Wednesday, October 14, 2015

Tajuk: Tamadun Islam Menekankan Kepada Pembinaan Kota Raya

2. 0 PENGENALAN
Kelahiran Islam di Mekah dan kemunculan kerajaan Islam pertama di Madinah merupakan titik bersejarah lahirnya satu tamadun baru yang merubah sejarah dunia selama- lamanya. Tamadun ini berjaya merubah corak dan budaya hidup masyarakat jahiliyyah dan geo-politik dunia. 

Dibawah asuhan dan bimbingan Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam serta para sahabatnya, penduduk Tanah Arab yang terdiri daripada pelbagai bangsa, keturunan dan budaya berjaya disatukan dengan ikatan akidah dan ukhuwwah Islamiyyah. Bermula dari abad ke- 7 hingga ke- 18M dunia telah didominasi dan dicorak oleh tamadun Islam. Dari situ bermula pembukaan kota yang mempunyai pelbagai kemudahan serta prasarana yang dibina. 

2. 1 PENGERTIANKOTA RAYA
i. Bahasa
Suatu permukaan wilayah atau kawasan dimana terdapat pemusatan (konsentrasi) penduduk dengan berbagai jenis kegiatan ekonomi, sosial budaya dan administrasi pemerintahan. 
ii. Istilah
Kota raya menjadi ciri-ciri utama tamadun Islam, sebagai buktinya ialah Madinah. Madinah merupakan Negara dan kota raya pertama Islam yang diasaskan sendiri oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam . Tamadun Islam berkembang pesat dan menjadi puncak tanda melalui kewujudan bandar dan kota raya. Beberapa sarjana Islam menggunakan terminologial Madinah untuk menggambarkan tentang tamadun Islam. Diantaranya ialah Muhammad Farid Wajdi di dalam kitabnya berjudul al Madaniah wa al Islam(1899) (Tamadun Islam) dan Syeikh Muhammad Abduh di dalam risalahnya al Islam wa an Nasraniah wa al ‘Ilm wa al Madaniah (Islam dan Kristian Dalam Bidang Bidang Sains Dan Tamadun). 

3. 0 PERKEMBANGAN DALAM STRUKTUR KOTA RAYA

Perkembangan tamadun Islam di dunia Arab dibahagikan kepada empat peringkat iaitu zaman Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam dan khulafa’ al-Rashidin RA. (610- 661M), zaman kerajaan Bani Umayyah (661- 750M), zaman kerajaan Abbasiyyah (750- 1258M) dan zaman kerajaan Uthmaniyyah (1258- 1924M). Zaman perkembangan ini telah memperlihatkan pelbagai bangunan dan prasarana yang dibina untuk memudahkan urusan pemerintahan serta kemudahan untuk penduduk di kota. Antaranya ialah masjid, istana, pusat pengajian dan lain- lain. 

3. 1 PERINGKAT / ZAMAN
3. 1. 1 Zaman Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam (610- 632M)
Zaman Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam merupakan asas kepada ajaran dan tamadun Islam. Ianya merupakan zaman model tamadun Islam. Tamadun Islam telah mencapai kemuncaknya pada zaman awal tersebut. Walaupun kemajuan kebendaan tidak sehebat zaman selepasnya tetapi semua prinsip telah digariskan pada zaman awal ini. 

Zaman ini terbahagi kepada dua period iaitu period Mekah dan period Madinah. Kedua- dua period ini mempunyai perbezaan yang amat ketara daripada sudut pertumbuhannya. Ianya lebih tertumpu kepada period Madinah. Pada tahun 622M, Baginda Sallallahu ‘alaih wa sallam diperintahkan ke Madinah. Antara strategi dan perubahan yang dilakukan Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam ketika di Madinah ialah :-

a) Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam mewujudkan institusi masjid. Ianya berfungsi sebagai pusat ibadat khusus sekaligus markas, sekolah, perlimen, tempat menerima tetamu, tempat musafir bermalam dan menyelesaikan masalah kehakiman dan ketenteraan. 

b) Masjid Nabi merupakan ibu pejabat kerajaan Islam pada zaman Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam (Baharuddin& Sulaiman, 1990). 

c) Masjid yang pertama dalam Islam didirikan iaitu Masjid Quba’. 
d) Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam juga terlibat dalam pembinaan semula Kaabah apabila ia pernah runtuh akibat banjir. 

3. 1. 2 Zaman Khulafa’ al-Rasyidin R. A (632- 661M)
Selepas kewafatan Rasulullah Sallallahu ‘alaih wa sallam, kerajaan Islam dipimpin oleh para sahabat yang dikenali sebagai khulafa’ al-Rasyidin. Zaman ini bermula daripada tahun 632 – 661M dan ditadbir oleh empat orang khalifah iaitu :
i. Khalifah Abu Bakar al-Siddiq R. A
ii. Khalifah Umar bin al-Khattab R. A
iii. Khalifah Uthman bin Affan R. A
iv. Khalifah Ali bin Abi Talib K. W

Secara umumnya tiada perubahan besar berlaku terutamanya pada peringkat dasar cuma beberapa penambahan infrastruktur dan pemabaharuan teknikal yang diperkenalkan iaitu :

a) Ukiran indah ayat al-Quran pada dinding- dinding masjid. 

b) Pembinaan masjid pertama yang mempunyai merana ialah di Basrah. 

c) Mimbar dibina didalam masjid mula diukir dengan khat yang cantik dan ukiran yang berseni (Mustafa, 1991). 

3. 1. 3 Zaman Kerajaan Bani Umayyah (661- 750M)

Umayyah adalah sempena nama ketua keluarga atau satu puak yang berasal daripada Umayyah bin Abd Shams bin Abd Manaf bin Qusay (Maruwiah, 2003). Kerajaan Bani Umayyah bermula dengan perlantikan Muawiyah bin Abi Sufiyan menggantikan Sayyidina Ali sebagai khalifah. Khalifah- khalifah kerajaan Bani Umayyah meletakkan al-Quran, Hadis dan Ijma’ sebagai sumber perundangan negara. Tahap pemerintahan kerajaan Bani Umayyah terbahagi kepada dua iaitu Damsyik dan Andalusia. 

Di Damsyik, masjid- masjid yang sedia ada telah mengalami perubahan besar. Masjid Nabawi di Madinah, struktur mihrab telah ditinggikan apabila anak tangganya yang tiga ditambah menjadi enam dengan perintah Khalifah Mu’awiyah bin Abi Sufiyan. Pembinaan hospital di Damsyik oleh Khalifah al-Walid bin Abdul Malik, dan Hospital Kusta oleh Khalifah Umar Abdul Aziz. 

Antara sumbangan kerajaan Bani Umayyah di Andalusia ialah :-

a) Pusat pengajian tinggi di Cordova yang telah diasaskan oleh Abdul Rahman III dan menjadi pusat pengajian terkenal di Eropah. 

b) Pada zaman pemerintahan al-Hakam II terdapat 17 pusat pengajian dan 70 buah perpustakaan dibina. 

c) Pusat ilmu lain selain di Cordova ialah Seville, Toledo, Malaga, dan Granada. 

d) Banyak universiti yang lengkap dengan perpustakaan yang besar memungkinkan lahirnya ilmuan di Andalusia. 

e) Pembinaan istana al-Hamra’ (Alhambra) di Granada dan Masjid Jami’ Cordova. Masjid Jami’ Cordova seluas 36 meter, bertiang marmar sebanyak 1293 batang, dihiasi 4700 lampu yang menggunakan senyak 11 tan minyak setahun. 

f) Pembinaan Madinah al-Zahra’ yang melibatkan 10000 orang pekerja dan disiapkan dalam masa 25 tahun (Maruwiah, 2005). 

3. 1. 4 Zaman Kerajaan Abbasiyyah (750- 1258M)

Bani Abbasiyyah adalah keturunan daripada Abbas bin Abdul Muttalib. Kerajaan ini memerintah lebih daripada lima kurun. Pada zaman ini, perkembangan meluas dan gemilang. Antara perubahan atau penambahan yang dilakukan ialah :-

a) Abu Ja’afar al-Mansur telah mengasaskan kota Baghdad dan mendirikan kolej perubatan di sana. 

b) Kerajaan Bani Abbasiyyah mementingkan pembinaan istana. Contohnya Abu Ja’afar al-Mansur telah membina Istana al-Zainab (istana emas) di Baghdad. 

c) Terdapat sekurang- kurangnya 21 buah istana yang didirikan dan tidak dapat ditandingi sama ada istana Rom atau Parsi dari segi saiz dan keseniaanya. 

d) Terdapat juga lebih daripada 15 000 buah masjid yang indah- indah terdapat di seluruh wilayah Islam. 

3. 1. 5 Zaman Kerajaan Uthmaniyyah (1258- 1924M)

Kerajaan Uthmaniyyah terbentuk daripada kerajaan kecil semasa wujud kelemahan dalam kerajaan Abbasiyyah. Pengasasnya ialah Uthman bin Sauji bin Euturgul bin Sulaiman Shah daripada suku Qayi dan merupakan Amir Saljuk bagi kawasan barat Anatolia. Nama Uthmaniyyah diambil bersempena dengan nama Sultan Uthman, sultan yang pertama bagi Kerajaan Turki Uthmaniyyah. Ianya mula bertapak di Asia Kecil dan kemuadian bertapak kuat di Istanbul. 

Mimar Sinan merupakan seorang arkitek yang termasyhur pada zaman ini. Beliau telah membina Masjid Sultan Ahmad (Masjid Biru), Masjid Sultan Salim dan Masjid Sultan Sulaiman. Reka bentuknya mempengaruhi identiti Kerajaan Uthmaniyyah sendiri. Jaringan jalan keretapi juga telah dibina dari tanah Syam ke Madinah dengan jarak lebih 1303 km yang menghubungkan Hijaz, Turki dan Semenanjung Balkan dengan Eropah Selatan. Ianya merupakan salah satu usaha yang dilakukan oleh Sultan Abdul Hamid dengan tujuan untuk menghubungkan semua wilayah yang ada dengan Madinah dan Mekah bagi memudahkan urusan haji. 

4. 0 KESIMPULAN
Aspek seni bina Islam yang terpenting yang harus diperhatikan ialah seni bina masjid. Ini adalah kerana Islam telah meletakkan tempat ibadah sebagai ciri terpenting sesebuah bandar. Ini dapat kita perhatikan daripada sirah Rasullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam tatkala Baginda berhijrah ke Madinah, perkara yang pertama baginda lakukan ialah mencari tapak yang sesuai untuk membina masjid. Masjid pertama menjadi lanmbang kekuatan akidah, kesatuan dan perpaduan umat Muslimin. Masjid pertama yang didirikan di Madinah ialah Masjid al-Nabawi yang digunakan oleh Rasulallah Sallallahu ‘alaihi wa sallam sebagai pusat tarbiah (pendidikan) dan pentadbiran dalam menyusun strategi ekonomi, peradaban, perang dan sebagainya. Selari dengan perkembangan masa dan kepentingannya, masjid kemudiannya dikembangkan dan diperindahkan dengan pelbagai unsur dekoratif-ornamentif berdasarkan latarbelakang budaya persekitaran umat Islam. 

Seni bina masjid menjadi lambang keagungan tamadun berbanding dengan barat, kerana unsur-unsur ketamadunan yang dikembangkan di kota-kota raya Islam mementingkan nilai kerohanian dan pada masa yang sama pembangunan fizikal dankebendaan tidak dipinggirkan. Konsep penting dalamseni bina Islam ialah pencapaian iman dan amal, taqwa dan tawadhu', aman dan damai serta merendah hati kepada keagungan Allah Subhanahu wa ta’ala . Pengagunan dan perhiasan bukanlah menjadi matlamat seni bina Islam, tetapi kerana kreativiti dan inovasi, artis, seniman dan arkitek Muslim, ia menjadi suatu yang bernilai tinggi yang disepadukan bersama penggunaan corak, warna dan reka bentuk yang dibuat berdasarkan ajaran al-Quran. Kepentingan seni bina masjid di bandar silam Islam digambarkan dengan terdapat 241 buah masjid. Di Kaherah pada abad ke 15M pula terdapat 88 buah Masjid jamek (masjid utama) dan 19 Masjid kecil. 

Dari segi struktur dalaman dan luaran masjid, beberapa perkara dapat dilihat khususnya dari mimbar, arah kiblat, tempat kedudukan imam, ruang berkumpul, anjung dan serambi, mihrab, tempat berwuduk, menara tempat muazzin melaungkan azan, kubah dan lain-lain lagi. Perkara- perkara itu merupakan karektiristik seni bina masjid yang memperlihatkan keunikannya yang tersendiri berbanding dengan seni bina yang lain. 

Selain daripada masjid, seni bina Islam juga merangkumi bangunan-bangunan kediaman, kedai, jambatan, saluranair, rumah rehat, bilik mandi, perpustakaan, sekolah dan sebagainya. Seni bina mencirikan kepada lambang Islam dan berlandaskan tauhid kepada Allah Subhanahu wa ta’ala serta menitik beratkan kepada reka bentuk Islam banyak dipengaruhi oleh seni bina masjid seperti istana-istana, taj Mahal, kota-kota seperti kota Baghdad. 

Ustaz Abd Aziz bin Harjin
Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
013-400-6206, 011-1070-4212
http://abdazizharjin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment