Monday, October 12, 2015

(Sumbangan Muhammad Ibnu Zakaria Al-Razi (864m-930m) Dalam Kedoktoran)

Oleh: Siti Nur Lidiya Binti Sharudin

2. PENDAHULUAN

Tajuk tugasan yang telah diberikan kepada saya ialah Sumbangan Muhammad Ibnu Zakaria al-Razi dalam Kedoktoran. Oleh itu, saya akan memberikan sedikit sebanyak informasi dan ilmu pengetahuan yang berguna berkenaan tajuk saya pada kali ni. Melalui tugasan ini, bukan sahaja kita dapat memperoleh ilmu pengetahuan berkenaan al-Razi, malah kita juga dapat mengambil iktibar atau semangat dari kisah-isah beliau.

Dalam tugasan saya ini, saya akan membincangkan mengenai sumbangan yang telah diberikan oleh Muhammad Ibnu Zakaria al-Razi dalam kedoktoran, riwayat hidup, guru al-Razi dan penentangnya serta karya-karya beliau yang telah memberi banyak pengetahuan berkenaan perubatan atau kedoktoran kepada masyarakat pada abad pertengahan hinggalah sekarang. Hal ini kerana karya-karya beliau masih lagi digunapakai oleh masyarakat pada zaman kini terutamanya ahli perubatan atau ahli penyelidik.
  
3. MUHAMMAD IBNU ZAKARIA AL-RAZI
3.1 BIODATA

 Muhammad Ibnu Zakaria Al-Razi atau nama sebenarnya ialah Abu Bakar Muhammad bin Zakaria al-Razi merupakan salah seorang tokoh cendekiawan Islam yang terkenal pada abad pertengahan. Beliau dilahirkan pada tahun 250 Hijrah bersamaan 864 Masihi. Al-Razi telah dilahirkan di Ray, iaitu sebuah Bandar di Iran. Beliau meninggal pada 318 Hijrah bersamaan 930 Masihi. Beliau berketurunan Parsi.

Al-Razi mahir dalam bidang kimia, perubatan, biologi, sains dan falsafah. Al-Razi merupakan seorang tokoh islam yang berfikiran rasional, amat yakin dengan logik dan beliau dianggap oleh rakan semasa dan penulis bioliografi sebagai bebas dan bebas dari sebarang prejudis, amat cekal dan berani mengutarakan pendapat tanpa teragak-agak. Beliau percaya kepada kemajuan dunia dan “Tuhan Maha Bijaksana”.

Al-Razi banyak mengembara di kebanyakan tempat dan telah berkhidmat kepada beberapa putera dan pemerintah terutamanya di Baghdad di mana beliau mendirikan makmalnya. Beliau juga merupakan seorang guru dalam bidang perubatan dan telah menarik minat ramai pelajar dalam pelbagai bidang terutamanya perubatan.

Sifat-sifat peribadi beliau yang mulia merupakan salah satu pendorong kepada keunggulan beliau sebagai tokoh ilmuan Islam. Antara sifat-sifat peribadi beliau yang unggul ialah merupakan seorang yang pemurah, berperikemanusiaan, penyayang, juga sentiasa menulis dan belajar. Dalam menjalankan kerjaya doktornya, beliau dikenali sebagai seorang yang pemurah, sayang kepada pesakit-pesakitnya, dermawan kepada orang-orang miskin dan memberi rawatan kepada mereka secara percuma. Hal ini telah menyifatkan beliau sebagai seorang doktor yang paling agung dalam kalangan doktor Muslim. Beliau juga merupakan seorang penulis yang kreatif dan produktif. Beliau menulis dengan penuh ketekunan sehingga menghasilkan lebih 200 buah buku dalam pelbagai bidang, contohnya perubatan, falsafah dan kimia. Buku-buku yang dihasilkan oleh Al-Razi dapat memberi banyak ilmu yang berguna kepada masyarakat.
3.2 RIWAYAT HIDUP

 Dalam bahasa Parsi, Razi bermaksud “dari Bandar Ray”, sebuah Bandar silam di cerun selatan Dataran Elburz Range yang terdampar di selatan Laut Caspian, terletak berhampiran Tehran, Iran. Beliau telah membuat banyak kebaikan dan banyak pencapaian yang diperolehi beliau di Bandar ini. Beliau merupakan anak kelahiran bumi Iran dan merupakan seorang tokoh yang masyhur pada kurun ke-3 Hijrah.

 Pada awal kehidupan beliau, beliau merupakan seorang tukang emas. Malahan, beliau juga merupakan seorang pemain gambus(rebab, rebana) sambil menyanyi. Beliau telah meninggalkan pekerjaan beliau dan mempelajari bidang perubatan dan falsah kemudiannya. Menurut Profesor Abdel- Reheem Ead, Profesor Kimia di Fakulti Sains, Universiti Cairo, “ Al-Razi mulai mempelajari ilmu perubatan setelah membuat lawatan pertama ke Baghdad, apabila beliau berusia 30 tahun, di bawah ahli perubatan yang terkenal, Ali ibn Sahl, seorang Yahudi yang memasuki Islam, tergolong kepada sekolah perubatan Tabaristan atau Hyrcania yang terkenal. Beliau menunjukkan kepakaran yang mendalam berkenaan bidang tersebut sehinggakan beliau dengan pantas melepasi gurunya, dan menulis tidak kurang daripada seratus buah buku perubatan”. Beliau telah mempelajari ilmu perubatan melalui gurunya iaitu Ali ibn Rabban At-Tabbari dan juga ilmu falsafah dari al-Balkhi. Dalam masa yang sama, beliau juga belajar matematik, astronomi, sastera dan kimia.

 Al-Razi telah menjadi sebagai seorang ahli perubatan yang terkenal pada abad pertengahan. Semasa Mansur ibn Ishaq ibn Ahmad ibn Asad menjadi Gabenor Ray, al-Razi telah diberi kepercayaan untuk memimpin rumah sakit (hospital) selama enam tahun. Beliau telah diberi mandat sebagai pengarah di Hospital Ray. Pada masa yang sama, al-Razi juga telah menulis buku yang bertajuk al-Tibb al-Mansur. Kitab al-Tibb al-Mansur ini telah dipersembahkan kepada Mansur ibn Ishaq ibn Ahmad ibn Asad. Kemudian, beliau telah berpindah ke Baghdad atas permintaan Khalifah al-Muktafi, yang berkuasa pada waktu itu.

 Semasa di Baghdad, al-Razi telah memegang jawatan sebagai ketua pengarah di Hospital Baghdad. Kemasyhuran al-Razi sebagai ahli perubatan bukan sahaja di dunia timur, tetapi juga masyhur di barat; sehinggakan beliau digelar The Arabic Galen/Jalinus Arab/Galen of the Arab. Beliau telah diberi dengan gelaran tersebut kerana ketokohannya sebagai pengarah di Hospital Baghdad. Beliau juga diberikan gelaran tersebut kerana telah menghasilkan lebih 200 buah buku atau karya yang terdiri dalam pelbagai bidang termasuklah perubatan, kimia, falsafah dan lain-lain lagi. 140 buah buku daripadanya merupakan buku yang berkait dengan bidang perubatan.

 Setelah Khalifah al-Muktafi wafat, al-Razi telah kembali ke Ray. Beliau dikatakan telah kembali ke Ray di mana beliau mempunyai ramai pelajar dengannya. Pada ketika itu, al-Razi bergelar Sheikh iaitu gelaran bagi seseorang yang berhak dan boleh mengajar orang lain).

 Al-Razi merupakan seorang tokoh falsafah Islam yang banyak menimbulkan kontroversi dalam bidang ilmu falsafah. Sikap dan pemikirannya dikatakan cenderung kepada pemikiran dan teori ahli falsafah Yunani Kuno seperti Plato. Oleh sebab itu, ramai dalam kalangan ahli falsafah muslim yang mengecamnya, mereka tidak bersetuju dengan sebahagian pendapatnya yang pro-platonisme.

Para sarjana berpendapat bahawa al-Razi mengalami sakit mata dan kemudiannya buta pada penghujung hayatnya. Hal ini dikatakan demikian kerana al-Razi menderita penyakit tersebut berikutan ketekunannya menulis dan membaca yang terlalu banyak. Oleh itu, beliau telah menghabiskan sisa-sisa hidup beliau dengan menjadi buta kerana enggan menerima rawatan.

3.3 GURU AL-RAZI DAN PENENTANGNYA

Selain daripada Ali ibn Rabban al-Tabari, yang mengajar al-Razi perubatan, Ibn al-Nadim mengatakan bahawa pencetus al-Razi mempelajari falsafah adalah melalui al-Balkhi, yang telah jauh mengembara dan mengetahui banyak perkara mengenai falsafah dan sains kuno.

Sesetengah turut mendakwa bahawa al-Razi menghubungkan sebahagian buku al-Balkhi berkenaan falsafah kepada dirinya sendiri. Tidak banyak yang diketahui mengenai al-Balkhi, mahupun nama penuhnya.

Penentang al-Razi, sebaliknya, diketahui ramai. Mereka termasuk yang berikut :
1. Abu al-Qasim al-Balki, ketua Mu'tazilah di Baghdad penulis semasa dengan al-Razi yang menulis banyak bangkangan terhadap buku al-Razi, terutamanya buku Ilm al-Ilahi. Percanggahannya dengan al-Razi menghasilkan melibatkan pemikirannya berkenaan konsep 'Masa'.

2. Shuhaid ibn al-Husain al-Balkhi, dengan mana al-Razi terbabit dengan banyak pertikaian; satu daripadanya adalah konsep 'Nikmat', dijelaskan dalam bukunya Tafdll Ladhdhat al-Nafs di mana Abu Sulaiman al-Mantiqi al-Sijistani memetiknya dalam karangannya Siwan al-Hikmah.

3. Abu Hatim al-Razi menjadi penentang al-Razi yang paling penting dan merupakan salah seorang pendakwah Isma'ili teragung. Dia menerbitkan pertikaian dengan al-Razi dalam bukunya A'lam al-Nubuwwah. Disebabkan buku ini, pemikiran al-Razi berkenaan rasul dan agama kekal sehingga kini.
4. Ibn al-Tammar (kemungkinannya adalah abu Bakr Husain al-Tammar, menurut Kraus) merupakan seorang ahli perubatan dan dia turut mempunyai pertikaian dengan al-Razi, yang di rakamkan oleh abu Hatim al-Razi dalam A'lam al-Nubuwwah. Ibn al-Tammar tidak bersetuju dengan buku al-Razi, al-Tibb al-Ruhani tetapi al-Razi membalasnya. Malah, al-Razi menulis dua anti thesis (antitheses):
• Jawapan pertama berkenaan pertikaian al-Tammar dengan Misma'i berkenaan 'Jisim (Matter)'.
• Jawapan kedua kepada pendapat al-Tammar pada 'Atmosphera penduduk dalam bumu (subterranean habitations)'.

5.Yang berikut merupakan penulis yang disebut oleh al-Razi dalam penulisannya:
• al-Misma'i, seorang Mutakallim, yang menentang 'kebendaan (materialists)', dijawab oleh penulisan (treatise) al-Razi.
• Jarir, pakar perubatan yang mempunyai teori berkenaan 'Memakan mulberries hitam selepas minum air tembikai'.
• al-Hasan ibn Mubarik al-Ummi, kepada mana al-Razi menulis dua (epistles) dengan ulasan.
• al-Kayyal, seorang Mutakallim: al-Razi menulis buku berkenaan Theori berkenaan Imam nya.
• Mansur ibn Talhah, sebagai pengarang buku "Makhluk", yang dikritik oleh al-Razi.
• Muhammad ibn al-Laith al-Rasa'ili yang menentang ahli kimia yang dipertikai oleh al-Razi.

6. Ahmad ibn al-Tayyib al-Sarakhasi, merupakan ahli kimia semasa yang lebih tua pada al-Razi. Al-Razi mempertikai pendapatnya mengenai 'rasa pahit'. Tambahan lagi dia membangkang gurunya Ya'qub ibn Ishaq al-Kindi, berkenaan penulisannya, dalam mana dia merendah-rendahkan ahli kimia.

3.4 SUMBANGAN AL-RAZI DALAM PERUBATAN

 Al-Razi telah memberi banyak sumbangan dalam bidang perubatan kepada semua anggota masyarakat pada zaman pertengahan. Sumbangan yang diberikan oleh Al-Razi tidak ternilai harganya kepada pembentukan dan pembangunan dalam bidang perubatan. Hal ini bukan sahaja memberi faedah kepada masyarakat Islam, malah masyarakat bukan Islam juga sedaya upaya telah mencontohi dan meneladani konsep-konsep baru yang dihasilkan oleh Al-Razi. Sumbangan yang tidak ternilai harganya ini masih menjadi salah satu medan utama dalam rujukan terutamanya para ahli perubatan dan juga ahli pengkaji.

 Antara sumbangan Al-Razi dalam bidang perubatan ialah Al-Razi telah menyedari betapa pentingnya kebersihan. Satu kajian telah dilakukan oleh Al-Razi dalam memilih tempat untuk membina hospital. Beliau sungguh teliti dalam memilih tapak hospital Audidi. Kajiannya adalah untuk mengenal pasti sama ada kawasan itu sesuai atau tidak untuk membangunkan sebuah hospital, beliau telah menggantungkan daging yang baru pada beberapa tempat yang dicadangkan sebagai tapak hospital Audidi. Beliau telah memilih tempat yang daging menjadi busuk paling lambat. Konsep kebersihan udara dan tempat telah disedari oleh pakar perubatan Islam pada masa itu.

 Malah faktor kebersihan juga merupakan salah satu faktor penting dalam kesihatan diri dan juga persekitaran. Jika kita tidak menjaga kebersihan, sudah tentu penyakit mudah menjangkiti tubuh badan kita dan juga akan mengakibatkan diri tidak terurus.

 Selain itu, sumbangan yang diberikan oleh Al-Razi ialah beliau merupakan seorang penterjamah utama hasil karya Galen. Beliau juga sentiasa mengikuti perkembangan pemikiran semasa lebih-lebih lagi dalam bidang kedoktoran atau perubatan. Dengan mengikuti perkembangan tersebut, beliau telah menjelaskan jenis tiap-tiap penyakit, puncanya, sifat-sifat, cara merawat dan mendatangkan beberapa andaian. Oleh itu, kita haruslah mencontohi Al-Razi dalam mengikuti perkembangan semasa ke arah memajukan masyarakat Islam di seantero dunia.

 Seterusnya, Al-Razi telah menentukan penyakit demam panas dan taun, membezakan penyakit cacar dan campak dan penemuan rawatan penyakit cacar. Beliau juga merupakan orang pertama yang membezakan penyakit colitis dan memulas perut. Al-Razi merupakan seorang ahli perubatan ulung pertama yang membincangkan mengenai penyakit katarak iaitu sejenis penyakit mata. Beliau juga pernah menjalankan pembedahan memulihkan selaput mata dengan cara menarik keluar lensa.

 Di samping itu, al-Razi juga pernah membuat kajian mengenai penyakit batu karang di mana beliau mendapati litotiti merupakan proses untuk menghancurkan batu karang dalam pundi-pundi kencing kepada bahan-bahan kecil atau dalam molekul-molekul yang mudah. Hal ini supaya batu karang tersebut mudah dan senang untuk dikeluarkan melalui saluran kencing.

 Al-Razi juga merupakan seorang ahli perubatan yang menekankan kaitan antara makanan dan kesihatan. Beliau telah mengaitkan ini sebagai pengaruh faktor psikologi terhadap kesihatan. Apabila kita mengambil makanan yang berkhasiat, maka tubuh badan kita akan lebih bertenaga dan segala nutrient yang diperlukan di dalam badan dapat diserapkan ke dalam sel-sel badan, elalui sel darah merah. Faktor psikologi dikatakan membawa pengaruh terhadap kesihatan kerana, apabila kesihatan mental dijaga dengan baik, contohnya tiada tekanan perasaan atau stress, maka kita dapat mengekalkan kesihatan tubuh badan kita dengan sempurna.

 Kemudian, sumbangan AL-Razi dalam bidang perubatan juga meliputi penghasilan bahan-bahan untuk digunakan dalam perubatan. Sebagai contoh, beliau merupakan orang pertama menggunakan sebatian plumbum di dalam memproses krim, menggunakan usus binatang ketika menjahit luka-luka dan mensifatkan penggunaan simim plaster di dalam merawat penyakit patah. Selain itu, beliau juga merupakan orang pertama yang membuat jahitan pada perut dengan menggunakan benang yang diperbuat daripada serat.

 Antara contoh lain ialah Al-Razi merupakan orang pertama yang memperkenalkan alkohol untuk tujuan perubatan. Beliau juga merupakan orang pertama yang menggunakan opium iaitu sejenis dadah untuk tujuan bius. Di samping itu, beliau juga telah membuat pengkelasan bahan galian serta peralatan dan radas dengan teratur, dan lengkap. Al-Razi telah menguji ubat-ubat yang telah siap diproses kepada binatang sebelum digunakan oleh pesakit.

 Kemasyhuran al-Razi bukan sahaja menjadi kebanggaan kepada dunia Islam malah ketokohan dan kepakaran beliau turut diakui oleh dunia barat. Hal ini terbukti dengan banyak karya-karya beliau telah menjadi rujukan dan panduan dunia barat terutamanya dalam bidang perubatan. Sehingga kini karya-karya al-Razi masih digunakan oleh para ilmuan terutamanya ahli perubatan.

 Al-Razi telah menghasilkan lebih 224 buah karya agung yang terdiri daripada pelbagai bidang termasuklah bidang perubatan, kimia, astronomi dan falsafah. Daripada 224 buah buku yang dihasilkan, 140 buah daripadanya merupakan karya yang ditulis dalam bidang perubatan atau kedoktoran.

 Sepuluh buah buku perubatannya diterjemahkan ke dalam bahasa Latin. Selain itu, buku-buku beliau juga telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dan menjadi bahan rujukan serta panduan doktor di Eropah hingga abad ke-17.

Antara karya yang telah dihasilkan oleh Al-Razi ialah Kitab al-Hawi (Liber Contines) yang merupakan sebuah ensiklopedia perubatan yang mengandung i30 jilid dan terbahagi kepada 12 bahagian yang meliputi pelbagai aspek. Di antaranya ialah berkaitan dengan penyembuhan pesakit serta jenis penyakit, penjagaan kesihatan, punggung dan tengkuk iaitu berkaitan dengan patah, ubata-ubatan dan makanan, pembuatan ubat-ubatan, industri kedoktoran, farmasi, tubuh badan, pembedahan dan pengawetan anggota.

Sebuah lagi buku yang bertajuk Al-Mansuri mengandungi keterangan pembedahan seluruh badan manusia. Antara karya dan artikal Al-Razi berkaitan dengan perubatan ialah The Experimentation of Medical Science and its Application, The Classification of Diseases, Royal Medicine, The Book of Simple Medicine dan al-Judari wa al-Hasbah.

3.5 KARYA

Kitab al-Hawi (Liber Contines) merupakan sebuah ensiklopedia amalan perubatan terapeutik yang dihasilkan olehnya menjadi rujukan dunia Eropah. Minat yang mendalam dunia Eropah kepada karya agung yang seberat 10kg ini terbukti dengan penerbitannya beberapa kali sejak abad ke-12M lagi sehingga abad ke-17M.

Penemuan al-Razi berkenaan sakit campak cacar tulen (smallpox) dan campak biasa (measal) turut menjadi bahan rujukan perubatan di dunia Barat malah turut diulangi penerbitannya beberapa kali sehingga abad ke-18M. Kedua-dua karya ini juga merupakan sumber kurikulum tradisional di kalangan para pengamal perubatan Islam.

Kitab al-Mansur (Liber medicinalis ad al Mansorem) juga karya agung al-Razi dalam dunia perubatan. Al-Razi telah menghasilkan buku ini ketika beliau di Khurasan di bawah pemerintahan Gabenor al-Mansur Ibnu Ishaq. Dalam buku ini terkandung 10 penemuan berkaitan tentang amalan dan sains perubatan. Buku ini dianggap satu karya beliau yang tulen dan mencerminkan kematangan dan kepakaran beliau dalam amalan perubatan moden.

Dalam buku ini juga beliau menekankan betapa pentingnya cara pemeriksaan yang teliti sebelum membuat sesuatu kesimpulan tentang sesuatu penyakit. Satu falsafah yang terpenting dalam karya al-Razi ini ialah kebenaran dalam ilmu perubatan merupakan suatu yang amat sukar diperoleh dan walaupun banyak tersedia rujukan namun kurang juga nilainya sekiranya dibandingkan dengan amalan seorang doktor yang sentiasa menggunakan kuasa pemikiran dan logiknya.

Al-Razi menentang sekeras-kerasnya amalan penipuan dan penyelewengan dalam amalan perubatan. Padanya penyakit jasmani tidak boleh dipisahkan dengan penyakit rohani. Oleh sebab itu, dalam merawatnya kedua-dua pendekatan iaitu rohani dan jasmani terus diketengahkan.

Al-Razi turut memberi sumbangan yang besar dalam bidang kimia dengan terhasilnya Kitab al-Asrar (The Book of Secrets). Buku ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan merupakan sumber utama maklumat bahan kimia sehingga abad ke-14M. Antara lain kejayaan al-Razi dalam dunia perubatan ialah penemuan rawatan kepada penyakit cacar dan pengasingan alkohol dalam penghasilan antiseptik.

Antara lain, karya dan artikal yang dikeluarkan oleh Al-Razi ialah The Experimentation of Medical Science and its Application, The Classification of Diseases, Royal Medicine, The Book of Simple Medicine dan al-Judari wa al-Hasbah. Karya-karya dan artikal-artikal yang ditulis oleh Al-Razi sehingga kini menjadi panduan dan rujukan para ahli perubatan dan ahli pengkaji.

4. KESIMPULAN

Natijanhya, beliau tidak mudah menerima sesuatu teori tanpa membuat kajian dan pada waktu sama, tidak menolak konsep ketuhanan. Baginya, Allah maha Bijaksana.

Dalam pergaulan dengan masyarakat Al-Razi memaparkan contoh terbaik. Beliau tergolong dalam kelompok elit dengan jawatan Ketua Pengarah Hospital di Ray, namun tidak meletakkan jurang antara dirinya dengan golongan miskin. Al-Razi tidak mengenakan bayaran kepada pesakit miskin yang berkunjung ke hospitalnya dan apabila tiada pesakit menemuinya, beliau meneruskan penulisan terhadap kajian yang dilakukan.

Walaupun Al-Razi diiktiraf sebagai pakar pertama mengenali penyakit cacar dan campak serta mencadangkan kaedah pencegahannya namun dunia Islam hari ini secara umum masih bergantung kepada Barat untuk mendapatkan bekalan vaksin pencegahan penyakit itu.

Kemunculan wabak baru seperti selesema burung menambah kebergantungan dunia Islam terhadap kepakaran Barat. Di Iran, pakar perubatannya mampu menghasilkan vaksin campak dan beberapa serum lain dalam memastikan jasa Al-Razi dan ilmuwan Islam lain tidak lenyap.

Sebagai khalifah di muka bumi ini, kita sepatutnya mengambil iktibar dan mencontohi Muhammad Ibnu Zakaria Al-Razi supaya dapat menjalankan amanah yang diberikan oleh Allah S.W.T dengan sempurna. Kita juga haruslah mengetahui dan mempelajari ilmu-ilmu sains dan teknologi supaya masyarakat Islam tidak dipandang enteng oleh masyarakat lain. Sumbangan Al-Razi haruslah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin agar dapat mengembalikan semula zaman kegemilangan Islam seperti pada zaman terdahulu.


Pensyarah: Abd Aziz bin Harjin
Tel: 013-400-6206, 011-1070-4212, 04-988-2701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
URL: abdazizharjin.blogspot.com



No comments:

Post a Comment