Wednesday, October 14, 2015

Tajuk: Abu Raihan AL-BIRUNI TERKENAL DALAM BEBERAPA BIDANG SAINS

PENGENALAN
Abu Raihan al-Biruni adalah seorang putera Islam yang terkenal dalam beberapa bidang sains. Beliau dilahirkan pada bulan September tahun 973 M di perkampungan Kharizm, Turkmenistan, di mana tempat itu kemudiannya dikenali dengan nama “Al-Biruni” yang bermaksud ‘asing’. Dunia sains mengenalinya sebagai salah seorang yang terbaik dalam bidang falsafah, astronomi, kedoktoran dan fizik. Al-Biruni adalah pengasas Indologi, antropologi dan geodesi. Beliau juga adalah ahli sejarah dan pakar bahasa. 

RIWAYAT HIDUP ABU RAIHAN
AL-BIRUNI

Abu Raihan al-Biruni. Namanya tidak lagi asing di pentas ilmu sains pada abad pertengahan. Dunia sains mengenalinya sebagai salah seorang putera Islam yang terbaik dalam bidang falsafah, astronomi, kedoktoran dan fizik. Wawasan dan pengetahuannya yang sedemikian luas, telah meletakkan dirinya sebagai seorang pakar dan ilmuwan Islam yang tersohor pada awal abad pertengahan. 

Nama penuh beliau adalah Abu Raihan Muhammad Ibn Ahmad al-Biruni. Beliau dilahirkan pada bulan September tahun 973 M di Birun, ibu negeri Khawarizm (Turkistan). Tempat tersebut dikenali dengan nama Al-Biruni. “Al-Biruni” yang bermaksud “asing”, adalah dinisbahkan kepada wilayah tempat tanah kelahirannya, iaitu Turkistan. Pada masa itu, kawasan ini sememangnya dikhaskan untuk penempatan orang-orang asing. 

Menurut kitab al-Ansab yang ditulis oleh Sam’ani dan kitan Mu’jam al-Buldan yang ditulis oleh ya’qut al-Hamawi, penduduk Khawarizm memanggil orang asing sebagai biruni (dalam Bahasa parsi). Maka atas alasan inilah yang menyebabkan Abu Raihan dikenali sebagai Al-Biruni kerana beliau merupakan orang asing bagi penduduk Khawarizm. Sarjana lain juga menyatakan beliau bukan dilahirkan di Khawarizm, tetapi di Birun, iaitu sebuah Bandar di luar Kath. Bandar Khawarizm terletak 20 farsakh (60 km) dari Kath yang menjadi ibu kota kerajaan pemerintahan putera-putera Ma’muniyah. Oleh itu, ada kemungkinan apabila Khawarizm menjadi ibu kota Ma’muniyah, maka penduduk Kath yang berhijrah ke bandar itu digelar biruni. Oleh sebab Abu raihan orang yang lebih terkenal di kalangan mereka, maka gelaran ini diberikan kepadanya. Beliau turut digelar “Khawanizini” kerana nama-nama kawasan tersebut juga dipanggil Khawanizin. 

Beliau dibesarkan dalam keluaraga yang taat beragama. Al-Biruni mengahabiskan usia mudanya dalam persektaran masyarakat yang mencintai ilmu pengetahuan. Walaupun tidak banyak catatan sejarah yang mengisahkan latar belakang pendidikannya, namun beberapa sumber telah menyebutkan bahawa ilmuan ulung ini memperolah pendidikan daripada beberapa orang ulama ternama pada zamannya. Antaranya adalah Syeikh Abdus Shamad. Dalam bidang kedoktoran, Al-Biruni belajar daripada Syeikh Abul Wafa’ Al-Buzayani. 

Daripada seorang Putera Raja Parsi, Syeikh Abu Nasr Mansur bin Ali bin Iraqi beliau belajar dalam bidang matematik dan astronomi. Keluarga Abu Nasr begitu mengambil berat tentang Al-Biruni. Al-Biruni merupakan sarjana agung pada akhir abad ke-4H/10 M. Jadi, tidak hairanlah apabila ulama menulis ini terkenal sebagai seorang ahli dalam pelbagai bidang ilmu semenjak usia muda. 

Sebagai seorang yang dahagakan ilmu, beliau tidak suka membuang masa. Sepanjang hayatnya ditumpukan kepada bidang penyelidikan dan penulisan. Dengan itu, beliau dapat menguasai dua buah tamadun besar pada ketika itu iaitu tamadun Arab dan tamadun Yunani. Beliau mempunyai hubungan erat dengan para intelek Islam dan Kristian. Salah seorang daripadanya ialah Abu Sahl Masihi (ahli fizik Kristian). Beliau juga berhubung rapat dengan para saudagar Kristian Syria. Tujuannya adalah untuk mempelajari nama-nama orang Yunani serta sebutan dan ejaan istilah perubatan yang betul. 

Sebagai ilmuwan ulung, Al-Biruni tidak henti-henti mengais ilmu, termasuk dalam penjelajahannya ke beberapa buah negeri, seperti ke Iran dan India. Jamel Ahmed dalam buku Seratus Tokoh Muslim mengungkapkan bahawa antara penjelajahan yang paling menarik tokoh ini adalah semasa di wilayah Jurian, berdekatan Laut Kaspia (Asia Tengah), serta wilayah India. Penjelajahannya itu sebenarnya tidak disengajakan. Setelah beberapa lama menetap di Jurjan, Al-Biruni memutuskan untuk kembali ke kampong halamannya. Namun tidak disangkakannya, tanah kelahirannya dilanda oleh konflik antara etnik. Keadaan ini dimanfaatkan oleh Sultan Mahmoud Al-Gezna, yang melakukan penaklukan ke wilayah Jurjan. 

Penaklukan ini menyebabkan Al-Biruni dipilih oleh Sultan Mahmoud sebagai “kumpulan pemikir” yang kemudiannya dibawa menyertai ekspidisi ketenteraan ke India. Di sana, beliau banyak melahirkan karya dan tulisan, sama ada dalam bentuk buku mahupun artikel ilmiah yang kemudian disampaikannya dalam perjumpaan. Selain menghasilkan karya, penjelajahan bersama Sultan ini juga telah menjadikan kawasan ini sebelah timur sebagai kawasan baru untuk menyebarkan dakwah Islamiah. 

Sepanjang pengembaraannya di India, Al-Biruni memanfaatkan masa terluang dengan melakukan kahian berkaitan adat istiadat dan budaya masyarakat tempatan. Berasakan kejiannya inilah beberapa karya agungnya lahir. Bukan itu sahaja, Al-Biruni juga adalah orang pertama yang memperkenalkan permainan catur ‘ala’ India ke negara-negara Islam. Beliau juga menjelaskan permasalahan trigonometri yang mendalam dalam karyanya, Tahqiq Al-Hind. 


Kecerdikan Al-biruni merangsang dirinya untuk mendalami ilmu astronomi. Misalnya beliau turut menjelaskan tentang kemungkinan pergerakan bumi mengitari matahari. Malangnya, buku beliau yang mengupas tentang perkara ini hilang. Namun beliau berpendapat, sebagaimana pernah ia sampaikan dalam suratnya kepada Ibnu Sina, bahawa pergerakan eliptis adalah lebih memungkinkan daripada gerak melingkar yang dilakukan planet. 

“Oleh kerana bidang saya adalah bidang astronomi dan sejak saya wujud di dunia ini lagi saya terkenal dengan ilmu itu dan saya tidak berniat untuk keluar dari disiplin ilmu itu, maka saya mahu berkhidmat kepada perbendaharaan baginda (Ma’sud) yang dikenali sebagai nikmat dengan menulis kanun (undang-undang)” Sina’at al-tanjim (Seni Astronomi)

Al-Biruni sangat konsisten dalam mempertahanlan pendapat tersebut, dan ternyata pada kemudian harinya pendapat ini terbukti kebenarannya sebagaimana yang telah dibuktikan oleh ilmu astronomi moden. Sebagai seorang yang gemar membaca pelbagai bidang ilmu, kepakaran Al-Biruni tidak hanya dalam bidang ilmu sains. Beliau juga mahir dalam ilmu falsafah. Kerana itu, beliau dikenali sebagai salah seorang ahli falsafah Islam yang amat berpengaruh. 

Pemikiran falsafah Al-Biruni banyak dipengaruhi oleh pemikiran falsafah Al-Farabi, Al-Kindi dan Al-Mas’udi (meninggal pada tahun 956 M). Hidup sezaman dengan ahli falsafah dan pakar ilmu perubata, Ibnu Sina, Al-Biruni banyak berdialog dengan Ibnu Sina, sama ada secara langsung mahupun melalui surat dengan aliran pemikiran peripatetic yang dianuti Ibnu Sina dalam pelbagai aspek. 

Al-Biruni memperlihatkan kecenderungan bahawa beliau tidak menerima bulat-bulat falsafah Aristotle dan berfikir secara kritikal terhadap beberapa hal dalam teori fizik paripatetik, seperti berkaitan dengan masalah gerakan dan tempat. Ini kerana semua yang yang dilakukannya itu selalunya berlandaskan pada prinsip-prinsip Islam, serta meletakkan sains sebagai alat untuk mengingkap rahsia alam. Hasil kajian dan penelitiannya akhirnya adalah untuk mengakui akan wujudnya Allah, sebagai Maha Pencipta. Menurut Al-Biruni jika seorang ilmuwan ingin membezakan kebenaran dan kepalsuan, dia perlu menyelidik dan mempelajari tentang alam. 

Dalam bukunya Al-Jamahir, Al-Biruni juga menegaskan, “Penglihatan adalah penghubung apa yang kita lihat dengan tanda-tanda kebijaksanaan Allah dalam ciptaan-Nya. Daripada penciptaan alam tersebut, kita akan menemukan kewujudan Yang Maha Pencipta. ” Pandangan Al-Biruni ini tentu berbeza sekali dengan pandangan saintis Barat pada zaman moden ini yang mengenepikan sains daripada agama. Pandangan mereka tentang alam seolah-olah menafikan keberadaab Allah sebagai Maha Pencipta. 

Kejayaan Al-Biruni dalam bidang sains dan ilmu pengetahuan ini turut mendapat pujian ilmuwan Barat. Max Mayerhof misalnya menyatakan, “Abu Raihan Muhammad Ibn Al-Biruni digelar sebagai ahli kedoktoran, astronomi, matematik, ilmu fizik geografi dan sejarah. Dia mungkin adalah yang paling menonjol dan peneraju zaman keemasan ilmu pengetahuan Islam. ”

Pengakuan yang sama juga telah dinyatakan oleh ahli sejarah asal India, Si JN Sircar. Beliau menulis “hanya sedikit yang memahami fizik dan matematik. Di antara yang sedikit itu yang terbesar di Asia adalah Al-Biruni, sekaligus filsuf dan ilmuwan. Ia pakar dalam kedua bidang tersebut. ” Tokoh dan ilmuwan ulung ini akhirnya menghadap Ilahi Rabbi pada tahun 1048 M, semasa beliau berusia 75 tahun. 

SUMBANGAN ABU RAIHAN
AL-BIRUNI

Abu Raihan al-Biruni juga banyak menghasilkan karya-karya berdasarkan ilmu-ilmu pengetahuannya yang sebegitu luas. Antara karya beliau yang teragung ialah Rasa’il al-Biruni. Karya tersebut adalah sebuah ensiklopedia astronomi dan matematik. 

Beliau juga memberi contoh tentang kegunaan harian pengetahuan matematik dan astronomi. Contoh ini menunjukkan pengaruh matahari dan bulan ketika menentukan musim dan pasang surut air laut. Ilmu pengetahuan tentang bintang-bintang dan kedudukannya sangat penting bagi menetukan arah pengembaraan dan perjalanan. Ia juga sangat berguna ketika menentukan arah kiblat, waktu solat dan kedudukan garis lintang atau bujur sesuatu bandar. Maka beliau telah menunjukkan bahwa astronomi sangat berguna dan sesuai menurut Islam. Teori-teori astronominya yang penting adalah seperti berikut. 

 Teori alam semesta

Al-Biruni menganggap bahawa alam semesta terletak di luar permukaan sfera yang terhad. Pada masa yang sama, beliau tidak bersetuju dengan konsep gravity alam semesta sebagai kuasa sebenar yang terlibat seperti yang dilihat daripada pengalaman. Beliau juga mendakwa bahawa,

“Apabila sesuatu bahagian anggota jisim tegar bergerak secara garis lurus dan satu bahagian ke satu bahagian yang lain, sebaliknya jasad itu mengelilingi jasad lain dalam gerakan bulatan yang menggambarkan gerakan mengelilingi satu titik tetap seperti pusat bumi ketika jasad lain itu tegar. Walau bagaimanapun, kawasan persekitaran matahari menyebabkan planet bergerak dalam bentuk elips. ”

 Kosmogeni

Walaupun Qnun al-mas’udi tidak membincangkan asal-usul alam semesta, tetapi Al-Biruni membincangkannya secara terperinci dalam bukunya, al-Tahdid. Beliau menolak pandang yang menyatakan dunia ini kekal. Beliau mengumpul pelbagai arus pertukaran bumi di zamannya dan melengkapkan karya Abdul al-Malik al-tayyib al-busti yang mempunyai muka surat. 

 Teori geosentrik

Al-Biruni dan cendiakawan sezamannya sering memikirkan tentang kontroversi geosentrik dan heliosentrik. Beliau mengatakan bahawa sebarang teori baru tidak dapat diterima tanpa bukti sains yang kukuh. Beliau mengatakan bahawa sebarang teori alternative yang sebenar belum ditemui maka wajarlah seseorang itu mempercayai dan menerima teori dan penerangan yang terdahulu. Al-Biruni menulis mengenai pergerakan matahari dalam sebuah buku berjudul Kitab al-tatbiq fo Tahqiq Harakat al-Syam yang berkaitan dengan teori ini. 

 Kalender dan kronologi

Beliau telah menulis satu risalah kecil yang menerangkan tentang siang dan malam yang juga dapat mebuktikan panjang siang dalam setahun di kutub. Beliau telah mencipta sejenis alat untuk mengukur masa dan waktu di siang hari serta menulis buku mengenainya iaitu Ta’bir al-Mizan wa taqbir al-Azman. Bukunya yang bertajuk Tanqih al-Tawarikh membincangkan tentang tarikh. Manakala buku Tasawwur Amr al-Fajr wa al-Shafiq fi Jihat al-Gharb wa al-Sharq pula membincangkan tentang terbitnya fajar. 

Qanun al-Ma’udi adalah antara bukunya yang terakhir yang membincangkan perkara di atas dengan lebih terperinci. Ia juga membincangkan tentang siang dan malam, bulan dan tahun, bulan serta matahari, juga penerangan terperinci menganai perbezaan takwiim, maklumat tambahan (baru) mengenai kalendar orang india, mengubah takwin Sakkala kepada takwin Hijrah. 

 Matahari

Al Biruni turut membuat kajian tentang matahari dan perkara-perkara yang berkaitan berikut :

 Sifat fizikal Matahari

Al-Biruni cekap dalam pengajian ilmu fizik dan kadangkala memberikan sumbangan asli. Misalnya, beliau membuat kajian mengenai sifat fizikal waktu Matahari. Menurutnya Matahari ialah jasad yang panas bagu letusan solar yang boleh diperhatikan apabila gerhana penuhm sama juga seperti nyalaan yang muncul di sekeliling jasad yang membakar. 

 Gerakan tahunan

Al-Biruni mempercayai teori geosentrik dan menganggap matahari mengelilingi bumi. Beliau berfikir bahawa gerakan matahari yang perlahan dan cepat menggambarkan sesuatu orbit. 

 Panjang tahun solar (tropika)

Semasa menkaji panjang tahun solar, al-Biruni memerhati perubahan dan perbezaan pendapat mengenai zaman lepas. Beliau melaporkan ada empat rumusan yang berbeza iaitu 365. 2426, 265. 2421, 365. 398 dan 365. 248 hari. Al-Biruni membuat pengiraan bahawa terdapat 365 hari, 5 jam dan 46 minit. Kalendar Jalali juga mendapat 365 hari, 5 jam, 49 minit. Kiraan al-Biruni ini tidak jauh perbezaannya denga kiraaan moden iaitu 365 hari, 5 jam, 48 minit dan 47 saat. 

Ketika menulis Qanun, beliau mengira titik yang tertinggi di antara matahari dengan bumi bergerak satu darjah dalam masa 1/3 tahun dan 0, 0, 7, 44, 54 dalam satu hari. Perkiraan yang telah dibuat oleh Al-Biruni ini hamper sama dengan angka moden iaitu 52. 2 setiap tahun dan satu darjah dalam masa 72 tahun. 

 Fajar dan senja

Beliau membincangkan alasan-alasan bagi tempoh fajar dan senjar. Al-Biruni mendapati senja (pagi dan petang) terjadi apabila Matahari beradap 18 di bawah ufuk. Penyelidik moden mengesahkan penemuan al-biruni ini. Beliau menulis buku al-Lam’at mengenai perkara ini. 

KESIMPULAN

Abu Al raihan Muhammad Ahmad al-Biruni atau lebih dikenali dan terkenal sebagai Abu Raihan al-Biruni adalag antara ilmuwan Islam yang terhebat dalam bidang fizik, matematik, astronomi dan sains semula jadi. Tambahan pula, beliau adalah pengasa Indologi, antropologi dan geodesi. 

Beliau juga adalah seorang ahli sejarah dan pakar Bahasa. Beliau boleh bertutu dalam Bahasa parsi, Arab, Sanskrit dan juga mempunyai pengetahuan dalam Bahasa Yunani, Hebrew dan Syiria. 

Al-Biruni oernah menegaskan dalam bukunya, Al-Jamahir, “penglihatan menghubungkan apa yang kita lihat dengan tanda-tanda kebijaksanaan Allah dalam ciptaan-Nya. Dari pernciptaan alam tersebut kita menyimpulkan eksistensi Allah. ” Prinsip ini dipegang teguh dalam setiap penyelidikannya. 

Pandangan Al-Biruni amatlah berbeza daripada pandangan saintis Barat moden yang melepaskan sains dari agama. Pandangan mereka tentang alam berusaha menafikan kebradaan Allah sebagai pencipta. Keberhasilan Al-Biruni dalam bidang sains dan ilmu pengetahuan ini membuatkan decak kagum dikalangan Barat. 

RUJUKAN

1. Al-Khalili, J. (2010). Pathfinders: The Golden Age of Arabic Science. Penguin UK. 
2. freely, J. (2010). Light from the East: How the Science of Medieval Islam helped to shape the Western World. I. B. Tauris. 
3. Jacob Lassner, M. B. (2009). Islam in the Middle Ages: The Origins and Shapinh of Classical Islamic Civilizaton: The Origins and Shaping of Classical Islamic Civilization. ABC-CLIO. 
4. Kamiar, M. (2008). Brilliant Biruni: A Life Story of Abu Rayhan Mohammad Ibn Ahmad. Scarecrow Press. 
5. Landau, R. (2013). Islam and the Arabs. Routledge. 
6. Mohd Faizal bin Mat Pesa, W. M. (2013). Pengajian Tamadun Islam (Modul Politeknik Merlimau Melaka ed.). Melaka, Malaysia. 
7. Yahya, M. H. (1998). Tamadun Islam. Fajar Bakti Sdn. Bhd. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment