unsur yang konkrit di dalam diri yang dengannya melahirkan tingkah laku secara spontan. "
2. Abu Hamid Al Ghazali: akhlak merupakan satu sifat yang tertanam dalam jiwa yang ada sejak lahir. Yang mana lahir perbuatan – perbuatan mudah tanpa memikirkannya. 
3. Muhammad Ali Asy Al Jurjani: akhlak merupakan suatu sifat yang terdiri dari sifat baik serta buruk yang ada sejak lahir dalam dirinya
4. Ahmad bin Musthafa: akhlak merupakan suatu ilmu yang dapat diketahui keutamaan. Nah, keutamaan inilah yang mampu mewujudkan tiga kekuatan yakni kekuatan berfikir, kekuatan syahwat serta kekuatan marah. 
5. Ibnu Maskawaih: akhlak merupakan sifat yang sudah tertanam dalam jiwa yang mampu mendorong untuk melakukan segala perbuatan tanpa perlu memerlukan pemikiran serta pertimbangan
CIri-ciri Tamadun Islam
Masyarakat yang bertamadun memiliki beberapa ciri yang menggambarkan masyarakat maju. Antaranya ialah penempatan kekal, revolusi pertanian, stratifikasi sosial, kehidupan beragama, urbanisasi, sistem tulisan, organisasi politik dan pengkhususan kerja. 

Penempatan kekal

Penempatan kekal merupakan salah satu perkara asas dalam mewujudkan masyarakat bertamadun. Penempatan kekal memungkinkan pembinaan kota dan bandar. Bermula dari kota dan bandar muncul pula unsur-unsur pembentukan tamadun yang lain. Penempatan kekal akan dipilih berdasarkan lokasi yang mempunyai ciri-ciri berikut:
• Kemudahan perhubungan seperti lembah sungai dan pesisir pantai atau telok. 
• Tanah yang subur bagi mewujudkan revolusi pertanian. 
• Kawasan yang selamat untuk penternakan. 

Contoh penempatan kekal pada sejarah awal masyarakat bertamadun ialah Tamadun Mesir yang bertempat di Lembah Sungai Nil, Tamadun Sumeria di Lembah Sungai Tigris dan Euphrates, Tamadun India di Lembah Indus, Tamadun Cina di Lembah Sungai Kuning dan Tamadun Melayu di pesisir Selat Melaka dan Selat Sunda. 

Revolusi Pertanian

Revolusi pertanian merubah pertanian sebagai satu sumber sara hidup kepada pertanian bentuk komersil. Revolusi ini merupakan salah satu bentuk peningkatan dalam tamadun. Revolusi ini juga mampu meningkatkan taraf kehidupan melalui kegiatan berikut:
• Pengumpulan kekayaan daripada hasil perkembangan industri pertanian dan penternakan. 

• Revolusi pertanian adalah pra syarat penting mewujudkan peluang pekerjaan bagi menambah produktiviti dan melahirkan revolusi perdagangan. 

Stratifikasi Sosial

Stratifikasi sosial turut menjadi aspek penting dalam kehidupan masyarakat bertamadun. Kewujudan stratifikasi sosial dalam masyarakat bertamadun berdasarkan pembahagian tugas dan tanggungjawab secara tidak langsung. Sebagai contohnya, pengkelasan masyarakat bermula dengan pemilikan tanah pertanian yang mewujudkan penempatan kekal dan seterusnya dapat mengumpul kekayaan. Pemilikan tanah melahirkan golongan pemilik atau tuan tanah yang kuat berusaha dan berpengaruh. Beberapa tuan tanah telah membentuk satu kelompok golongan atasan, sementara buruh sebagai golongan pekerja atau hamba yang membentuk golongan bawahan. Pengkelasan masyarakat seperti ini telah melahirkan satu sistem kelas masyarakat yang di kenali dengan feudalisme. Dalam sistem ini, golongan atasan merupakan golongan minoriti, sementara golongan bawahan merupakan golongan majoriti. 

Dalam masyarakat perindustrian hal ini tetap berlaku. Dalam lembaran sejarah Barat, tuan-tuan kilang merupakan golongan atasan yang mempergunakan sepenuhnya buruh atau pekerja kilang. Aktiviti tuan-tuan kilang bertambah rancak apabila wujudnya sistem kapitalisma di Barat yang memberi hak kebebesan individu. Stratifikasi sosial baru yang muncul di Barat telah memberi satu pergolakan dalam masyarakat yang mendorong kepada pemikiran baru Karl Marx yang berusaha untuk mencorakkan satu stratifikasi sosial yang tidak memberi kebebesan hak individu. Pemikiran Karl Marx dikenali dengan komunisma. Stratifikasi sosial baru yang dianjurkan oleh Karl Marx memberi kuasa kepada negara, bukan individu. Semua rakyat adalah sama. Rakyat berkerja untuk negara, bukan untuk tuan-tuan tanah atau tuan-tuan kilang. Stratifikasi sosial dalam bentuk ini dapat mengatasi pergolakan masyarakat yang dicetuskan oleh tuan-tuan kilang. Namun dalam pengalaman Soviet Union, stratifikasi sosial bentuk ini masih tetap melahirkan pergolakan yang lebih dahsyat. Kini Soviet Union bukan lagi satu kesatuan negara, sebaliknya negara-negara kecil yang telah mempunyai kuasa otonomi masing-masing. Dengan kata lain, stratifikasi soisal komunisma yang dianjurkan oleh Karl Marx menemui jalan buntu. Perkembangan ekonomi selanjutnya yang banyak berkaitrapat dengan teori kapitalisma melahirkan golongan pedagang yang mempengaruhi perubahan sosial masyarakat kerana mereka merupakan golongan yang boleh mencorak masyararakat ke arah masyarakat maju. 

Walau apapun bentuk kelas dalam masyarakat, stratifikasi sosial pasti wujud, hanya bentuk dan hak dalam masyarakat yang berbeza. 

Kehidupan beragama

Kehidupan beragama merupakan salah satu ciri masyarakat bertamadun. Dalam tamadun Islam, Ibn Khaldun menetapkan aspek ini sebagai perkara asas. Manakala sarjana Barat yang turut memasukkan aspek agama sebagai salah satu ciri masyarakat bertamadun ialah Edward L. Farmer manakala R. A. Buchanan pula menyebut wujudnya upacara agama yang kompleks adalah ciri-ciri kerahiban (Azhar Hj Mad Aros dll, 2003). Hal ini bukan sahaja wujud semasa lahirnya Tamadun Islam yang menjadikan agama sebagai teras masyarakat bertamadun, namun tamadun silam juga banyak membuktikan aspek agama wujud dalam pembinaan tamadun. Ini dapat dilihat dengan adanya perkara berikut:
• Kepercayaan
• Pemikiran tentang kuasa ghaib yang mengawal kehidupan
• Peninggalan bangunan keagamaan

Urbanisasi

Kewujudan bandar atau kota yang menjadi pusat tamadun mencetuskan proses pembandaran atau urbanisasi. Oleh itu, urbanisasi merupakan salah satu ciri tamadun kerana bandar bertindak sebagai pusat pertemuan dan kegiatan masyarakat. Revolusi bandar merupakan salah satu proses yang amat penting dalam meningkatkan taraf kehidupan masyarakat bertamadun. Kelahiran kota dan negara adalah hasil daripada revolusi bandar. Dalam tamadun silam, muncul juga kerajaan yang berbentuk “negara kota” atau city-state. Kemunculan kota telah mewujudkan beberapa aspek dan institusi penting dalam pembinaan tamadun seperti berikut:
• Penempatan kekal
• Pembentukan pusat pemerintahan iaitu kota, kerajaan dan pertumbuhan tamadun. 
• Institusi keagamaan
• Institusi pendidikan
• Institusi pemerintahan
• Institusi ekonomi. 

Pengkhususan kerja dan inovasi teknologi

Peningkatan dalam kehidupan memberi kesan kepada peningkatan keperluan untuk memenuhi kehidupan. Justeru itu, lahirlah inovasi dan daya kreativiti serta pengkhususan kerja. Maka dengan ini akan wujudlah pelbagai aktiviti berdasarkan bidang khusus. Antara bidang yang muncul pada tahap awal masyarakat bertamadun adalah seperti berikut:
• Perekonomian
• Pertukangan
• Seni bina
• Teknologi logam

Perkembangan ini melahirkan tenaga mahir dalam pelbagai bidang. Antara bidang yang muncul pada tahap awal adalah seperti berikut:
• Perkapalan
• Pembinaan pelabuhan dagang
• Penyediaan mata wang
• Penciptaan alat pengangkutan

Selain mencetuskan kemahiran teknologi, muncul juga perkembangan yang meningkatkan daya kreativiti dan karya-karya estetika seperti berikut:
• Seni lukis
• Seni ukiran
• Seni hiasan
• Seni tenunan dan anyaman
• Seni seramik

Sistem Tulisan

Tulisan merupakan salah satu bukti penting kewujudan sesebuah tamadun yang dapat dipelajari dan disaksikan oleh genarasi kemudian. Sistem tulisan dapat dilihat pada tugu-tugu peringatan, bangunan keagamaan, makam, lembaran kertas, wang syiling dan lain-lain. Sistem tulisan lahir dan berkembang berdasarkan perkembangan sesebuah tamadun. Pada peringkat awal, sistem tulisan adalah dalam bentuk simbol, dan seterusnya berkembang membentuk sistem nombor dan tulisan. 

Organisasi Politik Dan Pemerintahan

Kewujudan sistem politik dan pemerintahan merupakan ciri yang perlu ada dalam sesebuah masyarakat yang bertamadun. Kesatuan politik dan budaya mewujudkan keutuhan tamadun. Antara bentuk pemerintahan yang wujud dalam tamadun ialah:
• Homogeneous (serba sama). Kuasa pemerintah dalam bentuk ini tidak dipersoal oleh rakyat. Contohnya, pemerintahan Firaun di Mesir dan Kerajaan Byzantine. 
• Heterogeneous (pelbagai bangsa), iaitu tamadun yang mempunyai banyak pemerintahan seperti tamadun Mesopotamia dan Greek yang mempunyai beberapa buah pemerintahan dan negara-kota (city-states). Begitu juga Tamadun Islam yang mempunyai pelbagai bahasa, bangsa dan budaya. 
• Monarchy atau beraja. Raja menjadi lambang ketamadunan kerana raja dikaitkan pada sesuatu kekuatan seperti pada Tamadun Mesir, raja berkonsep Tuhan dan Tamadun Melayu pula, raja mempunyai konsep daulat. 
• Oligarchy atau demokrasi. Demokrasi memberi ruang kepada sekumpulan yang memegang kuasa seperti sami dan cerdik pandai agama (Azhar Hj Mad Aros dll, 2003). 

Ciri-ciri Akhlak

Ciri akhlak yang baik
-Berbaik sangka dengan Allah
 Daripada Abu Hurairah r. a., Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Bersabda : “Berfirman Allah ‘Azzawajalla: ‘Aku berkuasa untuk melakukan apa yang hamba-Ku sangkakan terhadap-Ku. Dan aku berserta dengannya ketika ia menyebut-Ku (berzikir kepada-Ku). ’”
-Basahi lidah dengan zikir
 Daripada Anas Bin Malik r. a., Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Apabila kamu melalui taman syurga, maka ragutlah (perbanyakkanlah zikir untuk mendapat ganjaran). ” Para sahabat bertanya: “Apakah dia taman syurga?” Baginda menjawab: “Kelompok-kelompok orang berzikir. ”

Ciri akhlak yang buruk
-Menampilkan imej yang buruk. 
 Daripada Aishah r. h. a Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Bersabda; “Sesungguhnya manusia yang paling buruk kedudukannya disisi Allah ialah orang yang ditinggalkan oleh manusia kerana khuatir dengan kejahatan dirinya. ”
-Bersikap kasar
 Daripada Abu Hurairah r. a., Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam. bersabda : “Mencarut adalah sejenis sikap kasar. Manakala sikap kasar balasannya adalah neraka. ”
-Bermusuhan
 Daripada Aishah r. h. a., Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam. Bersabda : “Insan yang paling dibenci oleh Allah ialah orang yang amat keras permusuhannya. ”

Kepentingan Akhlak

Akhlak mencorak tingkah laku. 
 Akhlak memainkan peranan yang penting dalam mencorakkan tingkah laku dan kehidupan seseorang. Setiap tingkah laku yang lahir daripada manusia sebenarnya adalah cernaan daripada apa yang tersemat di dalam dirinya. Sebagaimana menurut Al-Ghazali : "Setiap yang ada di dalam hati akan menzahirkan kesannya pada anggota badan sehinggalah setiap pergerakkannya adalah berlandaskan kepadanya". Maka dengan ini sehinggalah apabila akhlak menjadi sebati di dalam diri ia akan melahirkan tindakan spontan, bergantung kepada nilai akhlak yang ada padanya. 

Neraca akhlak mempengaruhi pertimbangan. 
 Neraca akhlak yang sebati di dalam diri manusia akan mempengaruhi pertimbangannya dalam menilai sesuatu perbuatan. Oleh itu, kesahihan dalam pertimbangan ini bergantung kepada sejauh mana kesahihan neraca yang dipegangnya. 

Akhlak mencerminkan keimanan. 
Akhlak adalah cermin keimanan seseorang. Dengan erti kata lain, iman yang sempurna akan memprodukkan akhlak yang mulia atau dengan perumpamaan yang mudah, ibarat pohon yang semata-mata bergantung kepada keelokan akarnya. 
Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam :
أكمل المؤمنين أحسنهم خلقا
Maksudnya : "Di kalangan mu'minin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya. 
 Akhlak sebagai simbol tamadun manusia. 
Tamadun sesuatu umat adalah terletak kepada sejauh mana penghayatannya dan kemurnian sumber peradabannya. Akhlak adalah sebagai mercu tanda, berjaya atau tidaknya sesuatu umat dalam melakukan proses kemajuan dan pembangunan. Tanpa akhlak nescaya manusia akan berada di lembah kehinaan biarpun kejayaan material yang dicapai sangat menakjubkan. Faktor membelakangkan akhlak jugalah yang menyebabkan sesuatu umat tersebut tidak mencapai ketamadunan yang sebenarnya. 
- Contohnya kepercayaan Hindu yang membelakangkan etika akhlak mengakibatkan umatnya tiada bertamadun seperti berlakunya perhambaan diri kepada hawa nafsu. 
-Begitu juga tamadun barat yang berasaskan oleh ideologi kapitalis dan lain-lain, jatuh satu persatu kerana mengkesampingkan nilai-nilai akhlak. 

Kesimpulan
Kesimpulannya berakhlak baik amatlah dituntut didalam agama Islam. Sesungguhnya pada diri Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam. itu terdapat contoh teladan yang baik yang dapat menjadi ikutan sekalian umat. Sekiranya sesuatu tamadun itu mempunyai akhlak yang baik, tamadun tersebut akan dipandang tinggi dan dihormati oleh tamadun yang lain. Jelaslah akhlak Islam berperanan membantu keutuhan sesebuah tamadun dalam rangka manusia melaksanakan amanah sebagai khalifah dimuka bumi. 


Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment