Monday, October 12, 2015

Tajuk: Perbandingan Antara Sains Dan Teknologi Islam Dengan Barat

PENDAHULUAN
Sains dan teknologi yang menjadi teras kemajuan fizikal ummah di serata dunia mutakhir ini terus pesat berkembang dengan penemuan-penemuan baru yang telah memudahkan kehidupan manusia sejagat. Hinggakan ada yang menganggap zaman ini merupakan mercu kegemilangan sains dan teknologi yang dipelopori oleh barat. Ada perkara yang dahulunya merupakan khayalan sains tetapi kini telah menjadi kenyataan. Semua bidang dalam sains dan teknologi masing-masing seolah-olah berlumba untuk menerajui peradaban masa depan. Justeru dalam hal ini sumbangan Islam dalam bidang sains dan teknologi seolah-olah dilupakan sedangkan Islam pernah menerajui persada peradaban ummah di satu ketika dahulu dengan mengungguli tamadun dunia dengan sumbangan ahli-ahli sains Islam ketika itu. Kertas kerja ini cuba untuk meninjau beberapa perbandingan antara sains dan teknologi Islam dengan barat. 

Sebelum itu perlu diperjelaskan beberapa takrifan penting mengenai sains dan teknologi agar perbincangan selanjutnya menjadi lebih mudah difahami. Sains boleh didefinasikan dengan "pelbagai pendekatan dan di antaranya sebagai cabang ilmu pengetahuan yang berdasarkan kebenaran atau kenyataan semata-mata - fizik, kimia, biologi dan lain-lain" (Kamus Dewan, 1994) Manakala takrifan lain pula menyatakan bahawa sains ialah "kaedah yang digunakan untuk sampai kepada kebenaran mutlak, iaitu melalui kajian empirik dengan pengumpulan-pengumpulan data melalui pancaindera manusia sahaja. Jadi proses sains moden adalah melalui jalan-jalan rasional" (Benge, 1972:15). 

Daripada takrifan ini sains dibahagikan kepada tiga iaitu sains tulen atau sains tabii, sains gunaan dan sains sosial. Sains tabii adalah penyelidikan asas untuk memeperbaharui pengetahuan tentang manusia dan alam semesta ini dengan tidak mengambil kira sama ada pengetahuan tersebut boleh digunakan atau tidak. Sains gunaan pula melibatkan penyelidikan gunaan yang menekankan penghasilan pengeluaran dibidang-bidang yang mempunyai nilai amali seperti perubatan dan pertanian (Naqvi, 1979). Manakala sains sosial pula merupakan pengkajian kelakuan manusia secara individu dan masyarakat serta reaksi dan tindak balasnya terhadap alam sekitar seperti bidang sosiologi, antropologi dan lain-lain yang telah diterima umum sebagai cabang sains moden. 

Sementara itu teknologi pula bermaksud penggunaan bersistem akan pengetahuan-pengetahuan sains untuk tujuan-tujuan amali. (Galbraith, 1978. 1978: 31) Dan takrifan lain pula menyatakan aktiviti atau kajian yang menggunakan pengetahuan sains untuk tujuan praktis dalam industri, pertanian, perubatan, perniagaan dan lain-lain. (Kamus Dewan, 1994) Maka diantara tujuan utama teknologi ialah untuk memudahkan kerja yang dilakukan oleh manusia (Schumacher, 1974:144)

Justeru daripada takrifan ini maka sains dan teknologi merupakan cabang-cabang ilmu yang saling melengkapi dan tidak boleh dipisah-pisahkan. 

DEFINISI SAINS
Islam tidak pernah mengetepikan sains. Sains mengikut Encarta Encyclopedia ialah, “Systematized knowledge in any field, but applied usually to the organization of objectively verifiable sense experience. ” Ia bermaksud, “Sains dalam skop yang luas bermaksud ilmu-ilmu yang diperoleh secara sistematik berdasarkan pengalaman deria yang dapat dibuktikan secara objektif. ”

Secara umumnya, sains boleh didefinisikan sebagai ilmu yang dihasilkan melalui cerapan (iaitu analisis dengan menggunakan panca indera) serta fahaman yang lahir daripadanya. Ia juga boleh diertikan sebagai huraian secara sistematik tentang fenomena tabii atau alam semula jadi. Huraian secara sistematik melibatkan penggunaan intelek di samping kaedah yang dapat diukur (quantitative). Jika diamati definisi-definisi ini, ia memang telah ditekankan oleh Islam berdasarkan dalil-dalil dan nas yang telah disebutkan sebelum ini. 

DEFINISI TEKNOLOGI
Ilmu sains melahirkan teknologi. Teknologi (mengikut Merriam-Webster Dictionary, The American Heritage Dictionary of the English Language: Fourth Edition dan WordNet Dictionary), boleh didefinisikan sebagai, “Pengaplikasian atau penggunaan ilmu terutamanya ilmu sains secara praktikal dan digunakan terutamanya dalam bidang perdagangan dan industri untuk kemanfaatan manusia. ” Justeru, ilmu sains merupakan alat penting untuk membina teknologi namun ilmu sains bukanlah teknologi. Sebagai contoh, sains membicarakan tentang teori atom dan daripada itu lahirlah teknologi yang menghasilkan kuasa atom. 

SAINS ISLAM
Catatan sejarah lampau menunjukkan betapa pada suatu ketika pada zaman kegemilangan tamadun Islam, masyarakat Islam telah membina satu tradisi sains yang telah menjadi salah satu faktor utama yang mendorong kelahiran dan pertumbuhan sains moden di Eropah. Sains Islam telah menempa kejayaan gemilang dalam semua bidang sains, dari ilmu bintang, sains hayat hinggalah kepada ilmu senibina pada zaman perkembangan Islam dalam tempoh antara abad ke 7M hingg ke 16M. (Sulaiman Nordin, 1979:6) Suatu kenyataan yang diakui oleh Barat sendiri ialah peranan yang dimainkan oleh Islam dalam memeperkenalkan sainsnya ke Eropah melalui universiti-universitnya di Andalus pada abad ke 13 M

Perkara ini ditegaskan lagi oleh seorang sarjana Barat ketika mengulas tentang sejarah pembangunan intelek Eropah, katanya: "Hampir lapan ratus tahun di bawah pemerintahan umat Islam. Islam Sepanyol menjadi suatu teladan kepada Eropah. Sebagai sebuah negara yang bertamadun tertinggi dan berilmu, kemajuan dalam bidang seni, sastera dan sains di Sepanyol tidak ada tolok bandingannya di seluruh Eropah. Penuntut-penuntut datang dari Perancis, Jerman dan England untuk mendapatkan ilmu pengetahuan yang hanya ada di bandar-bandar orang Islam Sepanyol. Matematik, Astronomi, Sains Hayat, Sejarah, Falasafah dan Undang-undang hanya boleh dikuasai oleh Sepanyol sahaja. " (Draper, 1979: Jil. I). Sains dan teknologi Islam hanya merupakan cabang ilmu yang melengkapkan tamadun Islam. Ia bukan merupakan ilmu asas atau dasar dalam Islam tetapi sekadar sebahagian daripada ajaran Islam secara keseluruhannya. Justeru sains dan teknologi Islam adalah pengetahuan dan perkembangan sains dan teknologi yang berteraskan kepada pendekatan dan prinsip Islam. 

SAINS BARAT
Hakikat sebenar yang berlaku, terdapat pertembungan besar antara pemahaman Sains Islam dengan pendekatan Sains Barat Moden yang melibatkan prinsip dan dasar dalam proses penerokaan di alam sains ini. Sains Moden yang mempunyai latarbelakang yang tersendiri telah mewujudkan suatu bentuk kefahaman yang telah berakar umbi kepada masyarakat hari ini. Sejarah silam mencatatkan bahawa sains barat moden merupakan sains yang dibangunkan setelah tercetusnya Revolusi Perindustrian pada akhir abad ke 18M yang telah mengubah masyarakat tani kepada masyarakat bandar. Setelah tercetusnya Revolusi Perancis juga pada akhir abad ke 18M menjadikan teknologi sebagai salah satu perkara penting dalam kehidupan manusia. Sains dan teknologi seterusnya berganding bahu melahirkan ciptaan-cipataan yang boleh digunakan untuk pembangunan masyarakat. Selepas Revolusi Perancis, gereja tidak lagi memainkan peranan utama dalam kehidupan masyarakat Eropah setelah kekalahannya dalam pertarungan dengan sains. Sebaliknya telah muncul suatu gambaran alam dan masa depan yang baharu terhadap tamadun baharu Eropah apabila sains dan teknologi telah dijadikan teras peradaban barat. (Abdul Wahab Ismail)

KETERBATASAN SAINS
Dari takrifan ini, sains Islam tidak memisahkan ilmu wahyu dari ilmu intelek. Ini merupakan ciri utama perbezaannya dengan sains barat moden, yang menekankan bahawa ilmu yang diterima sebagai sains hanyalah ilmu yang datangnya dari pemikiran manusia sahaja. Ilmu wahyu yang telah dijadikan rujukan dalam segala aspek kehidupan Muslim, telah meletakkan ahli sains Islam ke taraf yang sewajarnya dengan sifat manusia itu sendiri. Dengan itu alam semesta tidak dipandang sebagai sesuatu yang bebas dari penciptaNya, malahan segala tindak-tanduknya adalah atas ketentuanNya. Ahli sains Islam tidak lagi menanyakan soalan seperti siapa kita? Dari mana kita datang? Ke mana kita akan pergi? Apakah alam semesta ini? Siapakah yang menciptakan dan siapa yang mengawalnya? Dan pelbagai persoalan lagi yang semuanya terjawab melalui wahyu yang datangnya dari Allah. Sebaliknya bagi ahli sains barat moden berfahaman materialisme, soalan-soalan ini merupakan di antara soalan-soalan yang masih belum dijawaab dan akan terus mengganggu ketenteraman fikiran mereka. (Khallaf, 1971: 83 – 84)

Justeru itu penyelidikan yang dilakukan oleh ahli sains Islam yang berasaskan kepada tauhid akan membawa setiap pengkajian ke arah satu keputusan yang telah ditentukan iaitu dengan menunjukkan tanda-tanda keesaan Allah yang menjadikan segalanya, sama ada dalam bentuk hukum fizik, fenomena atau sistem-sistem kosmos ini. (Abdul Wahab Ismail) Penyelidikan seumpama ini sangat digalakkan dalam Islam, dan hanya mereka yang berpandukan wahyu sahaja yang mampu melihat kenyataan di luar alam kebendaan ini. Seperti firman Allah (maksudnya):

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): ‘Ya Tuhan Kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka. ’” (Ali-Imran:190-191)

Di barat konsep yang merujukkan sains kepada Tuhan, wahyu dan kuasa ghaib dikenali sebagai creationism. Kadang kala ia dikenali juga sebagai intelligent design. Konsep-konsep ini ditolak oleh ramai saintis di barat. Sebagai contoh, para saintis daripada Akademi Sains Kebangsaan di Amerika (The U. S. National Academy of Sciences) menegaskan bahawa “sebarang kenyataan yang menetapkan bahawa asal usul kehidupan ini ada perkaitan dengan kuasa ghaib (supernatural intervention) tidak boleh diiktiraf sebagai sains. ” Hal ini dinyatakan dalam Science and Creationism: A View from the National Academy of Sciences, Second Edition, terbitan National Academy of Sciences tahun 1999. 

Dalam kes Kitzmiller lawan Dover Area School District pada tahun 2005 (Case No. 04cv2688. December 20, 2005), sebuah mahkamah persekutuan di Amerika memutuskan mana-mana sekolah yang mengajar sains dan mengaitkan kejadian kehidupan dengan kuasa ghaib dan mengetepikan teori evolusi, ia dianggap telah melanggar perlembagaan Amerika. 

Aliran yang dibawa oleh sains barat moden ini pada prinsipnya menjadikan manusia sebagai penentu yang mampu membuat sistem penilaian dan kebenaran sendiri, dan bukannya menerima keputusan bulat-bulat daripada sistem lain seperti sistem agama. Dan ini meletakkan taraf sains barat moden ke tempat yang paling tinggi. (Mohd Yusuf Othman, 1993: 7) Dengan itu sains barat moden membenarkan dan menjanakan kebebasan berfikir dengan sebebas-bebasnya. Kekuatan mutlak tamadun ini terletak kepada kekuatan manusia menggunakan akalnya. Akibatnya dimensi dan sistem nilai mereka hanya berasaskan prinsip keinsanan walaupun mereka percaya kepada kewujudan tuhan. Dengan demikian sistem nilai dan kepercayaan kepada kewujudan tuhan terletak kepada bagaimana logik akal menanggapinya. Untuk mengatasi konflik yang wujud antara sistem berfikir yang bersifat logik semata-mata dengan sistem nilai yang berdasarkan konsep wahyu, sains barat moden metekkan garis pemisahan yang jelas antara peranan sains dengan peranan gereja atau agama. Agama hanya berfungsi dalam bentuk upacara, manakala sains mempunyai peranan yang tersendiri yang tidak boleh dicampur atau disepadukan dengan sistem nilai(Mohd Yusuf Othman, 1993: 11)

CONTOH PERTEMBUNGAN ANTARA SAINS ISLAM DAN SAINS BARAT
Sains Barat Moden yang berteraskan kepada kemampuan fikiran manusia dan ditambah dengan fahaman materialisme telah mengujudkan pertembungan dengan sains Islam yang bertunjangkan kepada wahyu Allah (Rujuk Jadual 1) Contohnya dalam asal-usul kejadian manusia. Al-Quran menegaskan bahawa manusia berasal dari Adam, dan Adam pula dari tanah, seperti firman Alah (maksudnya) "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari suatu saripati (berasal) dari tanah. " (al-Mu’minun:12)

Bagi mendalami hakikat kejadian manusia ini, ahli sains Muslim menyelidik unsur-unsur yang ada di dalam diri manusia serta membandingkannya dengan unsur-unsur yang ada pada tanah. Mengikut penyelidikan terakhir secara analisis kimia, terdapat 105 jenis unsur pada tanah dan kesemuanya didapati berada dalam diri manusia, walaupun berbeza dari segi perkadarannya. Juga terdapat beberapa unsur yang wujud dengan kuantiti yang kecil dan tidak mudah dikesan (Muhajir, 1976:2)

Sementara itu asal usul manusia menurut pandangan sains barat yang dipelopori oleh Charles Darwin (1808 - 1882), seorang ahli biologi yang mengemukakan Teori Evolusi dengan berpendapat bahawa manusia berasal dari binatang, khususnya dari binatang yang berupa manusia mawas. Manakala binatang pula berasal dari ameba, sejenis haiwan yang mempunyai satu sel, iaitu organisma yang paling sederhana. Dengan mengaitkan manusia dengan binatang pula, tidak kira bagaimana kompleks sekalipun, berasal dari organisma tersimpel maka wujudlah pertalian yang berterusan di antara manusia dan benda-benda lain yang hidup. (Abdul Wahab Ismail)

Teori Evolusi ini tidak diterima dalam Islam kerana manusia telah dijadikan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala dalam keadaan yang sempurna dan lengkap. Manusia telah dibekalkan oleh Allah dengan paras rupa, fitrah, fikiran, serta sifat-sifat kebaikan dan kelemahan. Ini telah mencukupi untuk manusia hidup di dunia bagi melaksanakan amanah yang telah ditetentukan oleh Allah. Firman Allah Subhanahu wa ta’ala . (maksudnya): "Sesungguhnya Kami telah mencipta manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. " (At-Tin:4)

Dalam konteks sains barat moden, Teori Evolusi masih merupakan satu andaian yang tidak terbukti dan tidak mungkin dibuktikan secara sains. Pertikaian berlaku dalam penerimaannya sehingga dikalangan ahli sains Barat sendiri. Sulaiman Nordin telah memetik ungkapan beberapa orang ahli sains barat antaranya ialah Thomson, selaku pengarah, ‘Commonwealth Institute of Biological Control’ di Ottawa, Kanada telah menyatakan bahwa "Teori Evolusi itu sebenarnya tidak bernilai sains kerana ia tidak boleh diperiksa dan dipastikan berlaku. " Begitu juga dengan Profesor John Moore, dari Jabatan Sains Tabii di Universiti Michigan, Amerika Syarikat, telah menyangkal kebenaran Teori Evolusi dengan mengatakan: "Tidak ada apa-apa pun kecuali bukti-bukti yang tidak jelas atau secara sepintas lalu yang menyokong Teori Evolusi. "

TEKNOLOGI ISLAM

Teknologi perlu difahami sebagai bahan-bahan material yang bersifat universal dan boleh dicipta dan digunakan oleh sesiapa sahaja samaada Islam atau kafir tetapi apa yang penting ialah tujuan kegunaannya dan tujuan penciptaannya yang ditentukan oleh idea-idea yang dipegang oleh sesebuah masyarakat. Sebagai contoh, komputer merupakan alat teknologi yang tidak ada baik atau buruknya dan tidak terikat kepada mana-mana tamaddun tetapi ianya boleh digunakan untuk perkara-perkara sumbang seperti ponorgraphy akibat daripada idea barat seperti ‘freedom’ dan keghairahan nafsu sebaliknya komputer boleh pula digunakan untuk jalan berda’wah dan menyampaikan risalah Islam. Contoh lainnya seperti kegunaan teknologi dalam perang, alat-alat perang boleh digunakan untuk membunuh rakyat sesebuah negara mengikut idea-idea koloniasasi atau nasionalisme hinggakan kita lihat bagaimana umat Islam berperang sesama sendiri ataupun ianya boleh digunakan dalam berjihad iaitu berperang untuk menegakkan Islam sebagaimana yang disarankan di dalam Al Qur’an di dalam surah 8:60

“Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya. ” (An Anfal:60)

Di dalam Islam, memang tidak ada kekeliruan tentang kedudukan teknologi atau ciptaan barang-barang material. Ini dapat kita saksikan sendiri di zaman Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan khilafah Islam setelah zaman baginda. Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam pernah mengambil teknologi perang Persia semasa Perang Khandak di mana beliau berserta sahabah menggali parit mengelilingi kota Medina sebagai benteng pertahanan. Kita juga melihat ciptaan meriam pertama di zaman Khalifah Muhammad Al Fatih sewaktu penaklukan kota Constantinople. Malah Sains dan Teknologi merupakan bidang yang amat maju di zaman Khilafah Islam. AlQur’an banyak menyarankan supaya umat Islam bergiat menggunakan segala ciptaan Allah Subhanahu wa ta’ala untuk kegunaan mereka di dalam kehidupan seharian. Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman

"Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nimatNya yang zahir dan yang batin? " Luqman:20

"Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintahNya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya)". Ibrahim: 32

Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?" Katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui. al-A'raaf:32

TEKNOLOGI BARAT
Pada tahap awal, semua kegiatan ilmu pengetahuan alam masih terbatas pada pengamatan dan pencatatan gejala-gejala alam. Selanjutnya, kegiatan ini berusaha untuk memberikan dan menjelaskan cara berlangsungnya gejala-gejala alam tersebut tetapi masih bersifat kualitatif. Dengan kata lain, ilmu pengetahuan alam bersifat deskriptif dan kuanttitatif. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment