Sunday, October 18, 2015

Tajuk: Sejarah Kelahiran dan Sumbangan Abd Al-Latif Al-Baghdadi

PENDAHULUAN
Perubatan Islam mulai muncul pada zaman selepas kerasulan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam. dan ia terus berkembang sepanjang abad-abad ketamadunan Islam. Sebelum kedatangan Islam, orang-orang Arab tidak mempunyai bidang perubatannya sendiri. Selepas kedatangan Islam, didapati ramai tokoh yang terkenal dalam bidang perubatan Islam seperti Al-Razi, Ibnu Sina dan Abdul Latif Al-Baghdadi.

Tugasan ini mengandungi biografi, penemuan, sumbangan dan karya tokoh dalam bidang perubatan Islam iaitu Abdul Latif al-Baghdadi. Beliau adalah antara salah seorang yang berjaya menaikkan nama Islam dalam bidang perubatan terutamanya anatomi manusia. Di dalam esei ini, kita dapat mengetahui dengan lebih lanjut tentang Abdul Latif al-Baghdadi.

BIOGRAFI ABDUL LATIF AL BAGHDADI
Nama penuh beliau ialah Abdul Latif bin Yusuf bin Mohammad dan dilahirkan pada tahun 1162 di Baghdad, Iraq.Beliau dikenali sebagai tokoh Muslim pertama yang berjaya mendeskripsikan tengkorak kepala manusia secara lengkap dan tepat.Abdul Latif al-Baghdadi telah mendapat pendidikan awal tentang ilmu agama dan Al-Quran sejak kecil lagi.Beliau mempelajari ilmu-ilmu tersebut daripada al-Wajih al-Wasiti.

Apabila dewasa beliau telah melanjutkan pendidikannya dalam bidang falsafah dan juga ilmu perubatan.Salah seorang guru beliau ialah Ibnu Tilmiz. Selanjutnya, Abdul Latif al-Baghdadi berhijrah ke Damsyik dan Mesir. Di sana, beliau mendalami ilmu-ilmu agama, perubatan, sastera dan falsafah.

Bapa dan bapa saudaranya adalah ahli fiqah yang dihormati dan tidaklah mengejutkan sekiranya Abd al-Latif menjadi seorang yang terdidik dan terpelajar pada usia yang amat muda. Di Baghdad, beliau diasuh oleh tidak kurang dari dua belas guru. Antaranya al-Mutanabbi, al-Anbawi dan al-Simawi. Apabila beliau dewasa beliau diterima masuk ke madrasah Nizamiyyah, tempat berkumpulnya golongan terpelajar dan telah diberikan kitab Adab al-Katib (karangan Ibn Qutaybah) untuk dibaca.

Beliau juga aktif sebagai penulis dan telah menghasilkan beberapa karya tentang bidang perubatan, falsafah dan juga kesusasteraan. Karya-karyanya telah diterjemahkan kepada bahasa-bahasa lain seperti Latin, Inggeris dan Perancis. Abdul Latif al-Baghdadi juga meminati karya-karya Ibnu Sina. Beliau pernah menghasilkan beberapa ulasan dan juga kritikan terhadap karya-karya Ibnu Sina.

Selain daripada tokoh-tokoh pemikir Arab, Abdul Latif al-Baghdadi juga meminati dan mengadaptasi beberapa teori dan pemikiran tokoh-tokoh Yunani seperti Aristotle dan Hippocrates.

Abdul Latif al-Baghdadi meninggal dunia pada tahun 1231.

PENDIDIKAN ABDUL LATIF AL BAGHDADI
Pada zaman kanak-kanak, Abdul Latif al-Baghdadi telah mempelajari hadis, nahu, bahasa dan ilmu kalam. Beliau ialah seorang yang gigih belajar dan gemar terhadap ilmu serta tidak menggemari menghabiskan waktunya dengan bermain dan bergurau senda.

Beliau menuntut ilmu daripada Syaikh Kamaluddin Al-Anbari dan muridnya, Al-Wasithi. Di kota Mosul, beliau belajar ilmu matematik dan fiqh daripada Syaikh Al-Kamal bin Yunus

Di Mesir pula, beliau menjalinkan hubungan yang baik dengan seorang ahli falsafah Yahudi yang terkenal iaitu Musa Ibnu Maimun dan juga Abu Al Qasim Asy Syari'i

Ketika berada di kota Damsyik, beliau mencari peluang untuk mempelajari buku-buku Yunani tentang perubatan dan falsafah.

PENEMUAN-PENEMUAN ABDUL LATIF AL BAGHDADI
Dalam ilmu anatomi, Abdul Latif al Baghdadi selepas memeriksa beratus-ratus struktur rangka manusia telah merumuskanbahawa tulang bawahan hanya terdiri dari satu tulang. Oleh itu, beliau telah membantah pendapat Galenus dan para doktor yang bersependapat dengannya. Al-Baghdadi berkata,

"Semua ilmuwan telah bersetuju bahawa tulang rahang bawah terdiri dari dari dua tulang dengan bahagian sendi yang kuat di lelangit mulut. Sedangkan yang kita saksikan dari bentuk organ tubuh, ia hanya mempunyai satu tulang dan tidak memiliki sendi”.

Abdul Latif al Baghdadi berhasil membezakan semua bahagian tempurung kepala secara terperinci bermula daripada bahagian yang paling kecil sehingga bahagian yang besar. Penulisan karya beliau tentang bahagian tengkorak merupakan satu bukti kukuh bahawa adanya pembedahan praktikal tempurung kepala pada masa Islam dan sekaligus membantah apa yang pernah dikatakan oleh para orientalis Barat bahawa para doktor Arab hanya menulis cara operasi tersebut di atas kertas tanpa terlibat secara langsung.

Penelitian beliau di dalam bidang ini memunculkan banyak penemuan yang mengejutkan.

SUMBANGAN ABDUL LATIF AL BAGHDADI

Abdul Latif al-Baghdadi ialah seorang ahli anatomi, sasterawan dan ahli falsafah. Namanya terkenal sebagai ahli anatomi pertama yang mendeskripsikan tengkorak kepala manusia dan tulang muka termasuk tulang rahang bawah secara lengkap dan tepat. Sepanjang hidupnya Abdul Latif al-Baghdadi sangat tekun mempelajari ilmu perubatan. Beliau meneliti sejumlah karya para ahli perubatan Yunani dan mengembangkannya melalui banyak penelitian. Selain itu, beliau juga mengembangkan kajian tentang tulang manusia, khususnya tulang rahang bawah. Selama berada di Mesir, beliau menganalisa Teori Galenus mengenai tulang bawah dan tulang yang menghubungkan tulang punggung dengan tulang kaki, sebelum kemudian berjaya menyempurnakannya.

Pada usia 28, beliau memutuskan untuk meninggalkan Baghdad setelah menamatkan pengajiannya di situ. Tempat persinggahan pertamanya ialah Mawsil di mana dia berkhidmat untuk al-Kamil b Yunus. Di sini dia mempelajari perundangan, ilmu hisab dan kimia sambil mengajar di madrasah berkenaan. Beliau tidak lama di sana, hanya setahun dan tempat tujuan berikutnya ialah kota Damsyik.

Pada masa itu Abdul Latif al-Baghdadi sudah mencapai tahap kemasyhuran yang meluas. Peluang pekerjaan terbuka luas kepadanya dan setiap orang mahu mendekatinya. Abdul Latif al-Baghdadi lebih berminat menemui Sultan Salah al-Din setelah mendengar kejayaannya menakluki Baitul Maqdis. Oleh itu beliau ke Baitul Maqdis.

Malangnya Sultan Salah al-Din tidak berminat, oleh itu Abdul Latif al-Baghdadi dibawa berjumpa al-Fadil, wazir. Al-Fadil merasa amat bangga dan berbesar hati serta menawarkan untuk menanggung segala perbelanjaan beliau semasa di sana. Abdul al-Latif menolak dengan hormat sambil menyuarakan hasratnya untuk ke Kaherah.

Di Kaherah Abdul al-Latif telah dikurniakan "kunci kota", setiap perbelanjaannya dibayar supaya dia dapat meneruskan tugas-tugas ilmiahnya tanpa gangguan. Di sini beliau bertemu tiga orang tokoh iaitu Yasin al-Simawi, Musa ben Maimun dan Abu al-Qasim al-Shari‘i.

Sebaik mendengar berita kepulangan Salah al-Din ke Baitul Maqdis, Abdul al-Latif merancang untuk kembali ke sana. Beliau telah dilayan dengan penuh hormat oleh Sultan Salah al-Din sehinggakan Abdul al-Latif amat mengasihi rajanya itu. Mereka menghabiskan masa dalam perbincangan sehingga lewat malam.

Pada 1192, Salah al-Din pergi menunaikan haji ke Mekah. Sekembalinya beliau jatuh sakit dan meninggal dunia. Sekali lagi perbalahan timbul, kali ini antara dua anakanda Salah al-Din iaitu Ali al-Afdal yang menggantikan bapanya di Damsyik dan Abd al-Aziz yang menguasai Kaherah. Satu perjanjian damai diusahakan tetapi gagal dan Abdul Aziz telah membawa Abd al-Latif kembali ke Kaherah dan menugaskannya mengajar di Jami' al-Azhar.

Perlantikan itu adalah titik penting dalam kehidupan Abd al-Latif. Pada masa itu berlaku kebuluran besar di Mesir yang berlarutan selama lapan tahun. Pada masa inilah Abd al-Latif menulis salah satu risalah terpentingnya yang bertajuk Al-Ifadah wa al-I'tibar yang membincangkan berkenaan haiwan dan tumbuhan, bangunan purba, kebuluran, punca-punca dan cara mengelakkannya serta berkenaan wabak yang datang bersama kebuluran.

Pada 1229/30, beliau kembali ke Baghdad di mana beliau menghadiahkan Khalifah al-Nasir buku-bukunya untuk disimpan di perpustakaan. Setahun kemudian beliau meninggal dunia sebelum sempat mengerjakan haji.

Abd al-Latif menulis dua risalah berkenaan pancaindera di mana beliau cuba mengenalpasti titik deria, fungsi dan sumbangan mereka kepada badan. Ahli perubatan Islam secara umumnya amat mengambil berat berkenaan perkara ini dan melakukan lebih banyak penyiasatan tentang penderitaan yang dialami berbanding orang Yunani dan Cina.

Abdul Latif al-Baghdadi diangkat oleh Sultan Shalahuddin Al-Ayyubi untuk mengajar di masjid besar yang terdapat di kota itu. Anak-anak Shalahuddin juga mengangkatnya sebagai guru tetap di masjid tersebut serta menambah gaji bulanannya.

Pada tahun 586 H/1190 M, beliau berhijrah ke Cairo. Namun sebelum beliau menjadi guru tetap di masjid Damsyik, beliau sudah pernah berkunjung ke kota Cairo bersama Al-Aziz Ibnu Shalahuddin. Sewaktu berada di kota tersebut, beliau akan mengajar ilmu-ilmu agama dan bahasa pada waktu pagi. Pada waktu petang pula, beliau mengajar ilmu perubatan.

Apabila Abdul Latif al-Baghdadi berada di Mesir untuk kali kedua, satu bencana sedang berlaku. Bencana kebuluran telah berlaku di Mesir disebabkan sungai Nil yang tidak mengalami air pasang surut. Peristiwa ini terjadi pada tahun 597 H11201 M. Pada tahun yang sama bencana lain menyusul iaitu gempa bumi. Kedua-dua peristiwa ini di rekodkan olehAbdul Latif al-Baghdadi di dalam bukunya yang bertajuk "Al-Ifadah Wa Al-I'tibar."

Pada tahun 6041-1/1207 M, Abdul Latif al-Baghdadi berpindah ke Palestinuntuk mengajar di Masjid Al-Aqsa. Setelah tugasnya berakhir, beliau pulang ke Damsyik untuk mengajar di sekolah Al-Aziziah. Nama beliau menjadi terkenal apabila mengajar di sana dalam dunia perubatan dan pelajarnya semakin bertambah. Selepas itu, beliau pergi ke Halb (Aleppo) dan kemudiannya beliau pergi ke Armenia dan Turki.

KARYA ABDUL LATIF AL BAGHDADI
Semasa hidupnya, Abdul Latif al-Baghdadi telah menghasilkan 173 buah buku yang merangkumi bidang perubatan, sastera, geografi, falsafah, matematik, sains dan sejarah. Selain itu, beliau juga menulis kisah perjalanannya ke dalam bentuk buku. Para ilmuwan Barat menggambarkan Abdul Latif al-Baghdadi sebagai seorang genius yang gemar melakukan penelitian dan rajin mengkaji bahan ilmiah. Beliau juga menulis sebuah buku autotobiografi tentang dirinya sendiri.

Sejumlah buku karya Abdul Latif al-Baghdadi banyak diterjemahkan dalam bahasa Latin dan disimpan di Perpustakaan Universiti Oxford, England (1800). Pada tahun 1810, karya Abdul Latif al-Baghdadi juga diterjemahkan dalam bahasa Perancis. Karya tersebut diberi beberapa penambahan sebelum diterbitkan. Pada masa itu, karya tersebut sangat berpengaruh bagi perkembangan ilmu perubatan Eropah.

Abdul Latif al-Baghdadi juga dikenali sebagai sasterawan yang sering mengembara. Beliau gemar menulis tentang budaya suatu daerah dengan bahasa yang sangat indah. Karyanya yang berjudul Account of Egypt dinyatakan sebagai salah satu karya topografi terpenting pada abad pertengahan. Karya tersebut memuatkan sejumlah deskripsi yang menarik tentang bencana kelaparan yang terjadi ketika Sungai Nil dilanda kekeringan (1200-1202). Ketika itu, beliau sedang berada dalam perjalanan menuju Mesir dan menyaksikan sendiri bencana tersebut.

KARYA YANG DI KARANG OLEH ABDUL LATIF AL BAGHDADI

 Ibnu Abu Ushaibi'ah di dalam 'Uyun Al-Anba` mengatakan bahawa Al-Baghdadi mengarang beberapa karya seperti ilmu bahasa, fiqh, sastera, tauhid, sejarah, pendidikan, perubatan, matematik, falsafah, mantiq dan politik. Antara sebahagian karyanya adalah seperti berikut:

a) Al IfadahWa Al-Ttibar Fi Al-Umur Al-Musyahadah Wa Al-Hawadits Al-Mu'ayinah Bi Ardhi Misr

b) Ath Thib Min Al-Kitab Wa As-Sunnah

c) Maqalah Fi Al-Hawas

d) Maqalah Fi Ba'dh Al-Masa'il Ath Thabi'iyyah

e) Syarh Al-Fushul Abqarat Li Jalinius

f) Syarh Al-Masa'il Hanin

g) SyarhTagaddumah Al-Ma'rifah Li Abqarath

h) Maqalah An Mahiyah Al-Makan Bihasbi Ra'yi Ibni Al Haitsam

i) Risalah Fi Mujadilah Al-Hakimain Al-Kimiai Wa An-Nazhari

j) Risalah Fi Al-Ma'adin Wa Ibthal Al-Kimia

k) Kitab An Nashihatain Min Abdillah Bin Yusu f Ila An-Nas Kaffah Syathruhu Muwajjah Li Al Athibba' Wa Al-Akhar Li Al-Falasifah

KARYA "Al-Ifadah Wa AI-I'tibar"
Karya ini ialah satu buku kecil akan tetapi sangat jelas dalam menggambarkan pemikiran Abdul Latif al-Baghdadi dan peristiwa yang berlaku seperti apa yang telah berlaku di Mesir.

Di dalam karya ini, Abdul Latif al-Baghdadi menulis tentang rakyat Mesir, keadaan tanah, sungai Nil, tumbuh-tumbuhan, pertanian, haiwan-haiwan yang terdapat di situ, peninggalan sejarah, pola hidup masyakarat Mesir, tempat tinggal dan lain-lainnya.

Beliau menceritakan tentang dua peristiwa yang menimpa Mesir pada tahun 597 H (1201 M). Kedua-dua peristiwa ini adalah kelaparan yang diakibatkan oleh kekeringan Sungai Nil dan gempa bumi yang berlaku di Mesir.

Selain itu, buku ini juga mencatatkan perkara penting seperti catatan-catatan perubatan dan pelbagai pemikiran Al-Baghdadi yang unggul dari pemikiran para ilmuwan pada masanya.

KESIMPULAN
Islam dalam zaman kegemilangannya telah memberi sumbangan yang terbesar daam bidang perubatan kepada manusia dengan menghasilkan beberapa tokoh ternama dalam bidang tersebut. Mereka bukan sahaja mahir dalam perubatan teapi juga dalam beberapa ilnu di luar perubatan yang di warisi dan dimajukan oleh dunia Barat.

Abdul Latif al-Baghdadi ilah seorang pakar ahli anatomi yang telah menyumbangkan jasa dalam bidang perubatan Islam. Beliau juga berjaya merubah perspektif para ilmuwan Barat tentang penglibatan para doktor Arab dalam pembedahan praktikal tempurung kepala paa waktu tersebut. Beliau seorang yang amat rajin dan tekun menuntut ilmu dalam bidang perubatan.

Sebagai pelajar, kita haruslah mencontohi sifat beliau dalam menuntut ilmu walau di mana sahaja kita berada kerana ilmu di bumi Allah adalah amat luas dan tidak akan habis.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment